Friday, 28 June 2013
Akhirnya Demokrasi Dalam UMNO Mahu Dibuka Rantai Di Kakinya
Setelah riuh-rendah dengan kemunculan berbondong-bondong pengampu, pembodek dan tukang kipas yang mahu menyelamatkan karier politik Najib dengan mencadangkan agar jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak dipertandingkan, malah dikekalkan secara percuma kepada penyandang sedia ada, tiba-tiba Setiausaha Agung UMNO, Tengku Adnan Tengku Mansor menyatakan kedua-dua jawatan itu boleh dipertandingkan.
Kata Ku Nan lagi, semua jawatan tertinggi parti terbuka untuk ditandingi dan sesiapa saja yang mahu bertanding, boleh mendaftarkan diri untuk berbuat demikian, sesuai dengan peraturan baru yang diperkenalkan oleh UMNO. Katanya lagi, semua jawatan dalam UMNO akan ada pertandingan kali ini.
Sebelum ini, sebaik keputusan terburuk yang dicapai oleh BN dalam pilihanraya lalu, ramai pemimpin UMNO tampil menyarankan agar kedua-dua jawatan tertinggi dalam UMNO itu tidak dipertandingkan atas alasan menjaga perpaduan, selain menganggap gandingan Najib dan Muhyiddin sudah merupakan gabungan yang terbaik untuk parti.
Selain UMNO Negeri Sembilan dan Sabah yang menjadikan tiadanya pertandingan itu sebagai resolusi, sebahagian besar pemimpin UMNO turut menyokong cadangan itu. Malah Ku Nan sendiri sebelum ini dilaporkan bersetuju tiadanya pertandingan bagi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO atas alasan UMNO mengamalkan demokrasi terpimpin dan bukannya demokrasi sebenar.
Dua bekas Perdana Menteri, Mahathir dan Pak Lah juga dilaporkan bersetuju agar tiada pertandingan bagi kedua-dua jawatan tertinggi itu.
Walaupun demikian, di peringkat akar umbi rata-ratanya mahukan pertandingan diadakan kerana berasakan transformasi politik yang diperkenalkan Najib dengan meminda peraturan pertandingan haruslah dibuktikan bukan sekadar dengan kata-kata tetapi dengan keberanian melalui tindakan juga. Lagi pula 146,500 orang yang digegak-gempitakan sebagai perwakilan yang boleh memilih pucuk pimpinan UMNO kali ini berbanding hanya 2,500 sebelum ini, turut tidak sabar untuk memainkan peranan mereka.
Dalam pada itu, kalangan akar umbi juga berpandapat, tiada apa yang perlu dibimbangkan dengan pertandingan kali ini mendatangkan kesan kepada perpaduan kerana pilihanraya baru saja berakhir dan pilihanraya seterusnya hanya akan diadakan lima tahun lagi iaitu pada 2018. Dan jika pun mahu dielakkan pertandingan untuk menghadapi pilihanraya, ia sepatutnya pertandingan pada 2016 nanti.
Untuk pemilihan pucuk pimpinan kali ini, ramai yang berpendapat biarlah sesiapa saja mahu menawarkan diri untuk mencabar Najib, sama ada Muhyiddin atau Tengku Razaleigh. Biarlah demokrasi disuburkan kembali dan keputusan pilihanraya lalu diadili oleh UMNO pula sama ada mereka masih mahu mengekalkan Najib atau sebaliknya bagi menghadapi pilihanraya yang seterusnya nanti.
Kenyataan Ku Nan yang secara tiba-tiba memberi lampu hijau kepada pertandingan dalam UMNO, terutamanya dua jawatan tertingginya, ternyata disambut baik dan membuktikan kecenderungan untuk membuka semula ruang demokrasi dalam UMNO yang selama ini diikat dan dirantai kakinya.
UMNO kali terakhir menyaksikan pertandingan bagi jawatan Presiden UMNO ialah pada 1987 bilamana Tengku Razaleigh mencabar Mahathir. Walaupun Mahathir menang dengan 43 undi tetapi demokrasi dalam UMNO selepas itu bagaikan diikat dan dipasung kakinya melalui pelbagai peraturan dan kekangan yang diperkenalkan oleh beliau terutamanya sistem kouta pencalonan.
Tetapi apabila Najib mengambil alih kepimpinan parti dan negara, beliau telah membuang semua peraturan tidak demokratik itu kerana menyedari pelbagai peraturan dan kekangan itu telah menyebabkan orang-orang Melayu semakin menjauhi UMNO.
Bagaimanapun apabila PRU 13 menghasilkan keputusan terburuk dalam sejarah BN dengan hanya kemenangan 133 kerusi dan hilang undi popular, kebarangkalian kedudukan Najib dicabar juga tinggi kerana beliau dianggap pemimpin yang paling gagal sepanjang kewujudan UMNO. Lantas, untuk mempertahankan Najib, muncul kembali cadangan agar tiada pertandingan bagi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden sedangkan transformasi politik UMNO telah diperkenalkan sebelum itu.
Lalu UMNO kembali menjadi bahan cecehan ramai dan transformasi Najib dianggap palsu. Transformasi yang bertujuan menjadikan parti lebih demokratik dan inklusif, rupa-rupanya lebih cenderung melahirkan pembodek, pengampu dan tukang kipas semata-mata.
Di sisi yang lain, keadaan ini menjadikan UMNO makin dijauhi terutamanya oleh generasi muda yang sarat dengan idealisme serta ghairah kepada persaingan. Mereka melihat UMNO bukan lagi wadah untuk perjuangan dan memupuk bakat kepimpinan, sebaliknya lebih merupakan parti untuk kelompok elit tertentu sahaja.
Setelah demokrasi dirantai kakinya selama 26 tahun ini dalam UMNO, ia akan terus memberi kesan kepada penerimaan orang-orang Melayu dan meraih sokongan dalam pilihanraya akan datang. UMNO dengan demokrasi yang diikat kakinya hanya akan kekal menjadi parti kampungan dan menerima sokongan dari desa pedalaman saja tetapi akan terus disisih oleh generasi muda, Melayu bandar dan separa bandar.
Barangkali atas kesedaran ini dan harapan yang tinggi agar UMNO dan BN mendapat sokongan yang lebih baik dalam PRU 14 nanti, maka Ku Nan cuba membuka ikatan yang memasung kaki demokrasi dalam UMNO selama ini. Kini disedarinya jika demokrasi tidak dihidupkan kembali, kemungkinan UMNO akan mati kerana terus ditolak oleh orang-orang Melayu adalah lebih tinggi lagi. (SH 28/06/2013)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Dalam UMNO Baru bukan saja Tun Mahathir dan anaknya mempunyai kepentingan dalam parti tapi pencacai yang dilihat lebih sudu dari kuah juga mahu mendapat keuntungan yang tidak boleh dilihat oleh ahli biasa.
ReplyDeletePertandingan akan mengurangkan kuasa pengampu, barua dan pencacai. Pertandingan itu juga akan menghilangkan kekuatan empayar kroni dan keluarga yang menguasai sumber komisyen dalam projek pembangunan. Apakah orang yang mempunyai kepentingan dalam parti dan kerajaan akan membiarkan orang baru memperlecehkan kedudukan mereka ?
Lihat sejarah, Tun mengekalkan kedudukannya selaku presiden parti begitu lama hanya menggunakan sedikit rasuah, dan berdakwah bahawa pertandingan akan mendatangkan perpecahan dalam parti.. sedangkan dalam parti sememang wujud team yang menyokong pemimpin yang mereka suka. Tiada masaalah. Tapi yang menjadi masaalah pecah belah adalah kerana penipuan yang sengaja dilakukan dalam pemilihan diperhimpunan agong parti.
Kita semua sedia maklum, dalam parti UMNO Baru mempunyai pantang larang yang perlu dipatuhi... "Jangan bercakap benar". Sesiapa yang bercakap benar dianggap sebagai pengkhianat. Dan pengkhianat mesti dihapuskan. Tapi yang berbohong itu akan diangkat sebagai wira dalam parti dan negara.
Kenyataan Ku Nan kononya memberi lampu hijau bahawa pertandingan dalam UMNO dibolehkan kepada semua ahli yang ingin bertanding, tidak boleh diambil sebagai satu keputusan kerana dolak-dalik dalam parti pekara biasa. Hari ini cakap lain esok cakap lain..... "Cakap tak serupa bikin"
Saya menyokong penuh cadangan Ku Nan atas alasan dibolehkan mengikut undang-undang. Tapi satu penyakit yang ada pada UMNO ni suka buat undang-undang kemudian suka-suka dilanggarnya secara sedar atau tidak. Kemungkinan hal ini mula disedari oleh UMNO dan amat wajar diamalkan. Bagaimana pun pelaksanaannya biarlah telus tanpa ada unsur rasuah sama ada bentuk habuan RM, pi melancung, lu tolong gua, gua tolong sama lu dll. Sokongan atas dasar kewibawaan dan KETAKWAAN kepada Allah yang paling aula.
ReplyDelete