Wednesday 27 February 2013

Jika BN Menang, Najib Pun Belum Pasti Kekal Sebagai PM


Isu jawatan Perdana Menteri jika PR berjaya menawan Putrajaya kembali menjadi perbualan ramai. Jika sebelum ini Anwar sudah disebut oleh banyak pihak sebagai bakal PM daripada PR, kini seolah-olah ia belum dimuktamadkan lagi. Bakal PM ke 7 Malaysia nampaknya masih menjadi tanda-tanya. Mungkin Anwar, mungkin Haji Hadi Awang dan mungkin juga sesiapa saja. Jawatan itu nampaknya akan dibiarkan terbuka sehinggalah tiba waktunya ia diumumkan.

Bahkan dikatakan terdapat beberapa pihak dalam Pas yang mahukan Tengku Razaleigh sebagai PM berbanding Anwar Ibrahim. Nampak seperti ada perpecahan dalam Pas tetapi sebenarnya ia menunjukkan ruang untuk menyuarakan pandangan dan berbincang sentiasa terbuka dalam parti itu.

Ketika pelancaran manifesto PR baru-baru ini, isu itu bergema lagi walaupun dari segi mood dan penerimaan umum dalam PR hampir bersetuju bahawa jawatan itu memang milik Anwar Ibrahim. Tetapi Anwar sendiri cuba berahsia mengenai perkara itu dengan mengatakan ia akan diputuskan kemudian secara konsensus antara Pas, Pkr dan DAP. Ia bukan suatu masalah bagi PR, tambah Anwar lagi.

Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu pula berkata, calon PM daripada PR sudah ada tetapi hanya akan diumumkan selepas keputusan pilihanraya diketahui. Sementara DAP pula berulangkali menyatakan bahawa calon PM dari PR ialah Anwar.

Sementara isu jawatan PM tidak menggugat semangat ahli dan penyokong PR untuk melakukan perubahan dalam pilihanraya akan datang, UMNO sebaliknya cuba menjadikan isu itu sebagai modal baru untuk menggugat keyakinan rakyat terhadap PR. PR dituduh tidak sepakat dalam banyak perkara, sehingga siapa bakal PM pun dikatakan gagal mencapai persefahaman.

Sejak sekian lama, PR secara umumnya sudah menerima Anwar ialah individu yang bakal mengisi jawatan PM jika mereka berjaya menumbangkan BN. Tanpa menafikan kewibawaann Haji Hadi dan tokoh-tokoh lain, tindakan PR meletakkan konsensus sebagai asas keputusan siapa bakal PM menunjukkan mereka bersikap terbuka dan matang.

Sementara itu, terdapat juga pihak dalam Pas yang mahukan calon PM mestilah datangnya daripada parti yang paling banyak memenangi kerusi dalam pilihanraya nanti. Meskipun jumlah pembahagian kerusi belum diputuskan tetapi DAP sudah membuat pengumuman bahawa mereka hanya bertanding antara 40 hingga 50 kerusi sahaja manakala selebihnya akan ditandingi oleh Pas dan Pkr.

Ini bermakna siapa bakal PM tetap Melayu Islam sama ada dari Pas atau Pkr. Ia tidak mungkin dari DAP. Soal Anwar atau Haji Hadi bukanlah persoalan besar kerana akhirnya ia akan diputuskan secara konsensus dan bersama antara ketiga-tiga parti itu. Inilah amalan PR. Ia sebenarnya sudah diamalkan PR dalam pilihanraya lalu. Khalid Ibrahim misalnya hanya diputuskan sebagai MB Selangor selepas keputusan pilihanraya diketahui dan ia tidak pernah disebut sebelum itu.

Dengan kemungkinan calon PM daripada Pas atau Pkr, Anwar atau Haji Hadi, ia secara tidak langsung berupaya merangsang kedua-dua parti untuk saling bekerja keras menumbangkan calon lawan masing-masing. Oleh kerana pilihanraya kali ini bakal menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara PR dengan BN, menjadikan jawatan PM masih terbuka untuk diperbincangkan sebenarnya mampu menghasilkan gerak kerja yang lebih mantap dan berkualiti kepada pas dan Pkr bagi menumbangkan calon BN.

Tidak seperti BN yang mana jawatan PM diperuntukkan kepada UMNO sahaja, di dalam PR ia seperti masih terbuka kerana terdapat dua parti Melayu di dalamnya iaitu Pas dan Pkr. Walaupun jika BN menang, calon PM mesti daripada UMNO tetapi belum pasti juga Najib adalah orangnya. Jika menang cemerlang, mungkin Najib tidak tergugat tetapi jika kemenangan kurang daripada 140 kerusi, mungkin tidak sampai 24 jam selepas keputusan diumumkan, sudah timbul desakan yang mahu Najib meletak jawatan.

Oleh kerana Najib juga belum pasti kekal sebagai PM walaupun BN menang, apalah peliknya pula jika Anwar juga belum pasti menjadi PM andainya PR dapat menawan Putrajaya. Ia tidak ada beza sama-sekali. Yang penting dalam pilihanraya nanti, mereka mesti berupaya menghasilkan keputusan yang terbaik untuk parti masing-masing dan kemudian memilih siapa PM secara konsensus.

Pemilihan PM secara konsensus ini jauh lebih baik berbanding apa yang diamalkan UMNO dan BN yang dengan mudah menyingkirkan pemimpin sendiri hanya kerana keputusan prestasi buruk yang dicapai. Najib pastinya bakal mengulangi sejarah Pak Lah jika sekadar mampu memberi kemenangan "cukup makan" buat BN.

Dengan jawatan PM masih terbuka, Pas dan Pkr pastinya akan saling berlumba-lumba dan bekerja kuat bagi memastikan kemenangan calon parti masing-masing. Hanya selepas kemenangan dicapai, barulah dibincangkan siapa yang patut menjadi PM. Ia mungkin Anwar, mungkin Haji Hadi dan mungkin tokoh lain daripada itu. Namun penegasan kedua-dua parti untuk saling menjaga kepentingan Melayu dan Islam tentunya merupakan pertimbangan yang membanggakan kerana dalam mengejar kuasa, prinsip menjaga agama dan bangsa tidak sesekali diabaikan.

Barangkali itulah muslihatnya jawatan PM itu secara tiba-tiba menjadi terbuka dan hanya diputuskan setelah keputusan pilihanraya diketahui. (SH 27/02/2013)

1 comment:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...