Saturday, 16 February 2013

Memang Tidak Mustahil BN Boleh Menang PRU 13 Jika...


Sementara tarikh pilihanraya masih menjadi teka-teki kepada semua orang, keupayaan BN memenangi pilihanraya akan datang ini juga masih menjdi misteri. Ada yang yakin menang tetapi tidak kurang yang merasakan BN akan kecundang. Segelintir yang lain percaya hanya kemenangan tipis yang mampu dicapai BN dan Najib akan dipaksa berundur berikutan prestasi buruk itu.

Namun jika ditanya kepada Ahmad Maslan, Ketua Penerangan UMNO, keyakinannya ialah BN akan menang dua pertiga kali ini. Hujahnya ialah Najib seorang pemimpin super hebat yang sarat dengan pelbagai transformasi telah menyebabkan pengundi akan kembali memberi sokongan padu kepada BN. Woww! Bagi Ahmad Maslan, isu Rosmah, isu Altantuya, isu rasuah dan kekayaan anak isteri Najib serta pelbagai perkara yang dibangkitkan Deepak seolah-olah hanyalah isu kecil yang mampu ditutup oleh perwatakan serta kepimpinan bosnya, Najib yang super hebat itu.

Kemenangan dua pertiga sebenarnya begitu sinonim dengan BN. Pemimpin yang gagal berbuat demikian biasanya akan diterajang keluar. Tunku Abdul Rahman pada 1969 dan Pak Lah pada 2008 adalah buktinya. Mahathir pula walaupun begitu buruk kepimpinannya tetapi kerana sentiasa menang dua pertiga, telah menyebabkan kedudukannya tidak tergugat. Jika Mahathir pun gagal mendapat dua pertiga, misalnya dalam pilihanraya getir 1990 atau 1999 yang dilaluinya, tidak mustahil beliau juga tidak mampu kekal selama 22 tahun sebagai Perdana Menteri.

Najib amat memahami situasi ini. Sebab itu beliau mahu menang dua pertiga. Alasannya ialah untuk mewujudkan sebuah kerajaan yang kuat dan boleh berkhidmat lebih baik kepada rakyat. Tetapi sebenarnya Najib amat takut beliau juga bakal dihalau keluar dari singgahsana UMNO jika gagal mencapai dua pertiga. Beliau dan Rosmah belum puas lagi menghuni Seri Perdana.

Untuk berkhidmat dengan baik kepada rakyat tidak memerlukan dua pertiga. Banyak negara di dunia yang kerajaannya hanya menang tipis dan kerajaan sering bertukar ganti tetapi rakyatnya tetap sejahtara dan dibela dengan baik. Great Britian tiada majoriti dua pertiga, Jepun dan Thailand pula pimpinan kerajaannya selalu bertukar tetapi rakyat mereka lebih maju dan selesa daripada kita.

Hanya Malaysia yang menggunakan hujah dua pertiga sebagai sandaran untuk memberi kesejahteraan kepada rakyat walaupun hakikatnya kerajaan yang terlalu kuat dan autoktarik sebenarnya lebih cenderung menjadi gila kuasa, perasuah dan lupa diri.

Dengan pelbagai isu yang timbul telah menyebabkan penolakan rakyat makin ketara di mana-mana. Pengundi Cina nampaknya kekal mahu berubah, begitu juga pengundi muda dan mereka yang celik IT. Pautan UMNO dan BN hanya bergantung kepada golongan tua di luar bandar serta wanita dewasa saja.

Salah satu sebab Najib menangguh tarikh pilihanraya ialah kerana beliau masih was-was dengan kemenangan dua pertiga yang dikhabarkan ke telinganya. Selain Ahmad Maslan, JASA dan BTN juga dikhabarkan memberitahu Najib kemenangan dua pertiga itu boleh dicapai kali ini. Tetapi Najib nampaknya antara percaya dengan tidak dengan nyanyian itu. Beliau mungkin ada maklumat lain yang melaporkan sebaliknya.

Jika Najib sendiri yakin dengan kemenangan dua pertiga, pasti sudah lama beliau membubarkan Parlimen. Beliau tidak mungkin menunggu sehingga ke tarikh akhir seperti sekarang ini. Selain penolakan rakyat makin ketara terhadap UMNO dan BN yang terpamer di mana-mana, populariti Najib juga makin merosot hasil beberapa kajian yang dilakukan. Barangkali ini yang merisaukan Najib.

Tetapi kini terdapat laporan sebagaimana yang tersiar dalam Malaysian Insider bahawa BN boleh menang hingga 145 kerusi, suatu keputusan yang lebih baik daripada 2008 namun masih tidak melepasi garisan dua pertiga. Untuk menang dua pertiga, BN mesti menang sekurang-kurangnya 148 kerusi daripada 222 kerusi Parlimen yang dipertandingkan.

Keyakinan memenangi 145 kerusi itu ialah bersandarkan kemampuan memenangi semula beberapa kerusi yang BN tewas dalam 2008 lalu seperti Parit Buntar, Bukit Gantang dan Kuala Selangor.

Mungkin ada yang setuju dan ramai pula yang tidak setuju dengan laporan 145 kerusi yang mampu dicapai BN itu. Walaupun penolakan rakyat dilihat makin ketara dan angin perubahan juga bertiup di mana-mana, hakikatnya laporan yang mengatakan BN masih boleh menang sama ada tipis atau sehingga 145, sebenarnya bukanlah sesuatu yang mustahil.

Ini mengingatkan saya dengan perbualan dengan seorang bekas menteri UMNO beberapa bulan lalu. Beliau tanpa berselindung merasakan BN masih boleh menang dalam pilihanraya kali ini bersandarkan dua perkara yang masih memihak kepada BN iaitu kuasa menggunakan jentera-jentera kerajaan dan wang ringgit bertimbun yang dimilikinya.

Dengan menghadapi pilihanraya sebagai kerajaan, BN memiliki kelebihan kerana jentera kerajaan berada di pihaknya. Selain SPR, polis dan pelbagai jentera kerajaan lain yang boleh dimanfaatkan sepenuhnya semasa kempen pilihanraya, BN juga memiliki jentera rangkaian media dan propaganda yang turut berpihak kepadanya seperti TV, radio, akhbar, Jabatan Penerangan, Kemas dan sebagainya.

Melalui pemilikan semua jentera ini, tidak syak lagi BN mempunyai kelebihan berbanding PR.

Kelebihan kedua yang dimiliki oleh BN ialah wang. Sebagai kerajaan yang masih berkuasa, BN lebih mudah mengumpul wang berbanding PR untuk menghadapi pilihanraya akan datang ini. Pemberian beberapa projek besar dan penswastaan kepada tokoh korporat tertentu seperti Syed Mokhtar Albukhary dipercayai oleh banyak pihak sebagai langkah untuk mengumpul dana pilihanraya bagi kepentingan BN. Tauke-tauke lain yang diberikan projek kerajaan juga pasti bersikap murah hati membalas budi kerajaan dengan turut menyumbang dana untuk BN dalam pilihanraya ini.

Dengan pelbagai projek besar yang diumumkan Najib yang melibatkan pelabur dalam dan luar negara, tidak menjadi kemusykilan dana besar mampu dihimpun BN bagi digunakan untuk memenangi pilihanraya.

Melalui kelebihan tunai itu, BN bukan saja mempunyai kelebihan mengatur pelbagai program, mempelbagai dan menguatkan jentera parti, malah juga mempunyai kelebihan untuk membeli undi. Walaupun rakyat sudah diberi BRIM RM500 dan RM250 dan bantuan persekolahan RM100 kepada pelajar sekolah yang dipaksa ibubapa menerimanya, jika rakyat diberi lagi segumpal tunai menjelang hari pengundian, tidaklah mustahil kecondongan pengundi akan lebih memihak kepada BN.

Walapun rasuah dan suapan dibenci serta diharamkan oleh agama tetapi ramai juga yang tidak geli bila duit masuk ke poket. Babi yang sama haram seperti rasuah dianggap geli kerana masuk melalui tekak tetapi duit hasil babi tidak sama gelinya bagi sesetengah orang kerana ia hanya masuk melalui poket dan tidak menjejaskan tekak.

Kerana itu duit memang boleh mempengaruhi manusia dalam membuat keputusan walaupun ia rasuah dan haram disisi agama.

Bersandarkan dua faktor yang pernah disebutkan oleh bekas menteri itu dan tersebarnya laporan BN mampu menang sehingga 145 kerusi Parlimen, keupayaan BN mencapai kemenangan yang diidamkan itu bagaimanapun akhirnya terletak di tangan Najib sendiri iaitu sama ada beliau seorang yang betul-betul berani menggunakan kuasa atau sebaliknya.

Jika Najib berani dan pandai menggunakan kuasa serta memanfaatkan dua kelebihan yang dimilikinya iaitu jentera kerajaan dan wang tunai itu, tidak mustahil beliau mampu mengekalkan kuasa BN lagi dan menahan kemaraan rakyat. Masih ramai rakyat yang miskin dan bergantung kepada kerajaan mungkin memberi kelebihan atas perkara ini. Kemampuan Mahathir bertahan selama 22 tahun ialah kerana beliau pandai dan berani menggunakan kuasa, walau apa sekalipun orang bercakap mengenainya. Dunia menempelaknya pun tidak dihiraukannya.

Soalnya ialah sama ada Najib seorang yang berani dan pandai menggunakan kuasa seperti Mahathir? Tidak lama sebelum ini Mahathir pernah mengkritik Najib kerana takut menggunakan kuasa sehingga kerajaan lemah yang diwarisinya menjadi bertambah lemah hari demi hari.

Sudahkah Najib menjadi pandai dan berani menggunakan kuasa atau mungkinkah Mahathir akan mengajar beliau cara-cara menjadi berani menggunakan kuasa sepertinya? (SH 16/02/2013)






























Tetapi

2 comments:

  1. RAKYAT TIDAK LAGI BOLEH DIPERBODOHKAN. BUKTINYA DI PENANG BARU2 NI. WALAUPUN DISOGOK DGN HIBURAN PERCUMA, RAKYAT TERANG2 TETAP MENOLAK BN. ARE YOU READY FOR BN?? ... NOOOOOOOOOOOOOO !!!

    ReplyDelete
  2. Tuan,

    Saya merasakan bahawa UMNO/BN kalau menangpun dalam PRU 13 ini akan menang tipis sahaja. Inipun setelah SPR dan JPN berhempas pulas pelbagai cara untuk menambahkan bilangan undi untuk UMNO/BN.

    Sebenarnya UMNO/BN boleh menang dengan majoriti 2/3 dengan cara menipu. Tetapi UMNO terutamanya tentu bersikap realistik dengan keadaan di serata negara yang tidak memihak kepada mereka. Keputusan kemenangan majoriti 2/3 adalah sesuatu yang tidak munasabah untuk diterima oleh rakyat.

    Sebenarnya kemenangan yang tipis jika boleh dicapai oleh UMNO/BN kali ini adalah satu "keajaiban" kerana kemana kita pergi persepsi tidak memihak kepada UMNO/BN.

    Insiden Najib ditolak dengan jawapan "NO" semasa konsert CNY di Penang Ahahd lalu adalah satu petunjuk jalan atau milestone yang penting dan mempunyai implikasi yang besar. Pada saya ia adalah satu suntikan semangat kepada rakyat di tempat-tempat lain untuk lebih berani tampil untuk menolak UMNO/BN hatta di kalangan orang melayu.

    Sikap yang ditunjukkan oleh orang penang itu juga memberi gambaran bagaimana reaksi rakyat di kawasan bandar dan semi-bandar apabila UMNO/BN menang dimana-mana kerusi yang dipertandingkan dalam PRU 13 dalam keadaan yang tidak logik. Yang pasti, pengundi-pengundi di Selangor akan menjadi selantang orang penang tempohari apabila UMNO/BN menang di kawasan-kawasan yang mereka tak mungkin menang dimana kemenangan tersebut adalah disebabkan oleh pertambahan pengundi yang luar biasa yang semua orang sudah tahu.

    Bercakap pasal Selangor, UMNO/BN sepatutnya gusar dengan perkembangan dan pengaruh yang dibangkitkan oleh insiden di penang ahad lepas. Tambahan pula Kerajaan Negeri Selangor sudah pun membuat bancian terperinci tentang pertambahan mendadak pengundi-pengundi Selangor untuk PRU 13 nanti. UMNO/BN tidak tahu selengkap mana maklumat-maklumat yang kerajaan negeri Selangor ada. Kelazimannya, maklumat-maklumat memang lengkap kerana mereka terbukti cekap dalam pelbagai perkara. Setakat ini UMNO/BN negeri Selangor tidak mampu menandingi kecekapan mereka.

    bat8

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...