Friday, 22 February 2013
PI Bala Kembali Untuk Memberi Bala Kepada Najib
Najib dikhabarkan akan membubarkan Parlimen hari ini, 22 Februari atau selewat-lewatnya Isnin depan bagi membolehkan PRU 13 diadakan pada cuti persekolahan selama seminggu yang bermula 23 Mac depan. Tidak dipastikan bagaimana khabar angin ini muncul dan sebegitu ramai orang bercakap mengenainya. Tetapi sehingga ini belum ada kesahihan tentang khabar angin itu. Tidak dipastikan lagi sama ada Parlimen jadi dibubarkan atau tidak.
Namun disebalik bertiup kencangnya khabar angin mengenai tarikh pilihanraya itu, tiba-tiba muncul berita mengenai penyiasat persendirian yang membuat dua akuan bersumpah berbeza dalam kes pembunuhan Altantuya, Balasubramanian atau PI Bala yang dikhabarkan akan kembali menetap di Malaysia mulai Ahad ini setelah menjadi pelarian selama beberapa tahun di India.
Beliau bukan kembali dengan tangan kosong kali ini. Beliau kembali dengan hati dan perasaan untuk turut sama menumbangkan BN dan menjatuhkan Najib. Bala dalam emailnya kepada Malaysiakini memberitahu, selepas kembali nanti beliau akan menjelajah ke seluruh negara bagi membantu PR memenangi pilihanraya akan datang ini.
Sambil mengharapkan kepulangannya tidak menghadapi apa-apa masalah dengan Imigresen, Bala kelihatan mempunyai kesungguhan untuk bekerja keras menjatuhkan Najib yang selama ini dianggap menganiayanya dalam isu akaun bersumpah itu. Beliau mahu membalas penganiayaan itu dengan kejatuhan BN.
Mungkin dalam jelajahnya nanti, Bala akan menceritakan bagaimana beliau dipaksa menafikan akaun bersumpah pertamanya yang mengaitkan Najib dalam kes pembunuhan model Mongolia, Altantuya dan kemudian membuat akaun bersumpah kedua yang menafikan pula penglibatan Najib dalam kes itu.
Tidak mustahil juga Bala akan menceritakan siapa yang ditemuinya dalam proses membuat akaun bersumpah itu, siapa yang merangka akuan tersebut, siapa yang membayarnya dan berapa jumlahnya serta pelbagai perkara berkaitan yang menjadi persoalan ramai selama ini.
Jika ini benar-benar berlaku nanti, Najib mungkin mungkin sesak nafas dibuatnya. Rambutnya pula mungkin luruh sama. Di ketika pilihanraya makin hampir dan tidak boleh ditangguh lagi, timbulnya isu-isu sebegini tentulah benar-benar menyesakkan dada Perdana Menteri.
Sebelum ini, Deepak telah membuat pelbagai siri pendedahan mengenai Najib dan Rosmah yang turut membuatkan Najib bertambah pening kepala dan dipercayai tarikh pembubaran Parlimen terus ditangguh adalah kerana munculnya isu Deepak sejak beberapa bulan lalu.
Kini selepas Deepak menyusahkan Najib, giliran Bala pula menyusahkannya. Sekali imbas, kemunculan Bala tidak jauh berbeza kesannya kepada Najib dalam menghadapi pilihanraya dan mengharapkan sokongan rakyat. Pelbagai transformasi, janji, gula-gula, pemberian BR1M dan sebagainya mungkin tidak mampu menampung kemerosotan sokongan yang bakal diterima Najib dan BN berikutan munculnya Deepak sebelum ini dan Bala pula sekarang ini.
Dengan kemunculan Bala secara tiba-tiba ini, tidak mustahil Najib akan menangguh lagi tarikh pilihanraya. Mengadakan pilihanraya di ketika semua orang masih terpukau mendengar cerita dan pendedahan Bala, mungkin merupakan tindakan sengaja menempah maut dan mengundang bala.
Dengan isu Deepak yang masih tidak terjawab, muncul pula Bala, harapan Najib untuk mempertahankan kuasa Perdana Menterinya mungkin bertambah sukar. Rakyat akan menilai Najib sebagai pemimpin yang terlalu banyak masalah peribadi dan tidak layak lagi tinggal lebih lama di Seri Perdana.
Tetapi untuk menangguh tarikh pilihanraya pula, tempohnya tidak banyak lagi. Sehingga 28 April, Parlimen mesti dibubarkan atau ia akan terbubar dengan sendirinya selepas tarikh itu.
Jika ada kuasa ajaib yang membolehkannya menangguhkan lagi tarikh pilihanraya, mungkin perkara itulah yang menjadi keutamaan Najib dalam sehari dua ini. Tetapi beliau tidak ada lampu Aladdin atau Superman yang boleh membantunya. Disisinya hanya ada Rosmah, isteri kesayangannya dan Mahathir yang mungkin boleh memberi nasihat serta bantuan.
Namun, kedua-dua mereka itu kadangkala lebih menjadi beban daripada menjadi aset kepadanya. Timbalannya, Muhyiddin pula hanya menunggu masa andainya BN menang tipis untuk memulakan silat dan menyingkirkan Najib daripada Seri Perdana.
Bala kembali dalam waktu yang sesuai untuk memberi bala kepada Najib. (SH 22/02/2013)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Bala membawa bala, cantik sekali........
ReplyDeletemcm2 prkara blaku d msia... itu la akibatnya bila asyik berpolitik spnjg msa
ReplyDelete