Tuesday 14 February 2012

Undang-Undang Baru Ganti ISA Ditangguh?

Ketika sambutan Hari Malaysia 16 Setember tahun lalu, Najib telah mengumumkan beberapa pemansuhan undang-undang negara dalam usaha menjadikan negara lebih dinamik dan sesuai dengan tuntutan semasa. Antaranya ialah memansuhkan ISA atau Akta Keselamatan Dalam Negeri dan akan digantikan dengan dua rang undang-undang baru untuk tujuan menangani aktiviti yang berkaitan terrorisme.

Undang-undang lain yang turut dimansuhkan ialah Ordinan Darurat, Akta Kediaman Terhad dan Buang Daerah.

Meskipun penerimaan rakyat terhadap langkah Najib berkaitan ISA itu agak berbelah bagi tetapi secara umumnya kehendak rakyat dalam rang undang-undang baru yang dirangka bagi menggantikan ISA itu mestilah lebih menjamin hak asasi manusia dengan tiada penahanan tanpa bicara, tiada penahanan berunsur politik dan kuasa menteri yang tidak terlalu luas yang memungknkan ia disalahguna akhirnya.

Mengikut perancangan, undang-undang baru itu yang dikatakan mirip dengan undang-undang anti keganasan Amerika Syarikat, akan dibentangkan di Parlimen Mac ini untuk bacaan, perbahasan dan seterusnya kelulusan.

Bagaimanapun difahamkan Menteri Dalam Negeri, Hishammuddin Tun Hussein agak keberatan untuk membentangkannya pada sessi Parlimen Mac ini setelah beliau membaca draf yang disediakan oleh kakitangan Kementerian Dalam Negeri. Ini kerana masih terdapat beberapa eleman dalam draf undang-undang baru itu yang menyerupai beberapa peruntukan dalam ISA yang dipertikaikan rakyat selama ini.

Hishammuddin difahamkan bimbang kiranya rang undang-undang itu dibentangkan juga, ia pasti akan memberi kesan buruk kepada kerajaan dan seterusnya memberi harapan tipis kepada UMNO dan BN untuk menang dalam pilihanraya kiranya ianya dipertikaikan rakyat dan seterusnya menjadi polemik yang berpanjangan.

Sehingga ini belum ada kepastian sama ada draf itu akan dipinda lagi atau hanya akan dibentangkan selepas PRU 13 nanti. Dilema kerajaan ialah kiranya draf undang-undang itu dipinda semula dan menjadi terlalu longgar, dibimbangi ia tidak cukup berkesan untuk menangani aktiviti keganasan yang semakin mencabar kebelakangan ini.

Tetapi kiranya pembentangan draf itu dilewatkan sehingga selepas PRU 13 (itu pun kalau BN terus berkuasa), kebimbangan paling utama ialah ia akan menyebabkan Najib dianggap sebagai "pembohong" oleh rakyat kerana telah berjanji sebelum ini bahawa ia akan dibentangkan di Parlimen Mac tahun ini. Jika demikian tanggapan rakyat terhadap pembaharuan Najib, ia pasti memberi kesan besar kepada keputusan piihanraya nanti.

Hishammuddin difahamkan sudah memberitahu Najib tentang perkara itu dan penelitian peringkat tertinggi sedang difikirkan untuk menyelesaikan masalah itu.

Kiranya draf yang sudah siap sekarang akhirnya diputuskan untuk dibentangkan juga dengan kebanyakannya meniru kandungan undang-undang anti keganasan yang digunapakai oleh Amerika Syarikat, maka pemansuhan ISA yang dijanjikan Najib kononnya untuk menjadikan Malaysia lebih dinamik dan maju ke hadapan, hanya tinggal omong kosong sahaja.

Ini kerana dengan beberapa elemen yang lebih ketat dan keras dalam draf undang-undang baru itu, ia seperti mengesahkan tanggapan ramai sebelum ini bahawa "Najib memansuhkan satu ISA tetapi sebenarnya berhasrat mewujudkan dua ISA". (SH 14/02/2012)

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...