Saturday, 11 February 2012

Adakah Najib Seorang Yang Sentiasa Dan Semulajadi Bersifat Pemurah?

Sejak penghujung tahun lalu, Najib bersifat begitu pemurah kepada rakyat Malaysia. Bermula dengan pengumuman dalam Belanjawan 2012 di mana beliau memberikan bantuan RM100 kepada setiap pelajar sekolah, RM200 berupa baucer buku kepada pelajar universiti dan bantuan RM500 kepada setiap isi rumah yang berpendapatan RM3000 dan ke bawah, Najib juga kerap menghulurkan pelbagai jenis bantuan dalam bentuk wang tunai kepada pelbagai jenis institusi dan kelompok masyarakat.

Dalam lawatannya ke Perak, beliau telah menghulurkan RM500 ribu kepada sebuah masjid, di Wilayah pula sebuah sekolah Cina diberikan sumbangan RM2 juta dan baru-baru ini ketika menghadiri perayaan Thaipusam di Batu Caves, Najib terus dengan pemurahnya bilamana menyumbangkan RM1.5 juta untuk pusat kebudayaan kaum India di situ.

Dengan jadualnya yang semakin padat melawat ke negeri-negeri dan bertemu rakyat, adalah dipercayai Najib akan menyumbang lagi beberapa ratus ribu atau juta kepada kelompok-kelompok masyarakat yang ditemui dan dilawatinya.

Tiba-tiba sahaja Najib menjadi begitu pemurah kepada rakyat Malaysia dari pelbagai kaum. Ke mana saja beliau berkunjung, akan sering diselitkan dengan pemberian pelbagai jenis bantuan dan pemberian wang. Kalau dulu setiap kali menjelang piliharaya, Perdana Menteri atau pemimpin kerajaan hanya menawarkan pelbagai jenis janji pembangunan seperti sekolah, jalanraya, dewan orangramai, bekalan air dan api serta pelbagai jenis infrastruktur lain yang memberi kemudahan jangka panjang kepada orangramai, Najib kelihatannya lebih "advance" dan melakukan anjakan paradigma dengan melakukan pemberian dalam bentuk tunai pula.

Ini sekaligus menjadikan amalan politik untuk meraih undi turut berubah daripada "politik pembangunan" kepada "politik ala santa claus" di bawah kepimpinan Najib.

Memang diakui bahawa sebagai Perdana Menteri dan ketua kerajaan, tiada undang-undang yang boleh melarang seseorang pemimpin yang sedang mengetuai kerajaan daripada menawarkan pelbagai jenis projek pembangunan atau bantuan sepertimana yang biasa berlaku sejak dulu tetapi pemberian dalam bentuk tunai sepertimana yang dilakukan oleh Najib melalui pemberian RM100, RM200 dan RM500 adalah tidak baik dari sudut moral dan perkembangan generasi masa depan yang sihat.

Di ketika kita ingin membanteras budaya rasuah, menyogok, memberi wang pelincir, memberi duit bawah meja dan sebagainya, Najib sebalikya seperti menggalakkannya pula.

Sikap pemurah Najib yang begitu mendadak ini nampaknya tidak lain kerana pilihanaraya. Sebelum ini beliau begitu "mendera" rakyat dengan pemotongan pelbagai jenis subsidi sehingga gula dinaikkan empat kali sejak 2009, minyak dan gas dinaikkan tidak kurang lima kali, kenaikan tarif letrik, harga setem, minyak masak, tepung serta bonus kakitangan kerajaan tidak diberi pada 2009 dan 2010, menyebabkan ramai rakyat hidup agak tertekan.

Kenaikan pelbagai jenis harga barang begitu meresahkan rakyat. Mereka mengeluh dan merintih, malah ada yang sampai melakukan protes tetapi semuanya tidak dipedulikan. Malah suatu ketika, Najib menyebut bahawa pemotongan subsidi dilakukan kerana ketidakmampuan kerajaan menanggung beban yang banyak setiap tahun dan untuk mengelakkan negara bankrap seperti Greece.

Tetapi menjelang pilihanraya ini, mintalah apa saja. Dengan mengamalkan budaya "politik santa claus" ini, Najib akan memberi apa saja yang diminta.

Namun dengan sikap Najib yang tiba-tiba bersikap pemurah ini memberi gambaran bahawa ianya dilakukan tidak ikhlas dan semata-mata untuk menang pilihanraya saja. Sikap pemurah sebenarnya bukanlah sifat semulajadi Najib. Tetapi pemberian dan umpanan dalam bentuk tunai yang diberikannya kepada rakyat itu hanya memperlihatkan bahawa Najib hanya tahu "kaedah membeli untuk mendapatkan sesuatu".

Tidak adakah kaedah lain untuk menolong rakyat selain memberi RM500 untuk orang miskin, RM200 untuk pelajar universiti dan RM100 untuk budak-budak sekolah? Kenapa diberi dalam bentuk tunai? Bukankah ia mirip rasuah saja?

Selain itu jika Najib ikhlas juga ingin membantu rakyat dan begitu prihatin sehingga kepada budah-budak sekolah sekalipun, kenapa semua bentuk pemberian itu tidak dijadikan suatu pemberian yang tetap setiap tahun. Kenapa hanya tahun ini diberikan dan waktu dekat pilihanraya saja tetapi tiada jaminan akan terus diberi tahun hadapan?

Kalaulah kaedah pemberian dalam bentuk tunai ini berjaya memberi kemenangan kepada BN dalam pilihanraya akan datang, dibimbangi tahun depan dan tahun-tahun seterusnya ia tidak akan diberikan lagi. Ia hanya akan diberikan lima tahun lagi dan menjadi agenda tetap menjelang pilihanraya saja. Pastinya Najib akan memberikan pelbagai alasan seperti ketidakmampuan dan kekangan kewangan kerajaan untuk menghalalkan keputusan tidak lagi memberikan bantuan itu pada tahun-tahun mendatang.

Dan jika RM500 itu pula hanya diberikan lima tahun sekaii, bermakna nilainya setahun hanya RM100 sahaja dan apalah yang boleh dibeli dengan nilai itu untuk belanja setahun. Ada juga yang memperlekeh kerajaan BN kerana hanya mampu memberikan RM500 setelah lebih 50 tahun memerintah. Pelbagai momokan lain juga kedengaran, bukan saja berkaitan BR1M bernilai RM500 itu tetapi juga pemberian RM100 dan RM200 turut dijadikan bahan persendaan. Tetapi inilah stail politik Najib, beliau hanya tahu membeli untuk mendapatkan sesuatu yang dihajatinya.

Najib seperti berkeyakinan bahawa wang sebanyak yang diberikannya itu mampu mengubah hati rakyat. Mungkin ada yang terpengaruh tetapi melihat kepada meluasnya momokan dan persendaan terhadap langkah yang dilakukan Najib itu, tidak mustahil rakyat beranggapan "duit mereka ambil tapi undi tidak akan diberi".

Rakyat tahu bahana yang menunggu jika kerana RM500 itu mampu memberi kemenangan selesa kepada Najib dan BN. Rakyat juga semakin cerdik menilai bahawa jika mereka menggunakan undi mereka dengan bijaksana dan tidak semata-mata gelap mata dengan pujukan serendah RM500 itu, mereka akan memperolehi pelbagai kemudahan dan faedah lain dalam bentuk jangka panjang daripada kerajaan yang memerintah nanti.

Kiranya rakyat dapat menilai dari sudut keikhlasan Najib disebalik semua pemberian itu dan menyedari bahawa ia juga tidak menggambarkan sifat semulajadinya yang pemurah dan mementingkan kebajikan rakyat kerana sebelum ini beliau mempersenda konsep negara kebajikan yang mahu dibawa oleh PAS dan Pakatan Rakyat, sebaliknya hanya memilih jalan singkat untuk memancing undi, tidak syak lagi Najib tidak memperolehi apa-apa keuntungan daripadanya. Malahan mungkin beliau akan dihukum lebih teruk oleh rakyat. (SH 11/02/2012).

1 comment:

  1. Bukan Najib sahaja yang pemurah. Saya belajar di Australia. Di sini contohnya, rakyatnya menerima pelbagai elaun dari kerajaan contohnya schoolkid allowance, youth allowance, baby bonus dan banyak lagi. Ia sebagai membantu rakyat yang memerlukan

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...