Setelah kita dihebohkan dengan berita-berita kurang enak mengenai isteri Perdana Menteri, Dr. Rosmah Mansor sejak sekian lama, mutakhir ini menyusul pula berita yang agak mengagumkan mengenai beliau. Baru-baru ini beliau dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah oleh Universiti Curtin, Australia dan diberikan Anugerah Wanita Peneraju Kebajikan Asia oleh NASEBA atas pelbagai sumbangannya dalam dunia kebajikan selama ini.
Perkasa yang dipimpin oleh Ibrahim Ali juga turut memberikan gelaran Serikandi kepada Rosmah atas ketabahannya menghadapi pelbagai cabaran, fitnah serta tohmahan daripada pelbagai pihak. Gelaran ini diberikan dalam sebuah majlis makan malam yang turut dihadiri Rosmah, baru-baru ini.
Sejak Najib mengambil alih kepimpinan UMNO dan kerajaan, nama Rosmah dilihat sama naik dengan suaminya. Permata yang ditubuhkannya telah menimbulkan kegemparan kepada rakyat berikutan tindakan Najib memberikan bajet yang besar kepada Permata dalam dua belanjawan iaitu 2009 dan 2010 yang dibentangkannya di Parlimen.
Beliau bukan sahaja menjadikan Permata begitu aktif dan diperkatakan tetapi keaktifannya dalam pelbagai program lain seperti berkempen dalam pilihanraya kecil turut mencetuskan fenomena baru dalam politik negara. Ia sesuatu yang janggal sebelum ini tetapi Rosmah telah membuka laluan baru mengenainya.
Tidak cukup bergelar isteri Perdana Menteri, beliau mahu digelar pula Wanita Pertama Malaysia meskipun hakikatnya gelaran itu tidak terpakai dalam sistem pemerintahan demokrasi berparlimen seperti Malaysia. Gelaran Wanita Pertama biasanya hanya digunakan untuk negara repuplik. Najib kemudiannya terpaksa menjawab di Parlimen bahawa gelaran Wanita Pertama yang digunakan oleh isterinya adalah dibenarkan kerana ia tidak mengatasi status dan kedudukan Raja Permaisuri Agong yang sepatutnya merupakan wanita berstatus palng tinggi dalam negara.
Tidak cukup dengan itu, Rosmah juga kemudian mengadakan Sidang Puncak Wanita-Wanita Pertama Dunia di Kuala Lumpur serta banyak melakukan lawatan ke luar negara menggunakan bajet kerajaan dengan membawa sama isteri-isteri menteri mengiringinya. Sudah tentu isu perbelanjaan mengenainya dibangkit dan diperkatakan oleh rakyat dari pelbagai peringkat.
Berselang-seli dengan itu, pelbagai pendedahan mengenai perbelanjaan, kemewahan dan pemborosan Rosmah didedahkan media satu persatu dan ini menjadikan namanya sentiasa basah dibibir hampir setiap rakyat negara ini. Dari pakaian, hiasan, permata, cincin, gelang, beg tangan, kos penginapan bilik hotel dan sebagainya didedahkan satu demi satu dan semua ini menjadikan beliau terus popular serta diperbualkan.
Sesuatu yang mengagumkan tentang Rosmah ialah beliau tidak peduli tentang semua cakap-cakap orang mengenainya. Beliau tetap terus dengan agendanya, kalau dia mahu menonjol diri, dia akan terus menonjol diri, kalau dia mahu bershopping sakan, dia juga akan terus berbuat demikian. Kalau dia mahu bercuti mewah, dia tetap juga bercuti mewah di Dubai, Australia, Monaco dan sebagainya. Ketidakpeduliannya terhadap cakap-cakap orang amat mengagumkan dan luar biasa.
Di sudut yang lain, harus diakui Rosmah juga mempunyai stamina dan gaya hidup yang berbeza berbanding isteri-isteri Perdana Menteri sebelum ini. Beliau nampaknya tidak mahu sekadar menjadi peneman suami di acara-acara rasmi atau mempunyai rutin menghantar dan menyambut di muka pintu setiap kali Najib pergi dan pulang dari pejabat. Beliau mahu lebih dari itu. Beliau mahu kelihatan berkuasa dan memiliki kuasa.
Penonjolannya yang ketara di khalayak ramai berbanding isteri-isteri Perdana Menteri sebelum ini adalah bertujuan ke arah itu. Dengan banyak memberi ucapan, melontarkan idea serta memberi pendapat di pelbagai acara dan kerapkali kali pula wajahnya muncul di media-media, secara langsung dan tidak langsung menjadikan beliau kelihatan penting dan berkuasa.
Dan Rosmah juga tidak menyembunyikan keghairahannya itu. Dia ternyata wanita yang suka kepada kuasa dan gembira bila khalayak menganggapnya demikian. Ramai pemimpin UMNO sendiri yang amat menghormati Rosmah berbanding rasa hormat terhadap menteri-menteri kabinet lain. Ramai pula yang cuba mendekatinya dan tunduk apabila bercakap atau berpeluang bersalam dengannya. Malahan terdapat mereka yang bersalam sambil mencium tangannya.
Ibrahim Ali, pengasas Perkasa yang lebih berusia daripada Rosmah pun bersalam mencium tangannya baru-baru ini. Nampaknya Ibrahim Ali yang mengasaskan Perkasa untuk memperjuangkan ketuanan Melayu turut tunduk kepada ketuanan Rosmah.
Dari wajahnya jelas terpamer kegembiran apabila dihormati, disanjung dan diperakui tentang kuasa yang ada adanya. Rosmah tidak pernah menolak sesiapa pun mahu mencium tangannya.
Oleh itu, melihat kepada kegigihan Rosmah muncul di khalayak ramai, ketidakpedualiannya terhadap cemuhan awam dan kesukaannya kepada kuasa, rasanya wajar untuk Najib memikirkan untuk meletakkan isterinya itu di kedudukan yang sesuai selepas pilihanraya nanti. Berilah peluang beliau bertanding dalam pilihanraya akan datang dan jika BN terus diberi mandat oleh rakyat, berilah juga jawatan menteri kepadanya.
Dengan kedudukan Shahrizat Jalil yang begitu nazak di mata rakyat berkaitan skandal NFC, Rosmah adalah calon yang sesuai diberikan jawatan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Kepimpinan Rosmah yang hebat mungkin boleh mengelakkan Wanita UMNO daripada berpecah dan lemah semangat kiranya Shahrizat tidak dipilih sebagai calon dalam pilihanraya nanti.
Dengan memberikan Rosmah kedudukan dalam kabinet, tiada lagi isu jika beliau rajin bertemu rakyat dan menjelajah ke serata pelosok dunia atas kapasiti menterinya. Isu perbelanjaan dan menggunakan bajet kerajaan juga tidak akan berbangkit lagi.
Ataupun beliau juga boleh dijadikan peneraju kepada mana-mana agensi kerajaan atau GLC bagi membolehkannya kerap bertemu rakyat, tampil bergaya dan menggunakan peruntukan kerajaan. Barangkali menjadi peneraju sayap pelaburan utama kerajaan iaitu Danaharta amat bersesuaian dengan Rosmah dan jika ini berlaku, beliau setaraf dengan isteri Perdana Menteri Singapura, Ho Ching yang mengetuai Temasik Holding, sayap pelaburan Singapura.
Jika Mahathir semasa menjadi Perdana Menteri hanya berjaya menjadikan anaknya Mokhzani sebagai Bendahari Pemuda UMNO Malaysia manakala Pak Lah pula hanya berjaya menjadikan menantunya Khairy Jamaluddin sebagai Ketua Pemuda UMNO dan Ahli Parlimen Rembau, kejayaan Najib meletakkan isterinya di tahap yang lebih tinggi daripada itu, pastinya ia sesuatu yang membanggakan rakyat Malaysia dan dikenang dalam lipatan sejarah sepanjang zaman.
Najib pastinya menyedari bakat kepimpinan dan keghairahan yang ada dalam diri isterinya itu. Mudah-mudahan disebaliknya merudumnya sokongan rakyat kepada UMNO dan BN berikutan pelbagai isu dan skandal yang bertali arus sejak sekian lama, dengan menguar-uarkan bahawa Rosmah adalah salah seorang "winnable candidate" dan akan dijadikan menteri selepas itu, ia berupaya menjadikan sokongan rakyat membuak-buak dan BN berjaya meraih kejayaan paling gemilang dalam sejarah pilihanraya negara ini, mengatasi pencapaian cemerlang pilihanraya tahun 2004 yang dianggap paling cemerlang setakat ini. (SH 23/02/2012).
Lantik sahaja BIB MAMA, gantikan Kak Izat, Kalau bebelanjan lebeh daripada budget sekurangnya ada Najis Atantuyya untuk TOP UP.LU TOLONG GUA , GUA TOLONG LU. 1 MALAYSIA
ReplyDelete