Tindakan Najib menghadiri sambutan Thaipusam di Batu Caves bersama jutaan penganut agama Hindu dengan berpakaian Kurta kuning baru-baru ini, yang kemudian disifatkan oleh Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria sebagai perbuatan yang menggadai akidah dan ke arah syirik, kini menjadi isu baru yang memalukan Najib dan umat Islam seluruhnya.
Jika mengikut pandangan Harussani itu bahawa nasihat mengenai perkara itu sudah diberikannya sebelum ini tetapi tidak didengari oleh Najib, jelas memberi gambaran bahawa Najib tahu tindakannya hadir ke Batu Caves itu adakah suatu yang salah dan bertentangan dengan kehendak agama.
Apakah semata-mata Najib memikirkan kepentingan politik dan undi yang mungkin boleh diperolehi bagi meneruskan tempoh hayat UMNO dan BN sebagai parti pemerintah, maka soal akidah dan pegangan hidup boleh diketepikan begitu saja?
Jika itulah pendirian dan mazhab politik yang cuba diamalkan oleh Najib, sebenarnya tidak ada apa-apa lagi yang boleh kita harapkan daripada Perdana Menteri Keenam ini? Ini kerana akidah dan pegangan hidup adalah nilai yang paling tinggi dalam kehidupan seseorang sebelum mereka mahu bercakap soal-soal lain seperti kepentingan keluarga, kasih sayang, membela rakyat, keharmonian, kekeluargaan, agama dan sebagainya.
Keikhlasan dan kejujuran seseorang akan segera diragui apabila pegangan agamanya tidak kuat dan mudah dipengaruhi oleh faktor-faktor lain yang bersifat sementara dan keduniaan.
Apa yang boleh kita rasakan sebagai orang Melayu dan Islam bila Najib dikata oleh mufti telah menggadai akidahnya ialah hanya perasaan sedih dan malu kerana mempunyai seorang Perdana Menteri yang begitu lemah iman sehingga sanggup tunduk kepada hal-hal sebegitu.
Di merata tempat dan di pelbagai kelompok masyarakat Melayu sekarang ini memperkatakan tentang tindakan Najib itu dan tidak ada satu pun kedengaran suara yang memuji dan menyokong beliau. Rata-rata sedih dan kecewa.
Dengan kesediaan Najib menggadaikan akidah (sebagaimana yang disebut oleh Harussani sendiri) kerana politik bermakna kebolehpercayaan rakyat terhadapnya dalam soal membantu rakyat dan memperjuangkan hak orang-orang Melayu dengan automatik terpadam sama sekali. Bagaimana kita mahu percaya Najib betul-betul serius mahu menolong rakyat dan memperjuangkan nasib masa depan Melayu sedangkan nilai paling tinggi yang ada dalam dirinya pun boleh ditolakansur dengan kepentingan lain untuk mendapatkan undi serta sokongan.
Adakah Najib berfikir bahawa nilai paling penting dalam hidup ini hanya semata-mata dapat mengekalkan jawatan Perdana Menterinya sahaja tanpa memikirkan bahawa ada kehidupan lain selepas kematian nanti?
Dalam hal ini umat Islam dan orang Melayu memang berhak berasa malu dengan tindakan Najib itu, lebih-lebih lagi beliau baru saja menunaikan haji di Mekah tahun lalu.
Dalam soal ini turut dipersoalkan ialah ke manakah perginya penasihat-penasihat agama di sekeliling beliau seperti Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Jamil Khir Baharom, timbalannya yang petah berbicara Mashitah Ibrahim, penasihat agama di Jabatan Perdana Menteri, Dr Abdullah Md Zain dan para mufti yang semuanya berkelulusan tinggi dalam bidang agama.
Turut ditanya ialah di manakah suara Dr Hasan Ali yang baru dipecat dari PAS yang kononnya salah satu asas perjuangannya ialah berkaitan dengan Islam dan murtad?
Adakah mereka takut menegur dan menasihati Najib kerana takut kehilangan jawatan dan kemewahan dunia yang dinikmati selama ini? Atau apakah mereka beranggapan oleh kerana Najib Perdana Menteri kepada semua kaum, maka dia berhak melakukan apa saja dan tidak perlu ditegur?
Kalau sebelum ini sebahagian daripada mereka ini begitu lantang bercakap dan mengkritik Anwar Ibrahim berkaitan isu pluralisme yang kononnya diucapkan oleh Anwar di sebuah persidangan di London, apakah tindakan Najib yang dianggap menggadaikan akidah ini hanya perkara remeh dan isu kecil oleh mereka berbanding pluralisme. Lebih-lebih lagi pluralisme yang dikaitkan dengan Anwar itu pula hanya tafsiran mereka sahaja dan Anwar sendiri sudah menjelaskan pendiriannya yang tidak bermaksud demikian. Ini berbeza dengan Najib yang terang lagi nyata hadir di Batu Caves bersama-sama kaum India sambil berpakaian Kurta dan sedia pula dikalungkan dengan bunga manggar paling besar. Dalam masa yang sama, ramai juga rakyat ingin melihat sesekali Najib berjubah dan berserban ketika ke masjid pada hari Jumaat.
Jika dalam isu pluralisme, Jamil Khir begitu lantang bersuara dan mahu menyiasatnya dan meluahkan pelbagai kecaman terhadap Anwar, tidak mahukah isu akidah Najib ini turut disiasat atau ditubuhkan sebuah jawatankuasa untuk menilai mengenainya pula.
Berbanding Anwar yang tampil berani menafikan ucapannya sebagai berunsur pluralisme, Najib sebaliknya memilih hanya berdiam diri dan bungkam seribu bahasa dalam hal ini. Ketakutan Najib untuk bersuara sama ada mengakui keterlanjurannya atau tampil dengan hujah-hujah yang menghalalkan kehadiran meraikan Thaipusam itu, tidak lain memperlihatkan bahawa Najib memang mengakui kesilapannya tetapi dalam masa yang sama juga taksub kepada undi dan kepentingan politik.
Maka berdiam diri adalah jalan terbaik sambil mengharapkan isu ini akan reda dengan sendirinya ditelan masa dan dalam masa yang sama undi kaum India yang diharap-harapkan tidak pula berkurangan. Namun hakikatnya ini memperlihatkan keperibadian Najib yang sanggup melakukan apa saja untuk kepentingan politiknya. Orang Melayu mesti menghadkan sokongan kepada Najib mulai sekarang ini.
Lebih-lebih lagi dalam soal kehidupan, perbuatan menggadai akidah dan syirik adalah jauh lebih besar daripada pluralisme. Akidah bukanlah komoditi dagangan yang boleh dinilai dan ada tanda harganya. Apakah rupa manusia kalau akidah dan pegangan hidupnya sudah boleh digadai dan dijualbeli? (SH 13/02/2012).
No comments:
Post a Comment