Friday, 22 February 2019

MENYOKONG TUN MAHATHIR, ADAKAH BERERTI PAS MENERIMA DAP ATAU INI SATU LAGI PEMBOHONGAN?


Barangkali Pas adalah satu-satunya parti politik yang pelik, celaru dan memeningkan kepala yang masih wujud di dunia ini.


Sementara semua perjuangan parti politik adalah berasaskan kebenaran, Pas sebaliknya menjadi pelik, celaru dan memeningkan kepala kerana ia kini membenarkan pembohongan, walaupun Islam adalah perjuangannya.


Ada pemimpinnya berkata, dia berbohong setelah mendapat kebenaran dan izin daripada Tuan Presidennya.


Kemudiannya daripada itu, demi menghalalkan pembohongan yang sudah dilakukan itu, tergamak pula pemimpin tertentu Pas mengatakan Nabi Ibrahim AS pun pernah berbohong sama.


Bertepatan dengan sifat para Nabi yang antaranya ialah benar, tindakan Nabi Ibrahim dalam peristiwa yang disebutkan itu sebenarnya ialah suatu tindakan berdalih untuk menyelamatkan nyawa.


Soalnya, apakah Pas berbohong dan dibenarkan melakukan pembohongan itu untuk menyelamatkan nyawa atau hanya kerana ingin menyelamatkan harga diri yang telah terjual disebabkan dakwaan menerima dedak daripada UMNO?


Jika hanya kerana adanya dakwaan menerima wang telah membuatkan Pas sanggup berbohong, maka di manakah kata-kata pemimpin parti itu yang masih boleh dipercayai?


Terbaru, berdepan dengan siasatan SPRM berhubung dakwaan pernah menerima wang daripada UMNO, Pas tiba-tiba tampil menyatakan sokongan terbuka kepada kepimpinan Tun Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri.


Sokongan itu tidak saja jika kononnya ada usul undi tidak percaya di Parlimen, tetapi juga mahukan Tun Mahathir terus mengetuai pentadbiran negara sehingga tarikh PRU15 akan datang.


Ini satu lagi sikap pelik, celaru dan memeningkan kepala yang ada pada Pas.


Menyokong kepimpinan Tun Mahathir bukan saja suatu kepelikan berdasarkan kedudukan Pas yang sedang bekerjasama dengan UMNO, tetapi juga kerana Perdana Menteri sendiri pernah mengaku tentang peranan DAP dalam pentadbiran kerajaan PH ini.


Kata Tun Mahathir, DAP mempunyai peranan penting dalam kerajaan, termasuk dalam menentukan kedudukannya sebagai Perdana Menteri.


Pertama, bagaimanakah Pas boleh terus bekerjasama dengan UMNO dalam PRK Semenyih untuk menentang calon Bersatu, sedangkan dalam waktu yang sama parti itu menyokong kepimpinan Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri sehingga PRU15?


Bukankah jika setelah menyokong kepimpinan Tun Mahathir, Pas sepatutnya menarik diri daripada terus bekerjasama dengan UMNO?


Kedua, bagaimana Pas boleh menzahirkan sokongan kepada Tun Mahathir sedangkan Perdana Menteri sendiri mengakui pentadbiran kerajaan pimpinannya adalah dibayangi oleh DAP yang merupakan musuh utama parti Islam itu?


Adakah ini bermakna Pas sudah boleh menerima DAP?


Atau demi menyelamatkan kedudukannya yang sedang disiasat SPRM, bermakna Pas sanggup melakukan apa saja?


Tetapi, oleh kerana berbohong adalah dibenarkan dalam Pas, siapakah - antara UMNO dan Tun Mahathir - yang merupakan mangsa pembohongan Pas seterusnya? (ShahbudinHusin 22/02/2019)

NASIB BAIK ADA PRK, INGAT JUGA PH JANJI-JANJI YANG BELUM DITUNAIKAN LAGI.....


Menurut kata Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, kerajaan akan membuat pengumuman penting berkaitan tol dalam masa terdekat ini.


"Kita baru berbincang dalam kabinet....mungkin dalam sehari dua ada kenyataan berkaitan tol yang akan diumumkan oleh menteri berkaitan," jelas beliau.


Muhyiddin berkata  demikian dalam  program kempen di Semenyih semalam.


Isu berkaitan penghapusan tol, meskipun bukan merupakan salah satu daripada 10 janji yang diikrarkan akan dilaksanakan oleh PH dalam tempoh 100 hari selepas mengambil alih kerajaan, tetapi ia adalah perkara yang paling ditunggu-tunggu oleh rakyat.


Ini kerana penghapusan itu bukan saja dirasakan mampu mengurangkan beban hidup rakyat, malah pemimpin-pemimpin PH sendiri banyak memfokuskan ucapan kempen mereka berkaitan dengannya sebelum ini.


Bagi rakyat yang sudah memenangkan PH, mereka hanya sekadar mahu menuntut janji saja demi untuk mengelakkan kerajaan ini menjadi kerajaan yang munafik.


Bagaimanapun, setelah berjaya menjadi kerajaan, PH dilihat banyak berdalih berkaitan penghapusan tol seperti memberi alasan kekangan kewangan dan banyak perkara perlu dirundingkan sebelum ia boleh dilaksanakan, selain mengatakan janji itu masih mempunyai tempoh sehingga PRU15 untuk dilaksanalan.


Bersama janji-janji lain yang juga banyak tersangkut di tengah jalan, kekecewaan rakyat lantas mula berkembang dan kini tahap sokongan kepada PH selepas 9 bulan menjadi kerajaan adalah berada di kedudukan paling rendah sekali.


Meskipun kata-kata Muhyiddin ini bukan sangat menunjukkan PH benar-benar prihatin kepada rakyat, tetapi lebih ke arah untuk memastikan calon Bersatu tidak kecundang di Semenyih, tetapi ia tetap merupakan sesuatu yang ditunggu-tunggu.


Bermakna, mujurlah ada pilihanraya kecil, ingat juga PH kepada janji-janji mereka yang banyak masih tidak ditunaikan itu.


Kalau tidak ada pilihanraya kecil atau PRK, bukan saja janji mungkin terus dilupai, malah barangkali hanya alasan demi alasan yang kita akan dengar setiap hari.


Selepas Semenyih, akan ada lagi PRK di Rantau dan mungkin selepas itu di Jasin pula.


Ada juga satu dua kawasan lain mungkin terpaksa diadakan PRK kerana wakil rakyat PH di kawasan itu ketika ini dikesan sedang sakit tenat atau uzur selepas menjalani pembedahan jantung.


Sudah pasti dengan adanya satu demi satu PRK ini, semakin banyaklah janji-janji PRU14 lalu yang terpaksa ditunaikan oleh PH demi untuk mengelakkan kekalahan datang bertimpa-timpa..


Hehehe...kalau macam ini, nampaknya tiap-tiap bulan ada PRK pun bagus juga!!! (ShahbudinHusin 22/02/2019)

Thursday, 21 February 2019

ISU USUL TIDAK PERCAYA SENJATA TUN M MAHU BERKUASA LEBIH LAMA?


Perkara pokok yang harus difahami mengenai Tun Mahathir Mohamad ialah beliau hanyalah Perdana Menteri sementara untuk tempoh tidak lebih daripada dua tahun saja.


Salah satu sebab utama mengapa PH setuju untuk menamakan Tun Mahathir sebagai calon PM sebelum PRU14 lalu tentunya adalah kerana beliau ketika itu sudah pun berusia 93 tahun umurnya.


Ikut hukum akal, seseorang yang sudah berusia sebegitu lanjut, apalagi menjadi Perdana Menteri buat kali kedua, tidak mungkin ada keghairahan yang melebih-lebih lagi terhadap kuasa.


Ikut hukum akal juga, seseorang yang sudah lanjut usia sebegitu, tentulah tidak tergamak untuk mungkir atau khianat kepada janji yang telah dipersetujuinya.


Tetapi, sebagaimana yang beberapa kali ditulis dalam blog ini dan disedari oleh hampir semua orang, Tun Mahathir nampaknya bukan begitu sifatnya.


Beliau mungkin boleh berhenti makan sebelum kenyang atau tidak sebegitu ghairah kepada benda-benda lain, namun ia bukanlah apabila berkaitan dengan kuasa.


Kuasa sentiasa merupakan sesuatu yang tidak pernah membuatkan Tun Mahathir puas atau kenyang dengannya.


Dengan beberapa tindakan yang dilakukannya selepas menjadi Perdana Menteri buat kali kedua ini, seorang pemimpin Bersatu yang agak rapat dengan Tun Mahathir berkata, Pengerusi PH itu kini seolah-olah rindu kepada kuasa yang pernah dipegangnya sebelum berundur pada 2003 lalu.


Lantaran rindu kembali kepada kuasa itulah yang mendorong wujudnya kecenderungan dalam beberapa tindakan Tun Mahathir yang memperlihatkan tempoh berkuasa selama dua tahun itu tidak mencukupi baginya.


Beliau kadang-kadang ternampak tidak sedar tentang faktor usia dan memegang kuasa melalui PH adalah berbeza dengan BN dahulu, apatah lagi kerana sudah wujud janji tidak lebih dua tahun saja untuknya menjadi Perdana Menteri itu.


Biar apa pun tindakan  atau usaha yang cuba dilakukan oleh Tun Mahathir - mengimport masuk Ahli Parlimen UMNO ke dalam Bersatu, mengacah-acah ingin berkuasa lebih lama atau menghangatkan lagi spekulasi mengenai undi tidak percaya - perkara pokok yang harus disedarkan kepada lelaki yang menginjak usia 94 tahun itu ialah beliau sudah terikat dengan janji yang sudah pun dipersetujuinya.


PH, apa lagi Anwar Ibrahim, tidak harus terjebak sama sekali dengan isu usul undi tidak percaya ini. Berdiam diri saja dan jangan dilayan mengenainya.


Blog ini beberapa hari lalu sudah menekankan bahawa tiada rancangan langsung daripada sesiapa daripada dalam PH untuk mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri.


Ia mungkin hanya suatu permainan yang sengaja dicipta untuk membolehkan Tun Mahathir berkuasa dengan lebih lama.


Isu pokok bagi PH ialah memastikan janji peralihan kuasa daripada Tun Mahathir kepada Anwar berjalan dengan lancar sebagaimana yang telah ditetapkan.


Ini adalah janji yang sedang diperhati oleh rakyat di mana ia akan menentukan sama ada PH mampu terus menjadi pilihan atau tidak dalam pilihanraya yang seterusnya.


Jika janji kepada individu yang bernama Anwar pun gagal dipastikan kejayaannya oleh PH, jangan harap rakyat mahu percaya janji atau harapan kepada mereka mampu dipenuhi. (ShahbudinHusin 21/02/2019)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...