Thursday, 19 March 2015

Masa Untuk Rakyat Lebih Berani Suarakan Bantahan


Menjelang beberapa hari saja lagi apabila GST akan dilaksanakan pada 1 April depan, suara rungutan dan keluhan makin kedengaran di mana-mana mengenai tambahan wang yang mungkin diperlukan untuk meneruskan kehidupan.

Berdasarkan beberapa barangan dan perkhidmatan yang dijangka meningkat harganya sebaik GST dikuatkuasakan, tidak dapat tidak cukai baru itu akan menambahkan lagi beban sedia ada.

Beberapa perkhidmatan seperti bil utiliti, tambah nilai telefon, tiket wayang, ubat-ubatan, transaksi wang di mesin ATM dan segala macam lainnya yang dijangka meningkat, ada ibu bapa juga sudah mulai menerima surat daripada pusat tuisyen anak masing-masing mengenai kenaikan harga bermula 1 April depan sebaik GST dilaksanakan.

Dalam masa yang sama janji kerajaan bahawa banyak barangan akan turun harga berikutan GST 6 peratus adalah lebih rendah berbanding SST 16 peratus yang dikenakan sebelum ini seperti hanya tinggal janji semata-mata.

Ini kerana masih belum diketahui apa barang yang bakal diturunkan harganya itu. Langsung tiada pengumuman dan hebahan mengenainya.

Sekaligus semua ini lebih meyakinkan rakyat bahawa GST lebih merupakan beban baru kepada mereka.

Ia juga dikuatkan dengan pengumuman kerajaan bahawa sebaik GST dilaksanakan ia akan menambahkan pendapatan negara dalam bentuk cukai daripada RM16 bilion hingga RM18 bilion setahun kepada RM27 bilion setahun.

Oleh kerana pendapatan negara bertambah, sudah tentu ia juga bermakna lebih banyak wang perlu dirobek daripada poket rakyat melalui GST ini.

Kenyataan bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad bahawa menjadi hak rakyat bertindak balas atau memberitahu kerajaan bahawa mereka tidak akan dipilih semula setelah GST dilaksanakan seakan-akan mengesahkan lagi cukai itu lebih membebankan berbanding memberi keselesaan.

Begitu juga dengan ucapan bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah di Parlimen yang menyarankan agar GST ditangguhkan perlaksanaannya turut memberi makna yang sama iaitu cukai baru itu lebih membebankan rakyat.

Lebih malang lagi, menjelang beban yang makin meningkat bakal ditanggung rakyat apabila GST dilaksanakan itu, kerajaan melalui SPAD dan KTM juga hari ini mengumumkan kenaikan tambang bas ekpress, teksi serta keretapi.

Walaupun diumumkan bahawa kenaikan itu tiada kena-mengena dengan perlaksanaan GST, yang pastinya ia adalah tambahan kepada beban kewangan sedia ada.

Semua ini menjadikan kehidupan rakyat, terutama yang berpendapatan rendah,  bak jatuh ditimpa tangga, terduduk pula keatas najis ayam.

Di ketika ini, beserta dengan keputusan kerajaan membeli sebuah jet baru ACJ320 berharga hampir RM500 juta yang tentunya  lebih banyak digunakan oleh Perdana Menteri, slogan "rakyat didahulukan" yang kerap dilaungkan selama ini tidak lebih umpama sampah yang berbau hanyir dan busuk.

Sebenarnya, inilah masanya rakyat pelbagai peringkat dan status kehidupan bangun menyuarakan bantahan dan tindak balas mereka kerana kerajaan nampaknya benar-benar gagal memberi kesejahteraan serta kehidupan yang lebih baik kepada pembayar cukai.

Mungkin pilihanraya umum masih ada kira-kira tiga tahun lagi, tetapi seperti kata Mahathir, rakyat berhak bertindak balas atau memberitahu kerajaan bahawa mereka tidak akan dipilih semula atau tidak dikehendaki lagi sebagai kerajaan.

Bermula 1 April adalah masa yang sesuai untuk memberi lebih tekanan kepada kerajaan pimpinan Najib ini. (SH 19/03/2015)

Bagi kebanyakan rakyat, inilah tafsiran mudah mereka mengenai GST...

Tambah nilai telefon bimbit adalah antara yang akan mengalami kenaikan apabila GST dilaksanakan...

Tidak cukup dengan beban GST, tambang pengangkutan awam juga turut naik sama...

Wednesday, 18 March 2015

Yang Tersurat Dan Tersirat Di Sebalik Ucapan Ku Li Di Parlimen


Secara umumnya ucapan Tengku Razaleigh Hamzah di Parlimen  semalam diterima baik oleh banyak pihak dan menggambarkan keprihatinannya kepada masalah yang sedang dihadapi rakyat ketika ini.

Ucapannya yang antara lain mengingatkan mengenai sumpah Ahli Parlimen untuk berkhidmat kepada rakyat, gesaan mengisytiharkan harta bagi menteri, timbalan menteri dan Ahli Parlimen kepada sebuah badan bebas dan saranan menangguhkan perlaksanaan cukai GST, tidak lain merupakan reaksinya yang jujur, bukan saja berdasarkan pengalamannya tetapi juga keadaan semasa dalam negara.

Walaupun ada yang mengkritik Ku Li atas ucapannya termasuk mengatakan ia hanya retorik, sudah terlambat, melabelnya sebagai ahli politik lama yang ketinggalan zaman dan ada juga memberi gambaran seolah-olah beliau tidak memahami GST, hakikatnya beliau berani memberikan pandangan serta tegurannya.

Sama ada kerajaan mahu menerima atau mengabaikan saja semua teguran itu, yang penting Ku Li telah melaksanakan tanggungjawabnya untuk memperbaiki lagi imej kerajaan di mata rakyat.

Berkenaan pengisytiharan harta yang disarankannya kepada sebuah badan bebas yang dipilih oleh Parlimen, ia akan membantu menaikkan imej kerajaan berbanding amalan sekarang di mana para anggota pentadbiran kerajaan hanya membuat pengisytiharan kepada Perdana Menteri saja.

Tetapi dalam konteks amalan yang ada sekarang, Perdana Menteri mengisytiharkan hartanya kepada siapa?

Dengan adanya sebuah badan bebas yang diwujudkan itu, semua anggota pentadbiran kerajaan serta Ahli Parlimen, baik daripada kerajaan mahupun pembangkang diwajibkan mengisytiharkan harta masing-masing dan ini secara langsung membantu kewibawaan dan ketelusan sebagaimana yang diinginkan oleh rakyat masa kini.

Begitu juga dengan perlaksanaan GST dan ke mana wang cukai itu bakal disalurkan, apa yang disuarakan oleh Ku Li adalah kebimbangan umum yang boleh didengari serta dipekatakan di mana-mana.

Soal GST baik untuk negara dan mampu menambah sumber kewangan negara bukanlah soal utama tetapi yang menjadi kerisauan ialah sejauh mana ia bakal menambahkan lagi beban kewangan rakyat, terutama golongan berpendapatan rendah.

Dalam keadaan ekonomi tidak menentu, ringgit menjunam dan kos sara hidup kian meningkat, kebimbangan Ku Li tentunya ialah perlaksanaan GST akan merobekkan lagi poket rakyat.

Ini kerana sudah kedengaran beberapa perkhidmatan dan barangan akan meningkat harganya apabila GST dilaksanakan seperti bil utiliti, tuisyen, ubat-ubatan, hiburan dan sebagainya dan semua ini mampu meningkatkan lagi suhu badan mereka yang berpendapatan rendah.

Sebagai bekas Menteri Kewangan, Pengerusi Bank Dunia, IMF, Bank Pembangunan Asia, Pengasas Petronas dan puluhan jawatan lain di peringkat antarabangsa dan dalam negara, mengatakan kritikan dan saranannya agar ditanggguhkan perlaksanaan GST seolah-olah beliau tidak faham mengenai GST barangkali amat keterlaluan dan tidak masuk akal sama-sekali.

Hanya kerana pandangannya sedikit berbeza dengan kerajaan, cemuhan tidak sewajarnya dilontarkan kerana Ku Li sekurang-kurangnya sudah memberi peringatan mengenai kesan tidak baik yang bakal dihadapi nanti.

Selebihnya terpulanglah kepada kerajaan menilainya, terutama kemungkinan kemuncak kesan GST itu kepada rakyat bertembung dengan tarikh pilihanraya umum akan datang. (SH 18/03/2015)

Tuesday, 17 March 2015

Pembelian Jet Baru Tidak Kena Masa


Buat seketika, ramai yang terperanjat dengan pendedahan Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli mengenai pembelian jet baru kerajaan, Airbus Corporate Jetliner atau ACJ320 yang didakwa untuk kegunaan Perdana Menteri, Najib Razak.

Tersentaknya rakyat dengan pendedahan itu bukan saja kerana kerajaan dipercayai sudah mempunyai sekurang-kurangnya enam jet eksekutif untuk kegunaan Perdana Menteri, Yang Dipertuan Agong dan Raja-Raja tetapi juga kerana isu jet yang melibatkan isteri Perdana Menteri, Rosmah Mansor, sudah sering menjadi perbualan umum.

Kali terakhir isu jet melibatkan Rosmah diperkatakan ialah bilamana jet kerajaan ACJ319 didapati terus berada di beberapa bandar di Amerika Syarikat sedangkan ketika itu Najib sudah kembali ke tanahair untuk meninjau keadan banjir di Kelantan dan negeri-negeri lain. Najib yang sedang bercuti dengan keluarganya di Hawaii terpaksa pulang ke Malaysia dengan pesawat komersial hingga ke Hong Kong sebelum dijemput oleh jet TUDM.

Sudah tentu ramai yang bertanya, apa perlunya ditambah sebuah lagi jet?

Lebih mengejutkan juga ialah kerana pembelian jet itu dilakukan ketika rakyat berhadapan dengan pelbagai isu yang mencengkam kehidupan mereka seperti 1MDB, kejatuhan ringgit, ekonomi yang suram, hutang negara menjangkau RM740 bilion, beban sara hidup yang kian meningkat serta cukai GST yang bakal dilaksanakan 1 April depan.

Dalam keadaan negara bergelumang dengan banyak isu yang gagal diselesaikan serta kedudukan ekonominya ditakrifkan tidak begitu baik, tentu saja pembelian sebuah jet baru kerajaan mengundang rasa tidak puas hati serta keresahan rakyat.

Memburukkan lagi keadaan, Jabatan Perdana Menteri atau JPM juga agak lewat memberi penjelasan mengenainya. Hanya pada lewat petang semalam barulah JPM tampil dengan penjelasan bahawa pembelian jet ACJ320 itu ialah untuk menggantikan Boeing Business Jet atau BBJ yang telah berusia 16 tahun.

Dimaklumkan juga  melalui penjelasan JPM itu bahawa perbincangan untuk menggantikan BBJ telah dimulakan sejak dua tahun lepas memandangkan kos penyelenggaraan yang semakin meningkat berikutan faktor usia dan risiko keselamatan. 

Walaupun penjelasan JPM itu boleh diterima, khususnya atas faktor kos penyelenggaraan dan risiko keselamatan,  masa dan ketika pembelian  jet ini tetap dianggap tidak kena dan langsung tidak sesuai.

Ketika rakyat resah melihat pendedahan demi pendedahan mengenai 1MDB dan sedang bersiap-siap mencongak tambahan perbelanjaan berikutan perlaksanaan cukai GST, tentu saja pendedahan mengenai pembelian jet baru kerajaan dengan mudah mengundang kemarahan.

Ia ibarat seorang suami yang tiba-tiba hendak menikah lagi sedangkan di ketika yang sama isterinya sedang berada di hospital untuk melahirkan anak.

Memang menjadi hak dan dibenarkan oleh syarak untuk seseorang lelaki menambah isterinya, tetapi menikah lagi ketika isteri sedia ada sedang berada di hospital untul bersalin, adalah perbuatan purba yang tidak boleh diterima oleh sesiapa jua pun.

Begitu jugalah dengan pembelian jet ACJ320 ini, berdasarkan beban kos penyelenggraan dan risiko keselamatan,  membeli yang baru untuk menggantikan yang lama memang boleh diterima, bahkan dianggap suatu keperluan.

Cuma, masa dan ketikanya saja tidak berapa kena. Kerajaan sepatutnya memilih waktu yang sesuai untuk membeli dan menukar jet baru itu. Walaupun perbincangan sudah dilakukan sejak dua tahun lepas, tiada masalah jika pembelian itu ditanggungkan, sesuai dengan slogan kerajaan sendiri iaitu "rakyat didahulukan".

Dalam pada itu, selain kerajaan sudah mempunyai sekurang-kurangnya enam jet, diketahui juga bahawa Yang Dipertuan Agong dan Raja-Raja tidaklah sekerap Perdana Menteri mempunyai aturcara atau program di luar negara.

Pandangan umum ialah, kemudahan jet kerajaan itu lebih banyak digunakan oleh Perdana Menteri berbanding Yang Dipertuan Agong dan Raja-Raja.

Ditambah sudah banyak kali isu jet ini menjadi perbualan ramai berikutan isteri Perdana Menteri, Rosmah Mansor juga ke sana ke mari menggunakan kemudahan tersebut, tanggapan umum juga ialah pembelian jet baru ACJ320 ini ada kaitan dengan kehendak Seri Perdana.

Inilah masalah Najib setiap kali isu jet ditimbulkan. (SH 17/03/2015)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...