Saturday, 6 October 2018

SIAPA KITA JIKA MASIH TIDAK MAHU MENYOKONG ANWAR?


Hari ini, Pengerusi Majlis Penasihat kerajaan, Tun Daim Zainuddin meluangkan masa petangnya  turun berkempen bersama Anwar Ibrahim di Port Dickson.


Sudah tentu tujuannya turun itu ialah untuk melihat dan memastikan Anwar sebagai calon Pakatan Harapan menang dengan cemerlang pada pilihanraya kecil 13 Oktober nanti.

Hari Isnin 8 Oktober nanti, Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad pula akan turun ke Port Dickson dalam program ceramah perdana bersama para pemimpin kanan Pakatan Harapan.


Ini adalah pertama kali sepanjang memegang jawatan Perdana Menteri, beliau turun berkempen dalam mana-mana pilihanraya kecil.


Tentulah tujuannya juga untuk melihat dan memastikan kemenangan bakal penggantinya itu.

Lalu, siapa kita jika ada lagi yang menceceh mahu melihat kekalahan Anwar?


Jika mengaku penyokong Pakatan Harapan, wajarkah mereka yang masih bersikap sebegitu? (ShahbudinHusin 06/10/2018)

HABIS, NAK GUNA DUIT MANA LAGI?


Najib Razak dan Rosmah Mansor sehingga ini sudah dihadapkan dengan 49 pertuduhan di mahkamah berkaitan skandal 1MDB.


Daripada jumlah itu, Najib berdepan 32 pertuduhan, manakala selebihnya iaitu 17 pertuduhan adalah melibatkan Rosmah.


Dengan pertuduhan sebanyak itu, wang jaminan yang terpaksa dibayar oleh kedua-dua mereka ialah sebanyak RM6.5 juta.


Sehubungan itu, anak perempuan Najib, Nooryana Najwa mengeluh kerana ibu dan bapanya terpaksa menggunakan wang simpanan peribadi dan meminta bantuan saudara mara untuk membayar ikat jamin, selain bagi bayaran yuran guaman yang turut dipercayai berjumlah berjuta-juta juga banyaknya.


Beberapa bulan kebelakangan ini adalah masa yang sangat mencabar bagi emak dan ayah, kata beliau.


Sebenarnya, tiada apa yang perlu dikeluhkan sangat oleh anak Najib yang dikenali dengan panggilan Gina itu. 


Apa yang dilalui oleh ayah dan ibunya adalah proses biasa bagi sesiapa juga yang berdepan dengan tindakan mahkamah, malah orang lain ada yang lebih sengsara lagi.


Jika bukan menggunakan wang simpanan dan meminta bantuan saudara mara, apakah ada cara lain lagi?


Apakah Gina mengharapkan ada sesiapa yang sudi menolong untuk membayarkan wang jaminan dan yuran guaman untuk ayah dan ibunya?


Tetapi, bukankah Najib dan Rosmah masih dikira beruntung kerana sehingga ini tetap mampu membayar ikat jamin dan melunaskan yuran guamannya?


Sekurang-kurangnya ia bermakna Najib ada wang simpanan yang banyak dan ramai saudara-mara yang sudi membantunya.


Bayangkan orang lain yang tiada simpanan dan tidak ada juga saudara-mara yang mahu membantu di mana akhirnya mereka terpaksa bermalam di lokap menunggu hari perbicaraan.


Untuk itu, tak usahlah beliau mengeluh dan cuba meminta simpati, tambahan lagi skandal 1MDB yang melibatkan ayah dan ibunya itu telah menjadi sebutan di seluruh dunia


Fikirkanlah sama kesan skandal 1MDB itu kepada rakyat dan negara yang mungkin bertahun-tahun terpaksa menanggung bebannya. (ShahbudinHusin 06/10/2018)

Friday, 5 October 2018

KEHADIRAN TUN M JADIKAN KEDUDUKAN PM KE-8 SEMAKIN TIDAK DIRAGUI


Sememangnya sepanjang menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun sebelum ini, Tun Mahathir Mohamad tidak pernah turun berkempen dalam mana-mana pilihanraya kecil yang diadakan.


Semua tugas mengepalai kempen pilihanraya kecil sebaliknya diserahkan sepenuhnya kepada timbalannya saja.


Sebab itu, Tun Mahathir juga tidak berhajat untuk turun berkempen dalam pilihanraya kecil Port Dickson ini.


Awal-awal itu beliau menyatakan, meskipun menyokong sepenuhnya Anwar Ibrahim yang bertanding dalam pilihanraya kecil itu, tetapi menyatakan tidak akan turun berkempen untuk bakal penggantinya itu.


Ia sepatutnya tidak menjadi isu sama sekali.


Tetapi, oleh kerana masih ramai yang bercakap mengenai hubungan mereka berdua yang kononnya tidak mesra dan untuk mengelakkan ia terus berlarutan serta mungkin bertambah buruk, Tun Mahathir akhirnya memutuskan untuk turun berkempen bagi memastikan kemenangan Anwar di Port Dickson.


Jadual beliau akan turun ke Port Dickson ialah pada hari Isnin, 8 Oktober di mana beberapa pemimpin kanan Pakatan Harapan yang lain akan turut sepentas bersama Tun Mahathir pada malam tersebut.


Semoga dengan turunnya Tun Mahathir membantu kempen Anwar, tiada lagi cakap-cakap atau bisik-bisik mengenai kerenggangan hubungan mereka itu.

Realitinya, dengan turunnya Tun Mahathir ke Port Dickson, beliau bukan saja menyokong Anwar, malah mahu bakal Presiden PKR itu menang dengan cemerlang untuk bergelar Ahli Parlimen semula.


Realitinya juga, dengan turunnya Tun Mahathir membantu kemenangan Anwar, tidak harus kedengaran sebarang keraguan lagi mengenai kedudukan siapa yang harus bergelar Perdana Menteri ke-8.


Untuk itu, pengundi Port Dickson tiada alasan lagi untuk tidak memenangkan Anwar dengan cemerlang pada 13 Oktober nanti dan memperolehi Ahli Parlimen yang akan bergelar Perdana Menteri, sekaligus tentunya jauh sekali untuk mengundi calon-calon lain yang tidak ubah umpama "tong kosong" semata-mata. 


Anwar sebagai Perdana Menteri ke-8 adalah pilihan terbaik untuk negara dan merupakan pilihan Tun Mahathir juga. (ShahbudinHusin 05/10/2018)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...