Sunday, 2 April 2017

KENAPA SEKALI LAGI POLIS JUGA YANG BATALKAN DEBAT TUN M - NAZRI?

Situasi 1 - Debat antara Tun Mahathir Mohamad dengan Nazri Aziz yang sepatutnya diadakan di MRSM Kuala Kangsar pada 25 Mac lalu dibatalkan kerana tidak mendapat permit polis.

Polis memberi alasan faktor keselamatan dan ketenteraman awam mengapa permit tidak diluluskan, meskipun kapasiti dewan hanya boleh memuatkan 800 orang.

Apakah 800 orang yang datang dengan hanya telefon pintar di tangan begitu sukar dikawal?

Selain itu, polis juga memberi alasan kerana ada lapan laporan polis yang dibuat oleh NGO membantah debat tersebut.

Ironinya, surat pembatalan oleh pihak polis itu dikeluarkan setelah Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri, Ahmad Zahid Hamidi sendiri memberi lampu hijau dan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Nur Jazlan Mohamed pula mengatakan, debat itu akan dibenarkan untuk diadakan.

Selapis pandang, ia seolah-olah Zahid Hamidi dan Nur Jazlan tiada kuasa atau cengkaman terhadap polis sehingga IPD Kuala Kangsar dilihat lebih besar kuasanya atau boleh jadi mereka menerima arahan daipada pihak lain yang lebih ditakuti.

Pembatalan itu membuatkan Nazri melenting dan marah serta mengingatkan pihak polis bahawa Malaysia adalah negara demokrasi, bukan negara polis.

Lanjutan itu, dengan kerjasama Sinar Harian serta persetujuan Tun Mahathir dan Nazri, mereka setuju debat atau wacana dipindah-tempatkan ke Auditorium Sinar Harian, di Shah Alam.

Tarikh yang dipersetujui ialah 7 April, jam 9.30 malam.

Memandanngkan Sinar Harian sudah menganjurkan debat dan wacana sebanyak 44 kali sebelum ini dan kawasan itu pula merupakan milik persendirian, berdasarkan Akta Perhimpunan Aman, tiada permit polis diperlukan.

Yang disyaratkan sekadar pemakluman kepada pihak polis sekurang-kurangnya 10 hari sebelum sesuatu program hendak diadakan.

Perkara tersebut ditekankan sendiri oleh Nazri dengan berkata, "saya tahu tentang Akta Perhimpunan Aman sebab saya yang membentangkannya di Parlimen."

Lantaran itu, sebenarnya tiada sebab debat di Shah Alam boleh dibatalkan.

Situasi 2 - Menjelang debat yang dinanti-nantikan oleh seluruh rakyat pada 7 April itu, semua persiapan dan pemakluman telah pun dilakukan oleh pihak penganjur iaitu Sinar Harian.

Walaupun banyak pihak tetap ada keraguan sama ada Najib Razak masih mahu membenarkan Nazri berdebat dengan Tun Mahathir, lebih-lebih lagi kerana lawan debatnya itu merupakan musuh nombor satu Perdana Menteri, selain topik perdebatan iaitu antaranya 1MDB dan wang RM2,600 juta tentunya meresahkan fikiran mereka yang tinggal di Seri Perdana, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan itu tetap tidak luntur semangatnya.

Berbanding Tun Mahathir yang mengatakan sudah lama bersedia untuk berdebat berkaitan tajuk-tajuk tersebut dengan sesiapa saja, Nazri pula memberi jaminan bahawa beliau tidak akan duduk diam saja dalam debat itu nanti sepertimana diamnya dia ketika menikmati cendol dan laksa di Dataran Sungai Perak sebelum itu.

Pada 31 Mac, pihak penganjur memaklumkan mereka sudah menerima surat daripada Polis Shah Alam yang memberi kebenaran debat itu dilangsungkan.

Beberapa syarat biasa turut ditetapkan, selain kehadiran penonton hanya dihadkan kepada 300 orang saja - 100 jemputan Tun Mahathir, 100 jemputan Nazri dan 100 lagi jemputan penganjur iaitu Sinar Harian.

Tidak sampai 24 jam kemudian, penganjur sekali lagi menerima surat daripada Polis Shah Alam yang menyatakan debat itu tidak dibenar untuk diadakan.

Alasannya juga kerada faktor keselamatan dan ketenteraman awam, disamping kononnya ada bantahan penduduk setempat. 

Jika dulu, pembatalannya dilihat pelik kerana seperti membelakangkan Menteri dan Timbalan Menteri Dalam Negeri, kali ini rupa-rupanya kelulusan hanya diberi dalam tempoh sehari saja. 31hb Mac lulus, 1 April batal. Boleh dicatat sebagai sejarah barangkali.

Bagaimana ada bantahan penduduk juga agak menghairankan kerana pejabat Sinar Harian itu adalah kawasan penempatan kilang, lagi pula mereka sudah menganjurkan debat atau wacana sebanyak 44 kali sebelum ini.

Jika kali ini dianggap gangguan, bagaimana debat dan wacana sebelum ini boleh dibenarkan?

Kawan-kawan yang mulut agak jahat pula menyindir, di Kuala Kangsar kehadiran 800 dianggap mengganggu keselamatan dan ketenteraman awam, rupa-rupanya 300 orang di Shah Alam juga dikira sudah bahaya kepada pihak polis.

Dalam kedua-dua situasi pembatalan itu, kuasa polis atas pertimbangan keselamatan dan ketenteraman awam telah dijadikan sandaran untuk menidakkan debat daripada menjadi kenyataan.

Kali pertama, pembatalan dilakukan setelah Menteri dan Timbalan Menteri sendiri memberi lampu hijau dan kebenaran, manakala kali kedua, surat pembatalan menyusul hanya sehari selepas kelulusan diberikan sedangkan debat diadakan di kawasan persendirian dan telah mematuhi syarat-syarat di bawah Akta Perhimpunan Aman.

Apa gambarannya?

Pertama, terlihat seolah-olah Zahid Hamidi tiada kuasa serta kawalan kepada bidang tugas yang seharusnya beliau mempunyai peranan dan kedua, kalau pun beliau cuba menunjuk seperti ada kuasa, ada orang lain boleh memangkah kuasanya itu pada bila-bila masa.

Jelas bahawa Zahid secara halus sedang dipamerkan sebagai tidak cukup wibawa dan kekuatan, di sebalik orangramai juga memahami yang benar-benar takut  debat menjadi kenyataan ialah Najib sendiri.

Lantaran itu, berapa lama lagi Zahid rasanya boleh berada di tempatnya sekarang sebelum beliau diganti dengan pilihan yang betul-betul menyenangkan hati Perdana Menteri? (ShahbudinHusin 02/04/2017).

Saturday, 1 April 2017

ZAHID HAMIDI TAK YAKIN TAPI HADI SUDAH DIBERI JANJI...MACAM MANA NI?


Setelah ditolak untuk dijadikan sebagai usul kerajaan, Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, beliau tidak yakin usul Akta 355 dapat dibentangkan pada sidang Parlimen kali ini.

"Sidang Parlimen dijadualkan berakhir pada 6 April. Saya rasa ia tidak  akan dibentangkan.

"Namun, itu yang saya rasa. Keputusannya terletak pada budi bicara Speaker Dewan Rakyat," kata Zahid lagi.

Bagaimanapun, kenyataan Zahid itu agak berbeza dengan pendirian Hadi Awang yang melahirkan keyakinan usul Akta 355 itu tetap akan dibentangkan dalam sidang Parlimen kali ini.
Kata Hadi, walaupun ia ditolak sebagai usul kerajaan, tetapi pihaknya telah mendapat kebenaran daripada pihak kerajaan bagi ia dibentangkan dalam sidang Parlimen kali ini.

"Saya yang akan bawa sendiri di Parlimen dan kita sudah mendapat persetujuan untuk dibawa pada sidang kali ini....akan dibahaskan juga,  Insya Allah," kata Hadi.

Namun, tambah beliau lagi, dari segi masa ia akan ditentukan oleh Speaker Dewan Rakyat memutuskannya berdasarkan "standing order" Parlimen.

Macam mana ini?

Hadi nampaknya begitu optimis Akta 355 akan diberi laluan untuk dibentangkan, malah menurut katanya, beliau sudah pun diberi janji berkenaan perkara itu oleh pihak kerajaan, tetapi Zahid pula kelihatan agak pesimis dan tidak yakin.

Siapa di pihak kerajaan yang ditemui Hadi dan sudah berjanji kepadanya itu?

Bolehkah janji itu dipegang atau semata-mata janji politik saja?

Adakah yang berjanji itu orang yang sama sebelum ini yang pernah berkata akan menjadikan Akta 355 sebagai usul kerajaan tetapi kemudian memungkirinya?

Selepas Najib Razak berucap dalam Perhimpunan Agung UMNO lalu yang berdegar-degar menyatakan kerajaan akan mengambil alih usul Akta 355 itu, Zahid sendiri kemudian mengesahkannya sebagai langkah komited Perdana Menteri untuk memartabatkan perundangan Islam di negara ini.
Malangnya , janji-janji itu akhirnya terkulai layu dalam Mesyuarat BN Rabu lalu berikutan bantahan keras parti-parti komponen, khususnya MCA, MIC, Gerakan dan juga daripada blok Sarawak.

Berikutan itu, Najib terpaksa membuat pusingan U dengan menyerahkannya kembali kepada Hadi untuk dibentangkan sebagai usul persendirian.

Dalam hal ini, setelah Akta 355 kembali sebagai usul persendirian, apakah harapannya?

Seperti yang dirasakan oleh Zahid Hamidi atau seperti yang diyakini oleh Hadi setelah seseorang daripada pihak kerajaan sekali lagi dengan berani datang kepadanya memberi janji? (ShahbudinHusin 01/04/2017).

1 APRIL - HARI LAHIRNYA GST


Hari ini, 1 April merupakan hari ulangtahun kelahiran GST. Sejak diperkenalkan pada 1 April 2015, usianya kini sudah pun menjangkau dua tahun tanpa kita sedari sudah berapa ia mencekik kehidupan kita.

Jika seorang bayi, ia tentunya sudah menjadi budak sekarang ini. Tentunya juga sudah boleh berjalan dan berlari-lari.

Tetapi, apa kesannya GST kepada kita semua sepanjang dua tahun ini?
Tanpa ragu-ragu, GST adalah beban yang menyusahkan kehidupan semua. Ada pegawai tinggi kerajaan pernah berkata, GST hanya untuk orang kaya dan tidak sesekali melibatkan orang miskin.

Seorang timbalan menteri yang tidak perlu disebutkan namanya pula berkata, harga barang akan turun kerana GST. 

Perghhhh...terkedu kita semua dibuatnya!!

Setelah dua tahun, kini kita semakin sedar semua itu adalah penipuan paling dahsyat daripada pemimpin kepada rakyat di sebuah negara yang merdeka.

Tidak pernah di mana-mana dunia, waima di Zimbabwe atau hujung Afrika sekali pun, penipuan dan pembohongan seperti itu sampai hati dilakukan oleh pemimpin kepada rakyatnya.

Setelah dua tahun dicekik GST, cuba kita fikir, di sebalik harga barang tidak pernah turun dan orang miskin terus menjadi mangsa, sudah berapa banyak wang kita disedut kerananya?

Sanggupkah kita terus dicekik lagi?

Akhirnya, jika tidak mahu terus sengsara, Tun Mahathir Mohamad pernah melafaz kata, kerajaan baru yang akan menggantikan UMNO dan BN nanti akan menghapuskan GST secara berperingkat-peringkat untuk keselesaan kita.

PRU 14...ingatlah pilihan ada di tangan kita. (ShahbudinHusin 01/04/2017).
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...