Friday, 2 October 2015

ALAMAK....NAK LEMPANG PULAKK!!

Semalam Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Tajuddin Abdul Rahman memberi amaran  "mahu melempang" kepada orang-orang Cina yang cuba mengadu masalah mereka kepada pihak luar.

Saya nak beri amaran kepada Cina-Cina di Malaysia, jangan bila ada masalah dia nak mengadu, sikit-sikit mengadu supaya ada yang melindungi mereka, katanya.

Nak kena lempang macam tu, tambahnya sambil ketawa kecil.

Dalam masa yang sama, Tajuddin juga meminta orang Cina di negara ini agar berhenti daripada berangan bahawa ada pihak luar yang akan membela mereka.

Menurut beliau, kedatangan Duta Besar China, Huang Huikang ke Jalan Petaling baru-baru ini adalah untuk memberi mesej mengenai keselamatan kepada rakyat negaranya yang melancong ke Malaysia dan bukannya untuk membela orang-orang Cina di sini.

Sebagai timbalan menteri, berucap pula di depan khalayak yang berbagai serta dihadiri oleh media, tindakan Tajuddin menyelitkan unsur-unsur politik dalam majlis yang berkaitan bidang tugasnya tidaklah menjadi apa-apa kesalahan, tetapi menggunakan perkataan kasar seperti "lempang" adalah tidak wajar sama sekali, walaupun dalam nada yang bergurau

Apakah tidak boleh peringatan itu disampaikan dalam bentuk ucapan biasa saja tanpa menyebut perkataan "lempang" dan sebagainya?

Dan bak kata orang Perak pula, dah kuat bebenor ke berbanding orang Cina...

Imej kerajaan tentunya akan bertambah buruk dengan perbuatan Tajuddin ini serta menggambarkan seolah-olah pemimpin yang seharusnya menunjukkan contoh teladan lebih baik serta menjadi ikutan rakyat, gagal mempamerkan wibawa sebenar apabila berdepan dengan situasi yang mengganggu emosi.

Kalau dalam ucapan pun boleh begitu, bagaimanakah pula bila berdepan dengan pihak yang tidak sebulu dengannya di meja mesyuarat atau perundingan?

Apakah mungkin akan berlaku fail melayang atau kerusi berterbangan?

Tetapi barangkali sebelum amaran "mahu melempang" itu berulang lagi atau kejadian lempang benar-benar menjadi kenyataan nanti sebagaimana dikhabarkan turut pernah berlaku sebelum ini kepada seseorang yang sudah menjadi ketua sebuah kerajaan negeri sekarang ini, Perdana Menteri Najib Razak perlu menjadikan Tajuddin menteri penuh dengan seberapa segera.

Lagi pula Tajuddin bukan saja lebih senior dalam politik berbanding bossnya di Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani iaitu Shabery Cheek, malah turut lebih dulu "makan garam" berbanding Menteri Besar Perak, Zambry Abdul Kadir.

Ahhh...beri atau janjikanlah mana satu untuk Tajuddin!! (SH 02/10/2015)

Thursday, 1 October 2015

JAWAPAN ZAHID HAMIDI

BERTERUS-TERANG SAJALAH TAK JADI SAMAN WSJ...HABIS CERITA!!

Ketika mula-mula timbul dakwaan oleh The Wall Street Journal atau WSJ mengenai kemasukan wang sebanyak RM2,600 juta yang didakwa mengalir ke akaun peribadinya, Najib Razak mengatakan tindakan undang-undang terhadap akhbar itu diambil pada hari Selasa.

Setelah berpuluh-puluh Selasa berlalu, tidak juga surat saman atau tindakan mahkamah diambil kepada WSJ.

Kemudian peguam Najib mengatakan pihaknya akan menghantar surat untuk meminta penjelasan terlebih dahulu sama ada dakwaan WSJ itu bermaksud Perdana Menteri telah menyalahgunakan wang 1MDB, sebelum tindakan mahkamah dapat diambil.

Tempoh masa selama 14 hari diberikan kepada WSJ untuk menjawab surat tuntutan itu.

Bagaimanapun apabila WSJ tetap mempertahankan laporannya sebagai betul dan benar yang menggambarkan sedia untuk berdepan di mahkamah, tidak juga tindakan undang-undang diambil, sebaliknya peguam Najib mengatakan mereka mempunyai beberapa pilihan untuk dipertimbangkan.

Sama ada tindakan undang-undang akan diambil atau tidak terhadap WSJ menjadi lebih panas selepas itu apabila SPRM mengesahkan wang RM2,600 juta itu benar-benar pernah mengalir masuk ke akaun peribadi Najib, tetapi menyifatkannya sebagai derma yang diterima daripada Timur Tengah.

Najib dan para pemimpin UMNO selepas itu berlumba-lumba mempertahankan kemasukan wang tersebut, tetapi dengan alasan yang berbeza-beza sehingga kononnya untuk membantu negara memerang IS (Islamic State) yang belum wujud pada tarikh wang itu dimasukkan, turut dijadikan hujah sandaran.

Lawak dol...

Yang masih tidak diketahui hanyalah siapakah penyumbang derma yang "super pemurah"  itu serta berapakah lagi baki wang yang tinggal dan di manakah ia diletakkan.

Namun, saman terhadap WSJ tidak juga menjadi kenyataan, sebaliknya seorang ahli Wanita UMNO Langkawi, Anina Saadudin pula yang mengambil tindakan mahkamah terhadap Najib berkaitan wang itu.

Anina bagaimanapun dipecat keahliannya daripada UMNO kerana peraturan parti tidak membenarkan sebarang permasalahannya dibawa ke mahkamah.

Tetapi semalam, setelah sekian lama senyap,  timbul lagi alasan baru mengapa tindakan mahkamah belum juga diambil terhadap WSJ.

Peguam Hafarizam Harun menyatakan Najib ingin mengetahui sama ada WSJ akan memohon menggunakan Akta Speech sekiranya beliau memutuskan menyaman syarikat akhbar tersebut.

Akta Speech adalah akta yang melindungi syarikat Amerika, khususnya syarikat media, daripada berdepan penghakiman fitnah di luar negara, jelas Hafarizam.

Untuk maksud tersebut, jelas beliau, pihaknya telah menulis surat kepada peguam kanan yang mewakili WSJ untuk mendapatkan kepastian mengenainya.

Saya tidak mahu memfailkan kes di Malaysia, dapatkan penghakiman dan ia menjadi penghakiman atas kertas di AS kerana WSJ akan mengatakan ia dilindungi oleh Akta Speech itu.  Bukankah ia satu usaha yang sia-sia, tambah Hafarizam lagi.

Alasan lagi...selepas ini entah celah apa lagi digunakan sebagai helah agaknya!!

Bukankah lebih baik jika Najib berterus terang saja bahawa saman terhadap WSJ itu tidak akan diteruskan langsung memandangkan dakwaan mengenai wang RM2,600 juta itu sudah pun diakui kebenarannya?

Habis cerita....dan tak perlu bersusah payah mencari macam-macam alasan lagi.

Lagi pun kalau mahu saman juga, atas faktor apa lagi sedangkan Najib sendiri sudah mengakui mengenai wang RM2,600 juta itu? (SH 01/10/2015)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...