Friday, 3 April 2015

Najib Mesti Bangkit Melawan!!


Apa yang ditunggu-tunggu oleh semua orang sekarang ialah respon dan jawapan daripada Perdana Menteri, Najib Razak terhadap serangan bertali arus yang kian hari kian keras yang dilontarkan oleh Tun Mahathir Mohamad kepadanya.

Secara normal dan manusiawinya, Najib tidak boleh lagi sekadar berdiam diri dan mengunci mulutnya terhadap semua perkara yang dibangkitkan oleh Mahathir kerana isu-isu yang dibangkitkan itu memang ditujukan kepada dirinya.

Berbanding sebelum ini di mana bekas Perdana Menteri itu hanya membangkitkan isu-isu berkaitan kelemahan kepimpinan, ekonomi, hubungan kaum dan lain-lain, tetapi akhir-akhir ini jelas sekali serangan itu ditujukan betul-betul tepat ditujukan ke dahi Najib.

Dalam tulisan di blognya beberapa minggu sebelum ini, Mahathir membangkitkan mengenai anak tiri Najib, Riza Aziz yang diragui kekayaannya sehingga mampu menerbitkan filem di Hollywood dan membeli unit kondo mewah di New York.

Beliau juga mahu tahu sama ada kekayaan itu ada kaitan dengan 1MDB kerana Jho Low yang merupakan kenalan rapat Riza Aziz, sering dikaitkan dengan pelaburan syarikat yang menjadi anak emas kepada Najib itu.

Dalam serangan terbarunya semalam pula, Tun Mahathir tidak saja membangkitkan mengenai hutang 1MDB, bahkan juga menyentuh beberapa aspek lain yan berkaitan secara langsung dengan Najib seperti siapa yang mengarahkan Sirul membunuh Altantuya dan pembelian jet yang turut digunakan oleh "Datin Seri".

Beliau juga mengatakan oleh kerana Perdana Menteri sudah terlalu banyak kelemahan dan ditolak oleh semua kaum, maka BN tidak mungkin menang dalam pilihanraya akan datang.

Menelusuri semua perkara yang dibangkitkan oleh Mahathir sejak akhir-akhir ini, ia nyata sudah melewati aspek kelemahan Najib sebagai pemimpin dan Perdana Menteri semata-mata. Sasaran kini lebih mengenai maruah diri dan keluarga Najib yang dipertikai, diragui dan mahu beliau menjelaskannya kepada umum.

Kekayaan Riza yang dipertikaikan dan dikaitkan dengan Jho Low dan 1MDB adalah maruah Najib. Kecelaruan hutang, keraguan pelaburan dan kehilangan wang 1MDB yang dikaitkan dengan kekayaan keluarganya juga adalah maruah Najib. Pertanyaan tentang Sirul juga berkaitan maruah Najib dan penggunaan jet yang turun digunakan oleh "Datin Seri"  juga adalah tentang maruah Najib.

Oleh kerana terlalu banyak isu yang dipersoalkan itu adalah berkaitan maruah diri dan keluarganya, benarkah kekayaannya diperolehi dengan cara yang betul, bersihkah dirinya daripada kaitan pembunuhan Altantuya dan sejauh mana penyalagunaan jet untuk isterinya, maka tiada orang lain yang berhak menjawabnya selain Najib sendiri.

Tengku Adnan tidak layak menjawab, Jamaluddin Jarjis yang menjadi panglima Najib juga tidak layak menjawabnya. Jauh tidak layak menjawabnya ialah Dr Fuad Zarkashi yang hanya makan gaji sebagai Ketua Pengarah Jasa setelah kalah dalam pilihanraya lalu.

Najib tiada pilihan selain menjawab, menafikan dengan bukti-butki atau membenarkan siasatan dijalankan secara adil dan menyeluruh terhadap semua keraguan yang dibangkitkan oleh Tun Mahathir itu. Berdiam diri bukan lagi pilihan pada ketika ini kerana yang dibangkitkan oleh Tun Mahathir ialah berkenaan maruah diri dan keluarganya.

Kadang-kadang orang bertanya, di mana maruah Najib dalam mempertahankan diri, isteri dan keluarganya jika sering memilih berdiam diri saja? 

Jika hal yang tepat berkaitan diri dan maruah keluarganya pun tidak mampu dipertahankan, bagaimanakah rakyat mahu yakin beliau mampu mempertahankan agenda parti, bangsa dan negara?

Hanya Najib yang sesuai dan selayaknya memberikan jawapan terhadap serangan Mahathir ini, bahkan itulah juga yang disarankan Tengku Razaleigh Hamzah kepadanya.

Sekarang adalah masa untuk Najib menjawab dan melawan balik semua serangan Mahathir. Selagi berdiam diri, selagi itulah beliau akan dianggap pemimpin yang lemah dan tidak bermaya. Mengumpulkan kekuatan 154 Ketua UMNO Bahagian dan sokongan daripada semua komponen BN tidak bermakna apa-apa jika tidak mampu berhadapan dengan Tun Mahathir yang hanya seorang diri.

Lagi pula, jika betul Najib berada di pihak yang benar dan tiada sekecil hama pun yang mahu disembunyikan, apalah yang susah sangat menjawab isu-isu yang dibangkitkan oleh Mahathir itu? (SH 03/04/2015)

Thursday, 2 April 2015

Masa Untuk Tun M, Ku Li, Pak Lah dan Musa Hitam Bersatu


Sekembalinya daripada luar negara semalam kerana menjalani rawatan mata di Jepun dan tidak menghadiri majlis kenduri kahwin anak perempuan Najib Razak yang gilang-gemilang dan super mewah,  bekas Perdana Menteri,  Tun Mahathir Mohamad tidak menunggu lama untuk meneruskan serangannya kepada Perdana Menteri yang sudah sekian lama ditarik balik sokongannya.

Dalam tulisan di blognya hari ini, Tun Mahathir mengatakan BN akan kalah dalam pilihanraya akan datang selagi dipimpin oleh Najib kerana ketika ini semua kaum menolak kepimpinannya.

Tun Mahathir juga membangkitkan mengenai siapa yang mengarahkan pembunuhan Altantuya, mengenai hutang 1MDB serta pembelian jet baru yang katanya "untuk kegunaan Datuk Seri dan Datin Seri."

Serangan Tun Mahathir kali ini adalah yang paling keras berbanding sebeluknya dan menyeluruh menyentuh pelbagai aspek yang menjadi punca utama penolakan rakyat terhadap UMNO dan BN yang dipimpin oleh Najib.

Sebelum ini, ketika menulis mengenai 1MDB, Tun Mahathir sudah pun menimbulkan beberapa persoalan mengenai kaitan syarikat itu dengan Jho Low dan anak tiri Najib, Riza Aziz yang mampu menerbitkan filem di Hollywood dan membeli unit kondo mahal di New York.

Tulisan dan kritikan Tun Mahathir kali ini, jika difahami, tidak lain hanya dengan satu tujuan iaitu mahukan Najib berundur atau diundurkan dengan segera jika UMNO dan BN ingin terus mengekalkan kuasa dalam tangannya. 

Secara realitinya dan berdasarkan penolakan pelbagai segmen masyarakat yang makin nyata ketika ini, Najib sememangnya hampir tidak diyakini lagi mampu mencipta kemenangan buat UMNO dan BN dalam pilihanraya akan datang.

Najib bukan saja sarat dengan masalah, isu dan kelemahan, bahkan juga mengekalkan segala masalah, isu dan kelemahan itu kekal bersarang melingkari kepimpinannya tanpa menampakkan usaha yang jitu untuk bergerak memperbaikinya.

Yang menariknya, serangan dan kritikan Tun Mahathir kali ini segera mendapat respon positif daripada Tengku Razaleigh Hamzah yang mahukan Najib segera tampil memberikan jawapan kepada persoalan yang dibangkitkan itu.

Menurut beliau yang lebih popular dengan Ku Li, Tun Mahathir hanya menuntut penjelasan dan sudah sampai masanya Najib memberikan penjelasan agar kebenaran terserlah.

Pendirian senada antara Tun Mahathir dengan Ku Li ini secara umumnya adalah berita gembira kepada mereka yang sayangkan negara ini. Terlihat seolah-olah ada sinar baru untuk menyelamatkan negara ini daripada terus musnah dan binasa melalui pendirian senada Mahathir dan Ku Li ini.

Ketika ini, haruslah diakui bahawa negara kita diuruskan dengan teruk oleh Najib. Hutang negara meningkat, wang 1MDB hilang entah ke mana, ekonomi suram, ringgit jatuh, peluang perniagaan atau pekerjaan terhad, pembaziran serta pemborosan terus berleluasa, tadbir urus kerajaan di tahap paling lemah serta 1001 masalah lainnya.

Yang paling memeritkan ialah, hutang sudah pun sedia menunggu bagi anak dan cucu kita yang belum pun lahir ke dunia ini lagi.

Demi menyelamatkan masa depan negara ini, sebenarnya tidak saja Ku Li yang harus tampil memberi sokongan kepada Mahathir. Tun Abdullah Badawi, Tun Musa Hitam dan lain-lain harus juga berani bersuara dan bersama-sama berganding bahu dengannya.

Sebagaimana Tun Mahathir yang tiada kepentingan apa-apa lagi dalam kehidupannya kerana semua anak-anaknya sudah berjaya dan kaya raya, Tun Abdullah dan Tun Musa Hitam juga akan lebih dihormati dan dihargai jika mahu berganding bahu mulai sekarang.

Semua tokoh-tokoh yang pernah berjasa ini iaitu Tun Mahathir, Ku Li, Tun Abdullah dan Tun Musa Hitam harus melupakan sejarah silam dan tidak lagi terperangkap dengan penjara masa masing-masing. 

Sekarang adalah masa untuk "biduk lalu kiambang bertaut" serta "buang yang keruh dan ambil yang jernih" kerana masa depan negara dan generasi akan datang lebih penting dari segala-galanya. ( 02/04/2015)

Wednesday, 1 April 2015

1 April - Antara Resit Marah Dan Kenduri Mewah


1 April setiap tahun biasanya dikenali sebagai April Fool iaitu hari kita berjenaka atau mengenakan kawan-kawan dengan sesuatu yang menghiburkan. Tujuannya hanyalah untuk suka-suka, bergembira sambil mengeratkan hubungan dengan kawan atau kenalan.

Tetapi 1 April tahun ini di negara kita tiada lawak jenaka atau hilai ketawa seperti tahun-tahun sebelumnya. Semuanya kerana GST yang mula diperkenalkan membuat hampir semua orang lebih menumpukan kepada poket masing-masing dan menilai berapa wang tambahan yang perlu dikeluarkan akibat cukai baru itu.

Oleh kerana itu ia cukai baru dan kerajaan pula selalu mengatakan GST tidak membebankan rakyat, bahkan bangga mengatakan banyak barang akan turun harganya, lalu membuatkan mereka yang berbelanja mengumpul resit masing-masing dan membandingkannya  dengan sebelum ini.

Sesuai dengan media sosial yang turut berkembang, resit-resit pembelian yang mencatatkan kenaikan harga kerana dikenakan cukai GST sebanyak 6 peratus mulai sarat di Facebook dan Twitter sejak malam tadi untuk membuktikan cukai baru ini memang menyebabkan poket lebih rabak dibuatnya.

Ramai juga yang marah kerana pembelian tambah nilai telefon yang sebelum ini dikatakan dikecualikan GST tiba-tiba dikenakan cukai itu. Pasaraya Mydin yang sebelum ini mengaku akan menyerap cukai itu juga dibuktikan dengan resit yang turut mengenakan cukai itu.

Begitu juga, ada pembeli petrol RON97 turut dikenakan GST sedangkan sebelum ini ia dikatakan diserap oleh syarikat pengusaha stesen minyak.

Rata-rata resit yang bertaburan di media sosial adalah lambang marah rakyat terhadap kerajaan, bukan saja kerana cukai GST tetapi juga kerana tidak sungguh-sungguh menguatkuasakan apa yang dicakapkan kepada rakyat selama ini.

Resit-resit marah ini juga membuatkan tiada sesiapa lagi mahu berjenaka berkenaan April Fool pada tahun ini.

Di ketika yang sama, 1 April ini juga bermulanya penyebaran gambar-gambar perkahwinan mewah anak perempuan Najib Razak dengan Rosmah Mansor, Nooryana Najwa dengan pasangannya dari Kazaszhtan, Daniyar Kessikbayev, walaupun majlisnya telah berlangsung pada 28 Mac lalu.

Dalam majlis itu, difahamkan ada larangan secara sopan kepada para tetamu agar tidak menyebarkan gambar-gambar perkahwinan itu di media sosial seperti Facebook, Twitter atau Instagram.

Namun, dalam dunia digital sekarang di mana hampir setiap orang menggenggam telefon pintar, tentulah agak mustahil permintaan itu dipatuhi seratus peratus. Tidak diketahui siapakah yang mula-mula menyebarkannya gambar-gambar itu dan apakah tujuannya berbuat demikian.

Mungkin ia disebabkan terlalu kagum dengan perhiasan serta kemewahan majlis itu dan mungkin juga ingin berkongsi apa yang disaksikannya dengan lebih ramai rakyat Malaysia yang lain.

Apa pun, tersebarnya gambar-gambar itu di hari yang sama dengan GST dilaksanakan, mungkin sekadar kebetulan, tentu saja menambahkan lagi nasib malang yang sedang menimpa Najib dan kerajaan.

Ia seperti wujud garisan yang membezakan darjat - pemimpin dengan gaya mewahnya manakala rakyat sengsara mencatu perbelanjaan harian mereka. ( 01/04/15)

Pasangan mempelai anak dan menantu Najib di atas pelamin...

Mereka di acara memotong kek bertingkat-tingkat...

Pemandangan dewan perkahwinan yang dipenuhi bunga-bunga berwarna putih dan merah jambu...

Pemandangan dari jauh ketika pengantin di atas pelamin...

Tempat santapan untuk pengantin...

Laluan menuju ke dewan perkahwinan yang turut dipenuhi bunga-bunga...

Sudut pemandangan tetamu yang hadir...

Pengantin perempuan memegang jambangan bunga yang mewah dan mengkagumkan....

Benarkah Pasaraya Mydin menyerap cukai GST?

Resit pembelian RON97 yang dikenakan GST...

Tambah nilai telefon juga dikenakan GST walaupun kerajaan mengatakan sebaliknya sebelum ini...

Satu lagi bukti pembelian tambah nilai turut dikenakan GST...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...