Thursday, 9 May 2013
Permulaan Kebangkitan Rakyat Yang Digeruni Sudah Bermula...
Sebaik keputusan pilihanraya diumumkan dan Anwar menolak keputusan itu atas dakwaan berlakunya pelbagai unsur penipuan, manipulasi dan rencana yang didakwanya diatur SPR untuk memenangkan BN, Anwar lantas mengumumkan akan mengadakan suatu perhimpunan bantahan rakyat terhadap SPR di Stadium Kelana Jaya, Selangor.
Perhimpunan itu telah pun berlangsung malam semalam dengan kehadiran dikatakan melebihi 120,000 orang.
Anwar yang memang terkenal dengan kelebihan mengenai demonstasi dan membangkitkan semangat rakyat juga memberitahu, perhimpunan itu nanti akan menjadi permulaan kepada kebangkitan rakyat yang digeruni.
Dengan kehadiran seramai 120,000 dalam suasana hujan dan hari bekerja, bermakna sebahagian rakyat masih dalam suhu badan yang sedang mendidih dengan keputusan pilihanraya Ahad lalu dan juga terhadap SPR.
Melihat sambutan dan kehadiran rakyat yang luar biasa itu dan Anwar juga sudah mengumumkan akan mengadakan siri perhimpunan yang sama di beberapa bandar lain dengan dimulai di Pulau Pinang Sabtu ini, bermakna rakyat akan terus menyaksikan suara kebangkitan rakyat secara bersiri untuk tempoh beberapa lama lagi selepas ini.
Tentunya selepas semua bandar-bandar dibakar dengan semangat kebangkitan itu, suatu perhimpunan yang lebih besar akan diadakan di sekitar Kuala Lumpur pula selepas itu sebagai acara kemuncaknya untuk menekan kerajaan dan SPR supaya tunduk kepada tuntutan untuk melaksanakan pilihanraya yang adil dan bersih.
Mungkin juga selepas suatu perhimpunan, ia akan dituruti lagi dengan beberapa perhimpunan sehingga kerajaan tunduk dan akur dengan permintaan mereka. Tidak dinafikan, melihat kepada respon rakyat malam semalam, apa yang dikatakan Anwar bahawa perhimpunan yang benar-benar digeruni akhirnya akan menjadi kenyataan.
Ia nampaknya mirip dengan apa yang pernah berlaku di Indonesia, Thailand dan beberapa negara Arab sebelum ini.
Walapun ada rakyat yang mula muak dengan apa yang dilakukan oleh Anwar dan PR ini dan mahu mereka akur saja dengan keputusan pilihanraya yang lalu, hakikatnya sebahagian yang lain tetap bersemangat tinggi dengan perjuangan dan keyakinan mereka.
Orang yang berasa ditipu dan dianiaya tentunya akan berjuang habis-habisan menuntut hak keadilan mereka, malah ada yang sampai sanggup hingga ke hujung nyawa sekali pun. Orang yang sekadar melihat dan menyaksikan penipuan tidak sama perasaannya dengan orang yang mengalami. Inilah yang sedang berlaku.
Dalam hal ini, kerajaan dan SPR yang dituduh tidak boleh sekadar berdiam diri saja. Sesuatu harus harus dilakukan untuk meredakan masalah ini. Melawan peserta demonstasi dengan tangkapan, semburan air berwarna dan pukulan cota, mungkin tidak memberi makna lagi. Rakyat mahukan pendekatan yang lebih berhemah dalam hal ini.
Jika perlu berunding, berundinglah. Ketika ini kepentingan dan masa depan negara haruslah lebih diutamakan. Apa-apa isu yang dibangkitkan yang menjadi punca ketidakpuasan hati terhadap SPR dan perjalanan pilihanraya hendaklah dijelaskan dengan sejelas-jelasnya.
Ungkapan Pengerusi SPR yang meminta mereka yang tidak puas hati terhadap keputusan pilihanraya supaya mengemukakan bantahan dalam tempoh 21 bukanlah jawapan terbaik, lagi pula perkara itu sudah difahami oleh semua orang.
Jika ada kelalaian di pihak SPR semasa perjalanan pilihanraya yang menyebabkan keputusannya diragui, mereka haruslah mengakuinya. Janganlah terus berdalih dan bersikap sombong kerana suhu badan rakyat yang sedang mendidih tidak akan menjadi sejuk dengan jawapan seperti itu. Mana-mana kawasan pilihanraya yang diragui keputusannya, haruslah diselesaikan segera.
Jika perlu diadakan semula pilihanraya di kawasan-kawasan tertentu yang dipertikaikan itu, usahakanlah kearah itu asalkan negara ini selamat daripada huru-hara.
Kerajaan haruslah segera mengajak pimpinan PR mengadakan rundingan sebelum siri-siri demonstasi ini menjadi lebih parah. Semua orang tahu hal ini memang kelebihan Anwar. Jika dibiarkan dan tidak dibendung, kelebihan memang ada padanya.
Kerajaan sehingga ini masih lagi berdiam diri. Najib juga belum memberi sebarang respon lagi. Hanya Mahathir yang sudah nampak kebimbangannya terhadap siri kebangkitan rakyat yang sedang digerakkan oleh Anwar ini. Tetapi Najib dan kerajaan tidak boleh terlalu selesa dan memandang rendah perkara ini. Sesuatu harus dilakukan untuk menanganinya sebelum suhu kebangkitan rakyat menjadi tidak terkawal lagi. (SH 09/05/2013)
Wednesday, 8 May 2013
Najib Lebih Teruk Dari Pak Lah, Perlukah Peralihan Kuasa?
Keputusan pilihanraya yang baru ini tidak menjanjikan masa depan yang baik bagi Najib. Sementara tiada sebarang pujian yang dittujukan kepadanya, malah tiada majlis meraikan kemenangan pun diadakan, Najib bahkan sudah mula menerima kritikan berhubung keputusan buruk kali ini.
Selain pengundi Cina yang tidak memihak kepada BN cuba persalahkan dan api perkauman sedang cuba dibakar untuk menutup kelemahan, bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir juga tidak menjangka Najib mencapai keputusan yang lebih buruk daripada Pak Lah pada 2008.
Malah Mahathir juga membayangkan Najib bakal berdepan dengan kritikan daripada dalam UMNO sendiri berhubung keputusan buruk pilihanraya ini, sambil berkata Najib hanya boleh kekal sebagai Perdana Menteri selagi UMNO menyokongnya.
Kenyataan Mahathir yang begitu pantas menyebut Najib lebih teruk daripada Pak Lah mengingatkan kepada amaran beliau sebelum ini bahawa Najib seharusnya berundur jika tidak mampu mencapai keputusan yang lebih baik daripada Pak Lah.
Pilihanraya 2008 menyaksikan Pak Lah mendapat hanya 140 kerusi dan hilang majoriti dua pertiga. Beliau kemudian dipaksa berundur atas nama peralihan kuasa untuk menyelamatkan masa depan UMNO. Najib pula hanya mampu mencapai 133 kerusi, juga hilang dua pertiga dan kemerosotan sokongan pengundi Cina yang lebih ketara.
Walaupun Najib dan BN kali ini menghadapi persaingan sengit daripada PR, hakikatnya beliau telah gagal mengatasi kelemahan Pak Lah walaupun dalam masa yang sama Mahathir dan seluruh pimpinan UMNO berdiri teguh di belakangnya. Ini berbeza dengan Pak Lah yang ketika itu menghadapi tentangan dan ingin dijatuhkan oleh Mahathir.
Keputusan kali ini bukan saja menyaksikan BN berkurangan 7 kerusi Parlimen, tetapi juga kehilangan 71 kerusi DUN berbanding 2008.
Meskipun Kedah dapat kembali ditawan dan Perak yang dirampas melalui pintu belakang dapat dikekalkan, tetapi Najib juga gagal menawan kembali Selangor yang mana beliau mempertaruhkan dirinya sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor dan Pengarah Pilihanraya negeri itu.
Ini menjadikan kegagalan Najib lebih berganda sebenarnya.
Malah dengan trend pengundian kali ini di mana BN hanya kekal kukuh di luar bandar sementara pengundi Cina, pengundi bandar serta generasi muda menolaknya, masa depan UMNO dan BN terus menjadi tidak menentu menjelang PRU 14 akan datang.
Tidak itu saja, peratusan undi popular rakyat juga jelas tidak memihak kepada BN di mana pencapaiannya hanya 47 peratus saja manakala PR mampu mengaut lebih 50 peratus.
Sebagai Perdana Menteri pula Najib sebenarnya mempunyai masa yang terlebih cukup untuk membuktikan keupayaannya sebelum pilihanraya lalu di mana beliau mempunyai tempoh selama 4 tahun sejak mengambil alihnya daripada Pak Lah pada 2009 lalu.
Kebimbangan kini bukan saja mengenai masa depan UMNO dan BN dalam PRU 14 akan datang tetapi juga apakah Najib sedia berkorban untuk menyelamatkan UMNO dan BN? Jika Najib kekal lagi mengemudi PRU 14, jelas bahawa pencapaian yang lebih baik adalah mustahil.
UMNO dan BN perlu pemimpin yang lebih baik dan diterima untuk menghadapi pilihanraya seterusnya. Mahathir yang dianggap masih berpengaruh dalam UMNO jelas memberi bayangan tentang masa depan Najib apabila mengatakan beliau lebih teruk daripada Pak Lah. Sama ada Najib memahami signal itu atau peralihan kuasa perlu dilakukan dalam pemilihan UMNO yang dijangka hujung tahun ini atau setahun dua selepas itu, hakikatnya pertukaran kepimpinan UMNO merupakan sesuatu yang tidak dapat ditolak lagi jika parti itu ingin bernafas lagi.
Di mana-mana pun, pemimpin yang gagal harus berundur. UMNO sendiri sudah meletakkan penanda aras sebegitu untuk memperbaiki halatujunya dengan Tunku Abdul Rahman melaluinya pada 1969 dan Pak Lah pada 2008.
Najib juga tidak seharusnya lari daripada hakikat itu. (SH 08/05/2013)
Tuesday, 7 May 2013
Tidak Mengundi BN Tidak Bermakna Berlaku Polarisasi Kaum
Sebaik saja keputusan pilihanraya diumumkan malam Ahad lalu, Najib lantas menyelar sikap pengundi Cina yang cenderung tidak mengundi BN. BN banyak kalah di kawasan pengundi campuran di mana MCA dan Gerakan gagal lagi kali ini. Daripada 133 kerusi yang dimenangi BN, 109 daripadanya dimenangi oleh UMNO yang memperlihatkan penguasaan BN terhadap pengundi Melayu dan luar bandar saja.
Kejayaan menguasai kelompok pengundi Melayu itu sebahagiannya adalah disebabkan kempen melaga-lagakan Pas dengan DAP, selain sikap tegar kebanyakan pengundi Melayu itu sendiri. Ini menjadikan BN dapat menewaskan calon PR di banyak kerusi di Kedah dan Perak terutamanya.
Tetapi yang paling mengecewakan Najib dalam pilihanraya kali ini ialah keputusan pengundi Cina yang tidak memihak kepada BN. Beliau menganggapnya sebagai polarisasi kaum dan tsunami Cina telah berlaku.
Keghairahan Najib bercakap mengenai sikap pengundi Cina itu sebaik saja keputusan pilihanraya diumumkan memperlihatkan sikap tidak bertanggungjawabnya sebagai Perdana Menteri kepada seluruh rakyat Malaysia yang berbilang kaum. Beliau seharusnya memperolehi data dan maklumat lengkap terlebih dahulu sebelum membuka mulut mengenainya.
Kalau pun mahu bercakap dan meluahkan kekecewaannya, beliau seharusnya lebih berjiwa besar dengan menuturkan perkataan yang lebih lembut manis. Ini kerana apa yang dilakukan oleh pengundi Cina itu bukanlah suatu kesalahan, jauh sekali sebagai jenayah.
Memang diakui pengundi Cina tidak memihak kepada BN tetapi tidak bermakna mereka tidak menyokong Melayu. Mereka hanya tidak menyokong BN kerana isu-isu lain seperti rasuah, kepimpinan, ekonomi, mahukan perubahan dan sebagainya.
Lagi pula yang pengundi Cina tolak kebanyakannya adalah calon Cina juga seperti daripada MCA dan Gerakan. Pengundi Cina tidak terbukti kukuh menolak calon UMNO kerana UMNO masih mampu menang di 109 kawasan Parlimen.
Dalam konteks yang lain, jika benar pengundi Cina menolak Melayu, bagaimana pula calon-calon Melayu dalam PR masih boleh menang dan mendapat sokongan daripada mereka seperti Rafizi di Pandan dan Arif Sabri di Raub?
Maknanya, pengundi Cina tidak menolak Melayu dan tiada polarisasi kaum berlaku. Mereka hanya menolak BN kerana yakin dengan kerajaan dan juga tidak lagi meyakini dengan kewibawaan MCA dan Gerakan sebagai angggota komponen gabungan itu.
Sikap Najib dan BN mempertikaikan pendirian pengundi Cina juga menunjukkan seolah-olah mengundi selain BN merupakan suatu dosa yang besar sehingga segala sumbangan dan pemberian kerajaan selama ini harus diungkit-ungkit dan mereka dilabel sebagai rakyat yang tidak mengenang budi.
Ini jelas memperlihatkan ketidakmatangan dalam berpolitik. Memilih dan mengundi mana-mana parti adalah hak setiap rakyat dan tugas kerajaan adalah menjalankan amanah yang ada di bahu mereka. Jika dengan tugas, pemberian dan sumbangan yang diberikan, sokongan yang diharapkan tidak juga kunjung tiba, kajian haruslah dilakukan untuk mengenalpasti apa sebenarnya yang dimahukan mereka.
Setidak-tidaknya usaha mendekati mereka harus dilipatgandakan lagi, bukannya menyelar dan menghentam mereka.
Sikap dan pendirian pengundi Cina yang tidak memihak BN ini tidak jauh bezanya seperti pengundi Melayu bandar dan pengundi muda yang lebih cenderung kepada PR berbanding BN. Pendirian mereka ini banyak dipengaruhi oleh akses maklumat yang lebih menyeluruh dan mereka merupakan kelompok yang mengetahui lebih banyak perkara berbanding penduduk di luar bandar.
Tetapi mereka juga tidak boleh dituduh sebagai Melayu yang lupa diri atau Melayu yang tidak menyokong Melayu. Tidak menyokong UMNO dan BN tidak sesekali bermakna tidak menyokong Melayu atau anti Melayu.
Walaupun Najib memperkenalkan dasar 1Malaysia tetapi beliau tidak bolehlah mengharapkan dalam tempoh 4 tahun ia mampu dicapai dengan sempurna. Memang setakat ini dasar itu gagal menarik sokongan pengundi Cina kepada BN dan kerajaan tetapi usaha hendaklah diperbaiki lagi jika ingin terus mendapatkan sokongan mereka.
Selain penambahbaikan melalui usaha kerajaan, MCA dan Gerakan juga harus melakukan rombakan serta penjenamaan semula untuk menarik hati pengundi Cina terhadap BN. Dengan imej kedua parti itu sekarang, tentunya mereka lebih memilih DAP dan PKR yang dilihat lebih agresif dan pragmatik dalam menggerakkan halatujunya.
Kecenderungan membuat tuduhan melulu, tanpa kajian dan hanya melihat apa yang ada di permukaan saja dalam isu pengundi Cina ini, tanpa mahu memperbaiki kesilapan dan kelemahan sendiri, pasti akan mengundang bahaya yang lebih besar kepada BN dalam PRU 14 nanti. (SH 07/05/2013)
Subscribe to:
Posts (Atom)