Friday, 3 May 2013

Penerbangan Khas Bawa Pengundi: Pejabat PM, MAS Nafi Tapi Ku Nan Kata Betul...


Keraguan mengenai kebanjiran pengundi hantu daripada Sabah dan Sarawak dalam pilihanraya ini sebenarnya bukanlah perkara baru. Ia telah dibangkitkan sejak dua tiga tahun lalu lagi. Ketika itu dipercayai ada usaha mendaftarkan warga asing dari Sabah dan Sarawak sebagai pengundi berdaftar di Semenanjang, terutama di negeri Selangor yang menjadi impian BN untuk menawannya semula.

Di Sabah memang diketahui ramai warga asing Filipina telah diberikan kad pengenalan biru  dan didaftarkan sebagai pengundi yang sah. Perkara ini telah berlarutan sejak sekian lama dan Mahathir melalui dua orang kanannya iaitu Aziz Shamsuddin dan arwah Megat Junid Megat Ayob telah didakwa memainkan peranan utama dalam perkara itu di awal tahun 90an dulu dengan matlamat untuk menumbangkan kerajaan PBS ketika itu.

Pemberian kad pengenalan biru ini diakui oleh kerajaan sendiri sehingga Najib bersetuju menubuhkkan Suruhanjaya Siasatan Diraja atau RCI mengenainya. RCI ini masih meneruskan siasatannya dan beberapa fakta mengenainya sudah pun didedahkan sebelum ini. Hakikatnya perkara ini benar-benar berlaku dan Mahathir sendiri mengakuinya.

Kebanjiran pendatang asing di Sabah  yang dianggarkan berjumlah 800 ribu ini bukan saja menyebabkan pelbagai masalah sosial, malah turut menyebabkan kepentingan Bumiputera dan Kadazan diabaikan. Lebih dari itu, insiden Lahad Datu baru-baru ini turut dipercayai mempunyai kaitan dengan limpahan pendatang Sulu yang tidak terkawal itu.

Semalam Anwar mendedahkan pelbagai bukti mengenai usaha membawa masuk pengundi hantu daripada Sabah dan Sarawak melalui penerbangan khas selama beberapa hari yang dianggarkan berjumlah 40,500 orang semuanya. Sebahagiannya dipercayai sebagai pengundi di Selangor, sesuai dengan impian dan cita-cita besar Najib untuk menawan semula negeri paling kaya itu.

Ketika Anwar mendedahkan perkara itu, beliau mengaitkannya dengan Pejabat PM dan MAS yang didakwa terlibat berkomplot mengenainya. Tetapi tidak lama kemudian, Pejabat PM dan MAS segera menafikan perkara itu.

Tanpa sebarang hujah, Pejabat PM selain menafikan penglibatannya turut menyatakan bahawa SPR telah bertungkus-lumus untuk memastikan pilihanraya negara ini berjalan dengan bebas dan adil.

Namun agak memeranjatkan apabila malam tadi Setiausaha Agung UMNO, Tengku Adnan Tengku Mansor  mengesahkan pula adanya penerbangan khas untuk membawa pengundi  sebagaimana yang didakwa Anwar itu. Katanya, penerbangan khas yang dibiayai oleh rakan-rakan BN itu sebenarnya adalah untuk membawa pengundi-pengundi yang sah berdaftar dengan SPR yang tinggal di kedua-dua negeri tersebut.

Ini memberi makna bahawa penerbangan khas yang dibangkitkan Anwar itu benar-benar wujud dan kebimbangan mengenai pengundi hantu daripada Sabah dan Sarawak yang didaftarkan di Semenanjung juga memang ada asasnya.

Dengan pengakuan Ku Nan sebagai orang yang mengetuai operasi UMNO dan BN itu, walaupun dikatakan mereka itu pengundi berdaftar tetapi persoalannya adakah mereka itu rakyat asal Sabah dan Sarawak atau warga Semenanjung yang bekerja di kedua negeri itu? Jika ia, kenapa jumlahnya begitu ramai sehingga 40,500 orang?

Jika mereka itu rakyat Semenanjung yang bekerja di Sabah dan Sarawak,  mungkin tidak menjadi masalah tetapi bagaimana orang  daripada kedua negeri ini boleh didaftarkan untuk mengundi di Semenanjung pula? Ini tentunya menjadi teka-teki yang besar.

Rakyat sebenarnya berhak mengetahui status kerakyatan mereka itu kerana penglibatan mereka dalam pilihanraya dan menjadi pengundi bermakna ia berkait rapat dengan soal masa depan negara. Jika mereka itu rakyat asing yang diberikan kad pengenalan dan didaftarkan dengan SPR sebagai pengundi semata-mata-mata untuk memberi kelebihan kepada BN mencetak kemenangan,  jelas ia merupakan perbuatan khianat kepada negara.

Sesiapa yang bertanggungjawab wajib diadili dan dihukum sebagai pengkhianat kepada negara.

Setelah pengakuan Ku Nan ini, kita tentunya menanti penjelasan lanjut daripada Najib mengenai perkara ini, Beliau seharusnya bersikap telus dan memberitahu siapa mereka itu, apa identiti mereka dan di mana mereka mengundi.

Tidak guna Najib dan BN bercakap soal ketelusan, keadilan dan mengutamakan rakyat sendiri jika dalam hal sebegini tidak dapat dijelaskan kepada umum dan seolah-olah warga asing dijadikan penentu untuk mencapai kemenangan.

Seandainya tiada sebarang penjelasan yang meyakinkan daripada Najib dan BN mengenai perkara ini menjelang hari pengundian nanti, bermakna terdapat usaha yang tersusun untuk memenangi pilihanraya kali ini dengan cara yang mencurigakan dan mengenepikan hak rakyat Malaysia sendiri.

Hanya terdapat satu cara untuk mengatasi perkara ini iaitu rakyat mesti bangkit dengan lebih kuat lagi menolak BN dan memberi majoriti kemenangan yang lebih selesa kepada PR agar kewujudan pengundi hantu dan diragui ini tidak lagi dapat memainkan peranannya di masa-masa akan datang. (SH 03/05/2013)

Thursday, 2 May 2013

Impian Mukhriz Menjadi MB Kedah Bakal Kecundang?


Keputusan Najib meletakkan Mukhriz Mahathir bertanding di DUN Ayer Hitam bukan saja dengan hasrat untuk menawan semula negeri itu daripada Pas tetapi dalam masa yang sama mahu menjadikan anak bekas Perdana Menteri selama 22 tahun itu sebagai Menteri Besar Kedah yang baru. Dengan mempertaruhkan Mukhriz, Najib berkeyakinan BN mempunyai peluang yang lebih baik, di samping bantuan kempen dari Mahathir juga tentunya lebih berganda.

Mahathir bukan saja merasakan langkah Najib menjadikan anaknya sebagai bakal MB Kedah merupakan suatu penghargaan buat dirinya tetapi juga sebagai menyediakan laluan yang lebih selesa untuk beliau membina masa depan yang lebih cemerlang dalam UMNO.

Namun, dengan masa hanya berbaki dua hari sebelum hari pengundian, harapan untuk melihat BN mampu menawan semua Kedah dan Mukhriz bakal menjadi Menteri Besarnya nampaknya masih lagi suram. BN masih menghadapi laluan yang yang sukar untuk menawan semula negeri itu walaupun Mukhriz dilihat mempunyai peluang yang lebih baik untuk menang di DUN Ayer Hitam.

Walaupun Najib dan Muhyiddin cuba menyerang Pas Kedah dan kerajaan pimpinan Azizan Razak dengan pelbagai isu, ia nampaknya tidak meninggalkan kesan yang mendalam kepada pengundi. Beberapa pemimpin UMNO sendiri masih ragu-ragu sama ada BN mampu menawan semula Kedah atau sebaliknya.

UMNO dan BN sehingga ini dilihat tidak mampu menyediakan alasan yang benar-benar  kukuh kenapa kerajaan Pas Kedah perlu ditukar kerana selama lima tahun ini kerajaan negeri itu telah berjalan dengan baik dan tidak berlaku sebarang penyelewengan atau salah guna kuasa. Alasan pembangunan dan kekurangan pelaburan atau keinginan menukar semata-mata bukan saja tidak begitu diterima sehingga ini malah beberapa fakta yang dibawa oleh UMNO dan BN juga telah disanggah oleh kerajaan negeri..

Pas Kedah pula sering menghujahkan kejayaan pentadbiran mereka ialah berkaitan peningkatann hasil balak sebanyak RM40 juta setahun berbanding semasa BN yang hanya RM8 juta, selain pentadbiran yang bersih daripada unsur rasuah dan penyelewengan.

Jika keadaan ini berterusan sehingga hari pengundian, bermakna Mukhriz hanya boleh menang di DUN Ayer Hitam tetapi negeri Kedah masih kekal di tangan Pas. Impiannya untuk menjadi Menteri Besar menjadi tidak kesampaian.

Satu lagi faktor yang menyukarkan UMNO dan BN menawan semula Kedah ialah kerana faktor Mahathir. Terdapat pemimpin tertentu yang tidak senang dengan pengaruh Mahathir dan merasakan jika BN berjaya menawan semula Kedah serta Mukhriz menjadi Menteri Besar, ia bermakna kemunculan semula pengaruh bekas Perdana Menteri itu di arena politik Kedah.

Seorang penceramah Pas mendakwa, beliau  telah diminta oleh pemimpin UMNO Kedah sendiri untuk menyerang Mahathir dan menggagalkan hasrat BN menawan negeri itu. Tidaklah menghairankan kini pelbagai serangan keatas Mahathir mulai diperhebatkan dengan pelbagai isu mula dibangkitkan mengenainya.

Sementara itu, hasrat BN untuk menumbangkan dua tokoh Pas di Kedah iaitu Mat Sabu di Pendang dan Mahfuz Omar di Pokok Sena dengan meletakkan calon yang diyakini boleh menang juga bakal menerima nasib yang sama kerana sehingga ini penerimaan pengundi lebih memihak kepada kedua-dua tokoh Pas itu.

Mat Sabu yang ditentang oleh Othman Abdul diramal akan mencapai kemenangan kerana calon UMNO itu merupakan calon kitar semula yang sudah tidak aktif lagi di kawasan itu sejak sekian lama manakala Sahlan Ismail juga masih mencari rentak yang sesuai dalam kempennya yang boleh memikat hati pengundi.

Ramai pengundi yang tidak tertarik dengan Sahlan kerana dalam kempennya beliau lebih banyak menceritakan tentang hubungan rapatnya dengan Najib dan bagaimana beliau kerap dipanggil ke Seri Perdana atas urusan-urusan tertentu oleh Perdana Menteri. Seorang pimpinan UMNO Pokok Sena dikatakan sampai menegur Sahlan berikutan cara kempennya itu kerana beliau sepatutnya memberitahu pengundi tentang apa yang mahu dilakukannya kepada kawasan itu daripada bercerita tentang akrabnya beliau dengan Najib dan keluarganya.

Selain itu, keupayaan Sahlan berucap juga menjadi isu dan sering dibandingkan dengan Mahfuz yang lebih mempersona khalayak ketika di atas pentas. (SH 02/05/2013)

Wednesday, 1 May 2013

Bukankah Daim Mula Berjaya Dengan Menipu?


Selepas Mahathir, Daim Zainudin kini menjadi orang pencen terbaru yang paling takut jika Pakatan Rakyat memenangi pilihanraya pada 5 Mei depan. Beliau sekarang menjadi sama sibuk dengan Mahathir. Di Putrajaya, beliau bukan saja berkempen untuk memastikan kemenangan Tengku Adnan tetapi juga mengambil kesempatan menyerang Anwar dan menasihatkan rakyat jangan mudah menukar kerajaan.

Hujah-hujahnya mengenai Ku Nan perlu dikekalkan di Putrajaya dan juga mengenai pertukaran kerajaan adalah pandangan biasa yang tidak ada luar biasanya. Sudah banyak tahap pencacai UMNO yang turut memberikan hujah yang sama.

Dari segi memberi pandangan dan meyakinkan rakyat, Daim tidaklah sehebat mana. Hebatnya beliau ialah kerana mempunyai banyak wang.  Pesona wang yang dimilikinya jauh melebihi pesona hujah yang dilontarnya. BN pun mengharapkan pandangan Daim dapat meyakinkan rakyat bukan kerana hebatnya hujah beliau tetapi kekayaan yang dimilikinya.

Sebelum ini, beberapa ramalan Daim terbukti benar seperti jatuhnya Perak dan Selangor dalam pilihanraya 2008 lalu. Tetapi ia tidak dibuktikan merupakan kajian atau kerja turun padang yang dilakukannya. Boleh jadi maklumat itu daripada orang lain yang dibeli oleh Daim. Kerana dia mempunyai wang, bukan saja maklumat boleh dibelinya, manusia sanggup jadi bahan jualan kepadanya.

Cuma yang menarik ialah mengenai serangannya tentang keupayaan Anwar sebagai Menteri Kewangan. Beliau menyifatkan Anwar tidak berkemampuan dan hampir setiap hari merujuk kepadanya untuk mendapat bantuan.

Soalnya bolehkah cakap Daim dipercayai. Apakah beliau tidak menipu?

Tidak semua orang berpeluang mengenali Daim dan orang hanya mengetahui mengenai kejayaannya yang digembar-gemburkan semasa menjadi Menteri Kewangan. Tetapi jika diperhatian iklim ekonomi negara dan dunia yang berkembang baik ketika beliau menjadi Menteri Kewangan itu, sumbangan pemikirannya tidaklah sehebat mana. Sesiapa pun menjadi Menteri Kewangan ketika itu, cerita kejayaannya tidak jauh berbeza.

Untuk mengenali dan memahami dengan mendalam, bacalah buku Daim Yang Diam. Buku itu menceritakan pelbagai perkara mengenai dirinya, termasuk bagaimana beliau mula berjaya sebagai ahli perniagaan sedangkan sebelum itu beberapa peniagaan yang diceburinya mengalami kegagalan termasuk perniagaan garam.

Dalam buku itu ditulis bahawa kejayaannya bermula dengan membangunkan Taman Maluri di Kuala Lumpur atau Selangor ketika itu. Bagaimana ia bermula? Ia bermula apabila seseorang datang kepadanya dengan membawa pelan tanah dan mengajaknya menjadi rakan kongsi membangunkan kawasan perumahan Taman Maluri dengan memohon kelulusan daripada Menteri Besar Selangor, Datuk Harun Idris.

Semasa perbincangan itu, secara senyap dan sembunyi-sembunyi, beliau telah meminta setiausahanya membuat fotostat pelan tanah tersebut tanpa pengetahuan orang yang memiliki pelan itu. Dengan adanya pelan tanah itulah kemudiannya Daim berjumpa dengan Datuk Harun dan membuat permohonan tanah Taman Maluri itu untuk syarikat miliknya.

Beliau telah meninggalkan atau dalam bahasa bisnesnya "mengencing"  orang yang memiliki pelan tanah dan mempunyai idea asal membangunkan Taman Maluri itu.

Itulah permulaan kejayaan Daim yang ditulis oleh Fatini Yaakob dalam bukunya Daim Yang Diam itu. Fatini adalah isteri kepada Elis Nor Abdul, bekas Setaiusaha Politik Najib yang kini mengetuai War Room BN untuk pilihanraya ke 13 ini.

Dalam bahasa yang mudah, kejayaan Daim  sebenarnya bermula dengan menipu orang lain. Beliau tidak menunjukkan kejujuran, keikhlasan dalam berkawan dan menjalankan perniagaan. Tetapi orang inilah yang dijadikan kawan rapat dan Menteri Kewangan oleh Mahathir.

Oleh itu, apabila sekarang ini beliau menyerang dan mempertikai Anwar dengan mengatakan sepanjang lapan tahun Anwar menjadi Menteri Kewangan, hampir setiap hari bantuannya diminta, apakah beliau seorang yang jujur dan tidak menipu?

Bolehkah kata-katanya dipercayai sedangkan sejarah hidup dan kejayaannya sendiri terakam  sebagai  seorang yang tidak jujur dan ada unsur-unsur menipu? (SH 01/05/2013)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...