Thursday, 2 March 2017

ANTARA NAZRI AZIZ DAN PROTON YANG DIILHAM TUN M, SIAPA GAJAH PUTIH?

Dalam tulisan di blognya pada April 2016 iaitu sejurus selepas mengundurkan diri sebagai Pengerusi Proton, Tun Mahathir Mohamad ada menyenaraikan pemberian kerajaan kepada syarikat kereta nasional itu serta perbandingan dengan sumbangan Proton kepada kerajaan.


Pemberian kerajaan kepada Proton  ialah:-


- RM1,320 juta dalam bentuk insentif cukai yang juga layak diterima oleh kereta lain.


- RM773.8 juta dalam bentuk geran penyelidikan dan pembangunan, geran khas, pakej rangsangan yang turut dinikmati oleh pengeluar automitif lain.


- RM12,532.6 juta insentif khusus yang turut dinikmati oleh pemain industri automotif


- secara keseluruhannya bermula 1985 sehingga kini, sumbangan kerajaan kepada Proton ialah sebanyak RM14,631.4 juta.


Sumbangan Proton kepada kerajaan pula ialah:-


- duti eksais sejak 1985 hingga sekarang berjumlah RM11,785 juta.


- cukai jualan sejak 1985 hingga sekarang sebanyak RM9,470 juta.


- cukai korporat sejak 1985 hingga sekarang sebanyak RM1,410 juta.


- duti import sejak 1985 hingga 2008 ialah RM1,403 juta.


- cukai GST sejak 1 April 2015 sebanyak RM28 juta.


- secara keseluruhannya sumbangan Proton kepada kerajaan sejak 1985 hingga sekarang ialah sejumlah RM24,095 juta.


Bermakna, sumbangan Proton kepada kerajaan ialah RM24,095 juta berbanding pemberian kerajaan kepada Proton sebanyak RM14,631.4 juta.


Sebagai tambahan, kata Tun Mahathir lagi dalam tulisan di blognya itu, Proton juga telah menyediakan 12,000 peluang pekerjaan secara langsung dan 250,000 lagi secara tidak langsung kepada rakyat Malaysia.


Berbanding Nazri Aziz, sejak beliau berada dalam kerajaan bermula ketika Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri sehinggalah sekarang, berapa banyakkah pemberian kerajaan dari segi gaji, elaun dan kemudahan-kemudahan lain kepadanya?


Apa pula sumbangan Nazri kepada kerajaan yang boleh rakyat ingati sehingga sekarang?


Agak-agak antara pemberian kerajaan kepada Nazri dengan sumbangannya kepada kerajaan sebagai menteri, mana satu yang lebih besar?


Antara Nazri dengan Proton yang diilhamkan oleh Tun Mahathir, siapa sebenarnya gajah putih? (Shahbudin 02/03/2017).

Wednesday, 1 March 2017

BESORNYA CITA-CITA TERBARU PAS!!


Dulu Pas hanya mahu bertanding 70 kerusi Parlimen sahaja dan menyasarkan menang sekurang-kurangnya 40 daripadanya. Mereka berkeras jumlah 70 kerusi itu tidak boleh dikacau oleh sesiapa.


Dengan kemampuan menang 40 kerusi, matlamat Pas sekadar memadai mahu jadi "king maker"  atau kuasa penentu di antara BN dan Pakatan Harapan.


Itu cita-cita dulu. Sekarang cita-cita Pas jauh lebih besar lagi daripafa sekadar menjadi kuasa penentu.


Menurut Naib Presiden Pas, Mohd Amar Nik Abdullah, berdasarkan kajian, Pas kini bukan saja cerah untuk mengekalkan pemerintahan di Kelantan, bahkan tidak mustahil mampu menawan Putrajaya.


Bagi tujuan itu, Pas katanya, akan bertanding di semua kawasan Parlimen dalam PRU 14 akan datang, selain sedia bergerak sendirian serta menghadapi pertandingan lebih daripada dua penjuru.


Melalui kajian dibuat, peluang PAS cerah untuk menang bukan hanya di Kelantan, malah tidak mustahil kita akan rampas Malaysia, tambah Timbalan Menteri Besar Kelantan itu lagi.

Daripada "king maker", Pas kini ada cita-cita baru iaitu bertanding sendirian untuk menawan Putrajaya. 


Makanya, Bersatu yang masih ghairah mahu bekerjasama dengan Pas, baiklah lupakan saja hasrat itu.


Besornya cita-cita dan banyaknya modal kewangan Pas untuk bertanding di semua 222 kawasan Parlimen kali ini.


Tetapi, sebelum itu apa kata kita lihat fakta sejarah mengenai jumlah kemenangan yang mampu diraih Pas sama ada ketika bertanding sendirian atau bergabung dengan lain-lain parti.


- Pilihanraya 1974 (bergabung dengan UMNO) - 14 kerusi.


- Pilihanraya 1978 (bersendirian) - 5 kerusi.


- Pilihanraya 1982 (bersendirian) - 5 kerusi.


- Pilihanraya 1986 (bersendirian) - 1 kerusi.


- Pilihanraya 1990 (bergabung dengan Semangat 46) - 7 kerusi.


- Pilihanraya 1995 (bergabung dengan Semangat 46) - 7 kerusi.


- Pilihanraya 1999 (bergabung dalam Barisan Alternatif iaitu Pas, PKR dan DAP) - 27 kerusi.


- Pilihanraya 2004 (bergabung dalam Barisan Alternatif iaitu Pas dan PKR) - 7 kerusi.


- Pilihanraya 2008 (bergabung dalam Pakatan Rakyat iaitu Pas,PKR, DAP) - 23 kerusi.


- Pilihanraya 2013 (bergabung dalam Pakatan Rakyat  iaitu Pas,PKR, DAP) - 21 kerusi.


Berdasarkan fakta sejarah di atas, adakah Pas kuat dan menang banyak kerusi Parlimen ketika bersendirian atau sewaktu bergabung dengan parti-parti lain?


Keajaiban bagaimana yang Pas harapkan untuknya menang sekurang-kurangnya 112 daripada keseluruhan 222 kerusi Parlimen untuk membolehkan Putrajaya dapat ditawan?


Sudahkah Pas mengukur baju di badannya sendiri? (Shahbudin 01/03/2017).

SEPARUH DARIPADA AS$27 BILION, NILAINYA BERAPA?


Semalam gegak-gempita golongan penyokong dan pengampu Najib Razak dengan berita syarikat minyak Arab Saudi, Aramco membeli 50 peratus pegangan saham dalam projek Rapid Petronas di Pengerang, Johor.

Kata mereka, ia merupakan satu lagi tanda hubungan baik dan saling percaya-mempercayai antara Raja Salman dengan Najib.

Pada awal tahun sebelum ini, tersebar berita bahawa Aramco berhasrat untuk menangguhkan rancangannya untuk menjalin kerjasama dengan Petronas dalam Projek Penapisan dan Pembangunan Petrokimia Bersepadu (Rapid) di Pengerang itu.
Alasanya ialah pelaburan dalam projek tersebut dianggap tidak akan menjana pulangan yang mencukupi untuk Aramco.

Menteri Kewangan Kedua, Johari Abdul Ghani pada 31 Januari 2017 mengesahkan penarikan diri Aramco dalam projek bernilai AS$27 bilion itu, tetapi mengatakan ia tidak memberi kesan apa-apa kerana Petronas memang membiayainya sendiri sejak awal lagi.

Aliran tunai untuk dana projek itu sehingga siap sentiasa berdasarkan hanya kepada kemampuan Petronas sendiri, tambah beliau lagi.

Alih-alih sempena lawatan Raja Salman ini, Aramco tiba-tiba bukan saja menandatangani perjanjian pembelian saham sebanyak 50 peratus projek Rapid bernilai AS$7 bilion atau kira-kira RM31 bilion, bahkan  mengatakan tidak pernah ada rancangan untuk menarik diri.

Apa yang pelik dalam hal ini?

Johari mengatakan projek Rapid bernilai AS$27 bilion, tetapi Aramco membeli 50 peratus daripadanya dengan hanya AS$7 bilion.

50 peratus  atau separuh daripada nilai AS$27 bilion, berapa angkanya?

Sekiranya ada Profesor Matematik, tolonglah jelaskannya?
Jika dalam kes pembelian 37 peratus saham Eagle High Plantation di Indonesia oleh Felda yang bernilai AS$505.4 juta, nilai yang sanggup dibeli oleh agensi peneroka itu dilaporkan sehingga 173 peratus lebih lebih tinggi berbanding harga pasaran, kenapa pula dalam menjual saham Rapid di Pengerang, ia seolah-olah dengan harga lelong?

Adakah ini cara kerajaan Malaysia berniaga, beli mesti mahal dan jual mesti murah?

Adakah kerana harga murah itu yang menjadi sebab utama Aramco tidak jadi menarik diri dan seterusnya setuju mengusai 50 peratus saham Rapid? (Shahbudin 01/03/2017).
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...