Wednesday, 18 June 2014
Najib Juga Tidak Setuju Dengan MAIS
Setelah beberapa hari berlakunya polemik mengenai kitab Bible yang enggan dipulangkan oleh Jabatan Agama Islam Selangor atau Jais meskipun diarahkan berbuat demikian oleh Peguam Negara, Perdana Menteri, Najib Razak akhirnya mengeluarkan kenyataannya petang semalam dengan harapan kemelut itu dapat diakhiri dengan baik.
Peguam Negara memutuskan tiada sebarang pendakwaan akan dilakukan terhadap Persatuan Bible Malaysia yang didapati memiliki Bible bahasa Melayu serta terdapat kalimah Allah didalamnya dan mengarahkan kitab itu dipulangkan semula kepada persatuan terbabit.
Bagaimanapun, Majlis Agama Islam Selangor atau Mais yang menaungi Jais enggan mematuhi arahan Peguam Negara itu dengan alasan mereka di pihak yang betul serta mendakwa rampasan Bible itu mematuhi peruntukan Enakmen Agama Bukan Islam 1988 (kawalan pengembangan di kalangan orang Islam).
Najib mengeluarkan kenyataan ini kerana di sebalik Jais atau Mais diminta mematuhi arahan Peguam Negara itu, semakin keras pula pendirian tidak mahu memulangkannya. Ini seolah-olah mengundang ketegangan yang berpanjangan.
Dalam kenyataannya, Perdana Menteri menggesa Mais berunding dengan Peguam Negara jika ia berpendapat Peguam Negara perlu mengkaji semula keputusannya dalam isu rampasan kitab Bible oleh Jais.
Apa maksudnya? Jelas bahawa Najib mahukan Mais berunding dengan Peguam Negara dan bukannya terus membuat keputusan tidak mahu memulangkan Bible itu sebagaimana yang dilakukannya sekarang ini.
Maknanya, Najib tidak setuju dengan pendirian Mais yang yang tidak menggunakan kaedah rundingan dengan Peguam Negara, sebaliknya terus menyatakan tidak setuju dengan keputusan Peguam Negara serta enggan pula mematuhi arahan yang diberikannya.
Perdana Menteri menambah lagi, penyelesaian isu rampasan kitab Bible milik Perstuan Bible Malaysia itu hendaklah dibuat berdasarkan peruntukan dan semangat Perlembagaan serta Undang-undang Negara supaya ia dapat diterima oleh masyarakat.
Kajian semula keputusan yang dibuat oleh Peguam Negara semestilah berasaskan kepada lunas undang-undang negara ini dan semua pihak mesti menghormati keputusan yant dibuat, demikian kata kenyataan oleh Najib itu lagi.
Apakah pula maksudnya? Ia tidak lain meminta Mais menghormati Perlembagaan dan undang-undang yang menetapkan kuasa pendakwaan adalah terletak di tangan Peguam Negara. Jika Peguam Negara mengatakan tiada kes, keputusan itu hendaklah dihormati kerana itulah semangat memahami undang-undang dan Perlembagaan.
Namun demikian, sekiranya tidak berpuas hati, ia boleh dirayu atau dibincangkan kemudian dengan baik, tetapi bukannya dengan membantah secara terbuka. Membantah secara terbuka samalah dengan tidak menghormati Perlembagaan dan Undang-undang Negara.
Dalam kenyataan seterusnya, Najib juga berkata, kerajaan negeri Selangor, Mais dan Jais yang mempunyai tanggungjawab sepenuhnya terhadap urusan dan pentadbirah hal ehwal Islam di Selangor hendaklah menentukan sama ada untuk memulangkan kitab Bible tersebut atau sebaliknya.
"Sebagaimana Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan, Islam ialah agama bagi Persekutuan dan agama lain boleh diamalkan. Perlembagaan Persekutuan juga menjamin kesucian Islam dan umat Islam dari dipengaruhi oleh doktrin atau ajaran agama lain.
"Manakala Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan, juga memberi kuasa kepada kerajaan persekutuan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan, Putrajaya dan juga kerajaan negeri untuk mengawal atau menyekat perkembangan doktrin atau kepercayaan agama lain di kalangan orang Islam," kata Najib dalam kenyataannya itu lagi.
Sangat jelas bahawa Najib ingin mengatakan bahawa walaupun Islam adalah agama Persekutuan tetapi agama lain juga boleh diamalkan, dengan syarat tiada sebarang percubaan menyebarkan agama lain kepada orang Islam.
Dalam konteks kitab Bible yang dirampas, ia dirampas di pejabat Persatuan Bible Malaysia dan dipercayai dalam perjalanan untuk dihantar ke Sabah dan Sarawak yang sememangnya kerajaan telah membenarkan penggunaan kitab Bible berbahasa Melayu di kedua-dua negeri tersebut.
Dalam masa yang sama, kitab Bible itu juga difahamkan diletakkan di tempat terbuka ketika rampasan dilakukan. Ini bermakna tiada kebarangkalian ia digunakan secara sembunyi atau cuba diedarkan secara sulit kepada umat Islam di Semenanjung.
Bukan saja tiada bukti Bible itu sebagai alat menyebarkan doktrin agama lain kepada umat Islam, bahkan kitab itu juga diletakkan di premis yang jelas kaitannya dengan agama Kristian.
Walaupun Najib menyerahkan kepada kerajaan Selangor, Mais dan Jais membuat keputusan akhir, tetapi adalah jelas beliau mahukan keputusan itu sentiasa dalam ruang lingkup menghormati Perlembagaan dan Undang-undang serta memahami kebebasan beragama yang diamalkan di negara ini.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan Najib ini, tidak terselindung juga niat dan kemahuannya agar keputusan Peguam Negara itu dihormati oleh Mais. Kerajaan sendiri Selangor sudah pun akur dengan keputusan Peguam Negara itu, hanya Mais saja yang berkeras ketika ini.
Dengan penjelasan Najib agar menghormati Undang-undang dan Perlembagaan, mengadakan rundingan jika tidak setuju dan memahami kebebasan beragama yang diamalkan, adalah diharapkan Mais dapat memahami bahawa bersikap keras, langsung tiada toleransi dan tidak menghormati Undang-undang dan Perlembagaan, lebih mencemarkan Islam itu sendiri di mata bukan Islam. (SH 18/06/2014)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Tuan, penting sangat ke dan kenapa tiba-tiba faktor "najib juga tidak bersetuju dng mais" jadi sangat relevan untuk menguatkan sesuatu fakta.
ReplyDeleteRampasan dilakukan di selangor. Tiada masalah tindakan yg dilakukan mais atau jais.
ReplyDeleteTuan,
ReplyDeleteNajib tak setuju dengan tindakan Mais? Najib hanya main wayang sahaja hendak menunjukkan dia baik kepada orang melayu di luar bandar. Najib sebenar cuba memerah manafaat dari hampas isu rampasan bible oleh Jais untuk kali terakhir sebelum hampas isu ini dibuang aka ditutup setelah mendapat manafaat politik yang besar dalam isu ini.
Dia yang sengaja membiarkan isu ini berlarutan dari 2012 hingga hari ini. Baru sekarang bukak mulut.
Jangan kita tertipu.
Mna harusani dn mfti dlm isu bibble?
ReplyDelete