Thursday 6 February 2014

Yahooo...Tol Tak Jadi Naik, Tapi Jangan Terlalu Gembira


Yahooo...kadar tol tidak naik. Mungkin ramai yang gembira dengan berita yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin mengenai tol semalam. Mungkin juga ada yang bersorak atau melompat keriangan. Tetapi jangan terlalu gembira dulu. Ini kerana tiadanya kenaikan itu hanya untuk tahun 2014 saja. Tahun 2015, 2016 atau 2017 belum tentu lagi.

Lagi pula tiada kenaikan tol ini bukannya percuma. Ia berikutan kerajaan terpaksa membayar lebih RM400 juta kepada sembilan pemegang konsesi tol di seluruh negara sebagai pampasan kerana menangguhkan kenaikan tol.

RM400 juta itu adalah duit kita semua yang dikutip melalui pelbagai cara oleh kerajaan, sama ada cukai langsung dan cukai tidak langsung. Walaupun kita boleh bergembira dengan ketiadaan kenaikan tol untuk tahun 2014 ini, tanpa sedar kita sebagai rakyatlah yang sebenarnya menanggung RM400 juta yang dibayar kepada pemegang konsesi itu.

Di sisi yang lain, tindakan kerajaan menangguhkan kenaikan tol ini tidak lain pastinya ialah kerana adanya pilihanraya kecil DUN Kajang pada 23 Mac depan. Disebabkan ada pilihanraya yang dijangka sengit dan kerajaan terdesak untuk menunjuk sikap prihatinnya kepada kenaikan kos sara hidup rakyat, maka sebagai permulaannya, kenaikan kadar tol ditangguhkan.

Inilah sebenarnya rahmat di sebalik mempunyai pembangkang yang kuat. Cuba bayangkan jika kita tidak mempunyai pembangkang yang kuat atau jika kerusi Kajang ini merupakan kerusi yang selamat bagi BN, belum tentu kenaikan tol ditangguhkan.

Dengan kedudukan pembangkang yang kuat dan kemenangan PKR melalui calonnya, Anwar Ibrahim di Kajang bakal menampilkan cabaran yang lebih sengit kepada BN menuju PRU 14, percayalah, lebih banyak nikmat dan kemurahan hati kerajaan kepada rakyat akan dipamerkan selepas ini.

Untuk menikmati lebih banyak rahmat dan merasakan kemurahan hati kerajaan, rakyat seharusnya kekal dengan sikap bahawa mempunyai pembangkang yang kuat adalah baik untuk rakyat. Kiranya sistem politik kita bergerak kepada sistem dua parti dan kerajaan yang boleh bertukar ganti, lebih banyak nikmatnya lagi.

Penangguhan kenaikan tol untuk 2014 adalah permulaan saja.

Jika awal tahun 2015 ada mana-mana wakil rakyat meninggal dunia dan ada pilihanraya kecil lagi, mungkin kenaikan tol untuk 2015 ditangguhkan lagi. Dan pemegang konsesi dapat RM400 lagi.

Kadang-kadang bagus juga kalau selalu ada pilihanraya kecil. Jika tiga bulan atau enam bulan sekali ada wakil rakyat yang meninggal dunia dan kerajaan terpaksa berdepan dengan rakyat untuk mendapatkan sokongan, alangkah bahagianya rakyat jelata. Bukan saja tol akan turun, bahkan hari jadi menteri atau majlis perkahwinan anak menteri pun mungkin dibuat di kampung- kampung bersama pengundi.

Ketika itu, barulah boleh yahoooo...atau...yabeda beduu....

Dalam soal penangguhan kenaikan tol ini, walaupun kita masih boleh berterima kasih kepada kerajaan atas keprihatinan dan akhirnya kerajaan mengaku juga bahawa kenaikan harga minyak, letrik dan gula memang memberi kesan kepada kos sara hidup rakyat, namun langkah yang seharusnya dilakukan ialah segera mengadakan rundingan semula dengan pemegang konsesi tol di negara ini.

Walaupun sudah ada perjanjian, tetapi sebagai kerajaan, mereka seharusnya bertindak berani melindungi kepentingan rakyat dengan memanggil semua pemegang konsesi dan berunding semula mengenai terma-terma yang sebelum ini mensyaratkan kenaikan tol mesti dilakukan dalam tempoh tertentu.

Ia boleh dilakukan dengan mengambil kira aliran trafik yang begitu meningkat dan telah menyebabkan pemegang konsesi memperolehi keuntungan lebih awal daripada yang dijangkakan.

Dalam masa yang sama, tiada masalah juga sebenarnya untuk merundingkan semula syarat-syarat itu memandangkan hampir kesemua pemegang konsesi adalah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atau syarikat yang dipunyai oleh individu yang mempunyai hubungan rapat dengan kerajaan.

Ia hanya bergantung sama ada kerajaan mahu melakukannya atau tidak saja. Malah, bekas Menteri Kewangan, Daim Zainuddin pun baru-baru mencadangkan agar kerajaan merundingkan semula syarat-syarat ini demi kepentingan rakyat.

Jika langkah itu dapat dilakukan, barulah kerajaan benar-benar dilihat prihatin dengan kos sara hidup rakyat dan ingin meringankan beban hidup rakyat.

Dan tidak perlulah rakyat menunggu ada pilihanraya kecil atau lima tahun sekali menjelang pilihanraya umum, barulah kemurahan hati dan sikap prihatin kerajaan dapat dinikmati. (SH 06/02/2014)

3 comments:

  1. Tan Sri Muhyiddin Yassin.kata kerajaan perlu bayar RM400 juta kepada syarikat-syarikat konsesi tol itu sebagai pampasan sebenarnya adalah hasil dari cukai yang dikutip dari syarikat konsesi tol itu sendiri kemudian dipulangkan semula pada mereka.

    Kerajaan tidak rugi apa-apa kerana tidak keluar se sen pun..... yang tertipu adalah rakyat.

    ReplyDelete
  2. satu lagi projek nak tipu melayu!

    ReplyDelete
  3. Anon 15.26....apa pya statemnt tu....

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...