Sunday 2 February 2014

Darah Perjuangan Anwar Ibrahim Rupanya Masih Mengalir Dalam Tubuh Zahid Hamidi



Dalam suasana UMNO dan BN masih kalut bagi menghadapi pilihanraya kecil DUN Kajang iaitu sama ada BN perlu bertanding atau tidak dan sama ada calon Melayu atau Cina yang perlu diletakkan bertanding di kawasan itu, Naib Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi berkata, BN berpegang kepada prinsip "lawan tetap lawan" bagi menghadapi pilihanraya itu.

Katanya, biar pun perkara mengenai calon belum diputuskan dan sekiranya seseorang itu sudah dimuktamadkan untuk bertanding mewakili BN, pendirian kita ialah "lawan tetap lawan" kerana sesiapa saja yang menentang BN adalah dianggap sebagai musuh BN.

Pendirian dan sikap tegas Zahid itu tidak ada yang peliknya, malah itulah kewajaran yang sepatutnya bagi mana-mana juga pemimpin politik. Tetapi yang menimbulkan sedikit pelik dan tanda-tanya ialah bila mana Zahid menggunakan unngkapan "lawan tetap lawan" kerana semua orang tahu ungkapan itu begitu sinonim digunakan oleh Anwar Ibrahim sejak dipecat daripada UMNO dan kerajaan pada 1998 lagi.

Dalam kempen PRU 13, ungkapan itu menjadi lebih popular kerana Anwar hampr menyebutnya dalam setiap ceramahnya bagi menaikkan semangat dan menggelegakkan lagi darah perjuangan pengikut serta penyokongnya.

Apabila Zahid tiba-tiba menggunakan ungkapan itu, sedangkan beliau boleh memilih menggunakan ungkapan lain atau setidak-tidaknya mengulangi frasa-frasa kata yang kerap disebut oleh Najib Razak, timbul tanda-tanya mengenai kecenderungan dan kekagumannya terhadap Anwar Ibrahim.

Apakah beliau masih mengkagumi Anwar Ibrahim seperti dahulu?

Walaupun Zahid melonjak dalam dunia politik melalui tangga sebagai Setiausaha Politik Najib tetapi semua orang mengetahui bahawa beliau adalah "budak Anwak" sejak zaman Pemuda UMNO lagi. Bahkan ada khabar yang menyebut bahawa Anwarlah yang meletakkan beliau sebagai Setiausaha Politik Najib berikutan ketika itu Najib juga merupakan penyokong Anwar.

Selepas bertahun-tahun berkhidmat dengan Najib, Zahid kemudian meletakkan jawatan sebagai Setiausaha Politik dan diberikan kedudukan sebagai Pengerusi Bank Simpanan Nasional serta beberapa entiti korporat seperti Kretam Holding dan banyak lagi. Ketika itu Anwar ialah Menteri Kewangan dan Timbalan Perdana Menteri.

Semasa menjadi Ketua Pemuda, Zahid telah membangkitkan isu kronisme dan nepotisme dalam Perhimpunan Agung UMNO sebagai sebahagian daripada perancangan yang disusun oleh Anwar untuk memberi tekanan kepada Mahathir sehingga menimbulkan kemarahan Perdana Menteri ketika itu. Mahathir kemudian bukan saja menangkis dakwaan itu dalam ucapannya, malah turut menyiarkan iklan di akhbar-akhbar utama untuk mendedahkan kroni siapa yang sebenarnya lebih banyak mendapat kontrak dan peluang perniagaan daripada kerajaan.

Ketika Anwar dipecat pada 1998, Zahid merupakan antara pemimpin UMNO yang masih bersama dengan bekas TPM itu, malah kelibat beliau dan para penyokongnya daripada Pemuda UMNO hampir setiap hari berada di rumah Anwar di Bukit Damansara.

Berikutan sokongannya yang berterusan itu, beliau kemudian ditahan dibawah ISA dan terpaksa melepaskan jawatan ketua Pemuda UMNO yang disandangnya sebagai syarat pembebasan dan terus kekalnya bersama UMNO. Turut ditahan dibawah ISA ketika itu, Zambry Abdul Kadir yang sekarang merupakan Menteri Besar Perak.

Selepas meletakkan jawatan sebagai Ketua Pemuda UMNO dan Anwar pula berada di penjara, Zahid tidak menyertai perjuangan Anwar, sebaliknya beberapa pengikutnya semasa dalam Pemuda seperti Saifuddin Nasution, Johari Abdul, Hamdan Taha, Zahid Mohd Arip, Hanafiah Man dan ramai lagi kekal meneruskan perjuangan bersama Anwar. Kini sebahagian meria masih kekal bersama PKR, manakala sebahagian lagi sudah pun kembali bersama UMNO.

Zahid pula, bersama kedudukannya yang semakin terpinggir, selain meneruskan perjuangannya bersama UMNO, beliau juga mengisi masa lapangnya dengan melanjutkan pelajaran di UPM sehingga ke peringkat PhD.

Namun demikian, berikutan sikap ramah, mudah didekati serta mempunyai rangkaian kawan-kawan yang ramai dalam UMNO, Zahid perlahan-lahan bangkit dengan menawarkan diri bertanding sebagai ahli MT UMNO dan beliau sentiasa menang serta mendapat kedudukan Top 10 setiap kali pemilihan UMNO.

Beliau mulai mendapat nafas apabila Pak Lah menjadi Perdana Menteri pada 2003 dengan diberi jawatan sebagai Timbalan Menteri Pelancongan dan kemudian sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Di era Najib pula, berikutan hubungannya yang lama sejak zaman Pemuda, kedudukannya dinaik-tarafkan lagi sebagai Menteri Pertahanan dan kini Menteri Dalam Negeri.

Walaupun Zahid dilihat mempunyai dua "tauke" dalam UMNO iaitu Anwar dan Najib, tetapi berikutan latar belakang Islamnya yang lebih menonjol, beliau lebih dilihat mempunyai kecenderungan terhadap Anwar berbanding Najib. Malahan disebabkan lonjakan yang dibuat Anwar terhadapnya dalam dunia korporat dan perniagaanlah, beliau mampu memenangi jawatan Ketua Pemuda UMNO pada 1996 meskipun pesaingnya ketika itu ialah Annuar Musa, Rahim Tamby Chik dan juga Isa Samad.

Meski berbeza bahtera perjuangan sekarang ini, keintiman jiwa dan rasa kekaguman Zahid terhadap Anwar nampaknya masih lagi berbekas dan sukar dikikis. Menyanjung ungkapan "lawan tetap lawan" yang dipinjamnya daripada Anwar Ibrahim sebagai menunjukkan nilai perjuangan yang seharusnya didukung oleh UMNO dan BN sekarang, ia turut menunjukkan pengiktirafan dan adanya kebersamaan beliau dengan bekas "taukenya", malah seperti menunjukkan darah perjuangan Anwar masih mengalir dalam tubuhnya.

Dengan Mahathir sendiri mengakui bahawa kedudukan sebagai Menteri Besar Selangor akan menjadi tangga yang lebih baik untuk Anwar menawan Putrajaya dalam pilihanraya umum akan datang, apakah ia juga menyebabkan kekaguman Zahid terhadap Anwar makin menebal sama, meskipun jika diambil kira hakikat bagaimana UMNO menarik balik saman terhadap Tian Chua dan Mustaffa Ali baru-baru ini, ungkapan "lawan tetap lawan" itu sebenarnya sudah terbarai dan tidak terpakai lagi. (SH 02/02/2014)

9 comments:

  1. Macai tetap macai...

    ReplyDelete
  2. Aaa..setuju dengan anon 13.04...sebab itu biar penipu macam mana pun Anwar Ibrahim, macai-macainya tetap menjilatnya juga...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Cai

      Perlu tahu beza macai-macai Anwar dengan macai-macai UMNO macam lu. Keputusan PRU 13 adalah petunjuk utama yang pertama yang menunjukkan perbezaan ini.

      Macai-macai Anwar kebanyakannya terdiri dari pelbagai bangsa yang mendiami kawasan bandar dan s3mi bandar. Mereka ini mempunyai berbagai latarbelakang pekerjaan dan pendidikan. Dari golongan profesional sampailah rakyat biasa.

      Manakala macai-macai UMNO sebagaimana petunjuk dalam PRU 13 yang lalu kebanyakan ya terdiri dari penduduk luar bandar. Yang paling ramai dikawasan pendalaman Sabah sana. Kalau nak tau kualiti macai-macai UMNO ni pi la lawat blog : Dr MiM . Lu nilai le s3ndiri kemampuan g3ng-g3ng lu berhujah disana. Perkataan lucah menjadi sandaran hujah tercanggih. Malu aku melihat perangai dan pemikiran anak melayu. Nasib baiklah golongan ini tak ramai berbanding dengan jumlah orang melayu k3seluruhannya di negara kita.

      Delete
    2. Kepada bat8, anda kenalkah dgn penduduk2 d kwsn pedalaman sabah? jgn sewenang2nya mengata mereka adalah macai2 umno

      Delete
  3. masih banyak lagi macai-macai anwar dalam hiraki umno..ada yang menganggapnya idola semasa berkuasa dulu..masih ramai lagi yang cover-line sebab cari makan dengan umno..sekarang ni bila najib ditekan dan membuat blunder..ada yang tunggu signal nak u-turn..sekarang dh mula dengar cerita tentang rosmah tidak bertudung lah , tidak islamik lah , perosak najib lah..macam-macam lagi lah..kesemua mereka ni memang golongan sial dan perosak bangsa..dan apablia anwar sekiranya ditakdirkan berkuasa..muka-muka ini jugak yang akan enter frame..memang sial...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kenapa perlu dimaki. Politik adalah berligar disekitar survival dan cari makan bukan hal menegakan kepercayaan. Jadi tak peliklah jika mereka dalam parti politik ini bertindak sedemikian.

      Delete
    2. adakah anon 19.38 bersetuju bahawa politik ini bermaksud untuk cari makan dan survival individu dengan sengaja mempermainkan harapan dan janji2 pada rakyat..justeru itu masih ramai diluar sana duduk atas pagar..begitu angkuh kenyataan anon 19.38..

      Delete
  4. Awal tahun 2014 menghidangkan kepada kita satu pilihanraya kecil Kajang yang dicemuh oleh setengah pihak sebagai disengajakan. Pelbagai reaksi dan pandangan dari pelbagai pemerhati, pencacai, ahli parti dan juga pemimpin kerajaan.

    Rakyat Malaysia yang prihatin tidak pernah lupa Krisis perlembagaan Perak 2009 yang diketuai oleh Najib Razak, dimana 4 Ahli Dewan Undangan Negeri dari Pakatan Rakyat diperangkap, ditangkap, diugut dan dipaksa supaya keluar parti telah memberi kelebihan kepada Barisan Nasional menyebabkan tumbangnya kerajaan negeri Perak pimpinan Pakatan Rakyat.

    Sepatutnya apabila berlaku perubahan kuasa, mesti diserahkan semula pada rakyat setempat membuat pilihan dalam pilihanraya bagi menentukan calon dari parti mana yang layak dijadikan sebagai wakil rakyat mereka. Tapi pekara itu tidak dilakukan. Perbuatan itu dinamakan apa kalau bukan rampasan kuasa.

    Dari penilaian pegawai strategi parti, perbuatan jenis ini sedang dirancang dan akan dilakukan terhadap beberapa orang wakil rakyat Pakatan Rakyat di Selangor. Oleh kerana itu dalam mesyuarat tertutup PKR, PAS dan DAP telah sama-sama setuju melawan serangan itu.

    Tindakan Lee Chin Cheh meletakkan jawatan telah menjadi satu kelebihan pada Pakatan Rakyat Selangor, menjadikan perangkap yang dipasang tidak mengena mangsa. Terkejut dengan tindakan itu, mereka membuat tuduhan bekas wakil rakyat Kajang sebagai pengkhianat dan mengadakan pilihanraya kecil adalah satu pembaziran. Dengan itu juga mereka terpaksa mengubah serangan menggunakan plan B pula.

    Bagi menutup kelemahan plan B mereka yang bercelaru dalam memilih calon maka Ahmad Zahid Hamidi terpaksa mengguna slogan 'lawan tetap lawan' dan Ahmad Maslan pula berkata pengundi Kajang perlu diingatkan yang pembangkang menawarkan seorang calon dengan beban kes mahkamah yang masih belum selesai. Rayuan kes Liwat II membabitkan Anwar Ibrahim dan video seks seorang lelaki menyerupai beliau dijangka menjadi modal kempen BN.

    Dalam kekalutan pilihanraya kecil Kajang, diserikan pula dengan berita Majlis Agama Islam Selangor menghalang Anwar daripada memberi tazkirah di sebuah masjid di Impian Saujana, Kajang. Dan Jabatan Agama Islam Selangor juga mengancam untuk menangkap Anwar jika beliau menyampaikan tazkirah kerana beliau tidak mempunyai tauliah untuk memberi kan ceramah atau khutbah di masjid-masjid di Selangor.

    Sama ada kita mahu menerima hakikat atau tidak bahawa MAIS/JAIS adalah dalang utama dalam isu kalimah Allah yang sedang hangat diperjuangkan oleh sekelumpuk melayu 50sen. Dan agensi yang sering mengguna nama sultan selangor inilah yang akan digunakan oleh UMNO Baru bagi mengkucar-kacirkan pentadbir Khalid Ibrahim selaku Menteri Besar Selangor.

    Sekiranya Hassan Ali masih menjadi ahli PAS ketika ini, parti itu akan lebih bermasaalah dari PKR yang kini sedang bertelagah sesama sendiri akibat hasutan parasit UMNO Baru dalam kerajaan negeri Selangor.

    ReplyDelete
  5. Apa benda la hang merepek ni Budin? "Lawan tetap Lawan" tu motto Tentera Darat Malaysia.

    Lagi satu, hang ni kejap sokong Zahid kejap Anti Zahid. Zahid ni sama je macam topikal ahli politik lain, berlakon dan sentiasa hidup berpura2. Zaman ni mana ada politik tulen, kehendak peribadi melebihi segalanya.

    Aku rasa baik hang buat kajian atau telaah pasal tamadun dan social melayu. Buat penulisan dan fikiran bagaimana nak ubah Islam dan Melayu menjadi satu bangsa yang lebih dihormati.

    Bukan sibuk menulis isu politik dan peribadi orang lain yang boleh rosakkan pemikiran pembaca dan boleh memecah belahkan ummah. Hujah-hujah kamu umpama tin kosong atau seperti gossip artis yg tidak memberikan kebaikan. Seolah-olah juga pemikiran kamu yang betul. Sepatutnya kamu menegur secara terus dan terbuka kepada pemimpin/ahli politik yang sudah rosak dan busuk ini.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...