Wednesday 10 July 2013

Lagi Dua Ahli Parlimen UMNO Dapat Habuan Dari Najib


Proses pemberian habuan jawatan dan kedudukan kepada Ahli-Ahli Parlimen UMNO yang tercicir dalam perlantikan kabinet kini diteruskan dengan dua lagi Ahli Parlimen diberikan jawatan dalam syarikat GLC. Mereka yang terbaru menerima habuan ialah Ahli Parlimen Pulai, Nurjazlan Mohamed dilantik sebagai Pengerusi Telekom Malaysia dan Othman Abdul, Ahli Parlimen Pendang dilantik sebagai Pengerusi Menara Kuala Lumpur.

Nurjazlan sudah tiga penggal menjadi Ahli Parlimen Pulai dan merupakan anak sulung Allahyarham Mohamed Rahmat, bekas Setiausaha Agung UMNO dan Menteri Penerangan yang begitu dikenali dalam UMNO manakala Othman Abdul pula adalah ahli politik veteran di Kedah tetapi dibawa semula bertanding dalam pilihanraya baru-baru ini dengan misi untuk menewaskan Mat Sabu di Pendang.

Beberapa laporan sebelum ini menyebut bahawa Najib akan mengagih-agihkan pemberian jawatan dalam GLC dan agensi kerajaan kepada Ahli-Ahli Parlimen UMNO dan BN yang tidak dilantik ke jawatan kabinet sebagai sebahagian daripada proses membalas budi dan juga untuk memastikan kesetiaan mereka tidak berbelah bagi terhadapnya.

Ia bukan saja dari kemungkinan beliau ditentang dalam pemilihan UMNO hujung tahun ini tetapi juga kebarangkalian berlakunya undi tidak percaya di Parlimen. Untuk jawatan Presiden UMNO, Najib kemungkinan disebut-sebut akan dicabar sama ada oleh Muhyiddin atau pun Tengku Razaleigh Hamzah manakala undi tidak percaya juga kemungkinannya akan memunculkan Tengku Razaleigh sebagai pilihan untuk ditonjolkan sebagai Perdana Menteri melalui sokongan Ahli-Ahli Parlimen yang berasa dipingggirkan oleh Najib terutama dari Sabah dan Sarawak serta dengan sokongan 89 undi Pakatan yang sedia di Parlimen.

Antara Ahli Parlimen yang sudah dilantik ialah Ahli Parlimen Mersing, Dr Latif sebagai Pengerusi SPNB, Azeez Rahim sebagai Pengerusi Tabung Haji, Rais Yatim sebagai Presiden UIA dan penasihat bertaraf menteri bagi kerajaan dalam hal ehwal sosial dan kebudayaan, Annuar Musa sebagai Pengerusi MARA serta Ng Yen Yen sebagai Pengerusi Lembaga Penggalakan Pelancongan dan juga penasihat pelancongan kerajaan bertaraf menteri.

Dipercayai Najib akan terus mengagih-agihkan habuan dan ganjaran ini kepada ramai Ahli Parlimen lagi untuk mencapai matlamat melindungi kepentingan politik dan masa depannya itu.

Beberapa perlantikan sebelum ini, terutamanya Azeez Rahim dikecam oleh banyak pihak kerana kelayakannya yang diragui manakala peribadinya pula disifatkan tidak sesuai untuk menerajui institusi besar seperti Tabung Haji yang mempunyai aset sejumlah RM35 billion dan terlibat dalam urusan berkaitan ibadah umat Islam. Perlantikan penasihat kerajaan bertaraf menteri pula dipertikai kerana ia dianggap suatu pembaziran dan menambahkan lagi beban perbelanjaan kerajaan.

Semalam Pakatan Rakyat juga membangkitkan isu yang sama dan mahukan Perdana Menteri melihat dari segi keperluannnya kepada kepentingan kerajaan serta beban perbelanjaan, dan tidak semata-mata kepada keuntungan dari segi politik sahaja.

Perlantikan Nurjazalan sebagai Pengerusi Telekom dan Othman Abdul sebagai Pengerusi Menara Kuala Lumpur adalah yang terbaru dibuat oleh Najib. Nurjazlan difahamkan sudah menerima surat perlantikan dan akan memulakan tugasnya awal Julai depan manakala Othman Abdul sudah pun memulakan tugasnya beberapa hari lalu.

Namun tidak seperti perlantikan Azeez Rahim yang dipertikaikan kerana kelayakannya serta Rais Yatim dan Ng Yen Yen yang dianggap pembaziran, perlantikan Nurjazlan dan Othman Abdul diterima dengan baik oleh banyak pihak.

Nurjazlan, seorang akauntan bertauliah yang sudah tiga penggal menjadi Ahli Parlimen Pulai di Johor dianggap berpatutan diberikan jawatan itu berikutan senioritinya sebagai Ahli Parlimen dan kedudukannya sebagai Ahli Lembaga Pengarah Telekom Malaysia sebelum ini. Perlantikan sebagai Pengerusi umpama kenaikan pangkat saja.

Dari sudut politik pula, Nurjazlan dianggap menyumbang kemenangan berharga kepada BN dalam pilihanraya lalu berikutan kemampuannya menewaskan Naib Presiden Pas, Sallahuddin Ayub di kerusi Parlimen Pulai. Namun ada pihak juga merasakan berikutan kelayakan dan sumbangan besarnya itu, Nurjazlan sepatutnya lebih awal diberikan ganjaran oleh Najib dengan dilantik sebagai menteri atau timbalan menteri sebaik BN memenangi PRU 13 lalu.

Begitu juga dengan Othman Abdul, selain kelayakan dan senioritinya tidak dipertikaikan dengan perlantikannya sebagai Pengerusi Menara Kuala Lumpur, sumbangannya kepada politik BN juga dianggap besar kerana beliau dibawa keluar daripada dunia persaraan dan ditawarkan menjadi calon sekali lagi di Pendang ialah menahan kemaraan orang nombor PAS, Mat Sabu daripada menang di kerusi itu. Othman Abdul akhirnya berjaya menewaskan Mat Sabu dan kekal menjadikan Timbalan Presiden PAS itu tidak mampu membawa suaranya ke dalam Parlimen sejak dua penggal yang lalu.

Bagaimanapun sumbangannya yang agak besar itu dilihat tidak sepadan dengan sumbangan politiknya kepada BN berikutan Menara Kuala Lumpur yang dipengerusikannya hanyalah sebuah anak syarikat kecil milik Telekom Malaysia yang menguruskan Menara KL yang merupakan salah satu kawasan kunjungan popular untuk pelancong. Meskipun Menara KL popular di mata pelancong tetapi syarikat yang menguruskannya itu dianggap "syarikat miskin" saja dalam Telekom Malaysia.

Mungkin juga perlantikan sebagai Pengerusi Manara Kuala Lumpur ini hanyalah permulaan dan ganjaran kedua yang lebih besar sedang menunggunya selepas ini. (SH 10/07/2013)

4 comments:

  1. najib....najib

    ReplyDelete
  2. En Shahbudin boleh balasan apa plak? kui3

    ReplyDelete
  3. Encik Shahbudin, kalau sudahnya Dato' Ali Rustam masuk Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), persoalannya selepas ini siapa pula yang akan masuk Permodalan Nasional Berhad (PNB)?

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...