Monday, 22 July 2013
Azalina Dan Shahrizat: Pilih Satu Atau Tolak Kedua-duanya?
Menjelang pemilihan UMNO hujung tahun ini, setakat ini jawatan tertinggi yang bakal menyaksikan pertandingan hanyalah Ketua Pergerakan Wanita UMNO bilamana bekas Ketua Puteri UMNO, Azalina Othman Said mengumumkan kesediaannya untuk mencabar kedudukan Shahrizat Jalil bagi jawatan itu. Bagi jawatan penting lain seperti Presiden, Timbalan Presiden, Ketua Pemuda dan Ketua Puteri, belum ternampak kemungkinan akan berlaku pertandingan walaupun keinginan akar umbi untuk melihat berlakunya pertandingan semakin meninggi.
Mungkin kerana terlalu awal atau masing-masing ingin menumpukan kepada pilihanraya kecil Kuala Besut terlebih dahulu, maka semua orang menyimpan dulu hasrat untuk bertanding itu.
Tetapi berbeza bagi jawatan Ketua Wanita, Azalina yang juga Ahli Parlimen Pengerang, telah awal-awal mengumumkan hasratnya itu dan beliau menjadi individu terawal mengumumkan hasrat untuk bertanding.
Keinginan Azalina merebut jawatan Shahrizat, walaupun disebarluaskan sebagai hasrat untuk berkhidmat kepada Wanita UMNO dan memberi nafas baru kepada pergerakan itu, hakikat bahawa Azalina turut ingin menjadi menteri semula melalui kouta Wanita UMNO tidaklah boleh dinafikan begitu saja.
Setelah sekian lama terpinggir daripada kedudukan kabinet sejak 2009, Azalina tentunya membayangkan jika beliau menang mengisi jawatan Ketua Wanita, peluangnya untuk dilantik sebagai menteri lebih cerah berbanding jika hanya kekal tercongok sebagai Ahli Parlimen Pengerang dan mengharapkan ehsan Perdana Menteri sahaja.
Tambahan pula, tidak ada daripada kalangan Wanita UMNO yang diberikan jawatan menteri dalam pembentukan kabinet selepas pilihanraya 5 Mei lalu. Dengan kedudukan Shahrizat yang dibelenggu dengan isu NFC dan kedudukannya yang bukan Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Negara, tidak dinafikan lorongan untuk Azalina kembali ke kabinet lebih terbuka.
Lagi pula, tiada kerugian apa-apa untuk Azalina mencuba nasib, untung-untung sabut boleh timbul.
Sehingga ini hanya ada dua wakil Wanita sebagai timbalan menteri iaitu Ahli Parlimen Tenggara, Halimah Siddique dan Ahli Parlimen Sungai Besar, Norian Kasnon dan jika Wanita ingin kebarangkalian seorang ketua pergerakan itu dilantik sebagai menteri, Azalina mungkin pilihan yang lebih tepat, lebih-lebih lagi beliau juga pernah menjadi menteri sebelum ini.
Jika Shahrizat terus terpilih menerajui Wanita, beliau hanya akan kekal berada di luar kabinet dan Wanita UMNO juga terpaksa berpuas hati dengan dua jawatan timbalan menteri sahaja.
Walaupun Shahrizat mengalu-alukan hasrat Azalina mahu merebut jawatan yang disandangnya tetapi beliau telah pun memulakan serangan secara halus dengan mengatakan keinginan bertanding itu tidak seharusnya dilihat mahu memecah-belahkan pergerakan itu dengan gambaran seolah-olah bekas pimpinan Puteri UMNO ingin mengambil alih kepimpinan Wanita UMNO pula.
Melalui serangan halus ini, tentunya makcik-makcik dalam Wanita UMNO akan menguatkan lagi kubu masing-masing dan akan berusaha memastikan kemasukan golongan puteri yang melebihi had umur 35 tahun ke dalam Pergerakan Wanita tidak akan menggugat kedudukan mereka. Dengan cara ini, Shahrizat berharap kelebihan memihak kepadanya.
Ini secara tidak langsung menggambarkan keinginan Shahrizat masih tinggi untuk mengekalkan jawatannya walaupun isu NFC yang melibatkan keluarganya merupakan isu yang paling buruk dalam sejarah pergerakan itu. Selain semua orang bercakap mengenai isu itu sebagai beban kepada UMNO, Shahrizat juga akhirnya digugurkan sebagai menteri kabinet dan tidak dipilih sebagai calon dalam pilihanraya, suatu hakikat yang membuktikan UMNO juga mengakui beratnya beban daripada isu NFC itu.
Sepatutnya dengan UMNO sendiri mengakui beliau sebagai beban, Shahrizat dengan rela hati mengundurkan diri dan membiarkan pergerakan itu memilih pemimpinnya sendiri yang lebih berwibawa dan tidak menyusahkan parti. Selagi beliau memimpin Wanita UMNO, kaitan beliau dengan skandal NFC sukar dilekangkan dan akhirnya UMNO akan terus menerima kesannya.
Azalina pula, walaupun pernah memimpin Puteri UMNO dan menjadi mengeri sebelum ini, beliau juga bukanlah pemimpin yang betul-betul sesuai untuk pergerakan itu. Selain beliau dilihat agak asing dengan lemah-lembut dan ciri-ciri kewanitaan Wanita UMNO yang mungkin menyukarkan beliau mendekati perwakilan Wanita UMNO, sisi gelapnya semasa menerajui Kementerian Belia dan Sukan dan Kementerian Pelancongan sebelum ini, tidak seharusnya juga dipandang ringan.
Beliau pernah disiasat oleh SPRM berkaitan isu politik wang dalam pemilihan UMNO 2009 dan seorang pegawainya dikatakan pernah ditahan kerana memiliki beg yang penuh berisi wang tunai ketika itu. Pendedahan mengenai sekeping cek ratusan ribu ringgit yang didakwa diterimanya daripada seorang usahawan juga pernah memenuhi dada-dada media tidak berapa lama dulu.
Koleksi kereta-kereta mewahnya juga pernah didedahkan di blog dan laman sosial yang menggambarkan keperibadianya yang suka bermewah dan mengumpul kekayaan. Orang-orang yang mengenalinya pula tahu bahawa gaya hidup Azalina lebih mirip kebaratan dan jika ini didedahkan mungkin menjejaskan peluangnya.
Beberapa isu berkaitan kementerian yang yang pernah diterajuinya juga masih menjadi percakapan ramai. Walaupun beliau sudah dibersihkan oleh SPRM dan tidak didakwa di mahkamah, hakikatnya Azalina tidak menepati slogan popular mengenai kepimpinan iaitu seseorang itu mestilah bersih dan juga kelihatan bersih.
Sama ada mengekalkan Shahrizat atau memilih Azalina sebagai Ketua Wanita UMNO yang baru, masalah Wanita UMNO sebenarnya tidak akan selesai dan tidak juga mampu menjadi cerminan bahawa pergerakan itu menjadi lebih cantik dan menarik. Shahrizat ada bebannya yang tersendiri, begitu juga dengan Azalina.
Untuk menyolek dan menghias dirinya menjadi lebih menarik, Wanita UMNO sebenarnya perlu mencari pemimpin baru yang bukan saja berwibawa tetapi juga tidak mempunyai beban yang dibawa bersamanya ke dalam pergerakan itu. Mereka yang layak itu boleh dicari di kalangan Exco Wanita UMNO atau pun yang di luar daripadanya.
Tetapi sehingga ini rasanya gandingan Halimah Siddiqe dan Norian Kasnon yang mana kedua-duanya sudah menjadi timbalan menteri dan Ahli Parliman, boleh dipertimbangkan untuk memberi nafas baru kepada pergerakan itu. (SH 22/07/2013)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Of course tolak dua dua..mcn dah xde org lain yg layak..
ReplyDelete