Monday, 1 July 2013

Masih Ada Wibawakah Pengerusi SPR Setelah Disiasat SPRM?


SPRM dilaporkan sudah menubuhkan pasukan penyiasat bagi menyiasat pembelian dakwat kekal oleh SPR yang didakwa mudah ditanggalkan ketika digunakan dalam pilihanraya umum 5 Mei lalu. Pengarah siasatan SPRM, Mustafar Ali berkata, pasukan itu sudah dibentuk sejak seminggu lalu susulan sungutan orangramai berhubung ketahanan dakwat yang dipertikaikan itu.

Pengesahana SPRM mengenai penyiasatan terhadap SPR ini menambahkan lagi episod baru mengenai kewibawaan badan itu dalam mengendalikan pilihanraya yang benar-benar bersih, adil dan memuaskan hati semua pihak.

Sejak isu dakwat kekal yang didapati tidak kekal menjadi topik perbincangan umum, SPR sering tampil dengan jawapan yang berdolak-dalik dan tidak konsisten mengenainya. Mula-mula dikatakan ia perlu digoncang secukupnya sebelum digunakan, kemudian meletakkan kesilapan kepada petugas SPR yang didakwa mungkin tidak arif cara mencalitnya di jari pengundi, selepas itu dikatakan pula bahan kimia nitrat perak dalam dakwat itu dikurangkan atas nasihat Kementerian Kesihatan yang menyebabkan dakwat itu mudah luntur.

Apabila Menteri Kesihatan menafikan mereka dilibatkan dalam membuat kajian keatas dakwat itu, SPR terus terdiam.

Episod memalukan kemudiannya menyusul lagi apabila Shahidan Kassim, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dalam jawapan bertulisnya di Parlimen memberitahu bahawa bahan yang digunakan dalam dakwat yang dicalit pada jari setiap pengundi dalam pilihanraya lalu hanyalah menggunakan pewarna makanan saja dan bukannnya nitrat perak sebagaimana yang didakwa sebelum ini.

Sejak itu, desakan timbul bertalu-talu agar pengerusi SPR, Aziz Yusof dan anggota suruhanjaya meletakkan jawatan kerana kegagalan menyediakan dakwat yang benar-benar kekal sekurang-kurangnya selama 7 hari sebagaimana yang dijanjikan kepada rakyat sebelum ini.

Selain itu, desakan juga timbul agar nama pembekal dakwat yang bernilai RM7.1 juta turut didedahkan bagi mengetahui sama ada ia melibatkan unsur-unsur salah guna kuasa, kronismes dan sebagainya. Harga dakwat yang terlalu mahal dan tidak sepadan dengan kualitinya turut menjadi persoalan, apatah lagi dalam pilihanraya 2008 SPR juga memberi dakwat bernilai RM2.4 juta tetapi akhirnya tidak digunakan. Dengan peningkatan jumlah pengundi hanya 20 peratus tetapi kos dakwat meningkat daripada RM 2.4 juta kepada RM 7.1 juta.

Bagaimanapun, sepertimana selalunya, SPR tetap dengan ego melangitnya. Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR bukan saja menolak untuk meletakkan jawatan atas pertanggungjawaban terhadap isu dakwat kekal itu, malah juga berkeras tidak mahu mendedahkan nama pembekal yang dilantik untuk membekalkan dakwat berkualiti rendah itu.

Sekali lagi, alasan yang diberikan ternampak sangat remeh iaitu atas faktor keselamatan. Keselamatan dari segi apa sehingga nama pembekal dakwat mahu dilindungi dan tidak boleh didedahkan sedangkan nama pembekal kapal selam Scorpene yang turut menjadi isu pun boleh diberitahu secara terbuka dan tidak pula mengancam keselamatan sesiapa?

Dalam hal ini seperti ada sesuatu yang mahu disembunyikan oleh SPR dan ianya lantas menyebabkan timbulnya pelbagai tanggapan di kalangan rakyat terhadap SPR dan juga pembekal dakwat itu.

Hari ini, dengan pengesahan SPRM bahawa mereka sedang menyiasat SPR berhubung pembelian dakwat itu, ia sekaligus meletakkan pengendali pilihanraya itu dalam kedudukan yang lebih buruk dari segi persepsi rakyat. Walaupun SPR belum tentu salah dan mungkin siasatan SPRM akhirnya bertujuan hanyalah untuk membersihkan nama SPR tetapi sekurang-kurangnya dengan kemasukan SPRM menyiasat badan pengendali pilihanraya itu, seolah-olah ada sesuatu yang tidak kena di dalam badan itu.

Penyiasatan ini pula mungkin memakan masa beberapa minggu tetapi dalam waktu yang terdekat ini, SPR terlibat pula dalam pengendalian pilihanraya kecil Kuala Besut berikutan kematian ADUNnya, Dr Abdul Rahman Mokhtar beberapa hari lalu.

Sudah tentu, dalam pengendalian pilihanraya kecil itu nanti, SPR akan terus dipertikaikan, malah dikecam jika sekiranya dakwat yang sama yang menggunakan bahan pewarna makanan terus digunakan lagi. Kecaman dan pertikaian terhadap SPR juga tentunya lebih memburuk jika Aziz Yusof dan Wan Ahmad terus kekal lagi mengetuai badan itu.

Demi menjaga wibawa SPR, adalah amat munasabah sebenarnya jika ketika ini Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR meletakkan jawatan serta mengundurkan diri secara terhormat daripada mengetuai badan itu. Ini kerana dengan penyiasatan oleh SPRM itu, wibawa Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR sebenarnya sudah musnah di mata umum.

Walaupun banyak pihak,termasuk Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin turut mengatakan tiada keperluan untuk mereka meletakkan jawatan tetapi mereka tidak perlu terus bergayut dengan jawatan yang ada dengan berselindung di sebalik semua kenyataan orang politik. Mereka harus ada maruah sendiri untuk memikir sesuatu perkara itu tanpa bergantung kepada sokongan pihak lain terutamanya jika kesalahan yang dilakukan amat nyata dan memalukan sekali.

Dengan tidak mahu mengundurkan diri, pilihanraya kecil Kuala Besut ini akan terus menjadi medan yang memalukan negara berikutan pertikaian terhadap wibawa SPR akan terus meningkat dan kebolehpercayaan rakyat juga menjadi semakin menipis. Wibawa SPR hanya boleh dipulihkan jika Pengerusi dan Timbalan Pengerusi segera meletakkan jawatan dan pengendali yang baru segera mengambil langkah-langkah perlu untuk memulihkan semula keyakinan rakyat.

Secara moralnya, tiada alasan lagi untuk terus berdolak-dalik. (SH 01/07/2013)

3 comments:

  1. Bukan saja SPR rakyat tak percaya malah SPRM juga tidak boleh dipercayai.

    Mereka dicipta dari lubang taik yang sama maka tiada apa yang akan dibuat melainkan menipu bagi menutup penipuan.

    Kedua agensi itu mempunyai rekod buruk sepanjang pentadbiran mereka.

    ReplyDelete
  2. Baru baru ni ada terdengar fatwa mengenai shisa, berharap sangat agar majils fatwa kebangsaan ada fatwa mengenai pengerusi dan timbalan pengerusi SPR

    ReplyDelete
  3. Tuam,

    Ada kala SPRM diguna sebagai pencuci. Dia masuk dok sibuk, lepas keluar kenyataan "tiada unsur rasuah" maka jadi bersih le SPR. Ingat bagaimana SPR pada 2008 menguna Polis dan Ghani Pataii bahawa ada orang nak sabotaj kegunaan dawat.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...