Thursday 6 December 2012

Selepas Deepak Dan Musa Hasan, Mungkinkah Mumtaz Selepas Ini?


Minggu-minggu kebelakangan ini kedudukan Najib terus dicalar dan dirobek oleh pelbagai pendedahan yang dilakukan oleh ahli perniagaan karpet, Deepak yang pernah mempunyai hubungan rapat dengan Rosmah Mansor dan juga bekas IGP, Musa Hassan.

Deepak yang kini sudah bertalak tiga dengan keluarga Najib mendedahkan pelbagai perkara termasuk dakwaan memberi sejumlah wang kepada Najib, bagaimana beliau dikhianati dan juga dakwaan bahawa isteri PM itu mengumpul projek berjumlah RM26 bilion sejak Najib mengambil alih kuasa pada 2009 lalu.

Walaupun Deepak dipercayai akan terus membuat pendedahan demi pendedahan mengenai Najib, Rosmah dan keluarga PM itu, sehingga ini pasangan Najib-Rosmah masih mengunci mulut dan enggan menjawab dakwaan yang ditimbulkan.

Ini sekaligus menjadikan sekali lagi persepsi rakyat memihak kepada Anwar dan PR serta menjadi mimpi yang amat buruk kepada Najib di ketika beliau sedang memikir-mikir tarikh yang sesuai untuk mengadakan pilihanraya umum ke 13.

Musa Hasan pula mula muncul menghangatkan atmosfera politik negara dengan pendedahan bahawa Menteri Dalam Negeri, Hishammuddin Tun Hussein sering canpurtangan dalam urusan dan mengetepikan kedudukannya sebagai IGP. Beliau mendakwa Hishammuddin sering memberi arahan langsung melalui pegawai polis junior dan ketua polis daerah.

Sehingga ini Musa Hassan menjadi individu yang sentiasa dinanti-nantikan oleh semua orang atas keyakinan behawa beliau akan mendedahkan lebih banyak lagi mengenai kepincangan dalam PDRM serta campurtangan orang politik dalam tugas seharian polis.

Tiada siapa menyangka Musa Hassan yang mula melonjak namanya selepas Anwar dipecat pada 1998 di mana beliau ketika itu diberi peranan mengetuai pasukan penyiasat dalam kes liwat yang membabitkan Anwar dan Azizan Abu Bakar, boleh melawan arus dengan kerajaan sekarang ini.

Walaupun Musa tidak secara terbuka menyokong Anwar dan PR tetapi pelbagai pendedahannya mengenai campurtangan orang politik dalam tugas polis, jelas menguntungkan perjalanan politik Anwar yang kini bersaing hebat dengan Najib untuk menguasai Putrajaya.

Lebih-lebih lagi serangan terbuka Musa kepada Hishammuddin adalah ibarat "pukul anak sindir menantu" kerana Hishammuddin adalah sepupu dan antara orang kepercayaan Najib.

Gambaran yang terbentang sekarang menunjukkan bahawa Musa tidak akan berhenti bercakap. Selepas Rais Yatim menjawab bagi pihak Hishammuddin mengenai peranan Menteri Dalam Negeri dalam urusan polis, Musa tidak menunggu lama untuk bingkas balik menangkis jawapan Rais itu.

Dalam masa yang sama, Musa juga bersetuju untuk menjadi ahli panel wacana politik semasa mengenai budaya politik samseng yang dianjurkan akhbar Sinar Harian pada Khamis, 6 Disember ini. Sudah tentu ada lagi lahar panas yang akan terus terpacul dari mulut beliau dalam wacana itu nanti.

Siapalah menyangka Musa Hasan boleh menjadi seperti sekarang ini. Daripada mengetuai pasukan penyiasat kes liwat Anwar, diberi peluang kenaikan pangkat sehingga menduduki kerusi IGP, menjadi pendokong kuat kerajaan beberapa lama dan menjadi musuh utama pembangkang selama ini, tiba-tiba boleh membuat pusingan 360 darjah.

Inilah yang selalu diperingatkan kepada kita dalam mengatur perjalanan hidup di dunia ini, "Manusia merancang, Tuhan merancang tetapi ingatlah bahawa perancangan Tuhan sentiasa menang"

Pendek kata, dengan Deepak dan Musa Hassan terus bersuara, mereka akan terus menyusahkan kedudukan Najib.

Jika Musa Hassan selama ini pendokong kuat kerajaan, Deepak pula adalah antara deretan kawan rapat dan kroni Najib dan Rosmah sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Beberapa nama yang lain turut menjadi sebutan umum yang diketahui sebagai mempunyai hubungan rapat dan memperolehi nikmat kekayaan melalui hubungan itu. Antaranya ialah bekas pelari pecut negara, Mumtaz Jaafar yang sebelum ini sering dilihat bersama dan mengiringi di mana saja Rosmah berada.

Keintiman dan tidak mahu berenggangnya dengan Rosmah menyebabkan kadangkala beliau digelar kembar siam kepada isteri Perdana Menteri. Dan manfaat yang diperolehi Mumtaz daripada hubungan yang rapat itu juga menjadi bualan umum dan diperkatakan di mana-mana.

Sebagaimana Deepak, difahamkan hubungan Mumtaz dengan Rosmah juga sudah berakhir. Mereka kini menjadi kembar siam yang sudah dipisahkan.

Apabila Deepak mula bersuara mendedahkan pelbagai kepincangan mengenai Najib dan Rosmah, khabar angin juga mulai bertiup di bursa politik Malaysia mengenai kedudukan Mumtaz. Jika selama ini beliau hanya diam dan memencilkan diri, mungkinkah beliau juga akan menuruti jejak langkah Deepak selepas ini?

Mumtaz yang diketahui umum mempunyai hubungan rapat dengan Rosmah dan keluarga Najib dalam tempoh beberapa tahun serta sering bersidai dan keluar masuk rumah Najib tentunya turut menjadi buruan media jika beliau beliau turut membuka mulut seperti Deepak dan Musa Hassan.

Tentunya bermacam-macam cerita yang menarik serta sensasi akan keluar dan terdedah dari mulutnya mengenai Najib dan Rosmah. Bak kata iklan Astro "macam-macam ada" dalam pengetahuan Mumtaz. (SH 06/12/12)


5 comments:

  1. Tuan

    Pusingan 360 darjah bermaksub kembali ke asal. Saya rasa tuan lebih bermaksud pusingan 180 darjah iaitu arah bertentangan, dari ke utara pusing 180 ke selatan.

    Sekian
    Navigator

    ReplyDelete
  2. nnt cerita FLOM pakai underwear warna apa pun akan ada..huhuhuuu...

    ReplyDelete
  3. Alhamdulillah, syukur kita kepada Allah SWT. Najib dan Rosmah seperti menyembunyikan bangkai......bila berbau maka bangkai pun di jumpai....Terima kasih pada Deepak dan Musa Hassan. kamu berdua telah membuat perkara yang benar...Heetlah yang bersalah ke pengadilan...Rakyat akan mengadili dan keputusann di PRU 13.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Adakah kamu fikir mereks yg dedahkan maklumat tu berlaku jujur
      hanya setelah habuan tak dapat mula meroyan tak tentu pasal
      apapun ia memang menjadi satu bonus buat pakatan..kalau mereka nak dedah itu suka hati mereka pihak pakatan tak perlukah pedulikan mereka..nanti lain hari pula jadinya

      Delete
    2. Mereka mungkin jujur tapi mereka tidak setia lagi. Mereka ialah orang yang marah bila tidak diberi makan oleh tuannya (dulu tuan, sekarang tidak lagi).

      Delete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...