Sunday, 23 October 2016

ZAHID TIDAK DIPERCAYAI, HISHAM KURANG DIYAKINI, KJ DIPROJEK PENGGANTI TERKINI?


Salah satu perkara yang menjadi perbualan ramai dalam Bajet 2017 yang dibentangkan Najib Razak Jumaat lalu ialah TN50 atau Transformasi Tahun 2050 yang secara jelasnya akan memadam Wawasan 2020 yang merupakan ilham Tun Mahathir Mohamad.

Dalam ucapan belanjawannya itu, Najib berkata, TN50 adalah azimat dan harapan masa kini untuk menggantikan Wawasan 2020 yang harus dibiarkan sebagai legasi yang berlalu pergi.
Dengan mencipta TN50, ia bukan saja bermakna Wawasan 2020 tidak lagi menjadi sebutan, malah pastinya juga membuatkan ia akan terus dilupakan.

Berduyun-duyunlah pemimpin UMNO selepas ini akan bercakap mengenai TN50 dalam perbualan, ucapan serta sebutan harian.

Tidak merobohkan KLCC, Putrajaya atau Seri Perdana, legasi Tun Mahathir yang paling awal dilenyapkan oleh Najib, sesuai dengan desakan bertali arus oleh pemimpin-pemimpin UMNO ialah Wawasan 2020.

Dalam ucapannya ketika membentangkan Bajet 2017, Najib juga menyebut pengisian untuk program TN50 akan dikendalikan oleh Kementerian Belia dan Sukan atau KBS, tetapi akan dinaungi serta dipayungi oleh beliau sendiri.

Kenapa TN50 tidak dikendalikan oleh Jabatan Perdana Menteri sendiri atau diwujudkan satu unit khas kerajaan mengendalikannya? Bukankah ia satu visi besar untuk negara?

Kenapa mesti diserahkan kepada KBS yang menterinya ialah Khairy Jamaluddin?

Adakah pemilihan KBS sebagai pengendali TN50 semata-mata kerana Najib mahu melihat penyertaan generasi muda yang lebih meluas atau disebabkan program-program Khairy Jamaluddin seperti "FitMalaysia"  sedang mendapat sambutan hangat di seluruh negara, lalu beliau ingin "menumpang tuah" daripadanya?
Adakah dengan demikian, Najib bertujuan untuk mendapatkan sebanyak mungkin sokongan golongan muda terhadapnya melalui KBS dan aura KJ, seterusnya bukan saja untuk memastikannya menang dalam pilihanraya, bahkan juga untuk berada lebih lama di puncak kuasa?

Adakah dalam waktu yang sama,  oleh kerana musuh Najib ialah Tun Mahathir, maka KJ yang merupakan menantu Tun Abdullah Badawi, sengaja cuba diprojekkan sebagai calon Perdana Menteri untuk menambahkan lagi "sakit hati" musuh politiknya itu? 

Kalau pun Zahid Hamidi tidak dipercayai sebagai bakal pengganti, adakah dengan memprojekkan KJ melalui tugasan penting, besar dan hebat TN50 itu, ia juga bermakna Hishammuddin sudah kurang diyakini? (SH 23/10/2016).

SUDAH SAMPAI MASANYA PAS HARUS DILUPAKAN UNTUK AGENDA PERUBAHAN


Berdasarkan lenggok gaya Pas kebelakangan ini, khususnya kenyataan Mursyidul Am, Hashim Jasin yang menolak sebarang bentuk bekerjasama untuk menjatuhkan Najib Razak serta ketegasan enggan menyertai Bersih 5 sebagaimana yang dinyatakan oleh Setiausaha Agungnya, Takiyuddin Hasan, parti itu sebenarnya sudah boleh dilupakan terus oleh rakan-rakan pembangkang yang lain.

Jika bekerjasama menjatuhkan kerajaan tidak mahu, berpakat menyingkirkan Perdana Menteri yang sarat dengan skandal kewangan tidak mahu dan  bersama menyertai gerakan untuk menuntut pilihanraya yang bersih serta adil juga tidak mahu, maka "terang lagi bersuluhlah" untuk difahami isi hati perjuangan pemimpin-pemimpin Pas ketika ini.

Pas mulai sekarang harus dilabelkan sebagai rakan kongsi dan salah satu pendokong UMNO dan Najib Razak serta kedudukan mereka tidak ubah seperti parti-parti komponen BN yang lain. 

Meskipun tidak bersama sebagai komponen BN, mesti diberitahu kepada rakyat dan pengundi bahawa melalui tindak-tanduk Pas  adalah sama sebagai pelampung penyelamat kepada Najib dan UMNO.

Dalam politik, apatah lagi apabila berdepan dengan kemungkaran pemimpin yang sangat jelas dan nyata, pilihan yang ada hanyalah sama ada menyokong atau menolaknya. Tidak ada jalan tengah atau berkecuali, lebih-lebih lagi bagi pari yang mengaku memperjuangkan Islam, selalu berjubah, berkopiah dan berserban.

Pas yang selama ini selalu bercakap soal dosa dan pahala, syurga dan neraka, kini nampaknya lebih sanggup membutakan mata terhadap pemimpin dan kerajaan yang diperkatakan di seluruh dunia telah mencuri duit rakyat, keluarganya kembung dengan kemewahan serta pembaziran yang nyata dan hanya menjadilan label-label Islam sebagai kosmetik untuk mengabui rakyat.

Apakah tidak cukup dengan Peguam Negara dipecat, timbalan perdana menteri dan menteri-menteri dibuang, Laporan Audit diOSAkan serta beberapa perkara yang lain yang berlaku di depan mata untuk Pas dan para pemimpinnya memahami bahawa memang ada kedurjaan telah berlaku dalam negara kita ini?

Begitu juga dengan dua buah bank ditutup di Singapura dan pendakwaan sedang berjalan di Amerika dan Switzerland, tetapi di negara sendiri semua yang terkait disucikan, apakah terlalu sukar untuk Pas memahami bahawa segala-galanya sedang dilindungi dan kebenaran telah dikebumi?

Kiranya perkara semudah ini pun Pas tidak dapat memahaminya dan masih mahu berdolak-dalik lagi seolah-olah pemimpin seperti Najib adalah nakhoda yang bakal memimpin ke syurga, hanya ucapan "selamat tinggal Romeo" yang paling sesuai ditujukan kepada mereka.

Nampaknya juga saranan Tun Mahathir tentang perlunya semua parti-parti pembangkang bersatu hati demi sama-sama menyelamatkan negara dan keengganan berbuat demikian hanya menunjukkan keinginan memberi kelebihan kepada Najib yang telah menukar Malaysia kepada negara kleptokrasi, langsung tidak berbekas di hati dan sanubari para pemimpin Pas.

Oleh itu, adalah tidak praktikal lagi dan hanya membuang jika PPBM dan Pakatan Harapan terus menaruh harapan kepada Pas untuk saling berganding bahu dalam pilihanraya akan datang. Lupakanlah Pas mulai sekarang untuk agenda perubahan. Bagi Pas, bahu Najib lebih indah untuk disandari.

Usaha mesti digembleng mulai sekarang untuk bergerak tanpa Pas bersama. PPBM bersama Pakatan Harapan yang dianggotai PKR, DAP dan Amanah serta Warisan di Sabah, sebenarnya sudah cukup kuat untuk menggerak dan memenuhi aspirasi rakyat ke arah perubahan yang dinanti-nantikan.

Lagi pula, dengan adanya pengaruh Tun Mahathir dengan Anwar Ibrahim bersama-sama dan saling berganding bahu ketika ini, apakah ia masih belum memadai?

Yang penting, jangan lagi berlengah dan mulakan usaha daripada sekarang. Tinggalkan terus Pas dan gambarkan bahawa mereka adalah rakan kongsi dan pelampung kepada sebuah kerajaan yang kleptokrasi.

Jika Pas "tahu malu dan sedar diri", parti itu juga bolehlah  melangkah keluar daripada Kerajaan Negeri Selangor yang dipimpin oleh Pakatan Harapan dengan secepat mungkin kerana Azmin Ali dan semua pemimpin Pakatan Harapan di negeri itu adalah terang-terang merupakan sebahagian daripada gerakan untuk menyingkirkan Najib dan menjatuhkan UMNO serta BN.

Dalam hal ini, dipersilakanlah Hashim Jasin, Musyidul Am Pas yang baru dilantik agar segera mengeluarkan fatwa "mufarakah" parti itu dengan segala elemen yang yang ada kaitan dengan gerakan untuk menjatuhkan Najib.

Para pemimpin Pas pula, segeralah nyatakan pendirian, bukan setakat senada dengan UMNO mengecam Ahli-Ahli Parlimen yang keluar dewan ketika Najib membentangkan belanjawan Jumaat lalu, bahkan lebih afdal jika disertai dengan puji-pujian dan  sanjungan melangit terhadap isi kandungan "bajet kosong" tersebut.(SH 23/10/2016).

Saturday, 22 October 2016

BAJET 2017 OLEH MENTERI KEWANGAN TERBURUK 2016, MEMANG PATUT PUN KELUAR DEWAN!!


Walaupun cuba diberi gambaran buruk dengan pelbagai label dan gelaran, tindakan Ahli-Ahli Parlimen pembangkang meninggalkan dewan ketika Najib Razak sedang membentangkan Bajet 2017, sebenarnya adalah sesuatu yang wajar dan penuh intergriti.

Insiden bermula dengan Najib sendiri yang tidak menyedari dan bagaikan lupa diri bahawa berdirinya beliau membentangkan bajet tersebut adalah atas kapasiti sebagai Menteri Kewangan dan bukannya sebagai Presiden UMNO atau Pengerusi BN.

Beliau seharusnya menumpukan ucapannya hanya untuk kepentingan rakyat dan negara, bukannya seperti berucap dalam kempen pilihanraya atau di atas pentas Perhimpunan Agung UMNO.

Mengambil banyak masa untuk mencela dan menghentam wakil pembangkang ketika membentangkan bajet untuk faedah 30 juta rakyat, lebih-lebih lagi dengan dakwaan sandiwara dan pengkhianat, adalah sesuatu yang di luar kebiasaan dan terbabas daripada landasan yang sewajarnya.

Menyindir sikit-sikit atau melemparkan kata-kata sinis kepada pihak pembangkang dengan nada bergurau dan sambil tersenyum sepertimana yang biasa dilakukan oleh Tun Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim ketika mereka membentangkan bajet masing-masing suatu ketika dahulu, memang merupakan lumrah yang dapat diterima umum.

Malah, jika kita imbas kembali, sindiran dan kata-kata sinis Tun Mahathir dan Anwar kepada pembangkang ketika itu semuanya dapat diterima dengan senyum ketawa oleh Ahli-Ahli Parlimen pembangkang.

Ini kerana mereka sedar ia sekadar guaraun untuk menceriakan suasana semata-mata.

Tetapi Najib bukan saja mengambil banyak masa untuk menyerang pembangkang, malah serangan dan hentamannya tidak ubah seperti pengkhutbah yang pincang.

Najib menasihatkan rakyat berjimat cermat dan tidak makan di restoran mahal, sebaliknya hanya membeli "nasi lemak anak dara", tetapi adakah beliau pernah menasihati isteri dan keluarganya daripada tidak bermewah dalam berbelanja?

Dalam hal ini, memang wajar Ahli-Ahli Parlimen pembangkang keluar dewan. Najib yang lebih dulu melanggar etika dengan berperangai tidak sewajarnya. Jika perkara yang sama berlaku di Jepun, Taiwan dan negara-negara Eropah, sudah pasti mereka juga akan meninggalkan dewan sebagai tanda bantahan.

Hanya dengan meninggalkan dewan, Najib dapat diberitahu bahawa tindakannya membuat dakwaan semberono, adalah sesuatu yang salah. Sebelum mahu mengusik atau menyindir pembangkang, Najib sepatutnya banyak belajar daripada Tun Mahathir dan Anwar atau mengambil sedikit masa menonton kembali video pembentangan bajet oleh kedua-dua tokoh tersebut yang pernah menjadi menteri kewangan cemerlang sebelum ini.

Lagi pula, wakil-wakil pembangkang juga hanya keluar dewan setelah "dihalau" oleh Speaker, Pandikar Amin Haji Mulia yang meminta mereka berbuat demikian jika tidak sedia mendengar pembentangan oleh Najib itu.

Jadi, siapa yang salah?

Nombor satu paling salah ialah Najib dan kedua, Pandikar yang gatal mulut menghalau mereka, sama seperti  gatalnya  mulut beliau suatu ketika dahulu mengadu kepada Tun Mahathir mahu meletakkan jawatannya, tapi kemudian tidak cukup kekuatan dengan sendiri punya pendirian.

Dalam aspek yang lain, sebelum mahu mencela dan menghentam orang lain, Najib juga seharusnya sedar siapa dirinya yang sebenar. Beliau mesti selalu melihat-lihat cermin menonton wajahnya  sendiri.

Hakikatnya, Najib bukan saja sedang terperosok dengan pelbagai isu melibatkan diri, isteri dan keluarganya, malah skandal kewangan yang terkait dirinya adalah yang terbesar dalam dunia ketika ini.

Beliau masih kekal berkuasa hanya kerana menguasai semua instrumen penting dalam negara, tetapi di luar negara, seluruh dunia sedang menyaksikan satu demi satu tindakan penguatkuasaan sedang diambil berkaitan 1MDB yang mana beliau sendiri berkuasa dan berperanan penting di dalamnya.

Jadi, tindakan keluar dewan sambil menuntut pengakuan tentang MO1 daripada Najib memang sesuatu yang wajar untuk menunjukkan kepada rakyat bahawa kes melibatkan beliau dan keluarganya belum lagi berakhir dan jauh sekali untuk terus dilupakan.

Tambahan lagi, semua hal berkaitan 1MDB langsung tidak dibenar  untuk dibincangkan di Parlimen.

Selain itu, Najib juga sebelum ini telah dinobatkan sebagai Menteri Kewangan Terburuk Asia 2016 oleh sebuah portal kewangan antarabangsa, AsiaFinance. Bermakna, Bajet 2017 semalam dibentangkan oleh seseorang yang terburuk, bukan terbaik.

Maka, bersama semua itu, jauh lebih mengaibkan jika Ahli-Ahli Parlimen pembangkang,  masih sanggup mendengar sampai habis ucapan belanjawan yang disampaikan oleh Najib yang bukan saja sudah disahkan sebagai terburuk, tetapi juga sebenarnya telah sifar wibawa dan intergriti dalam dirinya. (SH 22/10/2016).
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...