Sunday, 9 March 2014
Bermula Di Kajang, Mesej Kepada Najib Harus Lebih Berani
Sementara kita masih bersedih dengan tragedi kehilangan pesawat MAS MH370 yang belum ditemui lagi serta bersimpati dengan waris mangsa yang mungkin kehilangan orang-orang tersayang, gelora politik dalam negara selepas Anwar Ibrahim dihalang daripada bertanding di Kajang jelas makin hangat dan membara. Di mana-mana kedengaran rasa tidak puas hati dan simpati terhadap nasib yang ditimpakan kepada Ketua Pembangkang itu.
Bukan sahaja penyokong pembangkang dan mereka yang mendambakan perubahan meluahkan rasa simpati, malah rakyat biasa, ahli dan pemimpin UMNO di pelbagai peringkat juga kedapatan yang meluahkan perasaan yang sama. Rata-rata mereka dapat melihat dengan jelas permainan dan silap mata di sebalik hukuman yang dijatuhkan itu.
Ternampak bahawa hukuman yang dijatuhkan hanyalah untuk menghalang Anwar daripada bertanding di Kajang melalui Mahkamah Rayuan yang sanggup bersidang sehingga jam 7 malam. Yang penting bagi penguasa di Putrajaya ialah bagi memastikan calon PKR di Kajang mestilah bukan Anwar Ibrahim dan keputusan mesti dibuat sebelum 11 Mac.
KajangMove direncanakan tidak lain ialah untuk melancarkan lagi perjalanan menawan Putrajaya dalam PRU 14 nanti. Dengan menjadikan Anwar sebagai Menteri Besar Selangor, keyakinan PR ialah rakyat akan lebih mudah menilai kemampuan mereka untuk mentadbir negara pula.
Tetapi perjalanan menuju PRU 14 masih jauh, ada kira-kira empat tahun dari sekarang. Sokongan pelbagai lapisan rakyat terhadap KajangMove tidak semestinya untuk menyokong seratus-peratus Anwar menjadi Perdana Menteri sebagaimana yang digembar-gemburkan dan ditakuti oleh pimpinan tertinggi UMNO.
Sokongan kepada KajangMove dan mahu melihat Anwar menjadi Menteri Besar Selangor sebenarnya lebih kepada usaha untuk mewujudkan politik yang seimbang dalam negara. Apabila politik seimbang dapat diwujudkan dan kekuatan antara BN dan PR disetarakan, yang untung dan mendapat nikmatnya ialah rakyat.
Selepas PRU 13 yang menyaksikan BN kehilangan lebih banyak kerusi berbanding 2008 dan sokongan rakyat pula hanyalah 47 peratus, tetapi kerajaan dilihat mula mahu memungkiri janji dan akujanjinya sendiri dengan menggunakan pelbagai hujah serta helah. Rakyat seolah-olah ingin dibuli kerana kerajaan berpendapat selepas menang pilihanraya, mereka bebas berbuat apa saja manakala pilihanraya seterusnya pula masih lama lagi.
Hanyalah setelah adanya protes dan bantahan yang agak besar daripada rakyat dan pelbagai lapiran rakyat, barulah beberapa janji dan akujanji yang mahu dimungkiri itu dibatalkan akhirnya. Tetapi kenaikan harga minyak dan tarif letrik yang diluluskan oleh kerajaan tetap meletakkan beban hidup rakyat makin meningkat. Keborosan dan kemewahan pimpinan dalam menggunakan dana kerajaan pula terus menjadi-jadi.
Jika dulu kita hanya menggeleng kepala membaca berita mengenai kemewahan dan pembaziran Robert Mugabe, hari ini pemimpin kita, Najib Razak sudah disamakan dengan Presiden Zimbabwe itu dari segi pembaziran dan pemborosan wang kerajaan. Apakah kita berbangga dengan semua ini? Apakah juga kita mahu gejala ini berterusan?
Jika KajangMove ini berjaya, Najib dan BN pasti lebih menghadapi kesukaran berbuat sesuka hati. Keseimbangan dalam kekuatan politik antara kerajaan dan pembangkang akan mengelakkan lebih banyak pembaziran, ketirisan, pemborosan dan kemewahan daripada terus berlaku. Dan kerana inilah Anwar disekat daripada memulakan kemaraannya di Kajang.
Walaupun kini bukan lagi Anwar yang bertanding di Kajang tetapi semangat daripada tindakan menghalang beliau itu diharapkan akan terus meluap dan membara. Permulaannya adalah di Kajang tetapi selepas itu bahangnya perlu menyelinap ke seluruh negara.
Oleh itu, adalah penting kepada pengundi Kajang untuk terus memberikan sokongan yang bulat kepada siapa saja calon PR di sana. Hanya kemenangan dengan undi yang lebih besar dapat dianggap sebagai mesej yang jelas kepada Najib dan BN bahawa rakyat menolak segala bentuk ketidak-adilan sama ada atas nama undang-undang, kehakiman atau apa saja.
Tetapi jika BN menang di Kajang atau hanya kalah dengan undi tipis, mereka akan menganggap bahawa segala perlakuan selama ini direstui dan diterima baik oleh rakyat. Sudah tentu selepas itu lebih banyak lagi pembulian akan dilakukan. Permulaan yang ditunjukkan di Kajang sebenarnya adalah sangat penting.
Selepas Kajang pula, rakyat boleh terus menunjukkan perasaan mereka melalui pelbagai cara seperti demo aman, luahan di media sosial dan menyatakan bantahan atas apa juga perlakuan pemimpin dan kerajaan yang tidak menguntungkan rakyat. Jika ada mana-mana pilihanraya kecil, teruslah memberi sokongan serta undi kepada calon pembangkang.
Hanya dengan cara itu, keseimbangan politik dapat dijelmakan dan sekaligus merupakan mesej yang jelas kepada Najib dan kerajaan agar lebih berhati-hati dan tidak bertindak sesuka hati.
Walaupun KajangMove sudah dianggap gagal dengan keputusan Mahkamah Rayuan yang menjatuhkan lima tahun penjara keatas Anwar Ibrahim dan sekaligus Anwar juga gagal menjadi Menteri Besar tetapi ia boleh dijadikan permulaan kepada langkah yang lebih menguntungkan rakyat untuk jangka masa panjang.
Dan di bahu pengundi Kajang terletak tanggungjawab besar sebenarnya. Hanya keberanian mereka bakal menjanjikan masa depan lebih baik untuk rakyat Malaysia seluruhnya. (SH 09/03/2014)
Saturday, 8 March 2014
Akhirnya Anwar Dihalang Daripada Menjadi MB Selangor
Sebagaimana yang diduga oleh kebanyakan orang, Mahkamah Rayuan akhirnya menerima rayuan pihak pendakwa dan mendapati Anwar Ibrahim bersalah atas tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Saiful Bukhari Azlan. Beliau dikemudiannya dijatuhkan hukuman penjara selama lima tahun dan mahkamah juga menerima rayuan peguambela Anwar untuk menangguhkan sementara hukuman sehingga proses seterusnya dibawa ke Mahkamah Persekutuan pula.
Selain menerima rayuan untuk menangguhkan hukuman, Mahkamah Rayuan juga bermurah hati dengan membenarkan jaminan sebanyak RM10 ribu boleh dibayar sehingga jam 11 pagi Isnin, 10 Mac. Ini bermakna keputusan mahkamah yang bersidang sehingga jam 7 malam hari ini mengelakkan Anwar daripada dipenjara dan boleh pulang ke rumah serta menjalankan aktiviti politiknya seperti biasa.
Apa yang tidak boleh dilakukannya dengan keputusan mahkamah ini hanyalah daripada menjadi calon pilihanraya kecil Kajang yang penamaan calonnya pada 11 Mac ini. Dengan tidak boleh menjadi calon di Kajang, bermakna Anwar juga tidak boleh menjadi Menteri Besar Selangor sebagaimana yang dirancangnya.
Khalid Ibrahim nampaknya akan terus kekal sebagai Menteri Besar dan Zaid Ibrahim yang berhasrat bertanding sebagai calon Bebas untuk mempertahankan Khalid juga secara automatik tidak perlu lagi meneruskan hasratnya. Mahkamah Rayuan telah membantu Zaid menjimatkan wangnya kali ini.
Bagaimanapun, oleh kerana sabitan kesalahan ini ditangguhkan sehingga rayuan ke Mahkamah Persekutuan yang tidak diketahui bila tarikhnya, mungkin dua tahun atau tiga tahun daripada sekarang, keputusan Mahkamah Rayuan ini tidak memberi apa-apa kesan kepada kedudukan Anwar sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh dan Ketua Pembangkang.
Anwar akan terus menjadi Ketua Pembangkang dan Ahli Parlimen Permatang Pauh tanpa sebarang gangguan, malah sebagaimana yang dijadualkan juga, beliau akan membahaskan titah ucapan Yang Dipertuan Agong pada Selasa, 11 Mac ini tanpa sebarang gangguan atau berkejar dengan masa.
Beliau hanya tidak boleh mengemukakan kertas pencalonannya sebagai calon PKR di Kajang pada Selasa ini dan seterusnya langkah KajangMove yang dirancang untuk menobatkannya sebagai Menteri Besar Selangor telah pun melanggar tembok. Tembok itu tidak lain dibina melalui keputusan Mahkamah Rayuan hari ini yang tentunya juga dengan penuh kesedaran dan pengetahuan pemegang kuasa di Putrajaya.
Sebagaimana yang disebutkan dalam posting terdahulu, inilah sebenarnya muslihat mengapa tarikh penamaan calon di Kajang ini begitu lewat ditetapkan tarikhnya oleh SPR.
Dengan ini, terbuktilah apa yang sebenarnya ditakuti ialah jika Anwar menjadi Menteri Besar Selangor. UMNO dan BN sebenarnya menyedari dengan kedudukan dan jawatan sebagai Menteri Besar akan melancarkan lagi perjalanan Anwar dan PR menawan Putrajaya dalam pilihanraya akan datang nanti.
Mahathir tidak menyembunyikan kebimbangannya mengenai langkah Anwar itu. Beliau menyifatkan dengan menjadi Menteri Besar dan berjaya membuktikan kepimpinannya di negeri paling kaya itu, ia akan menjadi tangga yang bakal memudahkan lagi usaha bekas Timbalan Perdana Menteri itu menguasai Putrajaya.
Najib pula, walaupun tidak banyak mengomel mengenai langkah Anwar ini, tetapi kebimbangannya dapat difahami berdasarkan sambutan rakyat terhadap perkara ini. Lebih-lebih lagi, mereka dalam UMNO amat faham kebijaksanaan Anwar membina pengaruh dan meningkatkan sokongan jika mempunyai jawatan dalam kerajaan. Lihat saja bagaimana sejarahnya dalam UMNO, dengan jawatan Menteri Kewangannya dulu beliau mampu merebut jawatan Timbalan Presiden UMNO pada 1993 meskipun ketika itu Tun Ghafar dilindungi oleh kouta pencalonan, undi bonus serta kelebihan sebagai penyandang jawatan.
Keputusan Mahkamah Rayuan hari ini yang dimulai dengan tarikh penamaan calon dilewatkan, penetapan tarikh bicara yang tergesa-gesa dengan meminta peguambela Karpal Singh meluangkan masa antara 7 hingga 10 Mac, kesediaan mahkamah bersidang sehingga waktu maghrib dan kemudian bersikap baik hati dengan membenarkan wang jaminan dibayar sehingga jam 11 pagi hari Isnin, jelas dan tidak lain adalah semata-mata untuk menghalang Anwar daripada menjadi ADUN Kajang dan seterusnya Menteri Besar Selangor.
Hanya itu matlamat dan tujuannya. Tiada yang lain. Noktah. Menang atau kalah di Kajang tidak lagi penting bagi Najib dan BN. Berapa undi yang bakal diperolehi oleh calon BN, Chew Mei Fun turut tidak penting. Siapa calon PKR yang bakal menggantikan Anwar juga tidak lagi mustahak kepada Najib dan BN. Dengan dapat menghalang Anwar daripada menjadi Menteri Besar, Najib dan BN sekurang-kurangnya dapat bernafas lega dalam tempoh tiga atau empat tahun sebelum tibanya PRU 14.
Itulah yang penting dari segala yang penting dan malam ini Najib mungkin menikmati tidur malamnya yang paling lena.
Dengan keputusan ini juga, Najib mempunyai jalan untuk memulihkan semula hubungannya dengan Mahathir dan Daim yang semakin kerap mengkritiknya sejak kebelakangan ini. Dan sekiranya dengan langkah menghukum Anwar ini tidak juga berupaya memulihkan imej dan keyakinan rakyat terhadap kepimpinannya, malah mungkin membuatkan rakyat lebih kuat bangkit untuk melakukan perubahan, sekurang-kurangnya tempoh yang masih panjang sebelum PRU 14 sambil Anwar dinafikan daripada berpaut dengan kuasa, boleh digunakan untuk memikir helah serta perancangan lain pula.
Dalam jangka pendek dan sederhana, Najib dan BN memang terlihat selamat dengan keputusan mahkamah ini tetapi ia bukanlah jaminan mutlak untuk membolehkan BN berkuasa selama-lamanya. Manusia merancang, Tuhan pun merancang tetapi perancangan Tuhanlah yang akhirnya menang. (SH 08/03/2014)
Friday, 7 March 2014
Pertanyaan Untuk KDN, Berapa Banyak Huru-Hara dan Murtad Kerana Ultraman?
Tindakan Kementerian Dalam Negeri semalam mengharamkan buku Ultraman The Ultra Power atas alasan buku tersebut mengandungi unsur-unsur yang mungkin memudaratkan ketenteraman awam telah dijadikan bahan jenaka di media sosial dengan rata-ratanya menyindir dan mengeluarkan pelbagai tafsiran di sebalik tindakan kerajaan itu.
Oleh kerana KDN tidak menyebut secara jelas sebab-sebab pengharaman itu, maka semua orang membuat pelbagai andaian sendiri mengenainya. Ada yang memberi hujahan serius, namun kebanyakannya lebih berbentuk sindiran atau lawak jenaka kerana siri Ultraman sendiri adalah karya animasi daripada Jepun yang begitu diminati oleh kanak-kanak.
Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin sendiri menyoal keputusan KDN itu dengan bertanya, "Apa salah Ultraman?" manakala bekas Ahli MT UMNO, Saifuddin Abdullah jelas tidak bersetuju dengan tindakan KDN itu dengan menulis di twitternya, "saya dari dulu tak setuju dengan kecenderungan mengharamkan buku. Kalau tak setuju, tulis buku lain untuk bidas."
Tetapi melalui fakta yang disebarkan mengenai kandungan buku tersebut, pengharaman KDN itu adalah dipercayai kerana adanya penggunaan nama Allah di dalamnya di mana Ultraman King yang dianggap paling berkuasa dan dihormati dilabelkan sebagai "Allah" atau Elder kepada semua wira ultra.
Jika ini alasan pengharaman itu, jelas bahawa ia hanyalah kesilapan teknikal di mana penulis telah melakukan "direct translation" daripada karya asal buku tersebut tanpa penguasaan yang mendalam mengenai Bahasa Melayu dan pemahaman mengenai Islam. Lebih mungkin penulisnya hanya melakukan terjemahan secara langsung tanpa pindasn melalui Google di mana "Elder" telah ditafsirkan sebagai "Allah".
Sekiranya penterjemah atau penerbit buku ini memahami bahasa Melayu, budaya Islam atau ia seorang yang beragama Islam, penggunaan nama Allah ini pasti tidak berlaku.
Dalam hal ini, tindakan KDN mengharamkan buku tersebut seolah-olah ia suatu keputusan besar yang menggambarkan ketegasan kerajaan dalam menjaga ketenteraman awam, nyata suatu kesilapan dan sesuatu yang berlebih-lebihan. Sementara banyak bahan penerbitan lain yang dibiarkan berleluasa seperti artis bergambar lucah dan sebagainya dalam pelbagai bentuk majalah dan penerbitan lain, kerajaan juga gagal bertindak sewajarnya dalam isu Syiah, golongan anti hadis dan ajaran sesat yang begitu menjadi barah dalam masyarakat sekarang ini.
Lebih-lebih lagi, Menteri Dalam Negeri, Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini begitu menghebahkan tentang pelbagai usaha yang mahu dilakukannya untuk menangani semua gejala itu, termasuk menubuhkan jawatankuasa mengenainya, polis syariah dan malahan berdegar-degar berucap di Perhimpunan Agung UMNO mahu menangkap seorang pemimpin politik yang dikatakannya cukup bukti untuk dikaitkan dengan Syiah.
Malangnya semua itu hanya umpama embun di pagi hari saja, terbit saja matahari hilanglah segala-galanya. Sementara masih tiada sebarang tindakan mengenai ajaran sesat yang nyata dan benar-benar wujud, dengan tindakan terhadap buku Ultraman ini hanya menggambarkan bahawa KDN hanya berani terhadap animasi, kartun dan benda-benda khayalan saja.
Haruslah diakui bahawa walaupun siri Ultraman itu popular dan ia gagah perkasa, tangannya sahaja boleh mengeluarkan api yang mampu meruntuhkan bangunan, ia sebenarnya hanyalah siri khayalan dan ciptaan semata-mata yang dianimasikan untuk hiburan kanak-kanak semata-mata.
Sesiapa juga yang pernah melalui zaman kanak-kanak dan mempunyai peti televisyen, pasti pernah meminati siri Ultraman ini, bahkan kanak-kanak begitu ingat bila waktu siarannya. Tetapi oleh kerana ia hanyalah khayalan dan hiburan semata-mata, ia tidak meninggallan kesan kepada ketenteraman awam. Apabila kanak-kanak mula dewasa dan memahami dunia realiti, mereka akhirnya sedar Ultraman hanyalah kartun dan hiburan saja. Ia tidak terbawa sehingga dewasa.
Bukan saja tidak ada kanak-kanak yang pergi ke Jepun semata-mata untuk mencari Ultraman dan tergila-gila memakai topengnya sehingga dewasa, bahkan tidak pernah dilaporkan juga ada yang penah murtad kerana terlalu memuja dan menggilai Ultraman King yang diterjemahkan sebagai Allah itu.
Dalam hal ini, apa yang seharusnya KDN lakukan ialah memanggil penerbit buku tersebut dan memintanya menarik baliknya edarannya yang mengandungi kalimah Allah itu serta menggantikannya dengan penggunaan bahasa yang lebih sesuai.
Sebagaimana kangkung yang digunakan oleh Perdana Menteri sebelum ini sebagai rujukan yang tidak tepat untuk mengaitkan penurunan harga barang, pengharaman buku Ultraman ini juga menggambarkan keputusan tidak wajar dan berlebih-lebihan oleh kerajaan. Ia seharusnya boleh diselesaikan secara dalaman dengan memanggil penulis dan penerbit buku itu saja.
Tidak perlu kecoh-kecoh. Walaupun banyak bangunan runtuh dan manusia mati kerana Ultraman, hakikatnya ia hanyalah siri kartun dan animasi saja. Apakah KDN hanya berani dengan kartun dan animasi saja tetapi tidak berani mengusik kesesatan dan bahaya yang betul-betul nyata di negara ini? (SH 07/03/2014)
Subscribe to:
Comments (Atom)