Sunday, 14 April 2013
FD Iskandar 'Glomac' Gagalkan Hasrat Najib Tawan Selangor?
Disebalik keghairahan Najib mahu menawan kembali Selangor daripada PR dalam pilihanraya akan datang ini, isu siapa bakal menjadi MB masih menjadi persoalan dan percakapan ramai. Disinari gemerlapan sebagai negeri yang termaju dalam Malaysia, UMNO Selangor juga diselubungi ketandusan pemimpin-pemimpin muda yang berbakat, berwibawa dan bersih imejnya sehingga UMNO kelihatan sukar memilih calonnya yang mutlak untuk jawatan itu.
Walaupun masih ada Noh Omar selaku menteri pusat dan Timbalan Pengerusi UMNO Selangor, Zin Mohamed selaku Penyelaras BN Selangor dan Satim Diman sebagai Ketua Pembangkang di DUN Selangor, tetapi mereka ini pula tidak pernah sunyi daripada pelbagai isu dan masalah yang boleh menghakis keyakinan rakyat terhadap kepimpinan dan wibawa UMNO itu sendiri untuk menerajui negeri itu.
Sebaik Najib mengambil alih kepimpinan UMNO, beliau sendiri menyedari hakikat itu. Sebab itu beliau sendiri mengambil tanggungjawab menerajui UMNO Selangor dan mengenepikan pemimpin dari negeri Selangor. Kini beliau juga menjadi pengarah pilihanrayanya. Meskipun Najib juga sarat dengan pelbagai isu dan masalah, harapannya ialah kedudukannya sebagai Perdana Menteri mampu membawa angin baru kepada UMNO dan BN Selangor.
Sebagai negeri yang terkaya, Selangor adalah umpama gadis pingitan yang sentiasa menjadi rebutan. Masih mengekalkan kuasa di Putrajaya tapi tidak memiliki Selangor, tidak memberi banyak makna kepada UMNO dan BN. Sebab itu, Najib, selan mahu mengekalkan Putrajaya, matlamatnya juga ialah mengembalikan Selangor ke tangan UMNO.
Sementara Khalid tampak gemilang dengan pelbagai cerita kejayaan masa silamnya semasa mengetuai PNB dan kemampuan meningkatkan rizab tunai Selangor melebihi RM2 billion, UMNO pula selepas 2008 digerhanai dengan kes bekas MB Selangor yang didakwa atas tuduhan rasuah. Semua ini menjadikan UMNO tambah kelihatan suram di mata rakyat.
Menjelang pilihanraya ini dan di mana keghairahan Najib mahu menawan Selangor masih membara, isu siapa bakal MB Selangor jika UMNO kembali berkuasa terus menjadi persoalan. Ada beberapa nama yang timbul tenggelam dan disebut-sebut sebagai bakal MB Selangor, tetapi siapa saja yang disebut, nampak macam ada saja masalahnya.
Selain Noh Omar dan Zin Mohamed yang paling kerap disebut sebagai pilihan Najib, beberapa nama lain seperti Ezam Mohamed Nor, Rozali Ismail, tauke air Syabas dan FD Iskandar, Bendahari UMNO Selangor dan lebih dikenali melalui syarikat pemaju hartanah, Glomac Berhad juga disebut sama.
Bagaimanapun nama Ezam dan Rozali sudah lama tidak disebut dan kini sudah pun tercicir dari persaingan. Beberapa hari menjelang hari penamaan calon ini, nama Noh dan Zin juga dikatakan sudah hampir pasti tercicir dari persaingan menduduki kerusi MB Selangor itu. Kedua-dua mereka difahamkan akan kekal bertanding di Parlimen Tanjung Karang dan Sepang, dan akan diberikan jawatan menteri jika BN mampu kekal berkuasa di Putrajaya. Ezam akan terus menyambung peranan senatornya manakala Rozali tidak akan bertanding di mana-mana kerusi DUN mahupun Parlimen.
Najib kini dikatakan mempunyai pilihan yang hampir muktamad sebagai calon pilihannya sebagai MB Selangor jika UMNO kembali berkuasa. FD Iskandar yang merupakan Bendahari UMNO Selangor sejak empat tahun lalu, adalah satu-satunya calon dalam perkiraan Najib sekarang ini.
Selain masih muda, berketrampilan dan kaya-raya melalui Glomac yang diasaskan oleh ayahnya FD Mansor, beliau kini sudah hampir pasti akan bertanding di salah satu DUN Selangor dan akan diangkat menjadi MB jika majoriti kerusi kemenangan memihak kepada BN.
Mekipun Najib kelihatan bekerja kuat dan bersungguh-sungguh mahu menawan Selangor, pemilihan FD Iskandar ini tidak juga mengundang sokongan yang bulat daripada pemimpin dan ahli UMNO sendiri. Ini kerana ramai pemimpin dan ahli UMNO sendiri nampak keberatan untuk menyokong tokoh korporat dan pemaju hartanah terkenal itu sebagai calon MB Selangor akan datang kerana kedudukannya yang lebih dikenali sebagai ahli perniagaan berbanding ahli politik.
Ramai yang berpendapat, dalam keadaan sekarang Najib seharusnya memilih orang politik berbanding tokoh korporat untuk menerajui Selangor, tambahan pula Glomac banyak terlibat dalam pembangunan hartanah di Selangor juga. Sudah tentu kata mereka, jika beliau menjadi MB Selangor, keutamaannya adalah Glomac dan bukannya membantu ahli dan pemimpin UMNO peringkat bawahan.
Ada juga yang berpendapat, meskipun imej UMNO tercalar dengan dakwaan rasuah Khir Toyo dan ramai pula yang keberatan untuk menyokong BN jika Noh Omar atau Zin Mohamed yang ditonjolkan sebagai bakal MB atas beberapa masalah tertentu, namun sebenarnya UMNO Selangor juga tidaklah ketandusan sama-sekali pemimpin yang sesuai untuk menerajui negeri itu. Sekadar menyebut beberapa nama, mereka menyebut nama Nawawi, Shukor Idrus, Subahan Kamal dan Johan Abd Aziz adalah antara beberapa tokoh pelapis yang boleh diketengahkan jika Najib mahu memilih orang politik untuk menerajui Selangor.
Selain kalangan ADUN yang ada sekarang, di kalangan pemimpin UMNO peringkat bahagian juga dikatakan masih ramai yang berwibawa untuk ditonjolkan berbanding risiko memilih FD Iskandar bagi jawatan itu.
Selain kedudukannya sebagai ahli perniagaan dan kemungkinan lebih mengutamakan syarikatnya sendiri, FD Iskandar juga dilihat tidak mempunyai kemesraan dengan ahli-ahli UMNO peringkat bawahan. Beliau dikatakan agak memilih dalam berkawan dan lebih suka ke mana-mana sendirian. Mereka bimbang jika sudah menjadi MB nanti, kemesraan dan kesanggupan beliau merendah diri dengan rakyat dan ahli UMNO akan lebih terhalang lagi.
Baik di kalangan pemimpin dan ahli UMNO, soses-sosek tidak bersetuju dengan pemilihan FD Iskandar ini sudah semakin banyak kedengaran kebelakangan ini dan mereka mahu agar Najib mempertimbangkan semula keputusannya itu. Difahamkan juga, sudah ada pemimpin tertentu yang memberitahu perkara itu kepada Noh dan Zin untuk disampaikan kepada Najib dan risiko kalah juga lebih berkemungkinan berulang lagi.
Sama ada Najib mahu mengubah atau kekal dengan pendiriannya, hakikatnya sosek-sosek ini jika tidak ditangani dan diselesaikan dengan sebaiknya, ia tentunya boleh menjadi protes senyap yang akhirnya menggagalkan hasrat mahu menawan negeri itu. (SH 14/04/2013)
Saturday, 13 April 2013
Jangan Terkejut Jika Husam Mampu Buat Kejutan Di Putrajaya
Sejak Husam Musa, Naib Presiden Pas yang juga Exco Kerajaan Kelantan diumumkan sebagai calon Pas bagi Parlimen Putrajaya, ramai yang berbelah bagi sama ada beliau mampu mencapai kemenangan di situ atau langkah itu hanya umpama "menempah maut" saja. Dua perkara yang menjadi persoalan iaitu pertama, kerana majoriti pengundi di kawasan itu merupakan kakitangan kerajaan dan keduanya, lawannya daripada UMNO pula bukanlah sebarangan orang iaitu Tengku Adnan Tengku Mansor yang merupakan tokoh berpengalaman dalam UMNO dan kini memegang jawatan Setiausaha Agung UMNO.
Tetapi daripada satu segi, pencalonan Husam bertanding di kawasan itu menunjukkan keberanian dan keyakinan tinggi Pas terhadap perjuangan Islam dan cita-cita menawan Putrajaya yang didukung bersama Pakatan Rakyat. Dengan meletakkan salah seorang tokoh besarnya bertanding di Parlimen Putrajaya, Pas dan Pakatan Rakyat sedang memahatkan keyakinan di jiwa rakyat Malaysia dan pengundi yang bakal membuat keputusan pada 5 Mei depan tentang keseriusan mereka untuk mentadbir negara ini.
Husam sendiri sedar lawannya bukanlah sebarangan orang. Baginya Ku Nan adalah seorang tokoh besar dan berpengalaman yang tidak boleh dipandang ringan.
Saya sendiri agak tertarik dengan keberanian Pas meletakkan Husam bertanding di Putrajaya. Tentu ada strategi tertentu yang sedang dipertaruhkan Pas. Jika untuk menang mudah, Husam boleh saja memilih mana-mana kawasan di negeri kelahirannya, Kelantan dan dengan ketokohan semuladinya, kemenangan sudah pasti dalam genggaman. Namun beliau memilih jalan sukar dalam karier politiknya kali ini.
Meskipun Husam dalam masa yang sama kekal juga bertanding di Dun Salor, Kelantan tetapi dengan bertanding di Putrajaya ini, beliau tentunya juga ingin mencipta kemenangan di kedua-dua kawasan itu. Lebih-lebih lagi jika menang di Putrajaya, moral dan wibawa Pas tentunya melambung mencecah awan.
Untuk mendapat kesahihan sendiri, saya telah menghabiskan dua hari ini meninjau-ninjau sekitar Putrajaya, pergi ke beberapa kementerian menemui beberapa rakan untuk berbual-bual mengenai politik dan kedatangan Husam bertanding di Putrajaya. Saya juga minum-minum di kantin dan singgah di beberapa restoran sekitar Putrajaya untuk melihat sendiri respon masyarakat dalam pilihanraya akan datang ini.
Secara umumnya, ramai kakitangan kerajaan menyambut baik dan mengalu-alukan kedatangan Husam bertanding di Putrajaya ini yang disifatkan oleh kakitangan kerajaan sebagai ahli politik yang baik, berperibadi mulia dan mempunyai masa depan yang cerah dalam politik negara.
Berbanding Ku Nan yang disifatkan mereka sebagai ahli politik masa lalu kerana sudah ditanggalkan jawatan menterinya beberapa tahun lalu, mereka lebih melihat Husam sebagai pemimpin masa depan yang boleh dipertaruhkan sandaran serta harapan. Jika peribadi calon dan perbezaan ini menjadi ukuran, ternyata Husam agak lebih disukai dan mempunyai kelebihan.
Meskipun pengundi Putrajaya kebanyakannya adalah kakitangan kerajaan tetapi satu perkara yang dipercayai turut menggugat BN kali ini ialah kerana mereka ini juga merupakan golongan yang celik komputer dan sentiasa terdedah kepada pelbagai sumber maklumat daripada media baru. Walaupun bekerja dengan kerajaan, mereka juga tahu mengenai isu Altantuya, isu Deepak, isu Bala, rasuah, pembaziran dan sebagainya.
Pengundi Putrajaya bukanlah golongan yang terikat dengan isu pembangunan, longkang tersumbat, perumahan dan seumpamanya saja. Jangkauan pemikiran dan kehendak mereka melebihi daripada itu. Ini nampaknya merupakan cabaran bagi BN dan PR. Mana-mana calon yang bijak memanipulasi keadaan ini dijangka akan memperolehi sokongan yang menggembirakan.
Terdapat juga pengundi yang mempersoalkan jika Ku Nan terus dicalonkan di situ untuk berlawan dengan Husam. Sementara ada yang mahukan BN meletakkan calon-calon muda yang berwibawa, terdapat juga kakitangan kerajaan yang merasakan sepatutnya kerusi Putrajaya ini ditandingi oleh kalangan menteri atau timbalan menteri yang masih berkhidmat, sesuai dengan kedudukan pengundinya yang juga majoritinya kakitangan kerajaan.
Hakikatnya, disebalik keyakinan Ku Nan bahawa tiga perempat pengundi Putrajaya akan tetap bersama BN meskipun Husam yang menjadi calon Pas, penolakan terhadap Ku Nan juga dilihat mula menampakkan bibit-bibitnya. Tidak mustahil bibit-bibit kecil ini akan membesar akhirnya andainya BN tetap juga meletakkan Ku Nan sebagai calonnya kerana bagi mereka kedudukan Ku Nan sebagai menteri pencen tidak memberi imej sebenar tentang wibawa Putrajaya itu sendiri.
Selain beberapa menteri dan timbalan menteri yang dirasakan layak bertanding di Putrajaya, beberapa nama pemimpin muda dalam UMNO turut disebut yang dirasakan amat bersesuaian bertanding di Putrajaya, antaranya Khairy Jamaluddin, Mukhriz Mahathir dan Ahmad Zaki Zahid yang juga Ketua Pemuda UMNO Putrajaya sekarang ini. Berbanding Ku Nan, mereka ini disifatkan sebagai pemimpin muda yang progresif dan berketrampilan yang perlu diketengahkan mewakili Putrajaya jika ingin menandingi dan berlawan dengan wibawa Husam sebagai pemimpin yang sedang meningkat naik dalam Pas.
Jika dilihat keputusan pilihanraya 2008, Ku Nan memperolehi 4038 undi manakala calon Pas ketika itu, Mohamad Noor Mohamad juga dari Pas mendapat 1304 undi daripada jumlah pengundi seramai 6608. Ini bermakna dalam pilihanraya lalu lagi, Pas sudah ada pengaruhnya yang tersendiri di Putrajaya ini.
Kali ini dengan pengundinya sudah meningkat kepada 15,798 orang dan Husam pula yang bertanding, tidak mustahil pengaruhnya lagi berbeza. Kunjungan kali pertama Husam ke kawasan perumahan Putrajaya dua hari lalu dan bersembahyang Jumaat di Masjid Putra yang dilaporkan mendapat sambutan hangat dan dialu-alukan penduduk sebagaimana yang disiarkan media, memberi gambaran bahawa persaingan pasti sengit menjelang 5 Mei ini dan tidak mustahil berlakunya kejutan.
Sebagaimana rakyat sudah terdedah dengan pelbagai maklumat, kakitangan kerajaan juga tidak terkecuali daripadanya. Mereka juga sudah arif membezakan antara sokongan kerana kerajaan dengan sokongan kepada parti politik. Kehadiran Husam bukan saja tidak mustahil menghadirkan kejutan tetapi pastinya juga membuatkan UMNO dan BN tidak seselesa dulu mempertakankan kerusi Putrajaya ini. (SH 13/04/2013).
Friday, 12 April 2013
Setpol Najib Diarah Bertanding Dengan Misi Mesti Menang
Di ketika kebanyakan pemimpin UMNO lainnya belum mengetahui untung nasib mereka sama ada menjadi calon atau tidak dalam pilihanraya ini, seorang Setiausaha Politik Najib telah pun mendapat arahan awal daripada Najib sendiri untuk bertanding dalam pilihanraya 5 Mei ini dengan "misi mesti menang" di kawasan yang ditandinginya itu.
Setpol yang dimaksudkan ialah Sahlan Ismail yang sudah pun memulakan gerak kerjanya sejak beberapa minggu lalu di Parlimen Pokok Sena, Kedah. Misinya diletakkan bertanding di situ ialah mesti menumpaskan Ahli Parlimen sedia, Mahfuz Omar yang merupakan Naib Presiden Pas.
Dua hari lalu Anwar mendedahkan bahawa beliau mendapat maklumat yang menyebut Najib mahukan tiga pemimpin muda Pakatan Rakyat yang bertanding di sekitar Lembah Kelang dalam pilihanraya kali ini mesti dikalahkan oleh BN. Mereka ialah Nurul Izzah di Lembah Pantai, Rafizi Ramli di Pandan dan Tony Pua di Petaling Jaya Utara.
Arahan Najib supaya mereka ini dikalahkan adalah dipercayai kerana keagresifan mereka mendedahkan pelbagai perkara mengenai salah saku dan kecurangan pemimpin UMNO dan kerajaan dalam pelbagai skandal peribadi dan kewangan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Rupa-rupanya arahan tersebut tidak sekadar terhadap tiga pemimpin itu saja, malah juga melibatkan Mahfuz Omar yang turut agresif mendedahkan pelbagai maklumat susulan beberapa skandal yang berlaku sama ada melibatkan Najib atau pemimpin UMNO lainnya.
Melihat kekerapan serta keagresifan Mahfuz menyerang Najib dan BN, tidaklah mustahil beliau menjadi antara pemimpin Pakatan Rakyat yang tidak disenangi Najib dan kerana itu beliau mesti dikalahkan supaya suaranya lagi kedengaran di Parlimen. Bersesuaian pula dengan ketiadaan calon yang sesuai daripada UMNO Pokok Sena yang diketuai oleh Ahmad Lebai Sudin yang dirasakan layak menentang Mahfuz, maka Sahlan telah dijadikan sandaran ke arah matlamat itu.
Beberapa pemimpin UMNO Pokok Sena mengesahkan perkara itu dan Sahlan diletakkan bertanding adalah dengan misi yang besar bagi kepentingan politik Najib. Nampaknya dalam pilihanraya akan datang ini, Najib bukan saja mahu memastikan kemenangan kepada BN supaya terus berkuasa tetapi juga sedang memburu beberapa pemimpin Pakatan Rakyat yang selama ini didapati begitu lantang mengkritiknya dengan misi mereka itu mesti ditumbangkan.
Bagi ahli UMNO Pokok Sena, mereka sudah lama mengetahui tentang kemungkinan Sahlan akan bertanding di kawasan Parlimen itu tetapi kekerapan beliau turun sejak kebelakangan ini bersama jentera-jenteranya dari Kuala Lumpur seperti mengesahkan lagi perkara itu.
Sejak beberapa minggu ini, seorang ahli perniagaan yang rapat dengan Sahlan iaitu Datuk Ghazali Saiboo telah pun mula berkampung di Pokok Sena untuk tujuan menemui beberapa pihak yang dirasakan boleh membantu Sahlan dalam pilihanraya nanti. Selain itu, Ghazali juga dikatakan sedang agresif membeli maklumat daripada pelbagai sumber di Pokok Sena tentang kekuatan dan kelemahan UMNO dan BN di setiap cawangan dan kampung bagi memudahkan gerak kerja seterusnya.
Ghazali juga turut sedang mencari kelemahan dan kekurangan Mahfuz serta kemungkinan ada janji-janji beliau yang tidak ditunaikan bagi memudahkan UMNO dan BN menyerang kredibiliti Naib Presiden Pas itu.
Najib dipercayai amat menaruh keyakinan tinggi bahawa Sahlan mampu memberi cabaran kepada Mahfuz berikutan kedudukannya sebagai Setiausaha Politik Perdana Menteri yang memungkinkan beliau lebih diterima rakyat, selain adanya bantuan kewangan yang banyak daripada beberapa ahli perniagaan daripada Kuala Lumpur.
Walaupun sehingga ini hanya Ghazali Saiboo dan beberapa orang saja dari Kuala Lumpur yang dilihat sudah berkampung dan berlegar-legar di sekitar Pokok Sena sejak beberapa minggu lalu tetapi ahli UMNO di situ percaya menjelang hari penamaan calon dan pengundian nanti, pastinya lebih ramai lagi ahli perniagaan dan jentera dari Kuala Lunpur yang akan datang membantu Sahlan untuk mencapai "misi mesti menang" yang diarahkan oleh Najib itu. (SH 12/04/2013)
Subscribe to:
Posts (Atom)