Friday, 5 October 2018

BETULKAH NAMA TUN MAHATHIR DAN ANWAR TIDAK CUKUP KUAT?


Macam-macam cara dan macam-macam gaya untuk menang dan memperolehi undi.


Suatu ketika, dikontarkan kata-kata bahawa Rafizi Ramli bertanding sebagai Timbalan Presiden PKR ialah untuk memastikan Anwar Ibrahim tidak terhalang daripada jadi Perdana Menteri.


Kononnya, jika Azmin Ali yang terus memegang jawatan itu, maka akan kempunanlah Anwar kepada kerusi itu buat kali yang keduanya.


Namun, setelah memasuki episod pengundian, kita tidak pernah lagi mendengar sesiapa daripada kem Rafizi mendendangkan lagu kempen sebegitu.


Mungkin sudah beralih kepada kaedah kempen yang lain agaknya!

Yang nyata, Rafizi nampaknya sudah kalah kepada Azmin di dua negeri - Pulau Pinang dan Johor. 


Mungkinkah cara kempen beliau selama ini tidak begitu diterima?


Begitu pun, persaingan di negeri-negeri lain masih lagi terbuka dan masing-masing terus berebut memperolehi undi.


Tetapi, dalam mahu mengejar undi dan kemenangan seterusnya di negeri-negeri lain, terdengar pula nada kempen yang agak menjengkelkan  iaitu dengan mengatakan bahawa Azmin adalah faktor penting yang membawa kepada kemenangan Pakatan Harapan dalam pilihanraya lalu.


Kata yang tukang kempen iaitu Saifuddin Abdullah, Menteri Luar, nama Tun Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim ketika PRU 14 belum cukup kuat untuk meyakinkan rakyat mengundi Pakatan Harapan.


Ketika itu, tambah beliau, nama Azminlah yang terpaksa dijual berdasarkan rekodnya dalam mentadbir Selangor.


"Masa nak menang pilihanraya kita jual nama dia, masa nak pilih Timbalan Presiden PKR, kita tak mahu...tak bolehlah," kata Saifuddin yang jelas berada berada di kem Azmin.


Wahh...ini sudah dikira "penemuan baru" - Azmin faktor penting Pakatan Harapan menang PRU14 kerana nama Tun Mahathir dan Anwar tidak cukup kuat untuk meyakinkan rakyat.


Bolehkah sesiapa setuju bahawa nama Tun Mahathir dan Anwar tidak cukup kuat untuk menang PRU14 lalu dan jika tanpa Azmin, Pakatan Harapan mungkin tidak mampu menumbangkan BN?


Adakah, setidak-tidaknya menurut tafsiran Saifuddin, nama Azmin seorang saja sebenarnya lebih kuat berbanding  gandingan Tun Mahathir dan Anwar?


Jika Tun Mahathir tidak berganding dengan Anwar pada PRU14 lalu, siapa agaknya yang memerintah negara ketika ini? (ShahbudinHusin 05/10/2018)

Thursday, 4 October 2018

SEDIA DIHINA TIDAK BERMAKNA BEBAS MENGHINA


Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad sekali lagi menunjukkan jiwa besar dan gagah beraninya beliau sebagai seorang pemimpin apabila meminta pihak polis agar berhenti menahan mereka yang membuat penghinaan terhadapnya.


Kata Tun Mahathir, penghinaan tidak memberi kesan kepadanya, malah ahli politik mesti sedia dikritik atau diejek sekali pun.


"Perkara itu (tangkapan kepada orang yang menghina) tidak sepatutnya berlaku. Saya tidak keberatan dihina oleh sesiapa pun, ia tidak akan menjejaskan saya.


"Terdapat satu kes di Pulau Pinang dan saya telah beritahu pihak polis agar tidak mengambil sebarang tindakan kepada mereka.


"Ahli politik mesti menerima apabila dikritik atau diejek," tegas Tun Mahathir lagi.


Sesungguhnya kita amat berbangga dengan adanya seorang Perdana Menteri seperti ini - berani berdebat, berhujah, berdepan apa jua cabaran, bahkan terbuka untuk dikritik dan dihina.

Tun Mahathir nyata amat berbeza dengan Najib Razak yang bukan saja tidak pernah berani untuk berdebat atau berhujah, malah hanya berdiam diri terhadap tangkapan demi tangkapan kepada mereka yang mengkritiknya ketika beliau berkuasa dahulu.


Sikap dan pendirian Najib itu  seolah-olah menunjukkan beliau setuju dan merestui semua tangkapan yang dilakukan itu.


Harus kita sedari bahawa sekarang adalah era keterbukaan dan media sosial menguasai pemikiran. Melalui media sosial juga semua orang adalah "wartawan"  yang punya akses meluahkan perasaan, menulis pandangan dan melaporkan kejadian.


Lantaran itu, berita tidak lagi diperolehi semata-mata melalui media rasmi. Dalam kebanyakan kes, berita yang dilaporkan oleh "wartawan tanpa tauliah"  di media sosial selalunya lebih cepat dan berkesan dalam menarik perhatian masyarakat.


Selaras dengan perubahan itu, mereka yang bergelar pemimpin juga mesti sedia berubah. Ia bermakna mereka mesti sedia dikritik dan diintip pergerakan sebaik saja keluar rumah dan sehinggalah pulang, waima pada lewat malam sekali pun.


Dalam erti kata lain, menjadi pemimpin di era media sosial ini mesti lebih berdaya tahan dan berjiwa pejuang. Jika tidak, lebih baik jadi pegawai kerajaan atau pekerja swasta yang hanya memberi tumpuan kepada keluarga semata-mata.


Meskipun demikian, berikutan telah tersedia dan diterima adanya undang-undang berkaitan fitnah, berita palsu dan menyakitkan hati yang keterlaluan atau sehingga boleh menyebabkan ancaman kepada keharmonian masyarakat, ia tidaklah bermakna seseorang itu boleh menghina, mengejek dan mengaibkan pemimpin sesuka hati atau sebebasnya sehingga terkeluar daripada batas moral yang sepatutnya.


Kesediaan Tun Mahathir untuk dikritik dan diejek bukan bermakna mereka yang tidak setuju dengannya boleh mengungkapkan ucapan paling kasar, mengedit gambar atau mereka-reka sesuatu yang palsu dan melampau terhadapnya.


Ia seperti kita memandu di lebuhraya di mana jika tidak banyak kenderaan atau tiada kamera pengawas kelajuan, memang kita boleh memandu selaju mana sekali pun, tetapi jika sampai mengakibatkan kemalangan atau kematian kepada orang lain, sudah tentu tidak terlepas daripada hukuman.


Apa pun, keberanian Tun Mahathir untuk sedia dikritik, dihina dan diejek dan meminta pihak polis tidak sesuka hati menangkap mereka yang melakukannya, ia seharusnya menjadi rangsangan kepada semua pemimpin untuk tampil lebih baik serta memberi khidmat yang tidak dipertikaikan oleh rakyat.


Mesej tersirat Tun Mahathir ialah jika pemimpin itu sentiasa bersikap baik, amanah, menjaga rakyat, tidak songlap duit kerajaan, tidak bermewah, tidak membazir dan tidak menyimpan berlambak-lambak wang tunai atau emas berlian  di rumah, maka tiada sebab untuk mereka dihina dan diejek secara keterlaluan oleh sesiapa pun. (ShahbudinHusin 04/10/2018)

KEMENANGAN ANWAR ADALAH KEMENANGAN PAKATAN HARAPAN


Kempen pilihanraya kecil Port Dickson nampaknya menjadi semakin rancak dalam sehari dua kebelakangan ini apabila beberapa pemimpin kanan Pakatan Harapan mula menunjukkan muka mereka.


Dr. Wan Azizah Wan Ismail, Azmin Ali, Mohamad Sabu, S Kulasegaran dan beberapa pemimpin lain adalah antara nama-nama yang dikesan paling awal datang berkempen untuk Anwar Ibrahim di Port Dickson ini.


Adalah dipercayai bermula hujung minggu ini dan berterusan sehingga ke hari mengundi pada 13 Oktober, Port Dickson akan terus meriah dengan kehadiran ramai lagi pemimpin daripada PKR, DAP, Amanah serta Bersatu untuk memenuhi program ceramah dan pelbagai acara kempen yang lain.


Meskipun Isa Samad dan calon Pas adalah antara enam pencabar yang ada sedikit pengaruh di Port Dickson, rata-rata yakin Anwar tidak ada masalah besar untuk memenangi pilihanraya ini.


Realitinya, berbanding semua calon lain, lebih ramai yang lain mahu melihat Anwar memenangi pilihanraya kecil ini dengan majoriti yang cemerlang.


Kehadiran Anwar bertanding bukan saja mewakili PKR, tetapi juga sebagai calon PH yang mana dirinya telah disepakati sebagai bakal Perdana Menteri untuk menggantikan Tun Mahathir Mohamad.


Untuk itu, Anwar bukan saja harus menang pada 13 Oktober ini, tetapi juga mesti dimenangkan dengan perolehan undi serta majoriti yang cukup meyakinkan.


Sebagaimana kita menerima baik apabila Tun Mahathir mahu berbaik dan berjumpa dengannya di mahkamah dulu, malah setuju nama beliau dinamakan sebagai Perdana Menteri ke-8, bahkan dalam usaha merangka beberapa strategi PRU14 pula membuatkan Tun Daim Zainuddin sendiri sanggup menghidupkan lesen guamannya bagi memudahkan berjumpa Anwar di penjara - sikap, pendirian dan hati semua pihak dalam PH juga seharusnya tidak berubah di Port Dickson ini.


Semua orang yang cintakan PH mesti berusaha memenangkan Anwar  seperti mana mereka bekerja memenangkan PH, termasuk kerusi yang ditandingi oleh Tun Mahathir di Langkawi pada PRU14 yang lalu.


Kemenangan cemerlang Anwar di Port Dickson akan terus menjamin kestabilan kerajaan PH secara keseluruhannya daripada sebarang anasir yang cuba menggugatnya.


Ini kerana, jika Anwar tidak menang dengan undi yang selesa, ia tentu sedikit sebanyak akan menggugat kedudukan PH di mata rakyat dan pihak pembangkang akan berterusan mengambil kesempatan daripadanya.


Mulut pengkritik dan pembangkang hanya akan tertutup dengan sendirinya selepas Anwar diumumkan menang dengan kejayaan gemilang pada malam 13 Oktober nanti.


Untuk itu, semua pihak dalam PH tiada pilihan lain selain terus berusaha bersama-sama dan saling berganding bahu ke arah itu. Kemenangan Anwar adalah kemenangan Pakatan Harapan secara keseluruhannya.


Selepas Tun Mahathir, Anwarlah yang paling sesuai dan paling tepat untuk menerajui negara ini berdasarkan pengalaman, kecekalan dan hubungan baiknya dengan pelbagai pihak di peringkat antarabangsa. (ShahbudinHusin 04/10/2018)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...