Wednesday, 2 December 2015

MUHYIDDIN DIMINTA SAMPAIKAN AMANAT TERBUKA MELALUI RAKAMAN VIDEO


Meskipun Muhyiddin Yassin mengatakan beliau menghormati dan dapat menerima dengan terbuka keputusan MT UMNO yang tidak membenarkannya berucap merasmikan Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri tahun ini, tetapi masih kedengaran ramai yang tidak puas hati dengan perkara itu.

Ramai mengatakan tidak sepatutnya Muhyiddin sebagai Timbalan Presiden UMNO dilarang merasmikan perhimpunan sayap-sayap itu kerana ia adalah tradisi yang sudah diamalkan sejak sekian lama.

Lagi pula, apa yang perlu Najib begitu bimbang dengan ucapan Muhyiddin di majlis perasmian sayap-sayap itu kerana UMNO tidak pun mengadakan pemilihan pucuk pimpinannya tahun ini.

Dalam hal ini, bagi ramai kebanyakan orang, Tun Mahathir Mohamad ternyata jauh lebih "gentleman" dan tetap mempertahankan tradisi parti apabila  membenarkan Tun Musa Hitam merasmikan Perhimpunan Agung Pemuda dan Wanita pada tahun 1987 walaupun ketika itu ada pertandingan dalam UMNO dan bekas Timbalan Perdana Menteri itu pula bergandingan dengan Tengku Razaleigh Hamzah melawan beliau yang berpasangan dengan Tun Ghafar Baba.

Berbeza dengan Najib, di sebalik tiada sebarang pertandingan dan pemilihan UMNO ditangguhkan sehingga tahun 2018, tetapi Muhyiddin sudah pun dilarang berucap bermula tahun ini iaitu kira-kira tiga tahun lebih awal daripada musim berebut jawatan.

Sekaligus ini memberi bayangan bahawa selagi Najib kekal di persada kuasanya, Muhyiddin jangan bermimpi untuk dapat peluang merasmikan Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri untuk tahun-tahun seterusnya atau berucap di mana-mana pentas parti yang lain.

Beberapa mantan pemimpin kerajaan dan bekas Ketua Pemuda UMNO yang saya temui turut berasa jengkel dan tidak faham dengan larangan yang dikenakan terhadap Muhyiddin itu.

Kata mereka, tindakan itu bukan saja memburukkan lagi imej Najib di mata umum kerana dilihat tidak terbuka, tetapi juga menyerlahkan sikap penakutnya yang kurang sesuai dengan masa serta  menunjukkan seolah-olah beliau masih ada dendam terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri yang dipecat kerana lantang mengkritiknya itu.

Dengan tidak ada ucapan perasmian oleh Timbalan Presiden sebagaimana kelazimannya, ahli-ahli Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO yang berhimpun tahun ini boleh dikira tidak diberikan sebarang amanat oleh pemimpin yang lebih dewasa untuk mereka bahas, kupas dan bincangkan demi kelangsungan perjuangan yang lebih bermanfaat.

Sekadar ketua sayap masing-masing merasmikannya, ia tentu saja berbeza dari segi nada, nasihat, intipati atau teguran yang diberikan. Apabila ketua yang melakukan perasmian, selain menggariskan mengenai halatuju sayap itu, bahkan mungkin lebih menjurus kepada penonjolan populariti semata-mata.

Barangkali ramai yang masih ingat antara intipati ucapan Muhyiddin tahun lalu yang memberi peringatan mengenai amaran masa depan yang bahaya bagi parti dan hanya kegelinciran 2 peratus pengundi saja sudah memadai untuk menjadikan UMNO dan BN sebagai pembangkang dalam pilihanraya akan datang.

Sudah tentu sebarang bentuk peringatan keras, nasihat dan teguran sebegitu rupa terhadap ahli generasi muda pewaris perjuangan tidak akan kedengaran jika ketua-ketua sayap yang melakukan perasmian memandangkan mereka lebih mengharapkan sokongan berbanding keberanian membentangkan fakta-fakta yang mungkin menyulitkan diri mereka sendiri.

Tetapi jika seorang Timbalan Presiden yang dianggap pemimpin lebih dewasa membuat teguran, nasihat, waima peringatan keras sekali pun, semua pihak dalam kelompok yang lebih muda dapat menerimanya dengan baik.

Untuk itu, oleh kerana tahun ini Muhyiddin dilarang memberikan ucapannya yang lebih berupa amanat, nasihat, teguran atau peringatan demi penerusan agenda perjuangan, semua bekas pemimpin UMNO dan kerajaan yang saya temui itu mahukan Timbalan Presiden UMNO berbuat sesuatu dan tidak hanya berdiam diri saja.

Mereka mengingatkan Muhyiddin agar jangan gundah gulana dengan sekatan yang dibuat oleh Najib itu kerana lagi banyak halangan  dilakukan terhadapnya, ia lebih meningkatkan populariti dan kerinduan orangramai terhadapnya.

Sehubungan itu, sesuai dengan era teknologi maklumat sekarang, mereka mahukan Muhyiddin mengambil kesempatan menyampaikan amanatnya kepada generasi muda dalam parti sempena Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri tahun ini dengan cara melakukan rakaman video dan kemudian menyebarkannya melalui pelbagai rangkaian media sosial popular seperti Youtube, Facebook dan sebagainya.

Penyebaran video itu pula sebaiknya dilakukan kira-kira bertepatan dengan masa beliau sepatutnya merasmikan Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri itu.

Dari situ, kata mereka, dapatlah semua pihak, khususnya generasi muda dalam parti menilai amanat perjuangan pemimpin nombor dua UMNO itu untuk sedikit sebanyak dijadikan panduan atau pedoman masa depan. Dalam masa yang sama, amanat terbukanya itu boleh juga ditujukan kepada semua generasi muda rakyat Malaysia.

Berbanding jika hanya berdiam diri dan tidak berbuat apa-apa, tetapi satu persatu sekatan dikenakan Najib terhadapnya, Muhyiddin tambah mereka, lebih mungkin dilupakan dan akan tenggelam begitu saja. (SH 02/12/2015).

Tuesday, 1 December 2015

KEHADIRAN TUN M DI PAU 2015 DAN KEBUDIMANAN ZAHID HAMIDI

Tidak dipastikan sama ada Setiausaha Agung UMNO, Tengku Adnan Tengku Mansor sudah menghantar surat jemputan atau belum kepada bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad untuk menghadiri Perhimpunan Agung UMNO tahun ini.

Kali terakhir Ku Nan bercakap mengenainya ialah pada 26 November lalu dengan mengatakan masih mempertimbangkannya.

Dalam masa yang sama, Ku Nan juga membuat andaian awal bahawa Tun Mahathir berkemungkinan besar tidak menghadirinya berikutan pendiriannya yang kerap menghentam parti kebelakangan ini.

Bagaimanapun, Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi kemudiannya mengatakan UMNO tetap akan menjemput Tun Mahathir untuk menghadiri Perhimpunan Agung UMNO kerana parti tetap menghormatinya.

Hari ini, tanpa mengira beliau dijemput secara rasmi atau tidak, Tun Mahathir memperakukan kehadirannya dengan mengatakan jemputan terbuka Zahid Hamidi itu sudah memadai untuk beliau menghadirinya.

"Saya tak terima lagi surat jemputan, tapi saya anggap kenyataan Zahid itu sebagai suatu jemputan dan tak hantar jemputan pun saya tetap akan pergi," kata bekas Perdana Menteri itu lagi.

Soalnya kenapa Ku Nan dan ibu pejabat UMNO terlalu perlahan dalam membuat kerja? Bukankah menjemput bekas Presiden UMNO seperti Tun Mahathir dan Tun Abdullah Badawi ke majlis perasmian Perhimpunan Agung UMNO merupakan suatu tradisi yang perlu dihormati dan dikekalkan?

Apakah Ku Nan sengaja melengah-lengahkan surat jemputan itu dengan harapan Tun Mahathir tidak menghadirinya?

Mujurlah masih ada pemimpin budiman dalam kepimpinan UMNO seperti Zahid Hamidi yang pantas memberikan kenyataan dan melakukan jemputan terbuka terhadap Tun Mahathir.

Di ketika Ku Nan seolah-olah tidak mahu Tun Mahathir hadir, banyak pemimpin lain hanya berdiam diri, manakala Najib mungkin lebih berharap agar bekas Perdana Menteri itu tidak menghadirinya, Zahid sebaliknya perlu dihargai atas sikap budimannya itu. 

Jika semasa perhimpunan nanti, tidak ada mana-mana pemimpin UMNO yang memperdulikan Tun Mahathir atau seperti tidak meraikan kehadirannya, Zahid Hamidi seharusnya sekali lagi menunjukkan kebudimanan hatinya ketika itu nanti.

Sebagaimana beliau mengakui turut mengunjungi Tun Mahathir di kediamannya sebaik dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri untuk meminta pedoman dan nasihat daripada bekas Perdana Menteri itu, Zahid sememangnya layak dihargainya atas sikap budiman dan hormatnya yang tidak luntur itu. (SH 01/12/2015).

PAU 2015 PALING MEMBOSANKAN - PERASMIAN NAJIB, PENUTUP PUN HANYA NAJIB

Blog ini pada 25 November lalu ada menulis mengenai Timbalan Presiden UMNO, Muhyiddin Yassin, sekiranya tidak dipecat atau digantung keahliannya, kemungkinan besar akan turut dihalang daripada berucap pada majlis penutup Perhimpunan Agung UMNO pada 8 hingga 12 Disember ini.

Kebarangkalian itu dilontarkan berikutan keputusan MT UMNO pada 24 November yang memutuskan Muhyiddin tidak merasmikan Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri adalah semata-mata kerana Najib tidak mahu memberi ruang sama sekali kepada bekas Timbalan Perdana Menteri itu menyampaikan sebarang ucapannya.

Dengan melarang berucap merasmikan perhimpunan sayap-sayap, Najib dipercayai akan terus menutup semua peluang yang boleh memperlihatkan Muhyiddin mampu menonjolkan dirinya.

Ini adalah tradisi yang pertama kali dilanggari oleh UMNO dan ia hanya berlaku di bawah kepimpinan Najib Razak yang sering mendakwa beliau merupakan Pahlawan Bugis yang tidak takut berdepan apa juga cabaran, waima sehingga bumi berkeling dua sekali pun.

Dan kini Setiausaha Agung UMNO, Tengku Adnan Tengku Mansor mula membayangkan ketidakperluan Muhyiddin berucap di majlis penggulungan Perhimpunan Agung UMNO tahun ini dengan alasan tiada peruntukan dalam perlembagaan parti seorang timbalan presiden harus berbuat demikian seperti kelazimannya.

Bagi saya Presiden UMNO seorang saja berucap sudah memadai, bagaimanapun terpulanglah kepada Najib dan MT memutuskannya, ujar Ku Nan semalam.

Tidak diraguikan lagi bahawa oleh kerana Ku Nan adalah "mulut kanan" kepada Presiden UMNO dalam hal-hal berkaitan perjalanan parti, tujuan dan kecenderungan beliau tidak lain ialah untuk membiarkan hanya Najib seorang saja yang berucap dalam perhimpunan kali ini.
Jika ini berlaku, bermakna sekali lagi tradisi UMNO, bukan saja dilanggari, tetapi juga telah dihancurkan semata-mata untuk melindungi seorang individu.

Kiranya hanya Presiden UMNO seorang yang berucap dalam majlis penggulungan Perhimpunan Agung UMNO tahun ini, ia bukan saja menjadi acara perhimpunan tahunan parti yang paling membosankan kerana asyik-asyik Najib saja yang bercakap, bahkan semakin benarlah tanggapan Tun Mahathir Mohamad bahawa UMNO kini sudah menjadi parti Najib.

Di majlis perasmian Najib berucap, di sepanjang perbahasan puji-pujian serta sanjungan terhadap Najib sudah tentu lebih banyak akan berkumandang dan dia acara penggulungan sekali lagi hanya Najib saja yang berucap. 

Semuanya dilakukan hanya kerana ingin melindungi serta untuk kepentingan Najib sahaja dan bukan untuk kebaikan parti.

Akhirnya, oleh hanya Najib yang terlalu ingin dilindungi, bukan saja Muhyiddin yang dlarangnya berucap, bahkan semua pemimpin lain seolah-olah turut sama dilarang memberikan ucapan dan memberi ulasan terhadap hujah-hujah para perwakilan.

Tentu saja yang paling kecewa dalam hal ini ialah Zahid Hamidi yang baru dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri kerana beliau juga tidak dapat menonjolkan diri, keupayaan dan ketrampilannya bersama jawatan barunya itu.

Tidakkah ini menunjukkan UMNO semakin sah menjadi parti Najib dengan taktifan baru - United Mohd Najib Organisation atau Untuk Mohd Najib Only? (SH 01/12/2015).
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...