Thursday, 4 December 2014

Bernama TV Terus Tenat, Mana Janji Shabery Cheek?


Janji Menteri Komunikasi dan Multimedia, Ahmad Shabery Cheek untuk melakukan pembaharuan di Bernama TV menjelang awal tahun 2015, masih tidak menampakkan sebarang tanda positif sehingga ini.

Tidak dapat dipastikan sama ada rancangan yang diumumkan oleh Shabery Cheek sebelum ini untuk menukar Bernama TV menjadi saluran berita bahasa Inggeris sepenuhnya akan menjadi kenyataan atau sebaliknya.

Ketika ini bukan saja tiada tanda-tanda ke arah itu sedang dilakukan, malah kedudukan gaji sebahagian kakitangan yang belum dibayar sejak Oktober, masih juga kabur bila akan dilunaskan.

Ada kakitangan yang tertunggak gajinya sejak Oktober manakala ada juga yang tidak dibayar sejak November. Menjelang musim persekolahan yang bakal bermula beberapa minggu saja lagi, tidak diketahui sama ada masih terdapat cahaya di hujung terowong atau sebaliknya yang muncul nanti adalah rempuhan kepala keretapi yang datang tanpa belas kasihan menimpa semua kakitangan bernasib malang itu.

Disebabkan tidak mampu membayar elaun kepada penyampai senior seperti Sharkawi Jirim dan Dahlan Maamor, Bernama TV kini hanya mengulang-ulang program lama Ruang Bicara yang dihostkan oleh kedua-duanya itu.

Beberapa bulan lalu, blog ini pernah mendedahkan mengenai kemelut dalam Bernama TV yang menghadapi masalah tidak mampu membayar gaji serta elaun kakitangannya berikutan kedudukan kewangannya yang meruncing. Walaupun mendapat bantuan kewangan daripada kerajaan tetapi disebabkan pendapatan iklan yang rendah, masalah kewangan ini nampaknya berulang kembali.

Shabey Cheek pula, dalam jawapan di Parlimen pernah berkata bahawa Bernama TV akan dijadikan saluran berita bahasa Inggeris secara berperingkat mulai hujung tahun ini agar saluran itu lebih diminati penonton dan mampu menarik sumber iklan yang lebih banyak.

Beliau juga memberi jaminan, dalam proses pertukaran itu, tiada pemecatan kakitangan akan dilakukan, sebaliknya mereka akan disesuaikan dengan perubahan tersebut.

Bagaimanapun, perubahan yang dicadangkan oleh Shabery itu mendapat kritikan yang meluas daripada masyarakat kerana sepatutnya bukan bahasa saluran televisyen itu dijadikan alasan, sebaliknya pembaharuan yang lebih mustahak ialah meliputi pengurusan, kandungan, iklan dan sebagainya.

Sehingga ini, walaupun sudah minggu pertama bulan Disember,  bukan saja tiada tanda-tanda pembaharuan yang sudah dijanjikan itu akan dilakukan, malah bila bayaran gaji dan elaun yang tertunggak kepada kakitangan dan penyampai juga masih tidak diketahui bagaimana pengakhirannya.

Jika tanda pembaharuan atau pemulihan itu benar-benar akan berlaku, sekurang-kurangnya gaji dan elaun kakitangan tidaklah dibiarkan berbulan-bulan tertunggak begitu saja. Dalam ertikata lain, Bernama TV kini seolah-olah "hidup segan, mati tak mahu" saja kedudukannya.

Lebih dari itu, nasib CEO Bernama TV, Ibrahim Yahya yang bakal tamat kontraknya pada pertengahan bulan ini, turut tidak diketahui sama ada akan disambung atau ditamatkan perkhidmatannya.

Kepada kakitangan Bernama TV, mereka melihat peranan Shabery Cheek seperti tidak serius dan sepenuh hati untuk menyelesai dan memulihkan stesen itu sebagaimana yang pernah ditunjukkan oleh menteri terdahulu, Dr Rais Yatim. Itulah antara sebabnya, kemelut dan permasalahan dalam Bernama TV ini terus berlaku dan berlaku, sama seperti programnya yang kerap diulang-ulang siarannya.

Jika ini berterusan, tidak mustahil Bernama TV yang membawa imej kerajaan ini akhirnya akan berkubur ditangan Shabery Cheek sendiri. (SH 04/12/2014)

Wednesday, 3 December 2014

Sudah Kes Berat...Ada Bekas Menteri Tak Boleh Langsung Tengok Muka Najib!!


Kedudukan Perdana Menteri ketika ini bukan saja merudum di mata rakyat tetapi juga berada di kedudukan paling teruk di mata sebahagian bekas pemimpin UMNO sendiri.

Ada pemimpin UMNO yang pernah menjadi menteri kabinet mengakui bahawa beliau ketika ini tidak boleh langsung memandang wajah Perdana Menteri, terutamanya melalui televisyen.

Katanya, beliau akan mengalih siaran berita di televisyen yang sedang ditontonnya jika muncul siaran berkenaan ucapan yang melibatkan Najib.

Tambahnya, dalam Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini, beliau juga tidak menonton langsung sama ada ucapan atau sidang akhbar yang disampaikan oleh Najib yang berulangkali disiarkan melalui televisyen.

Sambil mengakui bahawa Najib ketika ini merupakan pemimpin paling lemah, beliau juga menyatakan tidak faham dengan sesetengah keputusan yang diambil oleh Perdana Menteri yang jelas tidak membawa kebaikan kepada negara.

Menurut bekas pemimpin itu lagi, mendengar pelbagai perkara yang diucapkan oleh Najib sejak kebelakangan ini membuatkan perasaannya semakin sakit dan kacau serta percaya sebahagian besar rakyat juga berperasaan sedemikian.

Jika rakyat biasa yang tidak lagi mahu menonton atau membaca berita berkenaan Najib, ia mungkin dianggap sesuatu yang normal kerana sejak pemerintahannya sudah begitu banyak beban dan kesusahan yang sepatutnya diselesaikan dengan bijaksana olehnya, tetapi dipindahkan kepada rakyat atas alasan untuk kepentingan jangka panjang negara.

Malah jika ahli UMNO biasa pun mulai "menyampah" dengan gaya kepimpinan Najib yang semakin hari semakin teruk ini, barangkali ia juga boleh difahami.

Tetapi dengan adanya bekas menteri sendiri turut "meluat" sehingga tidak mahu lagi melihatnya ketika muncul di televisyen, ia adalah petanda jelas bahawa penolakan kini makin meluas dan merata terhadap Perdana Menteri itu.

Tidak seperti Perdana Menteri sebelum ini, baik Mahathir Mohamad mahupun Abdullah Badawi, walaupun mereka juga dibenci dan tidak disukai oleh ramai orang, tetapi tidaklah ia sampai ke tahap mereka tidak mahu lagi memandang wajahnya.

Malah Mahathir misalnya, walaupun mencipta ramai musuh politik sepanjang pemerintahannya, tetapi hujah dan idea-segarnya sentiasa dinanti setiap hari sama ada oleh yang menyokong atau membencinya.

Dalam buku Najib Perdana Menteri terakhir yang saya tulis dan terbitkan pada 2011, ada menyebut mengenai seorang ayah kepada salah seorang pemimpin kanan UMNO yang terus menutup televisyen jika berita mengenai Najib disiarkan.

Mungkin juga sebenarnya ramai lagi yang mempunyai perasaan sama terhadap Najib ketika ini, cuma ada yang berani berterus-terang dan pula yang hanya menyimpan dalam hati saja.

Menjelang PRU 14 dan ketika luahan rasa tidak puas hati rakyat dapat didengari di mana-mana, adanya seorang bekas pemimpin UMNO sendiri yang sampai tidak boleh lagi menatap wajah Najib, ia secara langsung adalah gambaran penolakan yang seharusnya meresahkan Najib.

Ini kerana, jika bekas pemimpin UMNO sendiri pun sudah ke tahap itu perasaannya, sudah tentulah rakyat dan pengundi biasa lebih parah lagi keadaannya. Semua mereka ini hanya menunggu masa dan ketika saja untuk menzahirkan perasaan masing-masing melalui peti undi. (SH 03/12/2014)

Monday, 1 December 2014

Mampukah Najib Mengelakkan Penurunan 2 Peratus Undi Sedangkan 60 Peratus Masalah UMNO Berpunca Daripadanya?


Dalam ucapan penggulungan Perhimpunan Agung UMNO Sabtu lalu, Muhyiddin Yassin telah melontarkan cabaran yang kritikal kepada ahli parti itu iaitu hanya dengan penurunan 2 peratus undi saja lagi akan menyebabkan UMNO dan BN kecundang dalam pilihanraya umum akan datang.

Beliau menggambarkan bahawa berdasarkan trend sokongan yang kian merosot sejak pilihanraya 2008, penurunan hanya 2 peratus saja lagi akan menyebabkan BN hanya mampu menang 103 kerusi Parlimen saja dalam pilihanraya akan datang ini.

"Kurang daripada 112 kerusi bermakna kita kalah. Minta dijauhkan", kata Muhyiddin lagi.

Dalam pilihanraya 2008, BN menang sebanyak 140 kerusi manakala dalam pada 2013 pula menurun kepada 133 kerusi. Kerusi minima yang perlu dimenangi untuk menubuhkan kerajaaan ialah 112 kerusi.

Tambah Timbalan Presiden UMNO itu lagi, sekiranya UMNO bekerja kuat dan mampu meningkatkan sokongan pengundi sebanyak 2 peratus daripada sedia ada, jumlah kemenangan BN akan meningkat kepada 141 kerusi manakala jika berjaya meningkatkan sebanyak 5 peratus pula, ia meningkat lagi kepada 159 kerusi Parlimen.

Beliau kemudian melontarkan pertanyaan, bolehkah kehilangan 2 peratus itu bukan saja dielakkkan, bahkan ditingkatkan dalam tempoh hanya tinggal 39 bulan sebelum PRU 14 akan datang? Dalam masa yang sama, bolehkah juga pelbagai persepsi negatif terhadap UMNO diperbetulkan?

Apa yang ditimbulkan oleh Muhyiddin ini bukan saja cabaran kepada seluruh ahli, pemimpin dan jentera UMNO seluruh negara tetapi juga merupakan hentakan yang barangkali ditujukan secara khusus kepada Najib selaku pemimpin utama parti dan kerajaan.

Ini kerana, mahu tidak mahu, harus disedari bahawa masalah dan persepsi negatif kepada UMNO dan kerajaan sekarang sebahagian besar berpunca daripada Najib sendiri. Beban yang ditanggung oleh UMNO dan kerajaan sekarang sekurang-kurangnya 60 peratus adalah berpunca daripada Najib dan segala kelemahan dalam dirinya.

Selebihnya mungkin berkaitan kelemahan beberapa pemimpin lain termasuk Muhyiddin sendiri, cara bekerja, budaya buruk parti, hal berkaitan kerajaan dan juga persepsi terhadap UMNO itu sendiri.

Selain itu, sebagai Presiden UMNO, Pengerusi BN dan Perdana Menteri, beliau juga yang seharusnya lebih bekerja keras dan memikul tanggungjawab ke arah mencapai kemenangan cemerlang itu. Pemimpin dan jentera parti yang lain hanyalah sebagai tenaga tambahan saja.

Lihat saja bagaimana Mahathir bekerja keras mendekati dan memulihkan kepercayaan rakyat setelah beliau dianggap punca perpecahan UMNO pada 1988 dan kemudian sekali lagi apabila berlaku peristiwa pemecatan Anwar Ibrahim pada 1998.

Selepas kedua-dua peristiwa hitam kepada UMNO itu, dalam pilihanraya 1990 dan 1999, kejayaan akhirnya tetap berpihak kepada BN dengan tetap melepasi garisan dua pertiga berikutan kejayaan Mahathir memulihkan kepercayaan rakyat terhadap kepimpinannya.

Sebaik mengambil pemerintahan pada 2009, walaupun menyedari antara punca penolakan terhadap Pak Lah ialah campurtangan menantunya, Khairy Jamaluddin dan kerakusan "budak-budak Tingkat 4" tetapi Najib memulakan era pentadbirannya dengan pelbagai cakap-cakap mengenai peranan dan campurtangan isterinya, Rosmah Mansor dalam pentadbiran kerajaan.

Ditambah dengan pelbagai gejala bermewah, berbelanja dan pembaziran melibatkan isteri dan keluarganya yang didedahkan satu demi satu kemudiannya, Najib terus dibelenggu dengan pelbagai masalah untuk memulihkan sokongan rakyat terhadap UMNO dan kerajaan.

Beliau bukan saja tidak belajar daripada apa yang berlaku kepada Pak Lah, malah bertindak lebih teruk daripada itu dengan membiarkan saja peranan dan penonjolan isterinya terus berleluasa sehingga kini.

Pelbagai kelemahan Najib yang lain seperti gagal meningkatkan ekonomi negara,  pengurusan kewangan yang lemah, peningkatan hutang, pentadbiran kerajaan yang dipertikai, hubungan kaum yang merenggang, melantik pemimpin yang dipertikai sebagai menteri, gagal bertindak pantas menyelesaikan isu-isu dengan banyak berdiam daripada bertindak dan sebagainya lagi adalah antara deretan masalah yang menjadikan UMNO dan kerajaan terus dipertikaikan oleh rakyat.

Ditambah dengan perlaksanaan GST bermula April 2015 yang akan terus menjadikan kos hidup rakyat meningkat, setelah pelbagai kenaikan kos berlaku sebelum ini, sentimen rakyat lebih mudah membenci daripada menyokong UMNO dan BN.

Dalam pilihanraya pertama dibawah kendaliannya, Najib bukan saja menjadikan jumlah kerusi kemenangan BN menurun daripada 140 kepada 133, bahkan hanya mampu meraih 47 peratus undi popular.

Ini sekaligus menjadikan UMNO dan BN dibawah kepimpinan Najib bukan saja ditolak tetapi juga tidak lagi popular di mata rakyat.

Menjelang 39 bulan lagi sebelum PRU 14, di samping banyak masalah dan isu masih tidak selesai, pengundi muda yang kian kritikal serta anggaran kira-kira 6 juga pengundi baru yang majoritinya tidak lagi tertarik kepada UMNO, isyarat hanya peralihan 2 peratus pengundi akan menyebabkan BN menjadi pembangkang, seharusnya lebih ditujukan kepada Najib.

Tanpa Najib berubah dan menyelesaikan masalah berkaitan dirinya terlebih dahulu, tidak mungkin UMNO dan BN mampu melonjakkan sokongan rakyat terhadapnya. Yang mahu dielakkan cuma penurunan undi sebanyak 2 peratus tetapi beban daripada Najib sebanyak 60 peratus yang menyusahkan UMNO dan BN sebenarnya jauh lebih utama untuk diberi perhatian.

Jika Muhyiddin menanyakan ahli UMNO mampukah mereka mengelakkan penurunan 2 peratus itu, Najib seharusnya lebih utama ditanya daripada semua masalah yang berpunca daripadanya, berapa peratus pula yang boleh diperbaikinya dalam tempoh 39 bulan akan datang ini?

Kiranya Najib tiada jawapan mengenai persoalan ini, adalah sia-sia meminta ahli dan pimpinan UMNO bawahan berusaha mengelakkan penurunan 2 peratus yang dibimbangi oleh Muhyiddin itu? (SH 01/12/2014)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...