Monday, 6 May 2013
Najib Gagal Perbaiki Prestasi 2008, Semua Setiausaha Politiknya Kecuncang
Keputusan pilihanraya 2013 yang diumumkan keputusannya lewat malam tadi menyaksikan BN sekali lagi diberi mandat mentadbir negara ini dengan memenangi 133 kerusi Parlimen berbanding PR cuma menang 89 kerusi Parlimen saja. Berbanding keputusan 2008 yang menyaksikan BN menang 140 kerusi ketika itu, kali ini memperlihatkan BN kekurangan 7 kerusi berbanding pilihanraya lalu.
Hakikat ini secara langsung memperlihatkan Najib telah gagal memperbaiki prestasi buruk 2008 itu. Jika dengan keputusan menang 140 kerusi, Pak Lah telah dipaksa melakukan peralihan kuasa, kedudukan Najib selepas pilihanraya ini masih belum cukup selamat lagi sebenarnya.
Macam-macam perkara boleh berlaku dalam minggu-minggu yang seterusnya ini, tambahan pula UMNO bakal mengadakan pemilihan pucuk pimpinannya hujung tahun ini.
Walaupun berjaya memenangi pilihanraya dan mengekalkan kuasa, beban berat Najib ialah kegagalannya memikat hati pengundi Cina. Tsunami pengundi Cina telah berlaku dengan menyaksikan di semua kawasan pengundi Cina, mereka menolak BN.
Najib sendiri dalam ucapannya selepas BN berjaya memperolehi kemenangan mudah malam tadi, menyedari hakikat itu dengan menganggapnya sebagai polarisasi kaum yang serius. BN bukan saja banyak kalah di kerusi yang ramai pengundi Cina, malah MCA yang dulunya menang 15 kerusi tetapi kali ini cuma tinggal 4 sahaja lagi.
Dengan keputusan pilihanraya ini juga terbukti bahawa Najib lebih lemah daripada Pak Lah. Beliau telah gagal mempamerkan dirinya lebih hebat berbanding bekas Perdana Menteri itu. Sekurang-kurangnya kata seorang bekas Ahli Parlimen, Pak Lah boleh tidur lebih lena sekarang ini.
Pilihanraya kali ini juga menyaksikan semua 4 orang Setiausaha Politik Najib yang bertanding telah tewas di kawasan masing-masing iaitu Fatmi Che Salleh di Kota Bharu, Sahlan Ismail di Pokok Sena, Shafie Abdullah di Wangsa Maju dan Sufian di Kuantan.
Berakhirnya pilihanraya ini, tumpuan kini beralih pula kepada pembentukan kabinet yang dijangka akan dilakukan pada minggu depan, Siapa bakal masuk dan siapa terkeluar akan terus menjadi perhatian umum.
Selepas itu pula, tumpuan juga pastinya akan beralih kepada pemilihan UMNO yang bakal diadakan hujung tahun ini. Dengan keputusan yang tidak bertambah baik yang dicapai oleh Najib, barangkali akan wujud tuntutan agar UMNO melakukan perubahan atau transformasi kepimpinan di peringkat tertingginya bagi menghadapi PRU 14 yang dijangka terus sengit.
Walaupun BN menang 133 kerusi tetapi undi popular lebih memihak kepada PR dengan angka 5.5 juta berbanding BN 5.2 juta.
Ini menjadikan pemilihan UMNO merupakan sesuatu yang tidak kurang menariknya untuk ditunggu. (SH 06/05/2013)
Saturday, 4 May 2013
Jika Sayangkan Najib, Undilah BN Tapi Jika Sayangkan Diri Sendiri Dan Anak Cucu, Undilah Selain BN
Hari ini merupakan hari terakhir untuk berkempen sebelum pengundian esok. Baik PR mahupun BN, masing-masing sedang melipatgandakan usaha dan kekuatan bagi meraih kemenangan di saat-saat akhir ini. Secara umumnya, walaupun pengundi Cina lebih memihak kepada PR, kedudukan keseluruhannya masih lagi 50-50 kerana pengundi Melayu dan luar bandar masih lagi cenderung kepada BN.
Merdeka Center dalam kajian terakhirnya meramalkan PR dijangka pasti memenangi 89 kerusi manakala BN 81 kerusi, sementara seelebihnya masih lagi merupakan kerusi yang dipersaingkan dengan hebat dan hanya akan diketahui setelah proses pengiraan undi berakhir.
BN, selain mengulang-ulang isu pembangunan, keharmonian serta menakut-nakutkan pengundi berkenaan dengan Pas yang didakwanya ekstrem dan DAP kononnya anti Melayu, turut menjaja nama Najib sebagai Perdana Menteri sebagai bahan untuk meraih undi. Bertaburan di mana-mana sekarang ini poster gambar Najib yang bertulis Undilah Perdana Menteri yang memberi gambaran bahawa memilih Najib sebagai Perdana Menteri merupakan keutamaan jika mengundi BN.
Sememangnya diakui BN agak tenggelam dengan idea-idea segar untuk membantu dan meringankan beban kehidupan rakyat berbanding PR. Hanya BR1M yang dijaja siang dan malam sebagai modal kononnya BN mempunyai iltizam yang tinggi untuk mendahulukan rakyat.
Setelah 56 tahun berkuasa, BN sebenarnya hanya mampu menawarkan RM500 untuk menolong rakyat. Selainnya memilih BN hanyalah untuk menjadikan Najib terus kekal sebagai Perdana Menteri.
Berbeza dengan PR yang menawarkan penurunan harga minyak, penghapusan hutang PTPTN, pendidikan percuma, penurunan harga kereta, menaikkan royalti untuk negeri pengeluar minyak, penghapusan tol lebuhraya utara-selatan dan sebagainya, terlihat bahawa iltizam untuk mengagihkan kekayaan negara dengan rakyat begitu menyerlah.
Bimbang dengan idea-idea PR itu, BN dalam manifestonya telah menciplak sebahagian besar manifesto PR itu tetapi dengan sedikit pengubahsuaian. Tetapi dalam kempen-kempen yang dijalankan tetap disuarakan agar Najib terus diberi peluang sebagai Perdana Menteri kerana kononnya tempoh 4 tahun yang sudah dilaluinya masih tidak mencukupi.
Ditambah dengan semakin banyaknya poster gambar Najib yang bertulis Undilah Perdana Menteri, tergambar bahawa matlamat utama BN lebih untuk meletakkan Najib terus kekal sebagai Perdana Menteri berbanding lain-lain kepentingan. Walaupun Najib dilihat gagal dalam tugasnya berikutan hutang negara yang semakin meningkat, pembaziran, ketirisan dan rasuah juga makin meningkat, selain pelbagai masalah lainnya yang wujud dalam negara yang secara langsung menggambarkan kegagalan beliau memimpin negara ini ke arah yang lebih baik, nama Najib terus dijaja ke seluruh negara.
Ini dilihat berbeza dengan PR yang mempunyai program yang banyak dan hampir menyeluruh untuk memberi kesejahteraan dan kehidupan yang lebih baik untuk rakyat. Bayangkan dalam tempoh lima tahun akan datang pelbagai manfaat bakal diperolehi jika peluang diberikan kepada mereka.
Hanya selepas 24 selepas menubuhkan kerajaan, harga minyak akan diturunkan, tarif letrik akan dikaji semula, anak-anak boleh menikmati pendidikan percuma tanpa terbeban lagi dengan hutang PTPTN, boleh memberi kereta dengan harga yang lebih murah apabila cukai eksais dikurangkan dan pemberian permit import tidak lagi seperti sekarang, tiada lagi tol di lebuhraya utara-selatan, negeri pengeluar minyak akan menikmati lebih kemakmuran dan pelbagai lagi.
Manifesto dan janji-janji PR bukan saja memberikan kita rakyat Malaysia kehidupan yang lebih baik, malah anak-anak dan cucu kita juga mempunyai jaminan yang lebih baik kehidupannya.
Berbanding mengundi BN, mereka hanya menawarkan Najib terus kekal sebagai Perdana Menteri dan menjanjikan bantuan RM500 melalui BR1M akan diteruskan. Tiada ada iltizam yang tinggi untuk memberi kehidupan yang lebih baik bagi rakyat dan generasi seterusnya, malah dengan hutang negara lebih RM500 billion sekarang dan dijangka akan terus meningkat jika BN dan Najib terus kekal, bermakna setiap kelahiran bayi akan segera dibebani hutang sebanyak RM20 ribu bersamanya.
Tiada pilihan yang banyak jika rakyat dan pengundi sayangkan diri sendiri dan anak cucu mereka selain memberi peluang kepada PR memerintah negara ini. 5 Mei adalah penentuannya. Hanya dengan berakhirnya era BN dan pengundi dapat membuktikan bahawa rakyatlah sebenarnya yang paling berkuasa dalam negara ini, boleh menaik dan menjatuhkan kerajaan, maka kehidupan rakyat akan menjadi lebih baik akhirnya.
Tetapi jika masih ada yang terlalu sayangkan Najib, keluarga dan anak-anaknya yang sudah pun menikmati kehidupan selesa melebihi kasih sayang kepada diri dan anak cucu sendiri, silalah terus mengundi BN, (SH 04/05/2013)
Friday, 3 May 2013
PRU 13 Umpama Manchester United Lawan Manchester City Tapi Pengadilnya Alex Ferguson
Isu pengundi yang diragui seramai kira-kira 40,500 orang dari Sabah dan Sarawak yang didatangkan ke Semenjung dengan penerbangan sewa khas sebagaimana yang dibangkitkan Anwar Ibrahim semalam terus menjadi perdebatan umum bila SPR memberitahu bahawa bukan suatu kesalahan mengangkut dan menyediakan penerbangan khas seperti itu.
Apa yang menjadi kesalahan, kata Pengerusi SPR, Aziz Yusof ialah bilamana ada paksaan terhadap mereka untuk mengundi calon-calon tertentu.
Semalam Anwar membangkitkan tentang wujudnya usaha untuk membawa pengundi dari Sabah dan Sarawak yang terdiri daripada warga asing daripada Filipina, Bangladesh, Myanmar, Nepal dan sebagainya melalui penerbangan sewa khas menjelang hati pengundian 5 Mei ini. Sambil mengemukakan pelbagai bukti yang diperolehinya mengenai perkara itu, Anwar segera menuntut jawapan daripada Pejabat PM, MAS dan juga SPR.
Sementara Pejabat PM dan MAS segera menafikan perkara itu, tiba-tiba Setiausaha Agung UMNO mengesahkan kewujudan penerbangan sewa khas itu sambil mengatakan ia dibiayai oleh rakan-rakan BN untuk membawa pengundi yang sah dan berdaftar dengan SPR menunaikan tanggungjawab mereka.
Isu bahawa siapa pengundi tersebut, apa asal keturunan mereka, sahihkah mereka pengundi yang berdaftar dan kemusykilan bagaimana seramai 40,500 pengundi di Semenanjung boleh tinggal di Sabah dan Sarawak, tidak pula cuba dijelaskan oleh sesiapa.
Pengerusi Bersih, S Ambiga juga hairan dengan angka itu kerana kebiasaannya pengundi dari Sabah dan Sarawak yang ramai tinggal dan bekerja di Semenanjung dan bukan sebaliknya.
Hakikatnya, sesiapa pun akan kehairanan dari mana datangnya pengundi seramai 40,500 orang itu dan tidak mungkin ada seramai itu orang Semenanjung yang bekerja dan tinggal di kedua-dua negeri tersebut.
Oleh kerana sehingga ini tiada jawapan siapa identiti 40,500 pengundi itu, kebarangkaliannya ialah mereka merupakan pengundi hantu yang diprojekkan atau diberikan kad pengenalan segera serta didaftarkan sebagai pengundi untuk membantu kemenangan BN di beberapa tempat, terutamanya di Selangor.
Hari ini jawapan SPR melalui Pengerusinya Aziz Yusof yang senada dengan jawapan Tengku Adnan, walaupun agak mengejutkan tetapi mengesahkann bahawa SPR sudah menjadi pengadil yang berat sebelah dalam pilihanraya akan datang ini.
Sekadar memberi jawapan menyediakan pengangkutan dan sewa khas kapal terbang bukan suatu kesalahan tetapi dilihat mengenepikan aspek utama iaitu kesahihan pengundi tersebut, SPR terang-terang dilihat tidak berlaku adil dalam perkara ini. Jika dalam soal lain yang melibatkan Pakatan Rakyat misalnya, begitu cepat SPR menuding jari dan mengugut mahu mengambil tindakan tetapi apabila berkaitan BN, beliau jelas dilihat memihak.
Sebagai badan bebas yang mengendalikan pilihanraya, SPR harus berlaku adil dan dalam kes kebanjiran 40,500 pengundi tersebut, wajar diteliti siapa mereka, asal keturunannya dan apakah mereka rakyat asli negara ini atau tidak. Membenarkan mereka yang diragui seperti rakyat asing yang diberikan kad pengenalan semata-mata untuk kepentingan politik dan kemenangan dalam pilihanraya, jelas merupakan suatu pengkhianatan kepada negara.
Jika UMNO dan BN yang disyaki melakukannya dan ada bukti yang bukti, SPR wajar bertindak menghentikan amalan itu kerana dalam jangka panjang ia menidakkan hak rakyat sendiri. Tidak bolehlah dalam perkara ini, SPR pula yang memihak kepada UMNO dan BN kerana ianya akan menyebabkan SPR dituduh pengkhianat sama.
Tindakan SPR yang cenderung memihak kepada BN ini seperti mengiyakan banyak dakwaan sebelum ini bahawa SPR lebih merupakan sebuah komponen BN berbanding peranan hakikinya sebagai sebuah badan bebas, adil serta berkecuali.
Jika begiitu keadaannya juga sehingga hari pengundian nanti, persaingan BN dan PR dalam pilihanraya ini tidak mungkin berlangsung dengan adil. Ia umpama perlawanan bolasepak antara Manchester United dengan Manchester City tetapi berpengadilkan Alex Ferguson.
Dalam keadaan sedemikian, mustahil untuk mengharapkan Alex Ferguson menjadi pengadil yang benar-benar adil. Dia mungkin memberikan beberapa tendangan percuma dekat dengan gol atau sepakan penalti untuk memberi kelebihan kepada Manchester United.
Begitulah keadaannya SPR menjelang pilihanraya ini. Ciri-ciri memihak dan berlaku tidak adil amat jelas di mata rakyat. Dalam isu dakwat kekal yang didapati tidak kekal, jawapan SPR bahawa ia berpunca daripada botol dakwat yang tidak digoncang terlebih dahulu amatlah melucukan dan seolah-olah SPR melihat rakyat Malaysia ini seperti murid sekolah rendah saja tarafnya.
Sekali lagi SPR cuba bermain wayang kulit dan ini menimbulkan keraguan berkemungkinan berlakunya pengundi berulang membuang undi sepertimana dakwaan banyak pihak sebelum ini.
Banyak lagi jawapan-jawapan SPR sebelum ini yang menimbulkan keraguan dan kesangsian umum sebenarnya. Di sebalik kebimbangan ramai terhadapnya, harapan rakyat untuk SPR berlaku adil masih lagi tinggi kerana mereka telah diamanahkan untuk menjadi pengadil.
Kadang-kadang ketidakadilan SPR akan membangkitkan lagi semangat rakyat. Meskipun Alex Feguson menjadi pengadilnya, bukanlah pula mustahil Manchester City boleh menewaskan Manchester United, walaupun ada kesukarannya. (SH 03/05/2013)
Subscribe to:
Posts (Atom)