Monday, 22 April 2013
Najib Minta Nyawa Untuk Kekal Sebagai Perdana Menteri
Diantara sekian banyak poster yang memaparkan gambar Najib yang kini mula dipasang bertebaran di seluruh negara, poster yang agak pelik ialah memaparkan gambar beliau beserta tulisan besar diatasnya Undi Perdana Menteri! dengan gambar undi dacing pula di bahagian bawahnya.
Di sekitar jalan strategik di Kuala Lunpur dan Selangor, poster Najib bertulis Undi Perdana Menteri! ini yang kelihatan paling menonjol berbanding gambar-gambar Najib lainnya. Ia juga dipasang agak banyak berbanding posternya yang lain, selain bendera-bendera dacing turut kelihatan banyak di pasang di kiri kanan jalan-jalan utama.
Sebagai Pengerusi BN, sebenarnya adalah biasa gambar-gambar Najib dipasang di seluruh negara sebagai membuktikan pengiktirafan BN terhadap beliau sebagai pemimpin utamanya. Di zaman Mahathir dan Pak Lah juga, gamnbar-gambar mereka turut dipasang di seluruh negara beserta poster-poster lainnya.
Selain itu, gambar-gambar itu juga bertujuan untuk menaikkan semangat ahli dan penyokong BN semasa tempoh kempen ini. Tetapi meletakkan tulisan Undi Perdana Menteri! beserta gambar Pengerusi BN untuk dijadikan poster merupakan perbuatan yang tidak pernah dibuat oleh mana-mana Pengerusi BN sebelum ini.
Selalunya poster dalam pilihanraya hanya ditulis perkataan yang menunjukkan arah perjuangan dan bentuk negara yang ingin dibawa serta tidak melibatkan kepentingan jawatan atau peribadi. Slogan dalam poster biasanya lebih untuk masa depan negara seperti "Untuk Malaysia Yang Lebih Baik", "Harapan Rakyat" dan yang senada dengannya. Di zaman Pak Lah misalnya, posternya hanya ditulis perkataan "Cemerlang, Gemilang, Terbilang" dan lain-lain slogan yang menjadi intipati perjuangannya ketika itu.
Di zaman Mahathir juga, walaupun beliau terlihat ghairah terhadap kuasa tetapi beliau tidak tergamak menulis posternya dengan tulisan Undi Perdana Menteri!. Mahathir pun tahu menyimpan niat sebenar dalam hatinya.
Tindakan Najib berbuat demikian tidak lain membuktikan kerakusan dan keghairahannnya terhadap jawatan Perdana Menteri itu sendiri. Memanglah semua orang tahu jika BN menang, beliaulah yang akan dilantik sebagai Perdana Menteri tetapi pemimpin lain tidak pernah menunjukkkan keghairahan itu secara melampau dan terbuka.
Sementara beliau kerap menuduh Anwar Ibrahim sebagai gila kuasa dan semata-mata ingin menjadi Perdana Menteri, Najib akhirnya telah mendedahkan hakikat perjuangan dirinya yang sebenar. Mengejar dan mengekalkan jawatan Perdana Menteri adalah matlamat utama beliau yang sebenarnya.
Dalam masa yang sama, tergamaknya Najib membuat poster sedemikian rupa dan memasangnya di seluruh negara juga membuktikan beliau amat takut kehilangan jawatan itu. Beliau bukan saja takut kehilangan jawatan itu kepada Anwar jika Pakatan Rakyat mampu menguasai lebih daripada 112 kerusi Parlimen tetapi Najib juga terlihat takut kepada pesaingnya dalam UMNO sendiri.
Dalam pilihanraya yang paling getir ini, di ketika beliau sedang bertungkus-lumus memastikan kemenangan BN, suara-suara juga sudah mula kedengaran bahawa Najib seharusnya juga dengan rela hati berundur jika beliau gagal mencapai majoriti dua pertiga. Jika Pak Lah disingkirkan kerana hanya mampu menang 140 kerusi pada 2008, Najib juga harus berbuat demikian jika jumlah kerusi yang mampu dicapainya kali ini kurang daripada itu.
Dengan meletakkan matlamat mengekalkan jawatan Perdana Menterinya kali ini, Najib juga jelas dilihat amat terdesak kali ini. Cabarannya bukan saja daripada Pakatan Rakyat dan rakyat yang menolaknya tetapi juga daripada penyokong UMNO sendiri yang turut menolaknya.
Tuhan kini sudah mula menunjukkan siapa Najib yang sebenarnya. Dalam dia ghaiarah menuduh orang lain semata-mata ingin menjadi Perdana Menteri, hakikat yang ada dalam dirinya tersembul akhirnya. Dengan keghaiaran Najib hanya semata-mata untuk mengekalkan jawatan Perdana Menterinya, perjuangan dan matlamat BN terhadap rakyat nampaknya mulai tidak penting lagi.
BN dalam fasa akhir menjelang rakyat membuat penentuan 5 Mei ini hanyalah alat untuk Najib meminta nyawa daripada pengundi supaya beliau terus dikekalkan sebagai Perdana Menteri. Kerusi Perdana Menteri adalah matlamat utamanya.
Di sebalik tindakan Najib selama empat tahun ini memperguna baanyak keistimewaan jawatan Perdana Menteri itu untuk kepentingan keluarga, anak-anak dan kroninya sehingga menjadi perbualan rakyat, tindakan beliau secara terus-terang meminta nyawa kali ini menjadikan lebih ramai yang berbelah bahagi terhadapnya. Ini kalilah!! (SH 22/04/2013)
Saturday, 20 April 2013
Setiausaha Politik Najib Kena Boikot Di Hari Penamaan Calon

Di Wilayah Persekutuan, antara kerusi yang menarik perhatian ramai ialah Parlimen Wangsa Maju yang sebelum ini menjadi rebutan antara UMNO dan MCA. Bahkan sebaik Najib mengumumkan kerusi itu ditandingi oleh UMNO, MCA Wangsa Maju bingkas memprotes dan menyifatkan ianya tindakan yang membelakangkan perjuangan mereka selama ini.
Serentak dengan itu, MCA Wangsa Maju juga menyatakan akan memboikot calon BN Wangsa Maju, Shafie Abdullah dan akan memberi sokongan kepada calon PKR, Tan Kee Kwong. Tindakan MCA Wangsa Maju itu juga dikatakan akan disertai oleh 120 NGO dalam kawasan Parlimen Wangsa Maju yang selama ini sering bekerja rapat dengan MCA.
Calon MCA 2008 Yew Teong Look yang turut kecewa dengan keputusan Najib itu, tambahan pula kerana sudah berhabis RM2.5 juta sejak empat tahun lalu berkata, siapa yang menjadi pilihan penyokong-penyokongnya selepas ini bukan lagi di dalam kawalannya.
Dengan pendirian MCA itu, jelas bahawa jalan yang bakal dilalui oleh Shafie penuh onak dan berliku. Ini kerana pengundi Cina di Wangsa Maju meliputi kira-kira 36 peratus daripada keseluruhan jumlah pengundi. Tanpa sokongan yang sewajarnya daripada pengundi Cina, Shafie pasti akan kalah.
Sementara trend pengundi Cina memang memihak kepada PR, tindakan boikot yang dilakukan oleh MCA Wangsa Maju ini tentunya menambahkan lagi penolakan mereka terhadap BN.
Di hari penamaan calon hari ini, MCA Wangsa Maju telah membuktikan kata-katanya untuk memboikot calon BN, Shafie Abdullah. Tidak ada seorang pun wakil MCA yang hadir mengiringi beliau ke pusat penamaan calon, bahkan bilangan orang Cina yang hadir juga boleh dibilang dengan jari.
Agak mengejutkan juga, Shafie yang selama ini mendakwa mendapat sokongan majoriti orang Melayu Wangsa Maju, turut gagal menampilkan hakikat tersebut di hari penamaan calon ini, Beliau hanya diiringi oleh kira-kira 1500 penyokongnya sahaja.
Husam Musa, orang Kelantan yang bertanding di Putrajaya pun diiringi oleh 3000 penyokongnya ke pusat penamaan calon.
Sebagai Setiausaha Politik kepada Najib pula, kegagalannya beliau menarik jumlah penyokong yang lebih ramai di hari penamaan calon ini, biasanya antara 3000 hingga 5000 orang, memberi gambaran bahawa orang Melayu Wangsa Maju tidaklah bulat terhadapnya sebagaimana yang digembar-gemburkan selama ini.
Lebih-lebih lagi, Shafie yang membawa imej Perdana Menteri di Wangsa Maju dilihat seolah-olah gagal menampilkan auranya bukan saja untuk membuatkan pengundi menyokongnya tetapi juga menyokong BN yang kini diterajui oleh Najib.
Dengan hanya 1500 yang hadir pada hari penamaan calon yang memberi gambaran pengundi Melayu tidak cukup tertarik dengannya, UMNO Wangsa Maju pula berpecah-pecah dan MCA serta pengundi Cina kekal dengan pemboikotannya, bayang-bayang kemenangan pada 5 Mei ini masih jauh daripada gapaian BN Wangsa Maju.(SH 20/04/2013)
Disisi Najib, Menjadi Ibrahim Ali Dan Zul Nordin Lebih Dihargai Berbanding Kamilia
Diantara semua calon Bebas yang mengemukakan kertas pencalonan hari ini, Kamilia Ibrahim yang paling menonjol kerana kedudukannya sebagai Naib Ketua Wanita dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO. Beliau yang sebelum ini melahirkan kekecewaan kerana tidak dipilih sebagai calon dan menyifatkan ianya sebagai penghinaan kepada Wanita UMNO, akhirnya memutuskan bertanding sebagai calon Bebas di Kuala Kangsar sebagai jalan keluar kepada sengsara yang ditanggungnya.
Sebaik mengesahkan bertanding, Kamilia bukan saja mengumumkan beliau keluar daripada UMNO dan melepaskan semua jawatannya, tetapi tentunya menjadikan jiwanya bertambah tenang selepas ini.
Jika beliau terus kekal di dalam UMNO, batinnya pasti lebih menderita lagi.
Keberanian beliau menunjukkan taringnya yang selama ini disembunyikan dengan bertanding Bebas, sekurang-kurangnya haruslah diberi pujian, lebih-lebih lagi di ketika yang sama UMNO dan BN memberi penghormatan dan pengiktirafan kepada orang yang lain yang pernah menghina, menentang dan mempersenda UMNO.
Sebelum ini, Zulkifli Nordin yang melompat daripada PKR, diberi penghormatan oleh Najib bertanding atas tiket BN di Shah Alam kerana beliau dianggap rakan mesra kepada BN. Pemilihan beliau, walaupun tidak berapa mengejutkan melihat kepada tindakannya yang kerap membodek dan mengampu Najib serta aktif menyerang Anwar Ibrahim sejak keluar PKR, turut juga menyebabkan berlakunya pelbagai masalah seperti protes dan tutup bilik gerakan di Shah Alam yang ditandinginya itu.
Tetapi oleh kerana Najib begitu menyanjung dan menghargainya, malah Muhyiddin pula menyifatkan Zul Nordin sebagai calon yang "winnable", segala protes itu dibiarkan masuk telinga kanan, keluar telinga kiri saja. Zul kekal bertakhta di hati Najib walaupun rekod lamanya menyerang dan mencerca UMNO begitu dahsyat sekali, termasuk tindakannya mengubahsuai lagu UMNO untuk mempersenda UMNO dan Mahathir.
Ramai ahli UMNO marah dan menganggap tindakan Zul Nordin mempersenda lagu UMNO itu perbuatan yang yang biadap dan kurang ajar, malangnya disisi Najib beliau tetap dianggap mulia. Berbanding dengan Kamilia yang mencurahkan khidmat dan pengorbanan sejak puluhan tahun lalu dengan penuh setia dan jujur bersama UMNO, beliau tidak dianggap mulia dihati Najib berbanding Zul Nordin.
Begitu juga dengan Ibrahim Ali yang bertanding Bebas di Pasir Mas. Semua orang tahu rekod dan kelakuannya selama ini. Beliau telah melompat beberapa kali dan tindakannya keluar masuk UMNO umpama pergi ke tandas saja. Ketika di luar UMNO pula, serangan dan hentamannya terhadap UMNO bukan kepalang lagi. Bukan saja UMNO, semua pemimpin UMNO juga diserang dan dicaci-makinya.
Ibrahim walaupun tidak dipilih bertanding menggunakan tiket BN tetapi tindakan calon BN Pasir Mas, Johan Che Pa yang tidak mengemukakan borang penamaan calon untuk memberi laluan kepada Ibrahim bertanding satu lawan satu dengan Pas, jelas membuktikan calon BN itu memang diarahkan berbuat demikian.
Sejak seminggu lalu bila Ibrahim tidak dinamakan sebagai calon BN, sudah bertebaran SMS dan khabar angin yang mengatakan akan berlaku wayang kulit di Pasir Mas pada hari penamaan calon nanti iaitu dengan sebab-sebab tertentu calon BN dikatakan akan hilang kelayakan bertanding dan akhirnya Ibrahim akan menjadi calon Bebas yang disokong oleh BN. Alasannya wayang kulit sedemikian terpaksa direka kerana kononnya Najib tidak mahu dilihat BN dikaitkan secara langsung dengan Ibrahim yang juga merupakan Presiden Perkasa demi menjaga hati pengundi Cina di seluruh negara.
Dengan terbukti wayang kulit itu menjadi kenyataan dan kekecewaan Ibrahim tidak dipilih sebagai calon BN hanyalah sandiwara saja, sekali lagi disisi Najib, watak seperti Ibrahim ini lebih bernilai dan menyentuh hatinya berbanding kesetiaan Kamilia terhadap UMNO selama ini.
Walaupun UMNO Kelantan dilaporkan kecewa dengan tindakan Johan Che Pa itu tetapi jika tiada arahan daripada Najib, mustahil beliau berani berbuat demikian. Tidak syak lagi Najib memberi arahan kepada Johan supaya jangan menyerahkan borang pencalonan demi untuk memberi laluan karpet merah kepada Ibrahim Ali.
Di mata kasar, tindakan Kamilia bertanding Bebas tidak menguntungkan dirinya. Meskipun sudah mengumumkan keluar UMNO, beliau pasti akan dipecat sekali lagi, selain kehilangan ramai kawan-kawan dan jika ada kontrak atau perniagaan dengan kerajaan, ia juga mungkin terjejas.
Untuk menang sebagai calon Bebas di Kuala Kangsar juga tampak sukar tetapi dengan rekod 2008 di mana BN hanya menang dengan 1400 undi, perjuangan calon BN di kawasan itu menjadi lebih sukar lagi. Dengan penyertaan Kamilia sebagai calon Bebas, BN hampir pasti akan kehilangan kerusi Kuala Kangsar itu pada kali ini.
Namun sisi yang lain, tindakannya Kamilia ini memberi mesej yang jelas kepada pengundi, bukan saja di Kuala Kangsar tetapi juga di seluruh Malaysia tentang hodohnya wajah UMNO dan tidak beretikanya Najib dalam mengemudi UMNO dan BN. Kesetiaan dan kepatuhan kepada pemimpin dan parti tidak akan mampu mengatasi kehebatan membodek, mengampu dan mencium tangan pemimpin. Mesej ini jika mudah difahami akan memberi kesan penolakan yang besar kepada BN dalam pilihanraya kali ini.
Kamilia mungkin pemimpin kerdil dan tidak ternama tetapi sejarah di Tunisia telah membuktikan bahawa punca utama yang merangsang kebangkitan rakyatnya sehingga kerajaan Ben Ali tumbang ialah bila seorang penjual buah-buahan yang terasa dianiaya oleh kerajaan telah membakar dirinya sebagai tanda protes. Kematian pemuda yang tidak dikenali itulah akhirnya yang menyebabkan rakyat bangkit dan menolak kerajaan Ben Ali.
Kamilia juga sedang membakar dirinya sekarang, dan marilah kita sebagai pengundi yang akan membuat penentuan pada 5 Mei ini, sama-sama bangun menyambut keberanian beliau itu. (SH 20/042013)
Subscribe to:
Posts (Atom)