Friday, 19 April 2013

ROS Akhirnya Jadi Senjata Makan Tuan Kepada BN


Hanya dua hari sebelum penamaan calon, ROS atau Pendaftar Pertubuhan tiba-tiba menghantar surat kepada DAP memberitahu bahawa ahli jawatankuasa pusatnya yang dipilih dalam pemilihan lalu tidak diiktiraf dan mahu diadakan pemilihan semula. Tindakan ROS itu jelas berniat politik dan untuk mengelakkan DAP bertanding menggunakan logo roketnya dalam pilihanraya ini.

Walaupun ROS dan SPR kemudiannya ada juga memaklumkan bahawa DAP masih boleh bertanding menggunakan logonya, isu yang timbul ialah kemungkinan pencalonan calon-calon DAP akan ditolak oleh SPR kerana pemegang jawatan DAP yang menandatangani watikah calon tetap juga tidak diiktiraf oleh ROS. Isu teknikal ini, jika DAP tetap juga menggunakan logonya, akan dijadikan senjata untuk membatalkan semua calon-calon DAP dan menjadikan mereka tidak layak bertanding. Akhirnya buta-buta calon BN yang berlawan dengan DAP akan menang tanpa bertanding.

Itulah sebenarnya muslihat ROS menghantar surat kepada DAP di saat-saat akhir sebelum hari penamaan calon ini.

Muslihat lain yang diharapkan oleh Najib dengan menggunakan ROS menghantar surat itu ialah ia akan menyebabkan calon-calon DAP yang bertanding akan menyertai pilihanraya atas tiket Bebas dan masing-masing menggunakan logo yang berbeza-beza. Ini diharapkan akan mengelirukan pengundi serta memudahkan BN memutarbelitkan pelbagai fakta.

Siapa pun yang melihat tindakan ROS tergadap DAP di saat-saat akhir ini dapat merasakan ia bermotifkan politik dan untuk kepentingan Najib dan BN. Isu bantahan terhadap pemilihan DAP ini sebenarnya sudah lama berlalu dan surat penjelasan kepada ROS juga sudah dihantar beberapa bulan lalu, kenapa baru sekarang hendak memaklumkan ROS tidak mengiktirafnya?

Budak-budak sekolah pun dapat memahami maksud politik ROS itu?

Setelah mendapati kedudukan pengundi Cina masih tidak berubah dan tetap mahukan perubahan, Najib seolah-olah hilang punca untuk memikirkan apakah tindakan selanjutnya untuk menjadikan mereka berpecah. Sudah berbagai usaha dilakukannya, dari bantuan BR1M bernilai RM500 hinggalah bantuan berjuta kepada sekolah Cina, menghadiri pelbagai majlis keramaian masyarakat Cina, memakai pakaian kebudayaan Cina dan sebegainya, hakikatnya pengundi Cina tetap menolak BN.

Sementara DAP dan PKR makin menggelembung dengan sokongan pengundi Cina, MCA dan Gerakan pula makin lama makin ditolak dan diketepikan.

Najib sedar jika undi Cina tidak dipecahkan, masa depan BN akan terus kelam. Tindakan terbaru ROS terhadap DAP adalah dipercayai ke arah itu dan bagi memastikan BN terus berkuasa. Sudahlah pendaftaran Pakatan Rakyat yang menaungi PAS, DAP dan PKR untuk menyaingi BN bagi menjadikan sistem pilihanraya negara ini bergerak ke arah sistem dua parti, sehingga sekarang masih tidak ketahuan dan terperap di pejabat ROS, nawaitu ROS sebenarnya makin terserlah dengan tindakannya yang terbaru terhadap DAP ini.

Meskipun semalam DAP memberi tempoh sehingga jam 3 petang ini untuk ROS membatalkan suratnya yang terdahulu yang tidak mengiktiraf pemegang-pemegang jawatan dalam parti itu, sehingga ke malam ini, ROS masih tiada jawapan.

DAP akhirnya memutuskan calon-calonnya akan bertanding menggunakan logo Pas di Semenanjung manakala di Sabah dan Sarawak pula akan menggunakan logo PKR. Dalam hal mendesak seperti ini, ROS seharusnya bertindak pantas mengikut kepentingan semasa, sebaliknya telah gagal berbuat demikian dan seolah-olah tidak berani bertindak tanpa mendapat kelulusan daripada orang atasannya.

Tidak syak lagi, dalam beberapa tindakan ROS kebelakangan ini, termasuk melengah-lengahkan kelulusan pendaftaran Pakatan Rakyat dan yang terbaru menghantar surat tidak mengiktiraf pemegang jawatan DAP hanya dua hari sebelum hari penamaan calon, mengesahkan ROS merupakan alat politik Najib dan umpama anggota terbaru komponen BN.

Niat dan gerak kerjanya lebih ke arah memastikan BN menang pilihanraya dan Najib kekal sebagai Perdana Menteri.

Dalam berharapan dengan PR dalam pilihanraya ini, Najib nampaknya tidak sedia untuk berhadapan dengan lawannya di padang yang sama luas dan sama rata. Sampai ke saat akhir, beliau masih cuba menekan parti-parti dalam PR dengan harapan kemenangan akan berpihak kepadanya.

Tetapi dengan tindakan DAP menggunakan logo Pas, banyak rahmat dan kelebihan akhirnya memihak kepada PR. Selain BN dan Najib tiada isu lagi untuk mengadu-domba serta melaga-lagakan antara Pas dan DAP, ia juga akan menjadikan penyatuan hati dan jiwa yang lebih erat antara penyokong kedua-dua parti itu. Jika selama ini mereka mudah dipecahkan, kini sudah tiada isu lagi.

Penyokong Pas dan pengundi atas pagar yang beragama Islam tidak akan ragu-ragu lagi mengundi Pas kerana berpendapat orang bukan Islam pun sudah boleh menerima Pas, manakala pengundi bukan Melayu pula tidak melihat ianya sebagai masalah kerana yang bertanding tetap sebangsa dengan mereka walaupun logo Pas yang digunakan. DAP tidak memilih menggunakan logo PKR kerana antara kedua parti itu tidak ada masalah dan tidak menjadi sasaran adu-domba oleh BN.

Dalam hal ini, harus diakui tindakan DAP menggunakan logo Pas adalah langkah bijak disaat-saat mereka ditekan oleh Najib melalui ROS. Tindakan Najib mahu menggunakan ROS bagi menekan DAP dan menjadikannya senjata untuk meraih keuntungan politik, nampaknya gagal lagi, malah menikam dirinya sendiri.

Dengan hanya logo Pas dan PKR yang menyertai pilihanraya kali ini untuk menentang BN manakala DAP berada di alam halimunan buat sementara tetapi calon-calonnya yang bertanding atas tiket Pas yang akan lebih bersemangat untuk melakukan perubahan, gelombang kebangkitan rakyat pasti lebih menyerlah dan membuak-buak bagi mengakhiri era BN dan Najib pada 5 Mei nanti. (SH 19/04/2013)

Thursday, 18 April 2013

Najib Memberi Jalan Mati Untuk Ghani Dan Mukhriz


Diantara percaturan menarik yang dilakukan oleh Najib dalam pilihanraya kali ini ialah memindahkan Ghani Othman bertanding di Parlimen Gelang Patah untuk berhadapan dengan Lim Kit Siang dan meletakkan Mukhriz Mahathir bertanding di DUN Ayer Hitam serta dijanjikan kerusi Menteri Besar Kedah jika BN dapat menawan negeri itu.

Sekali imbas, tindakan meletakkan Ghani bertanding di Gelang Patah dilihat seperti keputuan yang berani dan menunjukkan pemikiran di luar kotak sebagai jalan terbaik untuk "membunuh" karier politik Lim Kit Siang tetapi ia juga boleh "membunuh" karier politik Ghani yang sudah empat penggal menjadi Menteri Besar Johor.

Walaupun dalam pilihanraya umum lalu, calon MCA menang di Gelang Patah dengan majoriti 8851 undi tetapi dengan 54 peratus pengundi kawasan itu terdiri daripada pengundi Cina, laluan Ghani tidaklah seperti melalui karpet merah, tambahan lagi dengan perkembangan semasa yang menunjukkan pengundi Cina memang menolak BN dan mahukan perubahan.

Harapan Ghani untuk menang hanyalah bergantung kepada undi Melayu dan gahnya jawatan Menteri Besar yang disandangnya. Mungkin juga melalui beberapa perbelanjaan pembangunan dan lain-lain bantuan kewangan. Sebagaimana Lim Kit Siang, Ghani juga bukanlah orang tempatan Gelang Patah, jadi kesukaran sebagai orang luar agak seimbang. Kalau ada pun hubungannya dengan penduduk Gelang Patah, hanyalah atas kapasitinya sebagai Menteri Besar Johor saja.

Diatas kertas, laluan Ghani memang nampak sukar. Tetapi laluan Lim Kit Siang juga tidaklah mudah. Ghani harus berusaha mengaut sebanyak mungkin undi Melayu dan menampung selebihnya dengan undi bukan Melayu. Namun kelebihan yang ada pada Penasihat DAP itu ialah jumlah pengundi Cina yang ramai dan kali ini pula mereka memang menolak BN dan mahukan perubahan. Jika Lim Kit Siang boleh memastikan majoriti undi Cina memihak kepadanya dan undi Melayu pula diperolehi melalui bantuan Pas dan PKR, harapannya untuk menang lebih cerah.

Jika Ghani menang dan BN pula kekal menguasai Putrajaya, Ghani mungkin akan diberikan jawatan menteri yang kanan, sesuai dengan jasanya menumbangkan tokoh besar DAP itu. Tetapi jika tewas, beliau akan terbiar begitu saja. Beliau akan dilupakan dan jasa-jasanya tidak akan disebut lagi. Kegagalannya lebih menjadi sebutan dan perbualan. Beliau akan dikenali sebagai Menteri Besar yang gagal.

Dan sebagai pemimpin yang pernah menjadi menteri pusat dan Menteri Besar Johor selama empat penggal, meletakkan beliau untuk berhadapan dengan lim Kit Siang tidak lebih seperti memberi jalan mati yang mempunyai gaung di hadapannya. Kemungkinan beliau untuk tewas dan "mati" adalah lebih besar daripada kemampuan untuk terus hidup dan bernyawa.

Persoalannya apakah bagi Najib membunuh karier politik Lim Kit Siang itu sangat penting sehingga Ghani dijadikan pertaruhan? Apakah juga jika BN tewas di Gelang Patah, bermakna Putrajaya akan terlepas sehingga menyebabkan kawasan itu begitu ingin dimenangi?

Bagi Mukhriz pula, tindakan Najib meletakkannya bertanding di Ayer Hitam serta dijanjikan jawatan Menteri Besar Kedah juga mengundang risiko yang tinggi dan sama seperti Ghani, beliau juga umpama diberikan jalan mati oleh Najib dalam pilihanraya kali ini.

Walaupun Mukhriz menang di Jerlun dalam pilihanraya 2008 lalu tetapi perjuangannya di DUN Ayer Hitam kali ini tidaklah semudah yang dijangka, tambahan pula kawasan itu dimenangi oleh calon Pas, Ghani Ahmad dengan majoriti 506 undi dengan menewaskan calon BN, Othman Aziz.

Mungkin dengan kerja kuat dan bantuan kempen oleh bapanya Mahathir, beliau boleh memenang di kawasan itu. Tetapi persoalan lain ialah bolehkah Kedah dimenangi oleh BN? Untuk mencapai hasrat meletakkan beliau sebagai Menteri Besar Kedah, dua perjuangan harus diharungi iaitu menang di DUN Ayer Hitam dan kerajaan PR yang ada sekarang mesti ditumbangkan.

Dengan beberapa pergolakan di Kedah sebaik nama-nama calon BN diumumkan, ada bantahan dan protes di beberapa kawasan, ternampak usaha BN mahu menawan Kedah tidaklah semudah yang dijangka. Tambahan pula isu siapa bakal Menteri Besar Kedah pilihan Najib masih menjadi misteri walaupun Mukhriz lebih menjadi pilihan. Ini kerana Pengerusi UMNO Kedah, Ahmad Bashah yang bertanding di DUN Bakar Bata, turut mengidam jawatan yang sama.

Jika Mukhriz hanya menang di Ayer Hitam dan Kedah kekal ditangan PR, anak bekas Perdana Menteri selama 22 tahun itu akhirnya hanya akan menjadi ADUN biasa saja. Paling tidak pun menjadi Ketua Pembangkang di DUN Kedah.

Dalam kedua-dua kes, Ghani Othman di Gelang Patah dan Mukhriz Mahathir di Ayer Hitam, walaupun harapan Najib dan BN terhadap mereka sangat tinggi tetapi kemungkinan mereka kecundang juga sama tingginya. Mempertaruhkan keduanya di kerusi sukar seperti Najib sedang menyediakan laluan mati untuk mereka.

Jika mereka menang, mungkin ia suatu kejayaan yang boleh dibanggakan oleh Najib dan BN tetapi jika tewas, Ghani akan dilupakan dan boleh memilih untuk bersara terus. Mukhriz pula, jika tewas dan cita-cita menjadi Menteri Besar tidak kesampaian akan menjadikan laluan politiknya tidak menentu tetapi yang paling nyata, ia mungkin paling mendatangkan kekecewaan kepada Mahathir yang sentiasa mengharapkan laluan mudah untuk anak-anaknya. (SH 18/04/2013)

Wednesday, 17 April 2013

Najib Dan Transformasi Rojak


Senarai calon-calon BN yang diputuskan Najib dan diumumkan sepenuhnya di semua negeri semalam, secara umumnya adalah bersandarkan formula transformasi dan "winnable" sebagaimana yang sering diucapkannya sejak empat tahun lalu. Malah perkataan transformsi dan "winnable" juga menjadi perkataan jarang terlepas dari bibirnya sejak empat tahun lalu untuk menunjukkan beliau juga seorang yang mahukan pembaharuan serta pragmatik sebagaimana yang dikehendaki oleh rakyat.

Dengan barisan calon yang disusunnya itu, Najib seolah-olah memberi bayangan bahawa inilah pasukan yang akan bersama-sama dengannya melaksanakan pelbagai transformasi dalam negara jika BN terus diberi kepercayaan mentadbir negara ini untuk tempoh lima tahun seterusnya.

Malangnya, sebaik saja nama-nama calon diumumkan, harapan untuk melihat mereka yang terpilih itu memberi imej dan persepsi yang baik sebagaiimana yang sering dilaung-laungkannya tampak berkecai. Bayangan transformasi kelihatan jauh dari kenyataan. Ini kerana yang terpilih itu ada yang terpalit dengan skandal, dilumuri isu moral, calon kitar semula dan tidak mendapat restu UMNO bahagian. Ada juga yang bukan "winnable" tetapi lebih kepada "win cable" iaitu yang mempunyai hubungan tertentu dengan orang diatas yang dipilih sebagai calon.

Diatas semua itu, transformasi politik yang ingin dibawa Najib menjadi caca-marba dan bercelaru. Orang utara kata, transformasi rojak jadinya.

Sementara Najib berkata calon-calon baru kali ini meliputi 33 peratus di peringkat Parlimen dan 54 peratus di peringkat DUN, hakikat yang paling menonjol ialah di kalangan menteri kabinet hanya tiga orang saja yang digugurkan iaitu Rais Yatim, Nor Yakcop dan Ng Yen Yen. Ini tentunya memberi gambaran jika BN terus berkuasa, menteri-menteri yang ada akan terus kekal sedangkan mereka inilah yang menjadi fokus perubahan yang diinginkan oleh rakyat.

Kegagalan ini akan memberi impak tidak baik dan melebarkan lagi ketidakyakinan rakyat terhadap Najib dan BN. Rakyat akan melihat tiada perubahan yang nyata kerana perubahan calon Ahli Parlimen seharusnya seiring dengan pengguguran lebih ramai menteri kabinet daripada terus bertanding.

Yang lebih menyedihkan juga, walaupun keputusan menggugurkan tiga menteri itu harus dipuji terutamanya Rais Yatim yang sudah lama menjadi dinosaur dalam era politik hujah dan fakta ketika ini, di masa yang sama Najib juga mengekalkan beberapa pemimpin usang dan memberi nyawa semula kepada mereka yang sudah dianggap mati untuk dikitar semula sebagai calon pilihanraya.

Pemilihan semula calon tua seperti Yap Pian Hon di Serdang, Othman Abdul di Pendang, Mansor Salleh di Tumpat dan menaikkan taraf Shahidan Kassim daripada bertanding di DUN ke Parlimen mengecewakan banyak pihak dan membuatkan mereka tertanya-tanya, transformasi apa sebenarnya yang cuba diterapkan Najib sekarang ini. Ini juga merencatkan proses peremajaan dalam parti yang seharusnya senantiasa berlaku bagi mengekalkan parti terus segar dan diterima rakyat.

Apakah pemilihan semula Yap, Othman dan Mansor itu termasuk dalam kategori 33 peratus calon baru yang Najib maksudkan?

Begitu juga dengan masih memberi peluang kepada bekas menteri yang kalah atau digugurkan Najib sendiri sebaik mengambil alih pentadbiran pada 2009 lalu seperti Azalina Othman di Pengerang dan Annuar Musa di Ketereh seperti menggambarkan UMNO sudah ketandusan pemimpin muda yang berwibawa yang lain untuk diketengahkan. Di peringkat DUN juga masih ramai calon-calon lama yang masih dikekalkan sedangkan sudah sepatutnya digugurkan.

Lebih-lebih lagi, kesemua orang lama dan tua itu bukan pula calon yang boleh dianggap "winnable". Jika Tengku Razaleigh dan Shahrir Samad terus dikekalkan, mungkin ia boleh difahami kerana kedua mereka adalah pemimpin yang sentiasa "winnable" dan menukar kepada calon lain dalam keadaan genting seperti sekarang boleh menyebabkan kehilangan mudah kerusi Gua Musang dan Johor Bahru kepada pihak lawan.

Apakah istimewa dan masih "winnablekah" Yap Pian Hon untuk berhadapan dengan Teo Nii Ching dari DAP, Othman Abdul berhadapan dengan Mat Sabu dan Mansor Salleh untuk berdepan dengan Kamaruddin Jaafar, yang kedua-duanya merupakan tokoh penting Pas?

Transformasi calon yang cuba diketengahkan Najib juga menjadi celaru apabila beliau meletakkan Zulkifli Nordin bertanding di Shah Alam untuk berhadapan dengan Khalid Samad. Selain imejnya sebagai pelompat, penyebaran video mengenai komennya yang menghina agama lain sekaligus memburukkan imej BN dalam masa yang sama. UMNO dan pengundi Shah Alam sendiri rata-rata menolak pencalonan Zulkifli, bukan saja kerana imej dan keceluparannya tetapi juga kerana tahap kematangan politiknya yang dianggap terlalu rendah dan tidak sepadan dengan taraf penduduk ibu negeri Selangor itu sendiri.

Transformasi Najib juga menjadi kacai-bilau apabila beliau memilih semua Dr Rozaidah Talib dan Dr Rahman Ismail sebagai calon di Ampang dan Gombak sedangkan mereka sudah digugurkan sebagai calon pada pilihanraya 2008 lalu. Sama seperti Othman Abdul, Mansor Salleh dan Yap Pian Hon, kedua mereka ini juga dikategorikan sebagai calon kitar semula.

Memburukkan lagi keadaan, Rozaidah dan Rahman juga pernah terlibat dengan isu isu moral dan skandal dalam beberapa tahun lalu. Jika Najib mengatakan pemilihan calon kali ini setelah melalui beberapa tapisan, bagaimana Rozaidah dan Rahman boleh terlepas daripada tapisan itu?

Dengan pemilihan mereka itu, kini bertebaran semula cerita dan gambar-gambar berkaitan isu moral dan skandal yang pernah dikaitkan dengan mereka. Selain itu, berlaku juga protes dalam UMNO sendiri terhadap pemilhan mereka sebagai calon. Semua ini akhirnya akan menyebabkan BN tewas dengan mudah di kedua-dua kerusi itu.

Bantahan mengenai calon tidak saja berlaku di Ampang, Gombak dan Shah Alam tetapi juga turut dilaporkan berlaku di Sekijang dan Tasek Gelugor. Bahkan bekas timbalan menteri, Sharif Omar sudah pun mengumumkan akan bertanding sebagai calon bebas di Tasek Gelugur.

Walaupun bantahan dan protes ini boleh dianggap sebagai proses biasa dalam mana-mana pilihanraya tetapi ia tidak seharusnya begitu ketara berlakunya kerana Najib sering menjanjikan transformasinya akan dilaksanakan dengan saksama dan penuh teliti.

Belum pun penamaan calon dan hari pengundian yang mungkin bakal menyaksikan banyak lagi kejadian-kejadian merugikan BN, hakikatnya semua ini berlaku kerana transformasi yang dilakukan Najib tidak seiring dengan janji yang pernah dilafazkannya. Calon "win cable" pula lebih diutamakan berbanding "winnable" dalam ertikata sebenarnya.

Baru kecelaruan calon, belum lagi berlaku pelbagai kecelaruan lain, harapan Najib untuk membawa BN terus kekal berkuasa nampaknya sudah menampakkan tanda-tanda kesukarannya. (SH 17/07/2013)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...