Tuesday, 16 April 2013
Di Mata Najib, Zulkifli Nordin Lebih Bernilai Daripada Ibrahim Ali, Adik Ku Nan Bakal MB Selangor?
Berbanding pengguguran beberapa nama besar sebagai calon BN seperti Rais Yatim, Nor Mohamed Yakcop, Ng Yen Yen dan nama-nama lainnya serta kesediaan Ghani bertanding di Gelang Patah untuk berhadapan dengan Lim Kit Siang dalam pilihanraya kali ini, tentunya berita yang paling mengejutkan sebaik nama-nama calon diumumkan ialah ketiadaan nama Ibrahim Ali sebagai calon BN di Pasir Mas.
Ibrahim yang bertanding atas tiket Pas dalam pilihanraya 1008 lalu tetapi kemudian melompat mendakap BN dan Najib sebaik bergelar YB sudah diketahui umum amat mengharapkan agar namanya disenaraikan sebagai calon BN di Pasir Mas. Beliau sudah bersedia ke arah itu sejak beberapa tahun lalu, dan baru-baru ini turut menggunakan khidmat Mahathir untuk melobi namanya kepada Najib. Malah Mahathir juga mengatakan akan turun berkempen membantunya jika beliau dipilih oleh Najib.
Melihat kepada beberapa tindakan Ibrahim Ali dan Perkasa yang diterajuinya dalam mempertahankan Najib dan menyerang Anwar serta Pas sejak 2009 lalu, sukar untuk mempercayai Ibrahim Ali akan diketepikan begitu saja. Dalam hal ini Najib akan dilihat sebagai pemimpin yang tidak mengenang budi dan berhati mulia kepada Ibrahim Ali.
Lebih memilukan hati Ibrahim Ali ialah tentunya kerana Najib memilih pula Zulkifli Nordin, yang lebih kemudian melompat daripadanya untuk memeluk Najib, bertanding mewakili BN di Shah Alam. Dalam Perkasa pula, Zulkifli hanyalah Naib Presiden manakala Ibrahim adalah Presidennya.
Ternampak bukan sahaja Zulkifli lebih bernilai dan dihargai disisi Najib berbanding Ibrahim Ali, bahkan senario ini juga memperlihatkan bahawa Najib tidak memerlukkan lagi khidmat Ibrahim Ali lagi selepas ini. Jika alasan Najib tidak memilih Ibrahim kerana ingin menjauhi Perkasa dan mahu mendapatkan undi bukan Melayu, Zulkifli juga dari Perkasa, bahkan baru-baru ini disebarkan videonya yang menghina agama Hindu.
Dengan namanya diketepikan ini, Ibrahim Ali tidak ada pilihan selain bertanding atas tiket Bebas saja dan harapannya untuk terus membawa suaranya ke Parlimen kelihatan amat sukar kerana di Kelantan pertarungan sengit hanya berlaku antara PAS dan UMNO sahaja. Dan Mahathir yang dulunya berjanji berkempen untuknya juga mustahil akan menjenguknya.
Dan berbanding pemimpin lain yang digugurkan dan tidak disenaraikan namanya, Ibrahim juga mungkin menjadi manusia paling sedih di Malaysia ketika ini. Beliau umpama jejaka malang yang cintanya tidak berbalas setelah mencurahkan segunung intan dan sepenuh jiwa raga kepada sang kekasih hatinya.
Tetapi sebagaimana beliau pernah berkata, membujur lalu melintang patah, inilah masanya untuk beliau membuktikan kata-katanya itu.
Pengumuman nama-nama calon di negeri-negeri lain pula tidak banyak yang mengejutkan dan sebahagiannya sudah boleh dijangkakan, kecuali di Selangor yang menjadi sandaran Najib untuk ditawannya semula. Selain Noh Omar dan Zin Mohamed terus kekal bertanding di peringkat Parlimen, ketidaan nama FD Iskandar bertanding di mana-mana kerusi DUN agak mengejutkan juga.
Ini kerana melihat senarai mereka yang bertanding kerusi DUN di Selangor, terlihat tiada tokoh yang menonjol untuk dilantik sebagai MB Selangor jika BN menguasai negeri itu. Persaingan tampaknya masih terbuka antara Nawawi M Zain, Subahan Kamal dan Johan Abdul Aziz.
Tetapi jika melihat daripada calon-calon baru yang diketengahkan pula, nama Tengku Rethwan Tengku Mansor yang paling menonjol. Selain kedudukannya sebagai adik kepada Setiausaha Agung UMNO, Tengku Adnan, namanya juga melonjak semalam apabila sekumpulan ahli UMNO Kelana Jaya mengadakan demonstrasi di PWTC membantah agar namanya digugurkan sebagai calon BN di DUN Seri Setia.
Bagaimanapun bantahan itu nampaknya diketepikan begitu saja oleh Najib dan BN. Sudahlah Ketua UMNO Kelana Jaya, Mat Taib sudah menyertai Pas dan kini pemimpin UMNO Bahagian itu seperti Yahya Bujang dan Halim Samad yang lebih dikehendaki oleh UMNO bahagian sebagai calon pula diketepikan begitu saja. Luka di hati ahli UMNO Kelana Jaya ketika ini berganda jadinya.
Kesungguhan Najib dan BN Selangor mengetengahkan Tengku Rethwan sebagai calonnya sehingga sanggup mengenepikan suara akar umbi, dalam masa yang sama membayangkan betapa besarnya pengaruh Ku Nan terhadap Najib. Suaranya umpama wahyu.
Dan berdasarkan kedudukan calon-calon MB Selangor yang masih terbuka, tidak mustahil Tengku Rethwan adalah nama yang ada dalam perkiraan Najib untuk ditonjolkan ke jawatan tertinggi di Selangor itu sekiranya BN kembali berkuasa. (SH 16/04/2013)
MCA Sengaja Mahu BN Kalah?
Petang semalam, tiga parti komponen BN iaitu MCA, Gerakan dan PPP sudah pun mengumumkan senarai calon dan kawasan yang ditandingi oleh parti itu dalam pilihanraya 5 Mei ini sebaik menerima watikah calon daripada Najib selaku Pengerusi BN. Dalam tempoh beberapa jam lagi, UMNO pula dijangka mengumumkan senarai calonnya yang akan dibuat oleh Pengerusi UMNO Negeri-Negeri. MIC juga dijangka berbuat demikian dalam tempoh yang sama.
Berbanding MCA, tidak banyak harapan disandarkan kepada Gerakan dan PPP yang masing-masing diperuntukkan 11 dan satu kerusi Parlimen memandangkan mereka tidak memenangi walau satu kerusi pun dalam pilihanraya 2008 lalu.
Berikutan sentimen pengundi bukan Melayu yang makin ketara menolak BN dan keghairahan terhadap perubahan, Gerakan juga dijangka tidak mampu menyumbang apa-apa kerusi kepada BN kali ini, tambahan pula kebanyakan kerusi yang ditandinginya adalah di Pulau Pinang dan kawasan bandar yang memang diketahui merupakan kawasan hitam bagi BN.
Begitu juga dengan PPP yang kali ini bertanding di Kepong, kerusi tradisi DAP, juga bakal menuai angin dalam pilihanraya kali ini.
Lebih menarik, kedua-dua pemimpin utama Gerakan dan PPP iaitu Koh Tsu Koon dan M Kayeas juga memutuskan untuk tidak bertanding kali ini, yang sekaligus menggambarkan ketidakyakinan mereka terhadap kemenangan serta menjadikan moral parti itu di mata pengundi menjadi lebih merudum.
Hanya MCA yang nampaknya menjadi sandaran BN dan Najib kali ini. Tetapi Chua Soi Lek pula penuh dengan agenda politik MCAnya di sebalik keinginan untuk memenangi sebanyak mungkin kerusi bagi memastikan BN kekal menggenggam kuasa. Selain Chua sendiri memutuskan untuk tidak bertanding, dua Naib Presidennya iaitu Ng Yen Yen dan Gan Ping Sieu turut tidak disenaraikan. Turut memerajatkan ialah ialah MCA juga menggugurkan bekas presidennya, Ong Tee Keat yang dianggap calon paling winnable di Pandan untuk berhadapan dengan Rafizi Ramli dari PKR.
Dengan Koh Tsu Koon, Chua Soi Lek, Kayeas dan disertai dengan Presiden SUPP, Peter Chin yang mengambil keputusan tidak bertanding dalam pilihanraya ke 13 ini, menjadikan empat pemimpin parti komponen BN telah melontarkan gambaran kepada pengundi dan masyarakat umum mengenai ketidakyakinan mereka terhadap kemenangan dan masa depan BN sendiri dan ini sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini.
MCA kali ini bertanding 37 kerusi Parlimen dan 90 kerusi DUN. Dalam pilihanraya 2008 lalu, mereka bertanding 40 kerusi Parlimen dan menang 15 daripadanya.
Melihat senarai calon dan percaturan MCA kali ini, harapan Najib untuk melihat parti itu menyumbang banyak kerusi juga tampak suram. Walaupun ramai juga calon muda diketengahkan, calon "resycle" turut diketengahkan seperti Yap Pian Hon di Serdang manakala Seah Koh Fah di PJ Selatan pula diramal sangat tipis untuk menang kerana beliau juga pernah kalah dalam pilihanraya yang lalu.
Tindakan menggugurkan Ong Tee Keat di Pandan pula menampakkan Rafizi sudah berada diambang memenangi kerusi itu kerana pendapat banyak pihak menyatakan hanya bekas Presiden itu saja yang dianggap paling winnable dan sesuai berhadapan dengan Rafizi yang kini sedang melonjak namanya. Di Pandan, Ong bukan saja diterima baik oleh pengundi Cina tetapi juga sebahagian besar pengundi Melayu.
Meskipun Ong merupakan musuh politik Chua tetapi Chua sepatutnya lebih mengutamakan kemenangan untuk MCA berbanding melunaskan agenda peribadi terhadap musuh politiknya itu.
Dalam pilihanraya kali ini, MCA yang dipimpin oleh Chua juga bersikap sangat budiman dengan bersedia menyerahkan tiga kerusinya tanpa pertukaran kerusi lain dengan UMNO iaitu Gelang Patah, Kuantan dan Wangsa Maju. Ini menjadikan kerusi MCA kali ini berkurangan tiga kerusi berbanding 40 kerusi yang ditandinginya pada 2008.
Dalam posting beberapa minggu lalu, saya telah menulis mengenai agenda MCA ini di mana Chua cuba menjadikan kerusi Wangsa Maju, Gelang Patah dan Kuantan sebagai umpan kepada Najib agar senarai calon yang dikemukakannya diterima tanpa bantahan oleh Najib. MCA ternyata cuba menjadikan pilihanraya ini sebagai medan untuk melaksanakan agenda politiknya serta mengenepikan musuhnya dan ia kini terbukti benar-benar berlaku.
Dengan kehilangan tiga kerusi iaitu Gelang Patah walaupun MCA menang lebih 8 ribu undi dalam pilihanraya lalu serta Kuantan dan Wangsa Maju, Chua kini berjaya memaksa Najib menerima senarai calonnya tanpa bantahan. Yang lebih penting, hasratnya mahu mengenepikan terus Ong Tee Keat juga berjaya.
Walaupun Chua berjaya menjadikan dirinya makin kuat dalam MCA tetapi kesediaannya menyerahkan tiga kerusi secara percuma itu turut mengundang rasa tidak tidak puas pengundi Cina terhadap MCA. MCA akan dilihat tidak menjaga sepenuhnya kepentingan masyarakat Cina dan mudah tunduk kepada UMNO. Sepatutnya MCA melakukan pertukaran kerusi suka sama suka dan bukan memberi percuma jika ingin lebih memenangi hati kaumnya.
Senario ini memungkinkan lebih kuat penolakan daripada pengundi Cina terhadap parti itu. Di Wangsa Maju sendiri, MCA bahagian itu tetap konsisten menolak calon UMNO. Di Kuantan dan Gelang Patah juga, dipercayai sentimen yang sama sedang meledak. Dan jika ia merebak ke banyak kawasan lain, harapan MCA untuk memenangi lebih daripada 15 kerusi sebagaimana yang dimenanginya dalam pilihanraya 2008 lalu nampaknya sangat tipis.
Kegagalan MCA mememangi banyak kerusi kali ini sebahagian besarnya adalah disebabkan tindak-tanduk Chua selaku Presiden MCA yang lebih memikirkan dirinya berbanding BN. Kepentingannya dalam MCA sangat besar dan ia lebih besar daripada memastikan kemenangan BN itu sendiri.
Jika Gerakan dan PPP dilihat tidak mampu diharapkan apa-apa manakala MCA pula dengan tindak-tanduk Chua Soi Lek yang lebih mementingkan agenda peribadinya dan akhirnya menjadikan parti itu lebih ditolak oleh pengundi Cina sendiri dan gagal menyumbang banyak kerusi, apa lagi sandaran Najib dalam mempertahankan kuasanya?
Belum pun keluar senarai calon daripada UMNO yang mungkin menyaksikan banyak unsur sabotaj, tidak puas hati dan tutup bilik gerakan, gelagat Chua Soi Lek dan MCA dalam penentuan senarai calon dan pengagihan kerusi juga memperlihatkan beliau tidak membantu ke arah kemenangan BN.(SH 16/04/2013)
Monday, 15 April 2013
Impian Najib Tawan Selangor Berkecai!!
Sementara UMNO begitu galak menyerang Pas berkaitan isu video seks yang didakwa melibatkan Mustafa Ali, parti itu mendapat rahmat besar disebaliknya dengan penyertaan bekas MB Selangor, Muhammad Mohd Taib ke dalam Pas semalam. Beliau yang lebih dikenali dengan Mat Taib atau Mike Tyson dilaporkan sudah pun menyerahkan borang keahliannya untuk menyertai Pas kepada Dr Haron Din dan suatu pengumuman rasmi dijangka akan dibuat dalam sehari dua ini.
Mat Taib sudah mendiamkan diri sejak 2009 apabila digugurkan sebagai Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Ketua Penerangan UMNO. Kemudiannya beliau juga melepaskan jawatan Ketua UMNO Bahagian Kelana Jaya yang disandangnya dan menyerahkan kepada Yahya Bujang untuk memangku jawatan itu.
Sejak itu beliau mengepikan sepenuhnya aktiviti yang melibatkan politik dan banyak menghabiskan masanya dengan program-program keagamaan. Beliau bukan saja banyak menghadiri pelbagai program bercorak agama dan mengadakan pelbagai majlis di kediamannya, malah jika berbual pun topiknya banyak menjurus ke arah keagamaan.
Dengan kecenderungan terhadap agama itu, penyertaan beliau ke dalam Pas tidaklah begitu memeranjatkan meskipun UMNO tentunya agak terpukul dengan tindakan bekas MB Selangor dan Naib Presiden UMNO itu menyertai Pas di saat-saat hampirnya berlangsung pilihanraya yang paling mencabar ini.
Lebih-lebih lagi dalam pilihanraya kali ini, selain mahu mengekalkan Putrajaya, matlamat Najib juga ialah mahu menawan kembali Selangor yang jatuh ke tangan Pakatan Rakyat dalam pilihanraya 2008 lalu.
Walaupun Mat Taib berdepan dengan isu kredibiliti berikutan peristiwa lama yang melibatkan dirinya dan dianggap sudah "expired" dalam UMNO, penyertaan beliau ke dalam Pas tidak harus dipandang ringan. Kemasukannya membawa imej dan persepsi yang tidak baik mengenai UMNO dan melonjakkan moral Pas serta Pakatan Rakyat, khususnya di Selangor.
Ia tidak jauh bezanya dengan keputusan beberapa pegawai tinggi kerajaan, pegawai polis dan tentera yang memilih Pas dan Pkr sebaik saja bersara daripada kerajaan sebelum ini. Sebagaimana penyertaan mereka itu meningkatkan moral dan imej Pakatan Rakyat, kemasukan Mat Taib juga sebenarnya memberi impak yang serupa.
Sepanjang menjadi MB Selangor selama 11 tahun, Mat Taib dikenali sebagai pemimpin yang baik budi pekertinya dan suka menolong orang. Ramai pemimpin UMNO dan ahli perniagaan yang meriah dengan rezeki yang dilorongkan Tuhan melalui sikapnya baik hati itu. Rakyat Selangor pula banyak yang mendapat tanah untuk kediaman dan memulakan kehidupan baru. Perkampungan dan penempatan baru yang melibatkan orang Melayu banyak diwujudkan semasa kepimpinannya.
Dengan jasanya yang sedemikian itu, tentunya beliau masih dikenang oleh ramai orang di Selangor ini. Oleh itu, penyertaannya ke dalam UMNO tidak dapat dinafikan akan memberi signifikan kepada usaha Pakatan Rakyat mengekalkan pentadbiran negeri itu ditangannya.
Impian Najib dan UMNO Selangor pasti akan bertambah sukar dengan penyertaan beliau ke dalam Pas ini. Lebih-lebih lagi jika selepas hari penamaan calon nanti Mat, Taib juga turut berkempen dan meminta pengundi mengekalkan negeri itu di tangan Pakatan Rakyat yang baru menaungi perjuangan barunya.
Dengan menyertai Pas di saat berlangsungnya hari penamaan calon dan Pakatan Rakyat pula sudah siap dengan senarai calon-calonnya, Mat Taib seperti memberi isyarat bahawa beliau tidak sekali-kali berminat untuk bertanding semula. Hasratnya ialah untuk membantu perjuangan Pas dan Pakatan Rakyat, khususnya di Selangor.
Walaupun Najib sentiasa ghairah mahu menawan Selangor, tetapi keputusan beliau yang dijangka meletakkan FD Iskandar sebagai calon MB Selangor jika BN kembali berkuasa, turut mengundang masalah dalam UMNO sendiri. Kem Noh Omar dan Zin Mohamed yang kini merupakan orang kanan dan orang kiri Najib di Selangor, ternyata kurang berpuas hati dengan pemilihan FD Iskandar itu.
Pemimpin dan ahli UMNO peringkat bahagian dan cawangan juga menunjukkan rasa kurang senang dengan pemilihan FD Iskandar berikutan beliau dilihat pemimpin yang kurang mesra dengan orang bawahan dan kedudukannya sebagai ahli perniagaan serta pemaju hartanah membimbangkan mereka kemungkinan fokusnya nanti lebih kepada membantu syarikatnya sendiri, Glomac Berhad berbanding membantu rakyat Selangor sendiri.
Menang tidak dinafikan, impian Najib menawan Selangor bukanlah mudah. Selain Pakatan Rakyat juga bekerja keras dan berjaya menampilkan imej yang lebih baik berbanding kepimpinan UMNO sebelumnya walaupun cuba dibangkitkan pelbagai isu untuk merangsang emosi rakyat, wujudnya penolakan dalaman UMNO sendiri berikutan calon MB pilihan Najib kurang dipersetujui dan kini dengan bantuan Mat Taib pula yang menyertai Pas, impian Najib hakikatnya makin bertambah sukar.
Malah ada beberapa pemimpin UMNO Selangor sendiri tanpa berselindung menyatakan, impian Najib itu sebenarnya sudah pun berkecai dan musnah sekarang ini. (SH 15/04/2013)
Subscribe to:
Posts (Atom)