Monday, 25 December 2017

KALAU TUN M BOLEH DISUBAHATKAN DALAM KERUGIAN FOREX, APAKAH NAJIB TIDAK HARUS DIKAITKAN DENGAN HILANGNYA TANAH FELDA?


Tiada siapa boleh setuju dan reda tanah milik Felda terlepas ke tangan pihak lain, tidak kira siapa pun dalang atau pihak yang bertanggungjawab melakukannya, lebih-lebih lagi jika ia dilakukan secara curang dan berunsurkan wang.


Kehilangan tanah bukan saja bermaksud Felda kehilangan wang, tetapi juga bererti mereka sudah kehilangan maruah dan jaminan masa depan.


Sebab itu dalam kes tanah Felda di Jalan Semarak yang menjadi isu hangat sekarang ini, ia semestinya disiasat dengan telus, menyeluruh dan tidak berpilih-pilih.


Demi keadilan dan kesamarataan dalam mentafsir dan melaksanakan undang-undang, kehilangan tanah Felda di Jalan Semarak ini tidak dapat tidak mesti mengambil kira kes kehilangan wang dalam urusniaga forex yang berlaku lebih 30 tahun lalu  sebagai rujukannya


Dalam hasil laporan RCI forex, selain Gabenor Bank Negara ketika itu, Allahyarham Jaafar Hussein dan Nor Mohamed Yakcop yang dipersalahkan, bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad dan dua bekas Menteri Kewangan, Daim Zainuddin dan Anwar Ibrahim juga turut diletakkan beban kesalahan kerana didakwa bersubahat dengannya.


Realitinya, meskipun Tun Mahathir adalah orang yang secara khususnya difahami umum sebagai subjek yang mahu dipersalahkan atas kerugian tersebut, kedudukan beliau ketika itu hanyalah sebagai Perdana Menteri dan pengerusi mesyuarat kabinet sahaja.


Dalam kes Felda pula, Najib bukan saja sebagai Perdana Menteri, tetapi juga yang mengawasi dan memantau Felda sejak beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri lagi atas alasan agensi yang ditubuhkan oleh arwah bapanya, Tun Razak itu sangat dekat di hatinya.


Tetapi, sedarkah kita bahawa sejak Felda berada di bawah jagaan dan dagu Najiblah, agensi itu makin kacau-bilau, berkecamuk, penuh skandal serta wang simpanannya semakin berkurangan.


Apa yang berlaku berkaitan tanah Felda di Jalan Semarak ini hanyalah rentetan daripada pelbagai masalah sebelum ini seperti pembelian hotel dan hartanah mewah sama ada di dalam dan luar negara, pengambilalihan ladang milik Peter Sondakh, rakan Najib sendiri dengan harga melebihi nilai pasaran, pelaburan dalam projek-projek rugi, kegemaran membeli syarikat luar negara dan 1001 macam keributan lainnya lagi.


Kenapakah dalam masa Najib menjaga Felda dan mengatakan agensi tersebut sangat dekat di hatinya, tetapi semakin banyak masalah, kerugian dan kehilangan wang yang berlaku?


Ibarat kalau kita sayang dan meletakkan seseorang itu dekat di hati kita, logiknya tentulah penjagaan, perhatian dan kasih sayang yang berlebih-lebihan akan sentiasa kita dicurahkan.


Tetapi, sementara hanya Najib satu-satunya pemimpin UMNO yang pernah mengatakan Felda dekat di hatinya, sebaliknya makin diperah dan dijahanamkannya pula agensi yang bertunjangkan titik peluh peneroka itu.


Atas sebab itu, bukan saja kehilangan tanah, tetapi apa juga perbuatan mengambil kesempatan dan tidak amanah berkaitan harta dan wang Felda tidak harus begitu juga dihalalkan perbuatannya.


Jika dalam kes kerugian forex yang dikendalikan oleh Bank Negara, Tun Mahathir boleh  dipersalahkan atas dakwaan bersubahat, meskipun Bank Negara bukan di bawah jagaannya, ikut logiknya Najib lebih patut paling awal disiasat dan diambil keterangan dalam siasatan mencari kebenaran berkaitan tanah Felda yang hilang itu


Bagaimana Najib yang meletakkan Felda di bawah dagunya, ada wakil JPM dan Kementerian Kewangan di dalamnya, malah beliau sendiri biasanya akan mempengerusikan mesyuarat dengan Felda dua atau tiga bulan sekali, tetapi masih juga tanah boleh lesap begitu saja?


Apakah betul Najib tidak tahu menahu langsung tentang pengeluaran “surat kuasa penuh” dan berpindah-miliknya tanah Felda tersebut kepada pihak lain?


Kiranya beliau mengetahuinya lebih awal, mengapakah Najib hanya mengarahkan siasatan segera selepas perkara itu didedahkan oleh media?


Kalau beliau tidak tahu-menahu pula, apakah peranannya dalam memantau Felda selama ini dan adakah tidak pernah sesiapa, termasuk wakil JPM dan Kementerian Kewangan melaporkan sesuatu yang mencurigakan kepadanya sebelum ini?


Di mana mahu kita dielakkan Najib daripada dakwaan bersubahat, sedangkan ruang untuk beliau mengetahui lebih banyak dan lebih luas mengenai Felda jauh lebih terbuka berbanding peranan Tun Mahathir dalam kerugian forex yang mana Bank Negara bukan di bawah jagaannya? 


Yang lebih malang adalah jika perkara itu hanya mampu didedahkan 30 tahun akan datang, sedangkan ruang untuk mencari kebenarannya sekarang sedang terbuka dan beradadi depan mata. (ShahbudinHusin 25/12/2017)

Sunday, 24 December 2017

DEKLARASI RAKYAT HARAP NAJIB TIDAK DIKECUALIKAN DARIPADA SIASATAN


FELDA DI BAWAH PERDANA MENTERI PALING KORUP!! PDRM DAN SPRM HARUS TAHAN SERTA SIASAT NAJIB TUN RAZAK TERLEBIH DAHULU!!

Dalam apa jua situasi Najib Tun Razak selaku Perdana Menteri paling korup harus ditahan oleh PDRM dan SPRM terlebih dahulu untuk disoal-siasat mengenai penyelewengan kes skandal Felda!!

Ini adalah kerana Felda terletak di bawah kelolaan Perdana Menteri paling korup ini!!

Apakah Tan Sri Isa Samad selaku Pengerusi Felda pada suatu masa dahulu berani dan mempunyai kuasa mutlak untuk buat keputusan-keputusan penting sehingga menyebabkan Felda berada di ambang kehancuran pada hari ini?!

Saya yakin tanpa arahan-arahan melalui tangan-tangan ghaib dari peringkat paling tinggi; Tan Sri Isa Samad tidak akan berani bertindak secara sewenang-wenangnya!!

Sebelum nak tahan Tan Sri Isa untuk siasatan; Perdana Menteri paling korup ini harus ditahan terlebih dahulu oleh pihak penguatkuasa undang-undang di negara kita!!

Pihak penguatkuasa undang-undang di Malaysia harus bersikap professional serta menjalankan tugas secara telus tanpa sebarang unsur pilih kasih demi untuk jaga kesejahteraan bangsa mahupun negara!!

Mereka mesti amanah serta jangan tunduk pada sebarang kuasa politik untuk bertindak!! Penjawat awam juga harus takut pada Allah SWT bukan takut pada manusia sesama manusia!!

Keseluruhan rakyat Malaysia juga tidak boleh sandarkan harapan pada Pengerusi Felda yang baru Tan Sri Shahrir Samad kerana beliau kini hanyalah kaki bodek minda lemah otak udang UMNO saja!!

Tan Sri Shahrir Samad sekarang bukan yang dahulu lagi!! Beliau sudah gadaikan segala prinsip serta maruah diri untuk mempertahankan Perdana Menteri paling korup!!

Dalam ertikata yang lain; Pengerusi Felda masakini hanyalah seorang boneka atau macai kepada Najib Tun Razak saja!!

Deklarasi Rakyat mendesak keseluruhan rakyat Malaysia yang bertanggung-jawab untuk buat laporan pada PDRM serta SPRM agar menyiasat Najib Tun Razak selaku Perdana Menteri paling korup dalam isu kes skandal Felda!!

Perdana Menteri paling korup ini mesti dipertanggung-jawabkan di atas segala kes skandal Felda!! Najib Tun Razak tidak boleh dikecualikan dari siasatan kes skandal Felda!!

Ikhlas dari;
KHAIRUDDIN ABU HASSAN
Koordinator
Deklarasi Rakyat
24 Disember 2017

ISA SAMAD "KAMBING-HITAM" PRU 14?


Berdasarkan respon beberapa pihak dalam UMNO berhubung isu tanah Felda di Jalan Semarak yang telah berpindah tangan kepada sebuah syarikat swasta, termasuk kenyataan Najib Razak sendiri yang mengarahkan siasatan serta-merta serta tindakan akan diambil hasil daripada siasatan itu, kedudukan bekas Pengerusi Felda, Isa Samad dilihat tidak lagi selamat.


Hampir dalam semua yang kenyataan yang dikeluarkan oleh pemimpin UMNO dan kerajaan, tidak terkecuali dalam sidang akhbar oleh Pengerusi Felda sekarang, Shahrir Samad dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Razali Ibrahim berkaitan isu tersebut, segala-galanya tampak menjurus kepada Isa sebagai subjek yang mahu dipersalahkan.


Hakikat bahawa Felda berada di bawah pengawasan dan dagu Najib serta wakil JPM dan Kementerian Kewangan turut berada dalam Lembaga Pengarah Felda di mana Najib adalah Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, seolah-olah cuba dikesampingkan buat sementara waktu.


Tindakan pihak polis menubuhkan pasukan petugas khas kemudiannya segera memberi gambaran seolah-olah isu tanah Felda ini adalah sama besarnya dengan skandal 1MDB. 


Jika Isa bersalah kerana memandai-mandai membuat keputusan yang merugikan Felda dan para peneroka itu, tiada siapa yang merasakan beliau tidak harus memikul beban kesalahan itu.


Apa yang dibimbangi ialah semua ini tidak lebih merupakan satu lagi episod drama yang sengaja dipentaskan untuk meraih undi dan sokongan menjelang pilihanraya umum akan datang.


Lebih-lebih lagi isu ini mula didedahkan oleh sebuah media arus perdana yang berada di bawah kawalan Najib sendiri dan seseorang yang dikatakan penasihat paling kanannya adalah mengawal kumpulan media tersebut.


Najib pula, dalam tiga tweetnya yang berturutan berkaitan isu tanah Felda itu, jelas memperlihatkan mahu tindakan segara diambil kepada pihak yang didapati bersalah.


Selain itu, dalam sidang akhbarnya baru-baru ini, Shahrir ada menyebut beliau sudah mengetahui mengenai kehilangan tanah Felda itu sebaik saja dilantik menjadi Pengerusi Felda pada awal tahun ini.


Jika begitu, mengapa laporan polis hanya dibuat pada 12 Disember yang lalu iaitu selepas berakhirnya Perhimpunan Agung UMNO 2017?


Kalau betul  sudah diketahui lebih awal tanah itu berpindah tangan dan ia benar-benar kesalahan serius, mengapa laporan polis tidak dibuat pada Februari atau Mac yang lalu?


Melihat bahawa tarikh pilihanraya makin hampir dan Najib terus terbelit serta terbelenggu dengan banyak isu yang menyesakkan nafasnya seperti 1MDB, derma RM2,600 juta, berkawan baik dengan Trump, penggadaian aset negara kepada China, sistem IMAMS dan banyak lagi, tidak mustahil isu tanah Felda ini adalah plot yang sengaja dirancang untuk menutup semua isu-isu tersebut.


Tambahan lagi,  percubaan Najib untuk melemahkan Tun Mahathir Mohamad melalui RCI forex juga sudah dilihat gagal mencapai sasaran seperti yang beliau harap-harapkan pada awalnya.


RCI forex bukan saja mudah difahami maksud tersiratnya oleh orangramai yang hanya bertujuan untuk mengaitkan pemimpin-pemimpin pembangkang dilihat bersubahat dalam kerugian urusniaga matawang lebih 30 tahun lalu, malah  seperti kata Tun Mahathir sendiri, hasil laporannya semata-mata berdasarkan sangkaan yang telah ditukar menjadi fakta.


Lebih daripada itu, dengan Tun Mahathir turut mengemukakan saman terhadap anggota RCI, Najib dan kerajaan serta menolak hasil laporannya, menjadikan ianya sebagai modal PRU 14 dilihat sudah terkekang dengan sendirinya.


Sebab itulah sehingga sekarang pihak polis difahamkan masih belum mengambil keterangan Tun Mahathir berhubung RCI forex itu, meskipun laporan polis dibuat hampir serentak dengan ia hasil laporannya diserahkan kepada Ahli-Ahli Parlimen.


Maka, apa lagi modal Najib untuk mendepani pilihanraya umum akan datang, mengelakkannya daripada hilang kuasa  dan seterusnya tidak menghuni penjara sebagai destinasi akhir kehidupannya seperti yang berulang-kali dijanjikan oleh Tun Mahathir jika Pakatan Harapan berjaya menumbangkan BN dan seterusnya mengambil alih kuasa dalam pilihanraya nanti?


Tidakkah isu tanah Felda ini, lebih-lebih lagi jika Isa ditangkap dan seterusnya didakwa di mahkamah dalam waktu terdekat ini, ia secara automatik akan menjadi lonjakan yang mampu menaikkan sokongan rakyat kepada Najib, UMNO dan BN dalam pilihanraya akan datang?


Annuar Musa sudah dilepaskan, Bung Mokhtar yang pernah disiasat berkaitan pembelian saham amanah menggunakan dana Felcra mungkin terus senyap begitu saja isunya, maka Isa adalah satu-satunya mangsa yang tinggal serta paling munasabah untuk "dikambing-hitamkan" sebelum pilihanraya ini.


Bersiap-sedialah wahai Isa untuk dijadikan mangsa oleh Najib, UMNO dan BN!!! (ShahbudinHusin 24/12/2017)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...