Thursday, 23 June 2016

UNTUK SESIAPA YANG MASIH TAK FAHAM HAKIKAT DI DEPAN MATA


Untuk itu, tindakan Tun Mahathir Mohamad bekerjasama dengan semua pihak yang mempunyai matlamat yang sama untuk menyelamatkan Malaysia mesti disokong sebelum segala-galanya "terbakar habis"  dan tidak boleh diselamatkan lagi.

Dulu Jabatan Peguam Negara, kini hanya setelah beberapa hari menang di Sungai Besar dan Kuala Kangsar, SPRM pula seperti mahu dijinakkan kuasanya.

Selepas ini apa lagi agaknya? 

Dan sampai bila semua ini mahu terus dibiarkan berlaku tanpa kita berkata apa-apa atau kekal berdiam diri saja? (SH 23/06/2016).

MASIHKAH SPRM DIYAKINI LAGI?


Spekulasi pengunduran Abu Kassim Mohamed sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang kedengaran sejak awal tahun ini akhirnya disahkan oleh Ketua Setiausaha Negara, Ali Hamsa dengan mengatakan ia adalah atas permohonannya sendiri dengan memberi sebulan notis.

Bermakna beliau akan mengundurkan diri bermula 1 Ogos depan.

Bagaimanapun kata Ali Hamsa, Abu Kassim akan terus menyumbang kepada negara sebagai Pegawai Perkhidmatan Pencegahan Rasuah sehingga bersara wajib pada 6 Disember 2020.

Soalnya, apa jawatan dan peranan Abu Kassim di SPRM selepas 1 Ogos 2016 hingga 6 Disember 2020 nanti?
Meskipun SPRM menafikan pengunduran Abu Kassim kerana menerima tekanan daripada mana-mana pihak, namun perkara itu terus menjadi bualan hangat, lebih-lebih lagi penggantinya dilaporkan ialah seorang pegawai kanan dari Jabatan Peguam Negara.

Sebelum ini, Gani Patail juga ditamatkan perkhidmatan secara tiba-tiba  sebagai Peguam Negara pada 27 Julai tahun lalu dan digantikan dengan Apandi Ali yang ketika itu salah seorang hakim di Mahkamah Persekutuan.

Gani bagaimanapun terus dikekalkan sebagai Pegawai Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan sehingga bersara wajib pada Oktober 2015 lalu.

Dalam hal ini, ramai yang tidak menolak kemungkinan Abu Kassim dan Gani Patail ditekan dengan cara yang berbeza.

Serentak dengan pengunduran Abu Kassim, Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Mohd Shukri Abdull turut dilaporkan akan bersara pada bulan depan, manakala tiga panel utama SPRM dibiarkan kosong ssjak beberapa bulan lalu.

Panel Penilaian Operasi dan Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah tidak diisi sejak 24 Februari lalu, sementara Jawatankuasa Khas Pencegahan Rasuah pula kosong sejak bulan lalu.

Maka, apa jadi dengan SPRM selepas ini?

Apakah rombakan SPRM ini ada kaitan dengan penyiasatannya terhadap 1MDB, derma RM2,600 juta dan dana SRC International sebelum ini yang ditolak untuk dibawa kepada pendakwaan oleh Jabatan Peguam Negara serta diarahkan ditamatkan penyiasatannya?

Apakah dua jawatan tertinggi agensi pencegahan rasuah yang kosong itu akan diisi oleh orang luar SPRM belaka?  

Jika pengganti Abu Kassim dikatakan didatangkan dari Jabatan Peguam Negara, pengganti Mohd Shukri akan dibawa daripada mana pula?

Masih adakah keyakinan masyarakat terhadap SPRM atau mungkinkah nantinya tanggapan umum terhadapnya tidak ubah seperti Jabatan Peguam Negara sekarang ini? (SH 23/06/2016).

Wednesday, 22 June 2016

BEBAN 1MDB & JHO LOW, PENGUNDI PRU 14 PASTI PEDULI


Meskipun pilihanraya kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar sudah dimenangi BN yang menurut penyokong, pengampu dan penerima dedak daripada Najib Razak sebagai membuktikan pembohongan dan fitnah 1MDB tidak diterima pengundi, isu berkaitan syarikat pelaburan itu sebenarnya belum lagi berakhir.

Selari dengan maklumat yang diperolehi Bank Negara, agensi berita antarabangsa, Reuters yang melihat dokomen berkaitan telah menerbitkan pengakuan seorang pegawai yang berpengetahuan dalam penyiasatan kawal selia mengesahkan bahawa Good Star Ltd yang telah menerima wang sebanyak RM1.03 bilion daripada 1MDB adalah milik Jho Low.

Syarikat itu adalah milik eksklusif Jho Low, ditubuhkan pada 18 Mei 2009 iaitu empat bulan sebelum ia menerima pembayaran awal daripada 1MDB dan dibubarkan pada 2 Mei 2014.

Kenapa setelah dapat wang, syarikat itu ditutup? Ke mana wang telah dipindahkan?
Dengan pengesahan ini bermakna  ia bercanggah seratus-peratus dengan pendirian kerajaan selama ini bahawa Good Star Ltd adalah milik rakan kongsi PetroSaudi, begitu juga dengan kenyataan Pengerusi PAC, Hasan Arifin yang mendakwa kaitan Jho Low dengan Good Star itu adalah tidak tepat.

Kini bukan saja sudah disahkan Good Star adalah milik Jho Low, bahkan kita tentunya harus bertanya mengapa dan sebab apa bayaran selumayan itu perlu dibayar kepada playboy yang gemar berhibur dengan artis Hollywood itu?

Bersama pengesahan mengenai Jho Low itu, sekurang-kurangnya tujuh negara juga masih lagi menjalankan siasatan terhadap  1MDB berkaitan penipuan dan penggubahan wang haram.

Dalam tempoh setahun dua akan datang, pasti banyak lagi berita-berita sensasi mengenai 1MDB yang dihidangkan kepada kita. Di akhir cerita, pasti nama Najib yang menubuhkan 1MDB sukar dielakkan daripada terpalit sama.

Mungkin pengundi Sungai Besar dan Kuala Kangsar tidak berapa peduli mengenai 1MDB, Jho Low, wang ribu-ribu juta dalam akaun peribadi Najib, pembelian hartanah oleh anak tiri Perdana Menteri di luar negara dan macam-macam lagi kaitannya dengan syarikat yang berhutang lebih RM50,000 juta itu, tetapi tentunya ramai pengundi PRU 14  nanti yang celik mata mengenainya.

Ini kerana, berbanding pilihanraya kecil yang hanya untuk memilih wakil rakyat atau Ahli Parlimen,  pilihanraya umum adalah memilih kerajaan dan menentukan masa depan. (SH 22/06/2016).
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...