Monday, 2 October 2017

TOLONG JANGAN KETAWA...

Meskipun sah tiada pengumuman rasmi dibuat dan tuan punya badan - bekas Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Zakaria Jaafar dan bekas Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan,  Abdul Rahim Che Daud - turut menafikan mereka menyertai Pas, portal rasmi parti tersebut tetap melaporkan sebaliknya.

Menurut laporan portal itu, himpunan Fastaqim 2.0 kali ini mencatat sejarah apabila dua bekas pegawai tinggi kerajaan berkenaan  mengambil keputusan menyertai Pas.

Sebelum ini, Ketua Penerangan Pas, Nasruddin Hassan ada mengumumkan akan berlaku kejutan iaitu penyertaan dua atau tiga tokoh nasional ke dalam Pas di malam kemuncak Fastaqim 2.0di Terengganu.

Bagaimanapun apabila akhirnya tiada sebarang kejutan, kecuali ramai yang hadir jadi terkejut dengan bunyi petir yang kuat, malah kedua-dua bekas pegawai kerajaan terbabit tidak menyertai Pas, sebaliknya hanya hadir di himpunan Fastaqim 2.0 sebagai tanda sedia bekerjasama dengan semua pihak dalam membanteras rasuah, nada kata Nasruddin lain pula bunyinya.

Kata beliau, ada pelbagai cara untuk seseorang itu bersama-sama dengan perjuangan Pas.

Bersama Pas tidak semestinya menjadi ahli.  Boleh saja bersama dengan maksud mendukung cita-cita perjuangan parti dan ada yang memilih untuk menjadi ahli Pas, sebagai rakan kongsi atau penyokong, ujar beliau lagi.

Pulak dah...nak ketawa pun ada dengan dalihnya kali ini.

Habis yang sebelum ini diumumkan bahawa bakal ada kejutan dengan dua tiga tokoh nasional akan menyertai Pas apa dia?
Apa kejutannya dan siapa yang terkejut? 

Adakah Pas sendirinya akhirnya terkejut sama?

Jika begitu hujah Nasruddin, bermakna tidaklah semestinya Pas perlu menjalin kerjasama secara rasmi dengan UMNO atau menjadi komponen BN baru boleh dikatakan ia mahu mempertahankan dan mengekalkan Najib Razak.

Ada pelbagai cara juga boleh dilakukan untuk menolong Najib agar terus berkuasa, dengan salah satunya ialah melalui pembentukan Gagasan Sejahtera dan menyalahkan kaum Cina dan banyak perkara, satu tindakan yang dilihat senada dengan UMNO.

Bagi Pas tak menang tak apa, kalah di dunia akan ada nantinya menang di syurga.

Yang penting asal Najib terus berkuasa, dengannya pun boleh mendapat syurga dunia juga. (ShahbudinHusin 02/10/2017)

Sunday, 1 October 2017

HIMPUNAN FASTAQIM 2.0 HANYA MEMPERLIHATKAN PAS LEBIH BESAR BERBANDING AMANAH, TIDAK UNTUK MENANG PILIHANRAYA


Apakah kejayaan sebenar Pas di sebalik penganjuran Himpunan Fastaqim 2.0 di Terengganu yang berakhir malam semalam?

Itu adalah persoalan yang tentunya menjadi tanda tanya kebanyakan orang sebaik saja berakhirnya himpunan yang didakwa Pas dihadiri 200 ribu penyokong itu.

Apakah himpunan itu suatu isyarat bahawa Pas mampu menduduki Putrajaya, dapat merampas kembali Terengganu atau  mudah mengekalkan kuasanya Kelantan?

Yang mana satu mampu dicapai atau ketiga-tiga sasaran itu dapat digapai oleh Pas?

Secara jujur, satu-satunya kejayaan perhimpunan itu bagi Pas ialah ia akhirnya dapat membuktikan secara luaran partinya lebih besar berbanding Amanah. Itu saja, tiada kejayaan lain sebenarnya.

Tetapi perkara itu bukanlah sesuatu yang menghairankan kerana pernah disebut oleh Setiausaha Agung Pas, Takiyuddin Hassan sebelum ini bahawa keahlian Pas telah merosot sebanyak 20 peratus berikutan krisis kepimpinan sehinggalah kepada tertubuhnya Amanah.

Bermakna, jika keahlian Pas ada sejuta, sejak tertubuhnya Amanah, ia kini hanya tinggal 800 ribu saja lagi. Ia masih lagi boleh dikata sebagai parti yang besar, tetapi kehilangan 20 peratus juga merupakan jumlah yang besar.

Bagaimanapun, dalam waktu yang sama Pas mungkin kehilangan lebih banyak penyokong atas pagar dan tidak berparti, lebih-lebih kerana kecondongannya kepada UMNO dan BN sejak kebelakangan ini.

Mereka yang selama ini mengundi Pas kerana inginkan pahala dan percaya perjuangan Islam Pas ialah untuk menentang kemungkaran, pasti berubah hati kerana keadaan parti itu kini umpama "pak haji kampung yang tiba-tiba sering minum-minum kopi dengan seseorang yang diketahui dan disebut ramai di kampung yang sama sebagai pencuri atau maling yang dikenali."

Pencuri atau maling tentu saja dipandang sedikit mulia apabila dapat berdampingan dengan pak haji, tetapi pak haji yang kerap berdampingan dengan pencuri atau maling, malah tidak kisah dengan kecurian yang banyak dirungutkan oleh orang kampung, dengan sendirinya telah tercemar imejnya dan jika menjadi imam, barangkali ramai yang akan beralih ke masjid atau surau lain untuk bersembahyang.

Hanya yang kekal menjadi makmum kepada pak haji berkenaan ialah anak-beranak dan saudara-mara dekatnya saja, itu pun barangkali kerana mereka sekali dua turut dibelanja minum oleh orang yang diketahui sebagai pencuri atau maling yang dikenali tadi.

Di sebalik itu, meskipun Pas tetap kelihatan lebih besar berbanding Amanah, ia sebenarnya menjadi lebih kecil dari segi gabungan. Ini kerana Pas melalui Gagasan Sejahtera hanya  berkawan dengan Ikatan, Berjasa dan Parti Cinta Malaysia.

Ketiga-tiga parti yang menjadi rakan baru Pas itu bukan saja jauh dan tersangat kecil, malah jumlah keahlian sebenarnya pun tidak ketahuan berapa ramainya.

Berbeza dengan Amanah, meskipun ia hanya mewakili 20 peratus daripada Pas yang sebelumnya, tetapi rakan-rakannya dalam Pakatan Harapan iaitu PKR, DAP dan Bersatu adalah parti yang besar, berpengaruh dan mempunyai aura yang sukar dinafikan.

Sokongan daripada mereka yang tidak berparti juga mungkin lebih besar, terutama daripada mereka yang selama ini mengundi Pas tetapi sudah hilang kepercayaan terhadap parti itu.

Di sini saja Pas sudah nampak kerugian dan ketinggalan. Lebih dari itu, jika sebelum ini Pas berbangga kononnya jentera merekalah yang paling kuat dan paling besar ketika bersama Pakatan Rakyat, namun melalui Gagasan Sejahtera tidak mustahil 100 peratus jentera dalam PRU 14 akan datang adalah terdiri daripada orang-orang Pas belaka.

Akhirnya, selain undi dan sokongan yang dapat disumbangkan oleh Ikatan, Berjasa dan Parti Cinta Malaysia barangkali hanya boleh dibilang dengan jari, sumbangan dari segi tenaga kerja dan jentera pilihanraya pun hampir pasti tidak sampai satu peratus.

Setidak-tidaknya, kiranya Pas selama ini mendabik dada jentera mereka selalu dipergunakan oleh parti lain ketika pilihanraya, tetapi kerana sokongan pengundi PKR dan DAPlah yang menyebabkan mereka parti itu mampu menang banyak kerusi di Selangor, Perak, Johor dan kawasan campuran yang lain.

Apakah pula jaminan Ikatan, Berjasa dan Parti Cinta Malaysia kepada kejayaan Pas?

Sekali lagi, secara jujurnya juga, jangankan untuk menawan Putrajaya atau merampas kembali Terengganu atau menambah jumlah kerusi, untuk mempertahankan kuasanya di Kelantan pun tiga rakan baru Pas itu tidak mampu menyumbang apa-apa.

Ikatan, Berjasa dan Parti Cinta Malaysia tidak lebih macam orang kampung di tengah-tengah kondo mewah - mereka hanya mampu tengok saja. (ShahbudinHusin 01/10/2017).

UMNO DAN PAS, HANYA STIM SENDIRI!!

Dua minggu lalu, UMNO gah dengan pengumuman satu sidang media khas yang dihadiri Najib Razak dan semua pimpinan tertinggi parti.

Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi yang sedang melawat Perlis diminta memendekkan lawatan dan semua Menteri Besar dan Ketua Menteri turut dikerah hadir.

Alih-alih yang diumumkan hanyalah kemasukan Mat Taib ke dalam UMNO. 

Betul-betul potong stim punya cerita!!

Cerita Pas lebih kurang sama juga. Empat hari sebelum Himpunan Fastaqim 2.0 di Terengganu, Pas mengumumkan akan berlaku kejutan di mana dua atau tiga tokoh nasional didakwa akan menyertai parti tersebut.

Memetik laporan Harakahdaily, Ketua Penerangan Pas, Nasarudin Hassan dengan wajah tertawa berkata, di malam kemuncak Fasraqim 2.0 pada 30 September ada satu pengisytiharan dua atau tiga tokoh nasional yang sebelum ini berada di luar Pas akan menyertai parti itu.
Akhirnya apa yang terjadi? 

Tiada sesiapa pun diumumkan masuk Pas sehinggalah berakhirnya malam kemuncak himpunan Fastaqim 2.0, walaupun seorang lagi bekas Menteri Besar Selangor, Khalid Ibrahim turut hadir.

Khalid sebaliknya berkata, beliau tidak berhasrat menyertai mana-mana parti. Dua bekas pegawai tinggi kerajaan yang hadir juga memberitahu tiada hasrat mahu menyertai Pas.

Juga potong stim punya cerita!!

UMNO dan Pas, macam adik-beradik pula jalan ceritanya. Mungkin itulah kejutannya. Sudahnya mereka hanya stim sendiri-sendiri saja. (ShahbudinHusin 01/10/2017).
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...