Saturday, 3 May 2014

Demo Pro GST Amat Dialu-Alukan


Setelah mengeluarkan kenyataan mendoakan Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim agar segera dipenjarakan dan akan mengadakan kenduri kesyukuran mengenainya, NGO Perkasa hari ini mencadangkan agar Cuepacs dan Dewan Perniagaan mengetuai demonstrasi besar-besaran bagi menyokong perlaksanaan cukai GST yang mahu dilaksanakan kerajaan pada April 2015 nanti.

Menurut beliau, demonstrasi besar-besaran itu perlu diadakan ssbagai tindak balas kepada perhimpunan membantah GST pada 1 Mei lalu yang dihadiri kira-kira 50 orang yang telah banyak mengelirukan rakyat dan menjadi modal politik bagi memburuk-burukkan kerajaan.

Atas semangat demokrasi dan bersesuaian dengan sikap kerajaan sendiri membenarkan perhimpunan aman melalui penggubalan Akta Perhimpunan Aman, cadangan Perkasa ini seharusnya dialu-alukan bagi menunjukkan keterbukaan dan siapakah yang lebih mendapat sambutan - adakah perhimpunan membantah GST atau yang menyokong sistem cukai baru itu?

Beberapa tahun lalu, ketika diadakan Demonstrasi Bersih 2.0, Pemuda UMNO yang diketuai oleh Khairy Jamaluddin pernah mengadakan perhimpunan Patriot serentak dengan tarikh dan masa Himpunan Bersih 2.0 diadakan tetapi ditempat yang berbeza sebagai tindak balas dan bukti untuk menunjukkan kepada rakyat perhimpunan manakah yang lebih mendapat sambutan.

Tanpa niat untuk memperkecilkan mana-mana pihak, jika rajin meminta bantuan daripada Makcik Google, lihatlah sendiri berapakah kehadiran demonstrasi Bersih 2.0 dan berapakah pula yang hadir dalam demo Patriot di sekitar Jalan Bukit Bintang itu?

Walaupun sebelum ini mendakwa Perkasa mempunyai keahlian seramai 500 orang, tetapi agak menghairankan juga mengapakah Ibrahim Ali tidak pula mencadangkan agar NGO pimpinannya mengetuai demonstrasi itu, sebaliknya hanya berkata akan memberi sokongan penuh saja kepadanya. Bukankah lebih molek jika Perkasa yang mengetuai demonstrasi itu, bukannya Cuepacs dan Dewan Perniagaan yang diarahkan berbuat demikian?

Apakah Perkasa mengelak untuk mengetuai demonstrasi pro GST dan meminta Cuepacs serta Dewan Perniagaan mengetuainya, bertujuan mengelak nasib yang sama pernah dialami oleh Pemuda UMNO dahulu?

Tetapi jika demonstrasi itu mahu diadakan, elok juga diajak sekali UMNO, parti-parti komponen serta NGO pro kerajaan bergabung sekali. Dengan Cuepacs yang mewakili kakitangan kerajaan, Dewan Perniagaan, UMNO, parti-parti komponen BN, NGO pro kerajaan dan Perkasa bergabung serta bersatu hati, barulah boleh dilihat kumpulan manakah yang lebih mendapat sambutan.

Jika tidak cukup lagi, bolehlah juga diangkut pelajar-pelajar IPT untuk meramaikannya lagi.

Rakyat tentunya teruja untuk melihat suatu demonstrasi paling besar dalam sejarah negara bakal diadakan. Sekiranya demonstrasi itu berjaya diadakan dengan kehadiran melebihi jumlah yang hadir pada 1 Mei lalu, barulah kerajaan boleh berbangga bahawa dasar yang mahu dilaksanakannya benar-benar mendapat sokongan rakyat.

Ini juga bertepatan dengan kenyataan Timbalan Menteri Kewangan, Ahmad Maslan bahawa GST tetap akan dilaksanakan walaupun ada bantahan daripada rakyat. Antara lainnya beliau berkata, demonstrasi itu tidak menggambarkan bantahan yang sebenar daripada rakyat.

Sudah tentulah hanya dengan mengadakan demonstrasi pro GST, barulah kerajaan tahu sama ada rakyat benar-benar menyokong perlaksanaan sistem cukai itu atau sebaliknya?

Atau lebih ramai lagi rakyat bersikap seperti "api dalam sekam" dan hanya menunggu tarikh PRU 14 untuk menghukum UMNO, BN dan kerajaan?

Kalau dapat menghimpunkan lebih ramai kejadiran, laksanakanlah GST tetapi jika yang hadir kurang daripada kehadiran pada 1 Mei, maka sewajarnyalah ianya dibatalkan atau setidak-tidaknya ditangguhkan sebagaimana pendapat kebanyakan pakar ekonomi iaitu sehingga pendapatan rakyat dipertingkatkan terlebih dahulu.

Meskipun dalam banyak kenyataan yang dikeluarkan oleh Ibrahim Ali dan Perkasa, lebih ramai rakyat yang tidak bersetuju dengannya tetapi cadangannya agar demo pro GST ini diadakan sebagai tindak balas kepada demonstrasi membantahnya pada 1 Mei lalu, tentulah kali ini ianya lebih menerima sambutan baik.

Tanpa menaruh syak wasangka bahawa cadangan ini bertujuan meredakan luahan kemarahan banyak pihak terhadap kenyataannya semalam yang mendoakan agar Anwar segera dipenjara dan mengadakan kenduri kesyukuran yang dianggap tidak wajar dan keterlaluan sebagai sesama Islam, rakyat sebenarnya amat mengalu-alukan demo pro GST ini.

Ramai yang tidak sabar untuk melihat sejauh mana massa dapat digerakkan untuk menyokong kerajaan setelah sekian banyak demonstrasi anti kerajaan lebih mendapat sambutan. Setelah dimomokkan dengan hanya mendapat sokongan 47 peratus rakyat, sesekali kerajaan haruslah berani menunjukkan kekuatannya secara terbuka. (SH 03/05/2014)

Friday, 2 May 2014

Mana Lebih Baik Untuk Malaysia, Ketiadaan Anwar Atau Ibrahim Ali?


Dalam usaha membodek dan mahu menunjukkan dirinya penting kepada perjuangan UMNO serta Najib Razak, Presiden Perkasa, Ibrahim Ali meneruskan lagi serangannya terhadap Anwar Ibrahim. Mungkin barangkali kerana ampu dan bodek yang banyak dilakukannya sebelum ini masih belum mendapat perhatian yang sewajarnya daripada Najib Razak serta Rosmah Mansor, maka kali ini bodekannya boleh dianggap paling "gila" dan mungkin hanya dua tiga orang saja dalam dunia ini yang sanggup melakukannya.

Apa tidaknya, kali ini beliau mendoakan agar Anwar, rakan lamanya yang sama-sama pernah merengkok di penjara Kamunting selama dua tahun, segera dimasukkan ke dalam penjara berkaitan kesalahan liwat yang dijatuhkan oleh Mahkamah Rayuan dan hanya menunggu rayuan terakhir di Mahkamah Persekutuan.

Tambah Ibrahim lagi, dengan Anwar merengkok di penjara ia adalah baik untuk negara ini kerana selama ini bekas Timbalan Perdana Menteri itu banyak menyusahkan pihak keselamatan negara.

"Saya bersyukur dan gembira jika Anwar dipenjarakan, lagi cepat di masuk lagi baik. Ia baik untuk rakyat dan negara, juga baik untuk pihak keselamatan yang pening dengan karenah Anwar selama ini," katanya.

Selain itu, Ibrahim juga berkata, beliau turut akan mengadakan kenduri kesyukuran jika Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara keatas Anwar iaitu lima tahun yang dijatuhkan oleh Mahkamah Rayuan baru-baru ini.

Dengan mendoakan Anwar segera ke penjara serta akan mengadakan kenduri kesyukuran mengenainya, tidak syak lagi tahap bodek dan ampunya kali ini boleh dianggap paling "gila" kerana orang yang didoakannya itu pernah menjadi kawan baiknya sebelum ini. Lebih-lebih lagi, Anwar pula bukanlah bermusuh secara langsung dengan beliau.

Musuh Anwar yang sebenar ialah Najib Razak dan Mahathir Mohamad. Jika Mahathir pernah memenjarakan Anwar adalah mungkin kerana faktor perebutan kuasa, Najib juga jika melakukannya adalah kerana hal yang sama. Ia tentulah boleh difahami tetapi apa hal pula Ibrahim sampai tergamak mendoakan Anwar segera ke penjara serta akan mengadakan kenduri kesyukuran pula kalau bukan untuk membodek dan mengampu Najib?

Apa untungnya kepada beliau jika Anwar dipenjarakan? Adakah beliau pasti jika Anwar ke penjara, doanya itu akan dihargai oleh Najib?

Benarkah jika Anwar ke penjara dan Malaysia tanpa Anwar Ibrahim, keadaan negara menjadi lebih baik? Atau mungkinkah tanpa pembangkang yang kuat yang diasaskan oleh Anwar selama ini, Najib dan barisan kepimpinan negara lebih bermaharajalela lagi merompak dan melanun kekayaan negara ini?

Dalam konteks yang lain pula, yang mana satu lebih baik untuk negara ini, tanpa Anwar atau tanpa Ibrahim Ali?

Apabila Ibrahim bersuara lagi untuk kali entah ke berapa menyerang Anwar sejak Najib menjadi Perdana Menteri, terutama mendoakan Anwar segera ke penjara, sebenarnya begitu banyak tanda soal bermain-main di kepala rakyat Malaysia, terutama yang mengenali bekas Ahli Parlimen Pasir Mas itu.

Apa lagi yang dimahukannya daripada Najib dan apa lagi yang masih tidak cukup dalan hidupnya ketika usia emas sekarang ini?

Kepada yang tidak mengenali dan sekadar mengikuti pelbagai kenyataannya di media sebelum ini, ramai juga yang geleng kepala dengan perlakuannya itu serta tidak menganggapnya tidak wajar dilakukan oleh seseorang dalam berpolitik.

Sejak 1998, Anwar telah mengasaskan kebangkitan dan kesedaran kepada rakyat mengenai politik dan peri pentingnya sama-sama menyayangi negara ini. Melalui parti yang ditubuhkannya iaitu PKR serta berjaya menubuhkan gabungan yanf kuat bersama Pas dan DAP, keduduhan pembangkang menjadi paling kuat dalam sejarah negara.

Melalui kewujudan pembangkang yang kuat, amalan "check anda balance" terhadap kerajaan menjadi lebih berkesan. Banyak salah laku, penyelewengan, amalan rasuah dan seumpamanya telah didedahkan kepada umum dan ini secara tidak langsung menyumbang kepada keadaan yang lebih baik dari segi pengurusan dan perbelanjaan wang negara.

Beberapa negeri seperti Selangor, Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Terengganu pula telah mengalami pertukaran kerajaan negeri sejak Anwar mengasaskan reformasi rakyat dan ini juga memberi pengalaman kepada rakyat untuk menilai kerajaan manakah yang lebih baik dan akhirnya mana-mana kerajaan yang dipilih akan berusaha sebaik mungkin untuk mengutamakan kepentingan rakyat.

Sama ada karenah politik Anwar memening atau menyusahkan kerajaan, ia sebenarnya adalah ujian kepada ketegasan serta kebijaksanaan pemimpin yang sedang memegang kuasa. Bukankah negara kita cukup dengan segala undang-undang, akta dan peraturannya?

Jika beliau didapati bersalah dan melanggar mana-mana undang-undang, peraturan atau akta, gunakanlah peruntukan yang sudah tersedia itu. Tetapi jika pemimpin yang berkuasa takut untuk menggunakan kuasa terhadap Anwar, tidaklah wajar Ketua Pembangkang itu dipersalahkan dan dianggap banyak menyusahkan kerajaan. Ia adalah kelemahan pemimpin yang diberikan kuasa itu dan pemimpin seperti ini sudah sewajarnya ditumbangkan.

Ibrahim Ali pula, sejak mengenal perjuangan politik yang bermula melalui gerakan pelajar, telah terlibat dalam banyak wadah perjuangan. Bermula dengan Berjasa, kemudian menyertai UMNO, keluar UMNO masuk Semangat 46, kemudian masuk UMNO semula, meminjam tiket Pas pada pilihanraya 2008 dan kemudian mengisytiharkan diri sebagai wakil Bebas tapi mesra BN.

Sejak menjadi Ahli Parlimen Bebas, beliau menubuhkan NGO Perkasa yang meletakkan agenda perjuangan Melayu sebagai landasannya bersuara. Namun dalam banyak hal, perjuangan Perkasa lebih banyak membela Perdana Menteri serta mempertahankan kekuasaan UMNO. Dalam pilihanraya 2013 lalu, beliau bertanding sebagai calon Bebas di Pasir Mas tetapi disokong oleh UMNO dan BN tetapi tewas.

Selain menjadi pemimpin yang paling banyak melompat dan mudah tidak puas dengan satu-satu wadah perjuangan, Ibrahim Ali juga kerap mengeluarkan kenyataan sensasi untuk menonjolkan dirinya. Daripada mahu mencium punggung Mahathir, membakar kitab Injil berbahasa Melayu, mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman, melakukan pelbagai serangan keterlaluan kepada Anwar dan lain-lain pemimpin pembangkang dan macam-macam lagi, beliau juga bolehlah dianggap pemimpin yang paling banyak bersuara dan mengeluarkan kenyataan.

Hampir setiap hari ada ada kenyataan, komen atau reaksinya yang boleh dibaca oleh rakyat negara ini.

Akhbar Utusan misalnya, umpama hilang seri jika diterbitkan tanpa ada berita mengenai Ibrahim Ali atau Perkasa.

Tetapi melalui banyak kenyataan yang dikeluarkannya atau parti yang disertainya, apakah jasa dan sumbangan Ibrahim Ali kepada negara ini? Bolehkah ada sesiapa yang boleh menyebut satu sumbangan besar Ibrahim Ali kepada negara? Antara Anwar dan Ibrahim Ali pula, siapakah yang paling berguna dan siapakah pula yang jika ketiadaannya lebik baik untuk negara ini?

Barangkali elok juga jika Merdeka Center atau Umcedel dapat membuat kaji selidik mengenainya dan mudah-mudahnya hasil dapatannya nanti akan membuatkan ada yang segera sedar diri. (SH 02/05/2014)

Thursday, 1 May 2014

Khalid Tidak Mahu Menang Timbalan Presiden PKR


Apabila Khalid Ibrahim secara tiba-tiba mengumumkan beliau tidak mahu lagi dipilih sebagai Menteri Besar Selangor bagi penggal ketiga dan hanya akan menghabiskan penggalnya sehingga pilihanraya umum akan datang, ramai yang memuji tindakannya itu.

Beliau disifatkan sebagai pemimpin yang tidak tamak dengan jawatan walaupun sepanjang berkhidmat sebagai Menteri Besar Selangor sejak 2008, pelbagai pencapaian cemerlang seperti berjimat-cermat dan meningkatkan tabungan kewangan negeri tetapi melaksanakan banyak program kebajikan untuk rakyat adalah sesuatu yang amat membanggakan dan sukar dilakukan oleh pemimpin sebelumnya.

Tetapi apabila beliau membuat pengumuman tidak mahu meneruskan lagi khidmatnya sedangkan pertandingan bagi merebut jawatan Timbalan Presiden PKR sedang berjalan, tentulah ia merupakan signal "mengibarkan bendera putih" yang jelas dan tidak disangsikan lagi.

Berdasarkan keputusan pertandingan bagi jawatan Timbalan Presiden PKR sehingga 27 April lalu yang menyaksikan Azmin mendahului jauh di depan dengan Saifuddin Nasution di tempat kedua dan Khalid di tempat ketiga, pengumuman tidak mahu menyambung khidmat sebagai Menteri Besar Selangor bukanlah suatu khabar gembira bagi kem beliau sebenarnya.

Dengan pengumuman itu, tentulah sukar bagi ahli yang belum mengundi untuk memberikan undi mereka kepada Khalid. Beliau akan dilihat sebagai calon yang sudah tiada masa depan lagi.

Lebih-lebih lagi Khalid juga memberi bayangan agar pemimpin yang lebih muda diberi peluang sama ada dalam politik mahu pun negara.

Keadaan ini juga meletakkan Azmin Ali semakin berpeluang cerah mempertahankan jawatan Timbalan Presiden yang disandangnya sekarang. Berbanding Saifuddin, Azmin lebih dilihat mempunyai hubungan akrab dengan Anwar yang masih merupakan simbol dalam perjuangan PKR sejak parti itu ditubuhkan.

Dalam masa yang sama, dengan pengumuman Khalid mahu mengundurkan diri itu, tidak syak juga peluang Azmin menjadi semakin cerah untuk mengambil alih tempatnya itu sekiranya Pakatan Rakyat terus menguasai Selangor nanti.

Satu-satunya halangan yang mungkin merencatkan peluang Azmin menjadi Menteri Besar Selangor hanyalah sekiranya dalam pilihanraya umum ke 14 nanti jumlah kerusi yang dimenangi oleh Pas jauh lebih banyak daripada PKR. Namun sekiranya Pas hanya mempunyai kelebihan satu atau dua kerusi saja, Azmin masih lagi berpeluang menduduki kerusi itu melalui sokongan yang diberikan oleh DAP.

Kecuali Pas benar-benar mempunyai calon-calon yang benar berwibawa dan berkebolehan, barulah peluang mereka untuk mengambil alih kerusi Menteri Besar itu menjadi cerah dan boleh menjelmakan sokongan daripada DAP sepertimana dalam kes di Perak dahulu. Jika tidak, DAP jauh lebih selesa memberikan sokongan kepada PKR untuk terus menduduki kerusi Menteri Besar itu.

Secara umumnya pengumuman Khalid tidak mahu menyambung khidmatnya lagi dan hanya mahu dikenang sebagai seorang yang berkhidmat kepada rakyat benar-benar merupakan khabar gembira bagi kem Azmin. Khalid seolah-olah sudah mengaku kalah dan tidak lagi dilihat sebagai pemimpin yang masih punya potensi dalam perjuangan seterusnya.

Dalam hal ini Khalid mungkin ingin bersikap jujur terhadap diri, para penyokong dan pengundi yang mahu memilihnya tetapi kadang-kadang terlalu jujur juga tidak semestinya membuahkan hasil yang baik.

Begitu banyak pejuang-pejuang politik yang dapat naik lebih kerana kelicikan, tipu muslihat dan tidak berlaku jujur. Dalam hal ini benarlah kata sesetengah orang yang mengenali Khalid, beliau hanyalah pentadbir yang baik tetapi bukan ahli politik yang baik. (SH 01/05/2014)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...