Wednesday 3 October 2012

Mesej Ali Rustam Kepada Najib: Saya Lebih Popular, Kekalkan Jawatan Saya...


Isu perkahwinan anak lelaki Ketua Menteri Melaka, Ali Rustam yang dihadiri oleh 130 ribu orang tetamu dan dicatatkan dalam Malaysia Book of Records(MBOR) sebagai majlis perkahwinan terbesar dan dihadiri oleh paling ramai tetamu, kini menjadi bualan di mana-mana dan oleh sesiapa saja.

Sebelum ini pelbagai pihak mendesak Ali Rustam menjelaskan kos dan perbelanjaan majlis itu. Ini berikutan andaian jika kos jamuannya sebanyak RM10 pun seorang untuk 130 ribu tetamu, ia sudah mencecah RM1.3 juta. Itu belum lagi termasuk kos-kos lain seperti dewan, hiasan, pelamin, bunga telur dan sebagainya.

Jika kos jamuan tetamu meningkat kepada RM20 atau RM30 seorang, kosnya tentulah berlipat kali ganda lagi. Dalam pada itu, dilaporkan juga bahawa selepas ini beliau juga akan mengadakan satu lagi majlis di hotel lima bintang di Kuala Lumpur untuk tetamu VIP yang tentunya menelan belanja ratusan ribu ringgit lagi.

Semua orang memperkatakannya. Dari mana beliau mendapat duit sebanyak itu. Daripada soal perbelanjaan, tajaan dan kemewahan majlis itu, semuanya dipertikaikan. Meskipun Ali dilaporkan berkata, kos majlis itu hanya sekitar RM600 ribu sahaja di mana beliau mengupah 30 orang chef untuk menyediakan hidangan nasi beriani campur sementara ada pegawai di pejabat Ketua Menteri pula mengatakan, majlis itu melibatkan tajaan dan sumbangan sukarewan percuma pelbagai pihak, apa yang bermain di fikiran ramai orang ialah "gila" apakah yang sudah menyampuk Ketua Menteri itu sehingga menjemput sebegitu ramai tetamu dan membenarkan pula urusetia MBOR hadir serta menyampaikan sijil pengiktirafan berkenaan majlis perkahwinan anak lelakinya itu.

Sebagai Ketua Menteri yang memegang "kunci harta karun" kerajaan Melaka, sebenarnya tidaklah memeranjatkan sangat tentang kos jamuan sebesar itu. Beliau tentulah tahu bersilat untuk mendapatkan perbelanjaan mengadakan majlis seperti itu.

Jika majlis itu melibatkan tajaan pula, ia juga bukanlah memeranjatkan. Tentulah berebut ahli perniagaan dan golongan kapitalis yang ingin bersikap murah hati terhadap beliau dengan menghulurkan tajaan dan sumbangan. Ia boleh jadi disumbangkan oleh ahli perniagaan yang sudah mendapatkan pertolongan beliau ataupun daripada ahli perniagaan yant mahu menabur budi dengan harapan mendapat balasan di kemudian hari.

Apa yang mungkin memeranjatkan ialah bagaimana Ali Rustam sebagai ahli politik berpengalaman tergamak mengadakan majlis semeriah itu dalam suasana politik seperti sekarang ini. Kedudukan BN masih lagi tidak menentu, entahkan menang, entahkan kalah. Najib juga tidak diketahui sama ada kekal lagi sebagai PM atau tidak selepas pilihanraya nanti.

Mengadakan majlis semeriah 130 ribu tetamu dan meminta pula pihak pihak MBOR mengiktiraf majlis itu sebagai yang terbesar dan dihadiri paling ramai tetamu, tentulah menambahkan lagi hodohnya wajah UMNO di mata umum. Ali Rustam seperti melonggokkan lagi calitan hitam ke wajah Najib dan UMNO itu sendiri.

Meskipun keupayaan Ali mengadakan majlis itu boleh difahami kerana kedudukannya sebagai pemegang kunci harta karun kerajaan Melaka tetapi ia tetap dilihat menjengkelkan di mata rakyat. Rakyat akan melihat Ali sebagai pemimpin yang suka bermewah dan menunjuk-nunjuk. Dakwaan terhadap amalan rasuah dan membolot kekayaan juga tentunya sukar dielakkan.

Di zaman BN tidak stabil ini, tentulah lebih elok jika seorang pemimpin itu bersikap sederhana serta berpada-pada dalam kehidupan sehariannya. Sikap berlagak dan menunjuk-nunjuk hanya menambah kebencian dan mengurangkan undi.

Tetapi jika dihalusi gelora politik Melaka, majlis meriah Ali Rustam itu sebenarnya mungkin untuk menyampaikan sesuatu mesej kepada Najib. Ali Rustam sudah tiga penggal menjadi Ketua Menteri dan khabar angin sedang bertiup kencang bahawa kedudukannya bakal diganti dengan tokoh lain.

Antara nama yang bakal disebut menggantikan Ali sebagai Ketua Menteri Melaka ialah Idris Harun, Ahli MT UMNO dan Ahli Parlimen Tangga Batu serta Ahmad Hamzah, menantu Allahyarham Tun Ghafar yang kini merupakan Ahli Parlimen Jasin.

Ali Rustam dikhabarkan akan dbawa bertanding Parlimen dan akan dijadikan timbalan menteri semula.

Beliau yang sebelum ini sudah pernah menjadi Timbalan Menteri Pengangkutan dikhabarkan mahu terus kekal sebagai Ketua Menteri sekurang-kurangnya untuk sepenggal lagi. Menjadi timbalan menteri semula hanyalah ibarat turun pangkat bagi Ali Rustam.

Lagi pula menjadi Ketua Menteri bukan saja lebih glamour tetapi kuasa juga menjadi lebih besar berbanding sekadar menjadi timbalan menteri. Inilah yang menjadikan beliau mahu terus kekal sebagai CEO Melaka.

Jika senario ini dapat difahami, tindakan Ali Rustam mengadakan malis yang dianggap terbesar, bukan saja di Melaka tetapi juga di Malaysia itu adalah semata-mata untuk memberitahu Najib dan pucuk pimpinan UMNO bahawa beliau masih diterima dengan cukup baik oleh rakyat Melaka.

Beliau mungkin malu untuk berterus-terang kepada Najib untuk meminta dikekalkan lagi jawatannya dan kebetulan anaknya pula mahu berkahwin, maka kesempatan itu digunakan sebagai serampang dua mata.

Dengan mampu menggamit kehadiran 130 ribu tetapu, Ali Rustam bukan saja ingin memberitahu tentang hebatnya beliau di Melaka, bahkan di Malaysia juga. Oleh kerana rumah terbuka Najib di Putrajaya hanya dihadiri 100 ribu orang dan rumah terbukanya di Pekan, Pahang pula hanya dihadiri 50 ribu tetamu, dengan kehadiran 130 ribu tetamu itu, Ali juga ingin memaklumkan beliau lebih hebat dari Najib sendiri.

Rumah terbuka Muhyiddin di Pagoh pula hanya dihadiri 10 ribu tetamu. Mana-mana majlis jamuan oleh Menteri Besar dan Ketua Menteri yang lain juga sebelum ini, tidak pernah kehadiran dicatatkan melebihi 50 ribu orang.

Dalam hal ini, Ali Rustam bukan saja dilihat lebih hebat sokongannya dan lebih disukai berbanding Najib, bahkan juga melebihi mana-mana Ketua Menteri dan Menteri Besar yang lain.

Maka itu, mesej Ali Rustam kepada Najib sebenarnya ialah "tolonglah kekalkan saya sebagai Ketua Menteri sekurang-kurangnya sepenggal lagi." (SH 03/10/2012)






2 comments:

  1. Ini kerja "GILA". Dah tahu UMNO dah nak mampos, masih lagi yang tak sedar akan implikasi nya.Apa yang hebat sangat dengan 130k atau 1 juta datang untuk meraikan acara tersebut.Yang pasti habis adalah duit rakyat.
    Yang tukang buat ni bukat calang2. Naib Ketua UMNO !!! Ini jelas menunjukkan beliau ini masih tak sedar2 lagi yang beliau telah membesarkan menggali kubur UMNO untuk senang ditanam.

    A very clear manifestation of how stupid and naive this idiotic VP of UMNO can be.
    Finally, kalau perkara senang maacam ini tak bokeh fikir,selatmat berkubur lah UMNO untuk selama2 nya.
    Salam

    ReplyDelete
  2. Umno berKUBUR tak pa lagi. .tapi klu anwar betul2 BERJUBUR mcm mana. .isu belanja boros ni isu basi. .tapi klu isu soros mcm mana. .siapa yg bodoh!!.kita buang masa tuliskan blog sama2 bodoh dok layan shahbudin yg sememangnya bodoh.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...