Thursday 18 October 2012

Jika Bukan Punca Melayu Pecah, Tentunya Mahathirlah Penyatu Ummah...


Dalam cubaan untuk membersihkan namanya yang sering dikaitkan sebagai punca keretakan perpaduan orang-orang Melayu, Mahathir sekali lagi cuba menunjukkan dirinya sebagai individu yang suci lagi bersih.

Dalam suatu program di Kuala Terengganu semalam, bekas PM itu menafikan perpecahan orang-orang Melayu berpunca daripada tindakannya memecat bekas timbalannya, Anwar Ibrahim pada 2 September 1998.

Sebalikya, kata Mahathir, orang Melayu sudah pun berpecah sebelum itu lagi iaitu ketika Datuk Onn keluar daripada UMNO dan menubuhkan parti Negara. Begitu juga katanya, dengan penubuhan Malayan Union oleh British dan kesannya telah mencetuskan pelbagai konflik termasuk kewujudan golongan ulama yang kemudiannya menubuhkan Pas.

Kata Mahathir lagi, orang Melayu juga berpecah kerana Tengku Razaleigh menubuhkan parti Semangat 46 pada 1988.

Jika dilihat sipintas lalu, ternampak ada benarnya hujah Mahathir itu. Bukan beliau yang menyebabkan orang Melayu berpecah, sebaliknya yang dianggap perosak perpaduan Melayu ialah Datuk Onn, ulama-ulama yang menubuhkan Pas dan juga Tengku Razaleigh.

Tetapi bolehkah Mahathir menipu semua orang dengan hujah lapuknya itu.

Datuk Onn memang keluar UMNO dan menubuhkan Parti Negara tetapi perpecahan Melayu tidak seteruk mana ketika itu. Memang benar juga sekumpulan ulama telah keluar UMNO dan menubuhkan Pas tetapi perpecahan di kalangan umat Melayu dan Islam tidaklah ketara sangat.

Apa yang berlaku hanyalah perbezaan pandangan dan ideologi dalam politik. Itu adalah perkara biasa dan berlaku di mana-mana. Sejak zaman Nabi pun berlaku perbezaan pendapat dan ia tidak mendatangkan banyak masalah. Mana-mana kerajaan di Barat, Timur dan segala pelusuk dunia memang biasa berlaku perbezaan pendapat dan ideologi politik.

Tetapi perbezaan pendapat dan ideologi itu tidak memecah-belahkan umat. Datuk Onn dan Parti Negara tidak memecah-belahkan umat, begitu juga tindakan ulama mewujudkan Pas, sama-sekali tidak menyebabkan perpecahan. Ia hanya memberi pilihan kepada rakyat.

Perpecahan ketara orang Melayu bermula pada 1987 apabila Mahathir yang hanya menang 43 undi di tangan Tengku Razaleigh telah bertindak tidak merayu atas keputusan mahkamah yang mengisytiharkan UMNO sebagai haram. Malah Mahathir kemudian menubuhkan UMNO Baru serta melarang kumpulan Team B yang menentangnya pada 1987 daripada menyertai UMNO.

Memang benar Ku Li menubuhkan Semangat 46 tetapi parti itu hanya ditubuhkan setelah Mahathir tidak membenarkan mereka menyertai UMNO Baru, sebaliknya UMNO Baru sepeti kelab eksklusif yang hanya boleh dianggotai oleh prmbodek dan pengampu Mahathir sahaja.

Kenapa Mahathir menyembunyikan fakta pengharaman UMNO itu sebahagian perancangannya untuk kekal sebagai PM. Jika keputusan mahkamah itu dirayu dan diadakan pemilihan semula pada 1987 itu, keadaannya mungkin berbeza dan Mahathir tidak kekal sebagai PM. Tetapi Melayu tidak pecah.

Ataupun jika dalam UMNO Baru itu, semua orang Melayu dibenarkan menyertainya, senario politik dan perpaduan Melayu hari ini juga mungkin berbeza.

Semangat 46 adalah pilihan untuk bekas ahli UMNO yang tidak dibenarkan menyertai UMNO Baru untuk meneruskan perjuangan politik mereka. Namun Mahathirlah punca Semangat 46 ditubuhkan.

Sebagaimana hujah Mahathir bahawa Datuk Onn dan ulama yang menubuhkan Pas sebagai punca perpecahan Melayu adalah dangkal dan boleh dipersoalkan, hujah beliau mengenai Ku Li dan Semangat 46 juga sebenarnya tersasar daripada kenyataan sebenar.

Dalam konflik dengan Ku Li, matlamat Mahathir hanyalah untuk mempertahankan kuasa Perdana Menterinya. Jika keputusan mahkamah pada 1987 dirayu dan pemilihan semula diadakan, belum tentu Mahathir mampu kekal.

Mahathir hanya kekal sebagai PM kerana kelicikannya bermain politik disebalik sikap pengecut untuk menghadapi pertandingan kali kedua.

Dengan Anwar juga sikapnya begitu. Beliau meneruskan kelicikannya bermain politik disebalik sikap pengecutnya menghadapi arus kebangkitan Anwar dalam UMNO.

Jika Anwar tidak dipecat atau sekadar digugurkan jawatan dakam kabinet tetapi masih dikekalkan kedudukannya dalam UMNO, nasib Mahathir belum tentu menjadi sabut yang timbul. Dalam episod 1998, kuasa Mahathir seharusnya hanyalah memecat Anwar daripada jawatan TPM tetapi kedudukannya sebagai Timbalan Presiden UMNO biarlah ahli dan perwakilan UMNO yang menentukannya.

Masalahnya ketika itu ialah sebagai Perdana Menteri, Mahathir menjadi Perdana Menteri dan sebagai Presiden UMNO pun beliau menjadi Perdana Menteri juga.

Jika sebagai Presiden UMNO beliau menjadi Presiden UMNO yang tahu menghormati hak ahli dan perwakilan UMNO, perpecahan Melayu tidaklah seteruk sekarang ini.

Hanya kerana ingin mengekalkan kepuasan berkuasa, Mahathir sebenarnya telah menjadikan perpaduan orang Melayu sebagai galang gantinya. Mengekalkan kuasa, bagi Mahathir lebih penting berbanding perpecahan Melayu.

Tambahan pula, perpecahan Melayu boleh disandarkan kesalahannya orang lain asalkan pintar menyusun hujah dan memutarbelitkan fakta.

Setelah Anwar berada di penjara dan Ku Li pula beransur tua sambil kehilangan sokongan daripada UMNO sendiri, Mahathir sepatutnya boleh bersara dengan aman apabila menyerahkan kuasa kepada Pak Lah pada 2003. Apatah lagi pada pilihanraya 2004, kejayaan cemerlang telah dicapai oleh Pak Lah, yang sebahagian sebabnya adalah kerana rakyat gembira dengan pengunduran Mahathir.

Beliau kemudian keluar daripada persaraan apabila Pak Lah membatalkan beberapa projek meganya dan membebaskan Anwar. Campurtangan Khairy Jamaluddin dan pengaruh budak-budak tingkat 4 dalam pentadbiran Pak Lah dijadikan alasan utama untuk menyerang Pak Lah pula.

Dengan mengadakan roadshow ke seluruh negara menyerang Pak Lah, mengakui tersalah pilih pengganti, merasionalkan bahawa kemenangan yang terlalu cemerlang pada pilihanraya 2004 tidak baik bagi demokrasi dan rakyat, bertindak keluar UMNO dan mengajak rakyat melemahkan kerajaan, UMNO dan BN akhirnya hilang majoriti dua pertiga pada pilihanraya 2008.

Sejak itu sehinggalah hari ini, ditambah dengan Najib yang lebih parah kelemahannya, isu perpecahan Melayu sering menjadi topik perbualan. Tidak dapat tidak, haruslah diakui bahawa Mahathir penyumbang terbesar kepada senario perpecahan sejak berdekad lalu.

Tidak puas berjaya menyingkirkan Ku Li dan memecat Anwar, beliau juga seperti mendendami Pak Lah yang dipilihnya sendiri.

Kini menjelang tarikh penentuan PRU 13 yang akan menentukan ke mana orang Melayu di fasa-fasa seterusnya, meskipun Mahathir cuba menjadi hero semula tetapi secara umumnya semakin beliau mahu membersihkan namanya, tompok-tompok hitam kesilapan masa lalunya makin terbentang di depan mata.

Itulah Mahathir, tidak sudah-sudah mahu bermain politik dan mahu menegakkan benang basahnya. Mungkin beliau akan bersara dengan aman jika kita semua menggelarnya pula Bapa Penyatu Ummah. (SH 18/10/2012)



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...