Friday 6 July 2012

Tamrin Diberi Surat Tunjuk Sebab Dan Bakal Dipecat?


Bekas Ahli Parlimen Batu Berendam, Tamrin Tun Ghafar yang sejak akhir-akhir ini aktif berceramah di pentas Pakatan Rakyat dan mengkritik kepimpinan Najib, kini sudah menerima surat tunjuk sebab daripada UMNO berikutan tindakannya itu.

Surat bertarikh 26hb Jun 2012 dan ditandatangani oleh Setiausaha Agung UMNO, Tengku Adnan Tengku Mansor itu diterima oleh Tamrin beberapa hari lalu.

Surat itu antara lain meminta Tamrin menjelaskan kenapa tindakan disiplin tidak boleh diambil terhadapnya berikutan tindakannya itu yang dianggap oleh Jawatankuasa Pengurusan UMNO sebagai telah melanggar disiplin parti.

Tamrin, anak bekas Timbalan Perdana Menteri Allahyarham Tun Ghafar Baba, diberi tempoh 14 hari untuk menjawab surat tunjuk sebab itu.

Kebiasaannya jika surat tunjuk sebab diberikan terhadap seseorang yang dianggap melanggar disiplin parti, tindakan akhir yang diambil ialah memecat mereka yang berkenaan daripada UMNO.

Semasa zaman Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj, Tun Mahathir juga pernah menulis surat yang mengkritik kepimpinan Tunku dan akhirnya beliau juga dipecat daripada UMNO.

Dalam soal ini, apakah Tamrin, anak seorang bekas pejuang UMNO juga bakal dipecat oleh UMNO?

Tamrin yang sejak beberapa tahun menyepikan diri daripada dunia politik, mula membuat kemunculan semula dalam dunia politik sejak pra perhimpunan Bersih 3.0 pada penghujung April lalu. Beliau mula berceramah menyokong perhimpunan yang mahu menuntut pilihanraya yang adil dan bersih di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Sejak itu, namanya mula meniti di bibir pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat dan jadual hariannya juga mulai sibuk dengan memenuhi undangan ceramah di seluruh negara. Beliau pernah muncul berceramah bersama Anwar Ibrahim, Haji Hadi Awang, Tuan Guru Nik Aziz, Mohamad Sabu, Lim Guan Eng dan lain-lainnya.

Selain itu, Tamrin juga ada menulis sepucuk "surat kuning" kepada Najib yang antara kandungannya banyak memberi teguran, saranan dan pandangan dalam usaha memulihkan sokongan rakyat terhadap UMNO. Bagaimanapun surat itu dipandang sepi oleh Najib dan tidak ternampak Perdana Menteri mahu memberi respon terhadap surat tersebut.

Sebelum ini, tindakan Tamrin berceramah di pentas Pakatan Rakyat dan banyak mengkritik Najib memang menimbulkan rasa tidak senang pihak-pihak tertentu dalam UMNO di mana Tamrin pernah menerima panggilan misteri yang memintanya menghentikan tindakan itu atau menghadapi serangan peribadi berterusan daripada UMNO terutama berkenaan kisah-kisah zaman lampaunya.

Namun demikian, panggilan misteri itu dilihat tidak sesekali melemahkan tekad Tamrin yang nampaknya sudah nekad untuk terus bersama Pakatan Rakyat dan melakukan perubahan demi kepentingan rakyat di negara ini.

Dan kini setelah menerima surat tunjuk sebab ini pun, pendirian beliau tetap juga sama. Jadual ceramahnya tetap sibuk dan malam esok beliau akan muncul dalam ceramah besar-besaran anjuran Pakatan Rakyat di Taman Nirwana, Ampang.

Tamrin bagaimanapun menjelaskan bahawa beliau akan menjawab surat tunjuk sebab itu sebelum tempoh 14 hari yang diberikan berakhir.

"Saya akan menjelaskan sejelas-jelasnya kepada Lembaga Disiplin UMNO," ujar Tamrin ringkas. (06/07/2012)


1 comment:

  1. Sebenar nya surat tunjuk sebab ini tak perlu di jawab. Buang masa sahaja kerana jawab atau tak jawab bagi UMNO yang zalim dan takde otak akan mengambil tindakan memecat. Surat tunjuk sebab adalah ugutan supaya Tamrin minta ampun kot dan kalau itu maka kekal lah Tamrin.
    Teruskan sahaja pendedahan kebobrokan UMNO dalam setiap ceramah. Biarkan UMNO terlingkup.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...