Thursday 5 July 2012

Asalkan Bukan Najib


Asalkan Bukan Najib adalah buku terbaru saya selepas Najib Perdana Menteri Terakhir dan Kesilapan-Kesilapan Najib. Buku ini sudah berada di pasaran sejak dua tiga hari yang lalu dan boleh didapati di kedai-kedai buku di seluruh negara.

Kenapa tajuknya Asalkan Bukan Najib, saya ditanya oleh beberapa kenalan rapat yang berkesempatan menatap buku tersebut.

Sebenarnya buku terbaru ini adalah kesinambungan daripada dua buku terdahulu. Dalam buku pertama, Najib Perdana Menteri Terakhir, saya mengambil kesempatan dalam buku tersebut untuk menegur Najib berkaitan beberapa isu yang berlaku dalam politik negara yang gagal ditanganinya dan jika ianya dibiarkan berlarutan akan menyebabkan UMNO tewas dalam pilihanraya dan seterusnya menjadikan Najib sebagai Perdana Menteri yang terakhir mewakili UMNO.

Dalam buku kedua, Kesilapan-Kesilapan Najib pula, saya telah menyenaraikan beberapa kesilapan yang telah dilakukan oleh Najib sepanjang menjadi Perdana Menteri yang gagal diuruskannya dengan baik sehingga menyebabkan sokongan rakyat terhadap UMNO dan BN didapati semakin merosot hari demi hari.

Kesilapannya yang terbesar ialah membiarkan isterinya terus menunjuk kuasa seolah-olah berkongsi jawatan Perdana Menteri.

Oleh kerana ternampak bahawa Najib tidak mahu memperbaiki segala kesilapan yang diperkatakan rakyat dan menjadi bualan di mana-mana itu, saya juga menyarankan dalam buku tersebut agar Najib menjadi seorang yang berjiwa besar iaitu dengan sedia berundur dan memberi laluan kepada timbalannya, Muhyiddin Yassin bersama pasukannya yang lebih mantap untuk mengemudi UMNO dan kerajaan bagi menghadapi PRU 13.

Secara jelas disebutkan dalam buku tersebut bahawa jika Najib masih memimpin UMNO dan kerajaan, harapan untuk mencapai kemenangan masih jauh dari jangkauan dan untuk mengelak UMNO daripada kalah serta Najib sendiri dipersalahkan serta mencemar nama baik Tun Abdul Razak,  maka eloklah beliau mengundur diri.

Namun Najib bukan saja tidak mahu mengundur diri, malahan meneruskan lagi deretan kesilapan dalam mengurus parti dan kerajaan sehingga beliau kini dianggap sebagai Perdana Menteri paling lemah dalam sejarah Malaysia. Rakyat juga lebih banyak bercakap tentang kekalahan berbanding  kemenangan UMNO dan BN.

Maka sebab itulah buku Asalkan Bukan Najib ini diterbitkan.

Buku terbaru ini diterbitkan khusus untuk mengajak rakyat membuat perubahan dan menolak kepimpinan Najib jika negara ini ingin diselamatkan.

Terdapat dua kaedah bagaimana untuk menolak Najib. Pertama, melalui pilihanraya umum dan kedua, melalui pemilihan UMNO  yang akan diadakan selepas itu. Tetapi salah satu peluang untuk perubahan itu jangan sesekali dilepaskan.

Melalui pilihanraya umum, Najib boleh ditukar dengan memberi undi sebanyak-sebanyaknya kepada calon-calon Pakatan Rakyat supaya mereka boleh menubuhkan kerajaan baru yang memungkinkan Anwar Ibrahim atau Haji Hadi sebagai calon Perdana Menteri.

Namun demikian, sekiranya pilihanraya umum masih memberi kemenangan kepada UMNO dan BN dengan majoriti yang tipis dan tidak melepasi garisan majoriti dua pertiga, tugas melakukan perubahan seterusnya terletak di tangan ahli-ahli UMNO pula. Mereka wajar mengusulkan perubahan kepimpinan dalam pemilihan UMNO yang akan diadakan selepas pilihanraya umum dengan calon berpotensi untuk mengganti Najib ialah Muhyiddin Yassin dan Tengku Razaleigh Hamzah.

Saya telah mengulas panjang dalam buku tersebut bahawa sekiranya Najib terus dikekalkan, masalah dalam UMNO dan kerajaan tidak akan selesai malahan mungkin akan muncul berpuluh lagi kes seperti lembu NFC, menteri yang rasuah, menteri berskandal, isterinya Rosmah lebih bermaharalela  serta pelbagai kemungkinan lagi.

Atas asas mengajak rakyat melakukan perubahan, maka terhasillah buku Asalkan Bukan Najib ini. Marilah kita berhijrah.  (05/07/2012)

1 comment:

  1. Terima kasih atas kiriman buku tersebut yg telah habis acik baca. Bab paling best ialah TIBAI dan NGO mati pucuk. Tergelak telah malam acik sorang2. Caya lu Budin! Thanks a lot.
    Wan Datin PD.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...