Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin seakan mahu menunjukkan sikap beraninya apabila bersedia menyahut dua cabaran berdebat sekaligus. Pertama, beliau akan berdebat dengan Pengerusi Bersih 2.0, S Ambiga mengenai pembaharuan sistem pilihanraya pada 25 April ini di Sime Darby Convention Centre yang akan dikendalikan oleh akhbar Malay Mail. Debat ini penting kerana ia mungkin mempengaruhi kehadiran Himpunan Bersih 3.0 yang hanya diadakan tiga hari selepas itu.
Kedua, KJ juga sedia berdebat dengan Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli berhubung isu tabung pinjaman pendidikan PTPTN yang dijadualkan pada 3 Mei depan. Sehingga ini belum ada penganjur tetapi akhbar Sinar Harian bersedia menjadi penganjurnya.
Di satu sudut, KJ mahu menunjukkan keberanian dan kejantanannya sesuai dengan jawatan Ketua Pemuda UMNO yang disandangnya. Generasi muda tentunya amat bersetuju dengan sikap yang ditunjukkan KJ ini.
Tetapi masalah besar KJ ialah beliau berada dalam parti yang kini dikenali amat penakut dalam banyak perkara. UMNO sejak dipimpin Najib amat berlembut dan takut dalam banyak perkara terutamanya terhadap bukan Melayu dan bukan Islam. Banyak isu gagal ditangani dengan baik seperti dasar ekonomi, tuntutan MCA tentang kesamarataan, MIC dengan bantahan novel Interloknya, kitab Injil berbahasa Melayu dan sebagainya.
Dalam banyak hal, pemimpin UMNO juga mula jadi penakut. Mereka lebih gemar memilih sikap diplomatik dan mengalah daripada menyatakan kebenaran secara terbuka kerana bimbang kehilangan undi dan sokongan bukan Melayu.
Namun sikap yang ditunjukkan pemimpin UMNO itu tidak lebih umpama "peniaga buluh kasap" kerana sudahlah sokongan bukan Melayu yang diharapkan tidak juga diperolehi, banyak undi Melayu sendiri berkurangan kerana kecewa dengan sikap yang ditunjukkan itu.
Dengan sedia berdebat, KJ mungkin dipandang tinggi oleh sesetengah pihak tetapi Najib tentunya tersinggung. Sudah berbulan-bulan rakyat menunggu jawapan Najib untuk berdebat dengan Anwar dan Anwar juga sudah mengulangi perkara yang sama banyak kali. Terbaru Anwar juga mencadangkan jika Najib agak keberatan berdebat seorang diri, ia juga boleh diadakan tiga penjuru dengan melibatkan Raja Petra Kamaruddin untuk turut serta.
Sehingga ini Najib masih membisu dan tidak berani menyatakan persetujuan sama ada debat dua penjuru atau pun tiga penjuru. Tiba-tiba KJ pula bersetuju, bukan setakat satu debat tetapi dua debat berturut-turut. Sudah tentu Najib tersinggung dan tercabar.
Apatah lagi semua pimpinan tertinggi UMNO turut jadi penakut dan tidak mahu Najib melayan cabaran debat oleh Anwar itu. Baik Muhyiddin Yassin, Zahid Hamidi, Hishammuddin, Shafie Afdal dan Ahmad Maslan, semuanya memberikan hujah masing-masing bahawa tidak perlu debat itu dilangsungkan.
Tun Mahathir sendiri tidak bersetuju debat Anwar - Najib dilangsungkan atas alasan ia tidak mampu mengubah apa-apa kepada negara.
Dalam isu debat ini hanya KJ yang tampak berani. Masalahnya selamatkah masa depan politik orang berani apabila dikelilingi oleh pemimpin yang penakut? Di ketika perang dan masing-masing perlu menunjukkan keberanian, biasanya mereka yang paling berani akan dilantik sebagai panglima perang. Tetapi di ketika pemimpin suka kepada suasana tenang dan damai, orang yang suka membuat bising, biasanya akan diterajang keluar.
Oleh sebab semua pemimpin sudah hilang keberanian dan selesa dengan rasa takut masing-masing, orang yang mahu menunjuk berani biasanya akan disisih dan dianggap asing.
Dalam isu debat Anwar dengan Najib, kajian Merdeka Centre menunjukkan 76 peratus pengundi muda yang ditemui mahukan debat itu diadakan. Ini tentunya bermaksud jika Najib berani berdebat, banyak undi generasi muda akan tertumpah kepada UMNO dan BN.
KJ mungkin dianggap berani dan disanjung oleh pengundi muda dan sesetengah rakyat kerana berani berdebat dengan Ambiga dan Rafizi dan berusaha mempertahankan UMNO serta kerajaan. Tetapi keberanian yang ditunjukkannya mungkin memakan dirinya. Bukan saja Najib dan pemimpin kanan UMNO yang akan tersingggug, malahan Tun Mahathir juga akan turut terasa hati.
Mahathir yang memang diketahui masih mendendami KJ dan Pak Lah tentunya tidak mahu KJ terlalu menonjol. Perancangan untuk menyingkirkan KJ mungkin akan bermula selepas ini. Sebab itu, dalam debat yang sudah dipersetujui oleh KJ ini, tidak ada pemimpin UMNO dan bersuara dan nemberi sokongan setakat ini. Semuanya diam membatu seolah-olah bukan tajuk penting sedangkan ketika Najib masih membisu untuk berdebat dengan Anwar, mereka ini begitu banyak bersuara dan memberi pandangan.
Debat sebenarnya bukan untuk melihat siapa yang menang dan siapa yang kalah tetapi untuk menilai sejauh mana masing-masing mampu mengeluarkan hujah dan kepintaran untuk rakyat membuat pertimbangan akhir. Di AS dan beberapa negara Eropah, calon yang bertanding Presiden juga dikehendaki berdebat dan perdebatan mereka menjadi penantian di seluruh dunia. Tetapi KJ yang baru dijadikan Pengerusi PUNB mungkin dikalahkan oleh UMNO sendiri kerana lagak tunjuk beraninya untuk berdebat ini. (SH 14/04/2012).
No comments:
Post a Comment