Wednesday, 25 April 2018

CUCU TUN GHAFAR MAMPU 'PENINGKAN KEPALA' ANAK TUN RAZAK....


Meskipun hanya terkemudian dicalonkan, pemilihan Ahli MPT Bersatu, Zahid Md Arip untuk menentang Najib Razak di kerusi Parlimen Pekan pada pilihanraya 9 Mei depan secara umumnya disambut baik oleh para pencinta perubahan.

Sebelum ini, Ketua Bersatu Bahagian Indera Mahkota, Kamarul Ariffin Mohd Shahar telah dinamakan sebagai calon Pakatan Harapan bagi kerusi Parlimen Pekan, tetapi Tun Mahathir Mohamad telah membuat perubahan di saat-saat akhir mengenainya.

Sebagai Pengerusi Pakatan Harapan dan bakal Perdana Menteri ke-7, Tun Mahathir tentu mempunyai alasan tersendiri yang difikirkannya terbaik dengan meminta Kamarul Ariffin melakukan suatu pengorbanan dengan memberi laluan kepada Zahid untuk menentang Najib.

Kamarul Ariffin menerima baik keputusan Tun Mahathir itu dan berjanji akan terus bekerja keras dalam pilihanraya ini demi Bersatu dan juga Pakatan Harapan.
Pemilihan Zahid yang merupakan penceramah popular dalam Bersatu untuk menentang Najib di Pekan secara kasarnya tidak ubah seperti "kalah dalam tangan, menang belum tentu."

Memang teramat sukar untuk mengalahkan Najib atas kedudukannya  sebagai Presiden UMNO, Pengerusi BN dan Perdana Menteri, tambahan lagi pengundi di Pekan sentiasa ditambah dengan angka yang drastik tahun demi tahun sejak 1999 yang lalu.

Ia tidak lain ialah memastikan Najib sentiasa selesa untuk mengekalkan kawasan itu menjadi miliknya, setelah hanya mampu menang tipis 241 undi pada pilihanraya 1999 itu.

Pada pilihanraya 1999, jumlah kertas undi yang dikeluarkan bagi Parlimen Pekan ialah sebanyak 26,797 iaitu mewakili 74.78 peratus daripada jumlah keseluruhan pengundi, tetapi pada pilihanraya 2013 lalu, jumlah pengundi Pekan direkodkan telah meningkat kepada 80,260 orang.

Pada pilihanraya 2008 pula, jumlah pengundi berdaftar di Pekan ialah seramai 58,217 orang.

Bayangkan betapa tingginya pertambahan jumlah pengundi di Pekan dan daripada mana mereka didatangkan, hanya Najib dan jentera BN saja yang mengetahuinya.

Untuk itu, selain kedudukan Najib sebagai Perdana Menteri dan Pengerusi BN, secara realitinya pertarungan Zahid di Pekan bukanlah sesuatu yang mudah.

Namun begitu, kelebihan Zahid ialah beliau merupakan seorang penceramah popular yang mampu menggamit kehadiran orangramai dengan kelantangan serta cerita-cerita lucu yang banyak dalam memorinya, selain wataknya yang mudah mesra dengan sesiapa saja.

Perkara itu tidaklah menghairankan kerana darah politik memang sudah lama mengalir dalam tubuhnya di mana beliau adalah cucu saudara kepada Tun Ghafar Baba, bekas timbalan perdana menteri serta salah seorang pejuang tulin dalam UMNO.

Dengan kemampuan Zahid berceramah tiga atau empat kali sehari  serta menggunakan sepenuh masanya menemui seramai mungkin pengundi Pekan sepanjang tempoh berkempen, manakala Najib mungkin terhad masanya kerana perlu pergi ke seluruh negara memastikan BN tidak kalah dan jawatan Perdana Menterinya tidak terlepas, di sinilah kelebihan memihak padanya.
Lebih daripada itu, dengan kedudukannya sebagai bekas pegawai khas Pengerusi Felda, Isa Samad sebelum ini, Zahid tentunya juga ada ramai rakan akan kenalan di kawasan-kawasan Felda yang terdapat di Pekan.

Satu lagi kelebihan Zahid ialah beliau merupakan pemimpin Bersatu yang turut popular dengan kritikan mengenai pelbagai isu semasa melalui klip video yang kemudian disebarkan secara meluas menggunakan saluran youtube, facebook dan juga whatsapp.

Dengan menjadi calon, jika Zahid menerbitkan video kempennya setiap hari dengan menjadikan Najib, Rosmah, Jho Low, 1MDB dan  Riza Aziz sebagai sasaran misalnya, sambil ia kemudian disebarkan seluas mungkin kepada para pengundi Pekan, sedikit-sebanyak tentu membuatkan anak Tun Razak itu terganggu juga dibuatnya.

Zahid juga boleh mengatur satu program ceramah besar-besaran di Pekan yang melibatkan kehadiran Tun Mahathir dan pemimpin-pemimpin utama Pakatan Harapan yang lain bagi membuktikan beliau benar-benar serius berlawan dengan Najib.

Akhirnya, kalau Zahid mampu melakukan gangguan berterusan sepanjang tempoh berkempen nanti, fikiran dan jiwa Najib bukan saja pasti akan terganggu, malah tidak mustahil turut  "pening kepala"  dibuatnya.

Gangguan dan "pening kepala"  yang diakibatkan oleh Zahid itu secara langsung akan menyebabkan lebih tekanan kepada Najib.

Dari segi ini, tindakan Tun Mahathir memilih cucu Tun Ghafar berbanding calon-calon untuk melawan anak Tun Razak di Pekan adalah dikira suatu tindakan strategik dalam usaha Pakatan Harapan menumbangkan UMNO dan BN dalam pilihanraya 9 Mei nanti. (ShahbudinHusin 25/04/2018).

MAHU DIJADIKAN APA TIGA BEKAS MENTERI INI ATAU IA PETANDA NAJIB SUDAH 'BUANG TABIAT'?


Ada semacam kejanggalan, keluarbiasaan dan tidak masuk akal apabila tiga bekas menteri ini dipilih semula oleh Najib Razak untuk bertanding dalam pilihanraya 9 Mei depan akan datang.


1 - Zulhasnan Rafique, bekas Menteri Wilayah Persekutuan dan Duta Besar Malaysia ke Amerika tanpa disangka-sangka dipilih semula sebagai calon untuk bertanding di Parlimen Setiawangsa.


Ketika Najib Razak mengambil alih jawatan Perdana Menteri pada 2009, Zulhasnan adalah antara menteri yang digugurkan dalam susunan baru kabinetnya.


Kemudian, pada pilihanraya 2013, Zulhasnan juga digugurkan sebagai calon di kerusi Parlimen Setiawangsa yang sedang disandangnya dan tempatnya digantikan dengan Ahmad Fauzi Zahari.


Oleh kerana penggantinya, Ahmad Fauzi adalah lebih muda berbanding Zulhasnan, gambarannya adalah Zulhasnan sudah ditunjuklan jalan keluar dalam karier politiknya.


Pada tahun lepas, beliau dilantik menjadi Duta Besar Malaysia ke Amerika menggantikan Awang Adek Hussain.


Kebiasaannya, apabila seseorang bekas menteri dilantik menjadi duta, itu lebih kurang merupakan hadiah persaraan kepada mereka.


Tetapi, tiba-tiba Zulhasnan dipilih semula untuk bertanding di Setiawangsa menggantikan Ahmad Fauzi yang pada 2013 dulu dipilih oleh Najib juga untuk mengambil alih tempat Zulhasnan.


Pelik bukan?


2 - Hasan Malek,  bekas Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan adalah dianggap menteri berprestasi paling rendah yang pernah ada dalam negara kita.


Beberapa komennya mengenai kenaikan harga barang seperti yang paling popular - jangan makan ayam kalau harganya mahal - bukan saja menyakitkan hati rakyat, malah tentu juga membuatkan Najib turut sakit hati mendengarnya.


Lantaran itu, berikutan terlalu banyak kecaman terhadapnya di media sosial, Hasan Malek kemudian digugurkan sebagai menteri pada 2015.


Selain berprestasi rendah, Hasan Malek juga terlibat dalam kontroversi berkaitan pemberian pinjaman kepada ahli perniagaan, Deepak Jaikishan oleh Bank Rakyat sehingga menyebabkan Sabbaruddin Chik tidak disambung khidmat sebagai pengerusi semata-mata kerana enggan patuh kepada kehendaknya.


Tidak lama selepas digugurkan daripada menteri, Hasan Malek kemudian dilantik menjadi Duta ke Kemboja.


Sama seperti kes Zulhasnan, perlantikan sebagai duta kepada Hasan Malek juga dilihat sebagai hadiah persaraan kepadanya.


Tetapi, dalam senarai calon Negeri Sembilan yang diumumkan dua hari lalu, Hasan Malek terus dikekalkan untuk mempertahankan kerusi Parlimen Kuala Pilah.


Pelik juga bukan?


3 - Husni Hanadzlah dilantik sebagai Menteri Kewangan Kedua sebaik Najib menjadi Perdana Menteri pada 2009. Bergandingan dengan Najib selaku Menteri Kewangan, Husni sentiasa mempunyai hubungan baik dan akrab dengan Perdana Menteri.


Dalam rombakan kabinet pada 2016, Husni secara mengejut telah meletakkan jawatannya kerana enggan dipindahkan ke kementerian lain oleh Najib. 


Alasannya, Husni mengatakan beliau mahu mengakhiri kariernya di Kementerian Kewangan saja yang ditanggapi ramai sebagai "kementerian jaga duit dan tempat mengagih-agihkan projek".


Lantaran kecewa kemahuannya tidak dituruti oleh Najib, Husni turut meletakkan jawatannya sebagai Bendahari UMNO, Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Perak dan Ketua UMNO Bahagian Tambun.


Kemudian, dalam ucapannya Parlimen setelah tiada jawatan, Husni mempertikaikan tujuan penubuhan 1MDB serta mendakwa sebagai Menteri Kewangan Kedua, beliau tidak tahu menahu langsung mengenai perjalanan syarikat pelaburan itu.


Meskipun melakukan "u-turn" kemudiannya, Husni pada hakikatnya pernah menyentuh perkara paling sensitif dalam hidup Najib iaitu 1MDB.


Pemimpin-pemimpin lain yang membangkitkan isu 1MDB secara terbuka seperti Muhyiddin Yassin, Shafie Apdal dan Mukhriz Mahathir misalnya, mereka malah dimusuhi dan dipecat daripada jawatan masing-masing.


Namun, Husni tetap dipilih lagi oleh Najib untuk mempertahankan kerusi Parlimen Tambun yang disandangkanya.


Ini lagi pelik?


Kesimpulannya, ketiga-tiga bekas menteri di atas adalah pemimpin-pemimpin usang yang telah dibuang, tidak dikehendaki dan pernah merajuk hati dengan Najib.


Kenapa mereka dipilih semula?


Mengapa mereka tidak diganti dengan calon-calon yang lebih muda?


Jika ketiga-tiganya pernah dibuang, tidak dikehendaki serta ada rekod merajuk hati dengan Najib, dengan memilih semula mereka itu sebagai calon pilihanraya, apa peranan yang mahu diberikan kepada mereka selepas ini?


Mana janji untuk memberi lebih peluang dan ruang kepada orang muda yang selalu Najib laung-laungkan?


Ataukah ini petanda Najib sudah "buang tabiat" dalam memimpin UMNO dan kepelikan calon yang dipilihnya menandakan parti itu sendiri semakin menuju ke penghujung hayatnya? (ShahbudinHusin 25/04/2018)

Tuesday, 24 April 2018

TINDAKAN KHALED, ZAMBRY TANDING DUA KERUSI BAYANGAN JOHOR, PERAK BAKAL MILIK PAKATAN HARAPAN


Dalam UMNO, bukanlah suatu kelaziman bagi mana-mana pemimpinnya bertanding dua kerusi - satu Parlimen dan satu DUN - secara serentak.

Ini kerana UMNO dan BN merupakan parti yang besar dan ramai yang berebut-rebut mahu menjadi calon.

Selain itu, UMNO dan BN juga sudah lama menjadi kerajaan, maka pembahagian untuk bertanding itu perlu dilakukan secara lebih menyeluruh agar lebih ramai berpeluang menjadi wakil rakyat.

Hanya di Sabah dan Sarawak menjadi kebiasaan ada sesetengah pemimpinnya turut merupakan ADUN dan Ahli Parlimen di waktu yang sama.

Di Semenanjung, pada pilihanraya 2013 lalu, Mustapha Mohamad pernah diamanahkan bertanding dua kerusi secara serentak di Kelantan dalam usaha UMNO dan BN mahu merampas negeri tersebut daripada Pas.

Mustapha yang sudah pun memegang jawatan menteri di peringkat Pusat, cuba dipertaruhkan kerana UMNO dan BN Kelantan tidak mempunyai calon yang berwibawa yang untuk diketengahkan sebagai Menteri Besar.

Kali ini, Mustapha sekali lagi dipertaruhkan untuk bertanding di dua kerusi - Parlimen Jeli dan DUN Air Lanas - sebagai cubaan seterusnya untuk merampas Kelantan setelah hampir 30 tahun UMNO dan BN kehilangan kuasa di negeri tersebut.

Dalam konteks ini, oleh kerana BN masih merupakan pembangkang di Kelantan, cubaan bertanding dua kerusi itu tentu saja boleh difahami di mana sekiranya gagal menawan negeri itu, Mustapha akan terus dikekalkan sebagai menteri di peringkat Pusat.

Di kalangan pembangkang, bagaimanapun bertanding dua kerusi itu bukanlah sesuatu yang luar biasa kerana tokoh yang popular dalam sesebuah parti itu amat diperlukan untuk ditonjolkan bagi mencipta lebih kemenangan di banyak kawasan.

Dalam sesetengah keadaan, ia berlaku kerana tidak ramai yang sedia menjadi calon serta tidak yakin terhadap kemenangan.

Itulah yang menjadikan Lim Guan Eng dan Azmin Ali misalnya bertanding dua kerusi pada pilihanraya 2008  dan kini kedua-duanya terus kekal dengan pegangan dua kerusi tersebut.

Guan Eng kekal bertanding di Parlimen Bagan dan DUN Air Putih, manakala Azmin di Parlimen Gombak dan DUN Bukit Antarabangsa.

Untuk pilihanraya 9 Mei depan ini, beberapa lagi pemimpin PKR dan DAP turut diketengahkan untuk bertanding dua kerusi, antaranya Johari Abdul di Kedah,  Saifuddin Nasution di Kedah dan Pulau Pinang, Shamsul Iskandar Mohd Akin di Melaka dan Nga Kor Ming di Perak.

Pemimpin Bersatu seperti Muhyiddin Yassin dan Mukhriz Mahathir juga bertanding dua kerusi dalam pilihanraya kali ini.

Misinya tetap sama iaitu perlunya tokoh yang popular diletakkan bagi memungkinkan kemenangan, selain mungkin untuk memberi peluang kepada mereka untuk memilih sama ada berkhidmat di peringkat pusat atau pun negeri.

Tetapi, kenapakah Khaled Nordin dan Zambry Abdul Kadir yang sudah menjadi Menteri Besar Johor dan Perak turut memilih bertanding dua kerusi dalam pilihanraya kali ini?

Untuk pilihanraya kali ini, selain bertanding mengekalkan kerusi DUN Permas yang dipegangnya sejak 2013 lalu, Khaled akan turut bertanding kerusi Parlimen Pasir Gudang yang pernah diwakilinya ketika menjadi menteri sebelum ini.

Begitu juga dengan Zambry, di samping mengekalkan kerusi DUN Pangkor yang dipegangnya, beliau juga akan turut bertanding bagi kerusi Parlimen Lumut, satu cubaan kali pertamanya.

Oleh kerana dalam senarai calon peringkat DUN di Johor dan Perak yang sudah diumumkan tidak terlihat pemimpin lain yang berwibawa serta berkemampuan untuk diketengahkan sebagai Menteri Besar, tindakan Khaled dan Zambry turut bertanding di kerusi Parlimen pada waktu yang sama tidak lain adalah gambaran ketidakyakinan mereka mampu mempertahankan kedua-dua negeri tersebut.

Tidak dinafikan, dalam gelombang perubahan yang kian meningkat sekarang ini, Johor dan Perak adalah dua negeri yang diramalkan banyak pihak akan jatuh ke tangan Pakatan Harapan.

Jika Khaled dan Zambry benar-benar yakin mampu mempertahankan Johor dan Perak daripada gelombang itu, untuk apa mereka bertanding di Parlimen?

Bukankah lebih baik kekal bertanding di DUN dan terus menjadi Menteri Besar saja?

Jika mereka mahu dibawa ke Pusat pula, cukuplah mereka bertanding di Parlimen saja dan kerusi DUN itu lebih wajar diserahkan kepada calon lain yang tentunya ramai sedia mengisinya.

Dalam waktu yang sama, apakah dengan bertanding di dua kerusi itu yang dilihat sebagai persiapan untuk beralih jawatan ke peringkat Pusat sekiranya Johor dan Perak jatuh ke tangan Pakatan Harapan, Khaled dan Zambry benar-benar yakin Najib tidak ditumbangkan oleh Tun Mahathir Mohamad pada 9 Mei nanti?

Bagaimana jika Pakatan Harapan dengan pengaruh Tun Mahathir berjaya menggerakkan berlakunya tsunami rakyat Malaysia sehingga akhirnya gabungan untuk menyelamatkan negara itu dapat menguasai Putrajaya? (ShahbudinHusin 24/04/2018)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...