Friday, 24 November 2017

ADAKAH LAGI YANG MASIH GHAIRAH DENGAN CALON2 UMNO?



Bekas Menteri Besar Selangor, Muhammad Mohd Taib yang baru-baru ini kembali menyertai UMNO dengan diraikah secara besar-besaran berkata, untuk menang dalam pilihanraya akan datang, parti itu mesti meletakkan calon yang tahapnya seperti Miss World.

Kata beliau, hanya dengan meletakkan calon sedemikian saja akan membuatkan pengundi ghairah untuk memilih mereka.

"Calon-calon yang kita hantar mestilah macam nak masuk Miss World, takkan kita nak hantar yang kemetot rupanya. Lepas tu kita kata inilah calon yang diharapkan akan menang.

"Orang tengok pun alamak, badan lain macam dan macam mana nak menandingi calon-calon lain. Kita kena hantar the best, terbaik dari semua segi,” kata beliau yang lebih dikenali sebagai Mat Taib dan Mike Tyson.

Soalnya, siapakah calon-calon tahap Miss World yang boleh membuatkan pengundi berasa ghairah itu?

Di Selangor misalnya, masih adakah lagi calon-calon UMNO yang boleh membuatkan pengundi ghairah untuk memilih mereka?

Adakah Noh Omar, Jamal Md Yunus, Zein Isma Ismail dan Budiman Mohd Zohdi tergolong dalam kategori itu?

Di peringkat Pusat pula, adakah Najib Razak bersama barisan menteri-menteri yang ada sekarang masih boleh membuatkan pengundi ghairah untuk mengekalkan mereka?

Atau pengundi lebih ghairah untuk melihat kekalahan mereka? (ShahbudinHusin 24/11/2017)

APA FAEDAHNYA DIUNGKIT SEJARAH SILAM TUN MAHATHIR?


Sejak kebelakangan ini seperti wujud suatu keghairahan yang makin menjadi-jadi untuk mengungkit semula sejarah silam kepimpinan Tun Mahathir Mohamad sewaktu menjadi Perdana Menteri dahulu dengan dua topik utama yang kerap menjadi perhatian iaitu penahanan di bawah ISA dan kes liwat melibatkan Anwar Ibrahim.

Jika UMNO atau mana-mana pihak yang pro kepada Najib Razak menimbulkannya tentu saja ia mudah difahami maksud serta tujuannya, tetapi malangnya perkara tersebut dibangkitkan  oleh mereka dalam Pakatan Harapan sendiri atau di majlis-majlis  yang dianjurkannya.

Apa tujuan dan faedahnya?

Bukan tidak boleh menyoal atau membangkitkannya, tetapi episod itu sepatutnya sudah lama berlalu. Malah, sebelum ini, Tun Mahathir sendiri sudah acap kali bercakap atau menjelaskan mengenainya, termasuk memberi pengakuan sedia dipersalahkan dan menerima hukuman jika ia dianggap suatu kesalahan yang pernah dilakukannya.

Namun seperti yang kerapkali diulang oleh beliau, bahkan konsistennya tidak pernah berubah, menjatuhkan Najib adalah keutamaan dan perlu dilakukan terlebih dahulu.

Selepas semua itu selesai,  buatlah apa saja demi untuk menyelamatkan negara ini. Berulang kali juga Tun Mahathir mengingatkan, selagi Najib tidak disingkirkan, tiada apa perubahan pun mampu dilakukan selepas ini.

Demikianlah tingginya komitmen Tun Mahathir demi perubahan, menyelamatkan negara serta menyediakan persekitaran yang lebih baik untuk generasi akan datang.

Jika sebelum ini semua orang bercakap mengenai Najib yang dianggap merosakkan negara dan perlunya beliau dijatuhkan, apakah dengan mengungkitkan sejarah silam kepimpinan Tun Mahathir itu dapat lebih membantu usaha tersebut?

Sebaliknya, tidakkah dengan berbuat demikian akan memberi keselesaan secara tidak langsung kepada Najib?

Kita seharusnya sedar, oleh kerana Anwar masih di penjara, Tun Mahathir adalah satu-satunya tokoh yang paling sesuai untuk mengetuai pakatan parti-parti pembangkang ketika ini serta dianggap mampu menumbangkan Najib?

Adakah sesiapa tokoh lain selain beliau?

Oleh itu, selain Tun Mahathir sendiri sudah diterima sebagai Pengerusi Pakatan Harapan, fokus seharusnya ditumpukan seratus-seratus untuk melemahkan dan seterusnya menumbangkan Najib, UMNO serta BN. Ia tidak harus berganjak walau sedikit pun.

Tidak perlu diungkit atau diperbesar-besarkan lagi sebarang perkara silam mengenai kepimpinan Tun Mahathir yang dahulu itu.

Tidak cukupkah lagi pengakuan beliau yang sedia dipersalahkan dan dihadapkan kepada sebarang penyiasatan selepas Najib dijatuhkan nanti?

Lebih dari itu, dalam kes ISA, sebahagian mereka yang pernah ditahan dahulu seperti Lim Kit Siang, Mat Sabu, Azmin Ali dan ramai lagi sudah pun bersama dalam Pakatan Harapan ketika ini. 

Mereka juga telah memberi pengakuan untuk tidak menjadikan episod itu sebagai halangan yang berpanjangan sehingga boleh menjejaskan usaha menumbangkan Najib dan menyelamatkan Malaysia, malah menyifatkan kebobrokan era Najib lebih besar serta mendesak untuk diakhiri berbanding menoleh ke belakang.

Dalam kes liwat Anwar pula, tidakkah Tun Mahathir bukan saja sudah berbaik-baik dengan bekas Timbalan Perdana Menteri itu, malah mempunyai hubungan lebih erat dengan Dr. Wan Azizah Wan Ismail, Nurul Izzah dan seluruh keluarga Anwar sekarang ini.

Jadi, untuk apa diungkit dan diperbesarkan lagi semua sejarah masa lalu itu?

Semua pihak dalam Pakatan Harapan, tidak kira siapa, berjawatan besar dan kecil atau pendokong saja, jika benar yang ingin melihat Najib, UMNO dan BN dapat ditumbangkan, jangan sesekali lari daripada fokus dan terlalu kerap menoleh ke belakang.

Pelari pecut terhandal sekali pun tidak mungkin dapat memenangi apa-apa pingat jika asyik menoleh ke belakang ketika berlari.

Musuh Pakatan Harapan dan seluruh rakyat ialah masa depan negara yang lebih menakutkan jika Najib, UMNO dan BN kekal berkuasa,  bukannya sejarah silam Tun Mahathir. (ShahbudinHusin 24/11/2017)

Thursday, 23 November 2017

BAGAIMANA NAJIB NAK PERTAHAN HADI DARIPADA DAKWAAN ARAB SAUDI?


Walaupun agak terlewat, tetapi sebagai rakan baik, Hadi Awang tetap menunaikan tanggungjawabnya dengan tidak ketinggalan turut membela Najib Razak daripada serangan Tun Mahathir Mohamad berkaitan isu keturunan lanun Bugis yang masih berlarutan sehingga kini.

Cara pembelaan Hadi terhadap Najib pula bukanlah main-main, malah mengaitkan tuduhan seperti itu sebagai mencerminkan pemikiran orientalis Barat, walaupun beliau juga pernah menuduh orang lain sebagai kafir, taghut, politik suku agama suku dan macam-macam lagi.
Nampaknya demi untuk menunjukkan pembelaannya terhadap Najib, Hadi sanggup menelan perlakuan dan tingkah lakunya yang lama dahulu, meskipun perkara itu masih lagi diingati oleh kebanyakan orang.

Tentulah hanya kerana nak menunjukkan pembelaan kepada kawan baik sendiri, maka Hadi sanggup berbuat sampai begitu sekali.

Tetapi, dalam masa yang sama, Hadi dan kumpulan ulama yang dianggotainya telah dituduh oleh Arab Saudi terlibat dalam keganasan antarabangsa.

Dalam hal ini, Arab Saudi dan Raja Salman adalah kawan baik Najib. Bahkan Najib telah memberikan tanah seluas 16 hektar di Putrajaya untuk penubuhan  Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman.

Diberitakan juga, Putera Mahkota Arab Saudi, Mohamad Salman akan melawat negara ini tahun depan untuk  merasmikan tapak bangunan Pusat Keamanan Raja Salman tersebut.

Bagaimana tapak pusat itu mahu dirasmikan dan seterusnya beroperasi dengan baik dan cemerlang sedangkan individu yang dikaitkan dengan keganasan oleh Arab Saudi sendiri turut berada di Malaysia?
Adakah Hadi akan disiasat oleh PDRM demi untuk Najib menunjukkan kepada Arab Saudi dan Raja Salman bahawa Malaysia juga serius menangani keganasan?

Jika tidak berbuat apa-apa terhadap Hadi, tidakkah Raja Salman nanti akan berkecil hati?

Bagaimana pula pembelaan Najib kepada Hadi, walhal kawan baiknya itu telah lebih dulu membelanya berhubung isu lanun Bugis?

Apa pilihan Najib? (ShahbudinHusin 23/11/2017)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...