Monday, 24 April 2017

PAKATAN HARAPAN JANGAN BUANG MASA MELAYAN, ROYAN PAS HANYA MAHU TARIK PERHATIAN....


Terbaru ini Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man dan Pesuruhjaya Pas Selangor, Iskandar Samad pula melibatkan diri dalam cubaan mahu mengugut Pakatan Harapan.

Tuan Ibrahim meletakkan syarat agar parti-parti pembangkang lain jangan ganggu Kelantan serta kerusi tradisi yang biasa ditandingi Pas jika mahu pertandingan tiga penjuru dielakkan dalam pilihanraya akan datang ini.

Jangan ganggu kerusi Pas. Bila ada kerusi Pas diganggu, kita bebas bertanding di mana-mana saja kerusi yang ditandingi Pakatan Harapan, ujar beliau.

Dalam nada yang hampir sama, Iskandar berkata, kerusi pembangkang lain di Selangor bebas untuk ditandingi oleh Pas jika tiada persetujuan dicapai berkaitan pembahagian kerusi dengan mereka.

Sehubungan itu, tambahnya, Pas Selangor sudah sedia untuk bertanding di 45 kerusi DUN dan 15 kerusi Parlimen di negeri itu.
Apakah makna semua ini?

Daripada mahukan parti-parti lain jangan bertanding di 80 kerusi Parlimen yang akan ditandingi parti itu dan kemudian meluahkan keghairahan menguasai beberapa negeri, Pas kini nampaknya sudah mula main ugut-ugut pula.

Sebagaimana yang disebut dalam posting sebelum ini, siapa Pas dalam Pakatan Harapan atau di kalangan parti-parti pembangkang untuk mereka berkelakuan sedemikian?

Tidakkah mereka adalah blok ketiga yang lebih merupakan sekutu UMNO dan BN, berbanding sebagai rakan kepada Pakatan Harapan?

Teruskan sajalah dengan Gagasan Sejahtera yang selama ini kononnya mampu mengubah dunia!

Jadi, kenapa nak main ugut-ugut terhadap Pakatan Harapan?

Adakah Pas sekarang sudah mula terasa akan kalah di Kelantan dan di banyak kerusi yang akan ditandinginya, lalu cuba menggunakan taktik ugut untuk melindungi kelemahan,  sambil dapat juga menjaga ego sendiri yang begitu tinggi?

Siapa peduli jika Pas mahu bertanding di mana dan banyak mana kerusi sekali pun?

Apabila setiap hari makin kuat melatah, lebih-lebih lagi menjelang Muktamar Tahunan pada 28 April ini, itu adalah tanda paling nyata Pas sebenarnya semakin lemah, tetapi masih cuba menarik perhatian seolah-olah mereka masih penting.

Jika tidak lemah, kenapa berkelakuan begitu?

Kenapa Pas masih ingin berunding dengan Pakatan Harapan, bukankah Najib Razak dan UMNO adalah sahabat karib mereka sekarang ini?

Siapa yang sebelum ini mengatakan tidak mahu berebut kuasa dengan UMNO, ingin menjadi penasihat dan meminta ahli-ahli Pas tidak bermusuh dengan UMNO sehingga ke akhirat?
Kepada Pakatan Harapan, tak usah dilayan latah dan royan Pas kali ini. Kukuh dan kekalkan pendirian bersama parti-parti sedia ada iaitu PKR, DAP, Amanah dan Bersatu dengan matlamat utama menyingkirkan Najib,  menumbangkan UMNO dan BN serta menyelamatkan negara ini.

Lupakanlah Pas, lagi kuat mereka meroyan dan melalak, itu tandanya mereka semakin lemah dan ditolak. Biarkan saja parti itu dengan dunia barunya.

Berbagilah kerusi antara empat parti yang ada dalam Pakatan Harapan. Selepas pembahagian selesai, tumpukan kepada gerak kerja pilihanraya dengan segera menubuhkan jentera di peringkat negeri, bahagian dan peti undi. 

Itu jauh lebih penting daripada melayan Pas yang karenahnya tidak sudah-sudah dan tiada titik penamatnya.

Bagi majoriti rakyat, bukan saja Najib, UMNO dan BN yang mereka mahu tolak, malah sekutu dan sesiapa yang dilihat membantu juga akan ditolak sama. Jangan sesekali dihampakan harapan rakyat yang rata-ratanya inginkan perubahan. (ShahbudinHusin 24/04/2017).

LAGI BANYAK PAS NAK BERTANDING, TIDAKKAH LAGI MENYERLAHKAN PERANAN SEBAGAI SEKUTU UMNO?


Selain mahu parti-parti pembangkang lain tidak meletakkan calon di 80 kerusi Parlimen yang akan ditandinginya dalam pilihanraya akan datang, Pas juga mula menunjukkan keghairahan untuk berkuasa di beberapa negeri.

Semalam, Pas turut mengumumkan kesediaan untuk memerintah Pahang dengan mengumumkan akan bertanding 10 kerusi Parlimen dan 30 kerusi DUN di negeri itu.

Pahang mempunyai 14 kawasan Parlimen dan 42 kerusi DUN keseluruhannya.

Sebelum itu, Pas Perak juga menzahirkan hasrat yang sama dengan Pesuruhjaya Pas negeri, Razman Zakaria menyatakan, pihaknya akan bertanding di 30 daripada keseluruhan 59 kerusi DUN di negeri tersebut.

Dengan berdoa agar orang UMNO dan Pas mengundi calon parti mereka, Razman yakin Pas akhirnya dapat membentuk kerajaan baru di Perak.

Dalam masa yang sama, Pas sudah tentu ingin mengekalkan kuasanya di Kelantan dan berusaha merampas kembali Terengganu yang pernah dikuasainya selama sepenggal pada pilihanraya 1999 dahulu.

Tidak lama sebelum ini, sebagaimana klip video yang tersebar luas di media sosial, Hadi Awang turut menyebut keinginan Pas untuk mentadbir lima negeri melalui kerjasama dengan UMNO.

Lima negeri yang disebutkan oleh Presiden Pas itu ialah Kelantan, Terengganu,  Kedah, Perak dan Selangor.

Kesimpulannya, walaupun pada PRU 13 lalu, Pas hanya menang 21 kerusi Parlimen dan berjaya mengekalkan kuasa di Kelantan saja, tetapi dalam pilihanraya akan datang, ternampak mereka amat ghairah dan bernafsu tinggi  dengan awal-awal lagi sudah meletakkan "cap jari"  mahu bertanding  80 kerusi Parlimen serta mentadbir di lima negeri.

Mampukah Pas secara sendirian mencapai cita-citanya itu?

Adakah semua itu memperlihatkan Pas sebagai parti yang sombong dan bongkak sebagaimana didakwa oleh Mahfuz Omar?

Jika dilihat berdasarkan latar belakang kepimpinan Pas sedia ada setelah sebahagian besar kalangan profesionalnya berhijrah menyertai Amanah, mampukah Pas memainkan peranan mentadbir negara dan lima negeri yang dihajatinya itu?

Atau, apa sebenarnya tujuan Pas mahu bertanding di banyak kerusi Parlimen dan DUN tanpa kompromi dengan parti-parti pembangkang lain, malah awal-awal membuat pengumuman serta macam berlagak mahu semua orang tunduk serta memberi laluan kepada mereka?

Jika benar mahu  bertanding banyak kerusi dan berhajat juga ingin menang sebanyak yang mungkin, kenapa Pas tidak bersikap lembut dalam berunding sesama parti-parti pembangkang?

Mengapa mesti bersendirian dan jika pun sedia untuk diajak berunding, tetapi awal-awal lagi sudah meletakkan pelbagai syarat ketat, terutamanya dari segi kedudukan kerusi yang tidak boleh diusik oleh pihak lain?

Adakah akhlak seperti itu menepati ciri-ciri yang dikehendaki oleh Islam, sesuai dengan kedudukan Pas sebagai parti yang bersandarkan perjuangan Islam?

Sekali lagi, apa sebenarnya tujuan dan hajat besar Pas dalam pilihanraya akan datang ini?

Salahkah jika kita menelah bahawa tujuan dan matlamat sebenar Pas bukanlah sangat untuk menang pilihnaraya, tetapi lebih untuk membantu dan memberi kelebihan kepada Najib, UMNO dan BN agar terus kekal berkuasa? (ShahbudinHusin 24/04/2017).

Sunday, 23 April 2017

PAS INGAT DIA SIAPA?


Dalam perkembangan terbaru, Pas melalui Ketua Penerangan Dewan Ulamanya, Dr. Khairuddin Aman Razali mahu semua parti-parti pembangkang tidak meletakkan calon di 80 kerusi Parlimen yang akan ditandingi parti itu.

Kata beliau, ia bagi memberi laluan Pas berdepan satu lawan satu dengan UMNO dan BN di semua kerusi tersebut.

Amboiii.... bukan main besar hajat dan permintaan Pas kali ini?

Tetapi, siapa dan apa kedudukan mereka dalam gabungan parti-parti pembangkang?
Bukankah Pas sekarang ini tidak terikat lagi dengan Pakatan Harapan, sebaliknya sudah berada dalam blok ketiga yang dinamakan Gagasan Sejahtera bersama Ikatan?

Melalui blok ketiga itu, tidakkah Pas bebas bertanding di mana-mana saja kerusi yang disukainya, bahkan dulu pernah berkata, sedia berdepan dengan sesiapa saja dan yakin menang di sebahagian besar daripadanya?

Kenapa sekarang sudah mula mengendur nada dengan meminta parti-parti pembangkang lain agar jangan meletakkan calon di kerusi yang Pas bertanding?

Dalam pada itu, bagaimana Pas boleh sesuka hati meminta Pakatan Harapan agar jangan meletakkan calon di 80 kerusi Parlimen yang ingin ditandinginya?

Adakah Pas merasakan mereka adalah "abang besar" dalam pembangkang?

Apakah Pas saja yang ada kouta atau jumlah kerusi ingin ditandingi, manakala parti-parti lain mesti tunduk begitu saja kepada mereka?

Tidak mungkinkah, jika diberi laluan nanti, Pas akhirnya akan berpakat dan lebih cenderung untuk memberi laluan mudah kepada  UMNO dan BN sebagai membalas budi kerana memberi laluan membentangkan usul Akta 355 dah kemudian membentuk sebuah kerajaan campuran dengan tujuan mengekalkan Najib Razak sebagai Perdana Menteri?

Atau mungkinkan apa yang diluahkan oleh Dr. Khairuddin  ini menandakan Pas ingin kembali semula menyertai Pakatan Harapan?

Tetapi, sama ada mahu bersama Pakatan Harapan, apatah lagi jika tidak, bukankah  agak keterlaluan bagi Pas meletakkan hak mereka di 80 kerusi Parlimen untuk ditandingi sebelum sebarang perbincangan diadakan?
Dalam pilihanraya 2013 lalu, Pas hanya bertanding 73 kerusi Parlimen saja, maka bagaimana tiba-tiba boleh meningkat kepada 80 kerusi pula?

Sementara Pas tidak mahu kerusi mereka disentuh atau diambil oleh pihak lain, parti itu sebaliknya awal-awal lagi sudah menunjukkan kecenderungan ingin mencuri hak parti lain.

Macam mana tu?

Selain itu, adakah luahan Dr. Khairuddin ini  juga sebagai tanda-tanda awal bahawa hubungan Pas dengan PKR tidak jadi dan masih sayang untuk dileraikan, walaupun ia sepatutnya akan diputuskan dalam Muktamar pada 28 April ini? (ShahbudinHusin 23/04/2017)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...