Monday, 20 April 2015

Soalan Sama Kepada Muhyiddin, Tunggu Apa Lagi?


Setelah Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin secara terbuka menyatakan sokongan kepada "perjuangan kebenaran" yang dilakukan oleh Tun Mahathir semalam, persoalan yang menjadi bualan ramai sekarang ialah "apa selepas itu?

Cukupkah sekadar menyatakan sokongan dan berkata "you are not alone" saja?

Berubahkah apa yang cuba dilakukan oleh Tun Mahathir jika sekadar sokongan dalam bentuk ungkapan saja?

Atau Muhyiddin perlu bergerak pantas dengan tindakan-tindakan lain yang lebih agresif lagi?

Secara umumnya apabila Tun Mahathir semakin mengasak kedudukan Najib dengan mendedah dan menyerangnya dari pelbagai sudut, ia lebih menghakis sokongan di peringkat akar umbi UMNO dan juga di kalangan rakyat.

Tetapi di peringkat kepimpinan UMNO dan kerajaan, ia masih tidak menggugat kerusi Perdana Menteri yang sedang diduduki Najib kerana majoriti mereka masih selesa dengan nikmat jawatan dan kedudukan yang dinikmati sekarang.

Sebagaimana sebelum ini Najib menerima sokongan daripada Ketua-Ketua Bahagian, Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri, semua mereka tidak berganjak walaupun Tun Mahathir makin meningkatkan serangannya hari demi hari.

Sehingga ada di kalangan mereka yang memegang jawatan penting dalam UMNO dan kerajaan turut secara terbuka menolak kepimpinan Najib, barulah kedudukannya benar-benar goyang.

Walaupun semua orang sedar serangan dan kritikan Tun Mahathir terhadap Najib ada benarnya, berpaksikan kebenaran dan bertujuan mengelakkan BN kalah dalam pilihanraya akan datang, hakikatnya majoriti yang bergelar pemimpin lebih sayangkan Najib berbanding parti.

Dalam hal ini, terlanjur Muhyiddin sudah menyatakan sokongan terbuka kepada "perjuangan kebenaran" yang dibawa oleh Tun Mahathir yang tentunya juga bermakna sokongan terhadap semua persoalan yang ditujukan oleh bekas Perdana Menteri itu kepada Najib, beliau tidak seharusnya berlengah lagi dalam mengatur langkah seterusnya.

Dalam erti kata lain, sokongan Muhyiddin kepada Tun Mahathir itu boleh dianggap isyarat beliau sudah hilang kepercayaan kepada Najib yang sedang memimpin parti dan kerajaan. Muhyiddin bukan lagi setakat menghormati hak Tun Mahathir dalam mengkritik dan menanyakan soalan sebagaimana yang pernah disebutnya sebelum ini, tetapi sudah meletakkan dirinya bersama-sama dengan apa yang diperjuangkan oleh bekas Perdana Menteri itu.

Maka itu, adalah perlu Muhyiddin mengulangi peranan seperti yang pernah dimainkannya dalam mempercepatkan pengunduran jawatan Tun Abdullah pada 2008 dahulu.

Hanya dengan Muhyiddin mengatur langkah seterusnya, sama ada turut terbuka menuntut Najib berundur seperti yang dimahukan oleh Tun Mahathir atau mulai mengumpul kekuatan di kalangan pemimpin UMNO seluruh negara untuk bersama-sama dengannya.

Muhyiddin juga boleh mulai menghadirkan diri dalam setiap program jelajah bersama Tun Mahathir ke seluruh negara bagi memberi lebih tekanan kepada Najib.

Hanya jika salah satu atau semua tindakan itu diambil, barulah "perjuangan kebenaran" Tun Mahathir ini akan menampakkan hasil yang berkesan.

Untuk lebih drastik, sebagai tanda hilang kepercayaan itu, Muhyiddin boleh juga meletakkan jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri tetapi masih kekal sebagai Timbalan Presiden UMNO.

Jika tidak, perjuangan kebenaran ini mungkin akan memakan masa yang lebih lama dan belum tentu dapat dipastikan akan berjaya atau sebaliknya kerana Najib tidak semudah itu mahu mengalah atau berundur.

Muhyiddin tidak perlu risau kerana selain rakyat sedang bersama-sama dan tidak sabar untuk melihatkan Najib disingkirkan berikutan terlalu banyak onar yang ditimbulkannya dalam mentadbir negara, sebahagian besar ahli akar umbi UMNO juga berpendirian sama.

Tun Mahathir sudah memulakannya dan jika Muhyiddin segera bertindak lebih berani, tidak sekadar mengucapkan "you are not alone" saja, segalanya-galanya akan lebih cepat menjadi kenyataan.

Banyak harapan kini diletakkan pada Muhyiddin agar beliau mengulangi keberaniannya sepertimana yang pernah dilakukannya kepada Tun Abdullah dahulu.

Lalu, "Abang Din, tunggu apa lagi?" (SH 20/04/2015)

Sunday, 19 April 2015

Najib, Tunggu Apa Lagi!!


Perdana Menteri, Najib Razak kini sedang berada di Kazakhstan bagi menghadiri majlis bertandang perkahwinan anak perempuannya, Nooryana Najwa dengan Daniyar Besikkbayev, seorang jejaka yang pandai bertinju dari negara tersebut.

Tetapi di dalam negara, asakan untuk memaksanya berundur kian giat dilakukan. Tun Mahathir yang menjangkau usia 90 tahun kelihatan semakin agresif dan seolah-olah mendapat "suntikan tenaga baru" untuk terus menyingkirkan Najib.

Jika Jumaat lalu, Tun Mahathir dilaporkan sudah mengadakan pertemuan dengan Tengku Razaleigh selama kira-kira sejam tidak jauh dari Masjid Negara, hari ini pula bekas Perdana Menteri itu duduk bersebelahan dengan Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin dalam suatu program anti perang di PWTC, Kuala Lumpur.

Dalam ucapannya, Muhyiddin secara terbuka menyatakan sokongan kepada "perjuangan kebenaran" yang dilakukan oleh Tun Mahathir.

Anda tidak keseorangan dalam menyatakan kebenaran, kata Muhyiddin yang bagaikan menyambut keluhan Tun Mahathir sebelum ini bahawa beliau mungkin keseorangan dalam berhadapan dengan Najib Razak yang mahu disingkirkannya.

Selain semakin rancak bertemu dengan pelbagai pihak sejak akhir-akhir ini, Tun Mahathir juga semakin rajin menulis meluahkan pandangan dan kritikannya kepada Najib di blog Chedet miliknya. 

Kehadirannya di pelbagai program yang disusuli dengan lontaran pelbagai pandangan mengenai isu politik semasa dalam negara, juga turut bertambah.

Bekas Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Zaid Ibrahim pula mendedahkan baru-baru ini, Tun Mahathir juga ada mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Selangor, Azmin Ali di luar negara.

Sokongan terbuka Muhyiddin kepada "perjuangan kebenaran" yang dilakukan oleh Tun Mahathir tidaklah sukar difahami bahawa ia tentunya berkaitan dengan serangan dan kritikan terhadap Najib, tambahan pula tiada akvititi atau isu lain yang difokuskan oleh bekas Perdana Menteri itu ketika ini.

Ke mana hilangnya wang 1MDB dan siapa yang memberi arahan kepada Sirul untuk membunuh Altantuya seperti yang kerap ditanyakan oleh Tun Mahathir tidak lain hanyalah untuk mengetahui kebenarannya.

Lebih-lebih lagi dengan mengatakan Tun Mahathir tidak keseorangan dalam perjuangan itu, ia adalah pengakuan terbuka Muhyiddin bahawa beliau berpihak kepada bekas Perdana Menteri selama 22 tahun itu.

Jika Jumaat lalu, Najib mungkin tersentak dengan berita pertemuan antara Tun Mahathir dengan Ku Li, sokongan terbuka Muhyiddin ini dan mereka juga duduk bersebelahan yang memberi gambaran adanya  "ehem ehem" antara keduanya, pastinya memberi lebih lara kepada Perdana Menteri yang sedang berada di luar negara.

Berada di Kazakhstan di mana beliau sepatutnya berasa gembira sebagai seorang bapa, tetapi sebagai Perdana Menteri pula mungkin perasaannya sedang berbeza.

Di dalam negara dan di pelbagai peringkat percakapan pula, rata-rata rakyat begitu mengharapkan adanya perubahan dalam kepimpinan negara kerana peredaran masa memperlihatkan Najib ternyata gagal memberi kesejahteraan kepada rakyat dan negara.

Gagalnya Najib barangkali boleh difahami dengan kenyataan sinis Tun Mahathir beberapa hari lalu yang menyatakan simpatinya kepada Perdana Menteri kerana "nak bina jambatan pun tak boleh".

Najib, mahu tidak mahu, harus mengakui bahawa semua perkembangan akhir-akhir ini adalah tanda-tanda yang semakin jelas hayat politiknya sebagai Perdana Menteri kian pendek dan sukar diselamatkan.

Najib, tunggu apa lagi!! (SH 19/04/2015)

Gambar terbaru Najib ketika menghadiri majlis bertandang di Kazakhstan...

Daniyar dan Nooryana gembira sebagai pasangan suami isteri...

Saturday, 18 April 2015

Musim Orang Lama Dikehendaki Semula


UMNO akhirnya menamakan Hasan Ariffin sebagai calon BN bagi pilihanraya kecil Parlimen Rompin yang akan diadakan pada 5 Mei depan. 

Hasan yang kini Pemangku Ketua UMNO Bahagian Rompin adalah bekas Adun Bukit Ibam selama tiga penggal dan pernah menjadi Exco Kerajaan Negeri serta Timbalan Menteri Besar Pahang sebelum ini.

Berusia 62 tahun, pernah menjadi Adun dan memegang beberapa jawatan di peringkat kerajaan negeri, pemilihan beliau sebagai calon pilihanraya kecil Rompin boleh dianggap mengejutkan kerana kriterianya adalah "kitar semula".

Apakah ini menggambarkan UMNO sudah ketandusan calon-calon muda yang berkelayakan atau sudah lupa kepada proses peremajaannya?

Namun demikian, sebagaimana yang banyak dilaporkan di media, pemilihan Hasan dikatakan kerana beliau adalah pilihan penduduk setempat serta diyakini lebih mudah mencipta kemenangan berbanding nama-nama yang lain.

Sekali lagi timbul persoalan, apakah UMNO kini sedang berada di persimpangan di mana pemimpin lama dan veteran lebih menjadi pilihan berbanding orang muda?

Terpilihnya Hasan sebagai calon di Rompin seperti senada dengan kemelut politik yang sedang berlaku di peringkat Pusat sekarang ini. Di ketika nama Najib Razak semakin ditolak daripada kerusi Perdana Menteri yang sedang didudukinya, nama tokoh veteran Tengku Razaleigh Hamzah dilihat semakin menonjol sebagai tokoh yang paling layak menggantikannya.

Bekas Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Zaid Ibrahim misalnya sudah dua kali mencadangkan agar veteran UMNO berusia 78 tahun yang lebih dikenali sebagai Ku Li itu diambil untuk menggantikan tempat Najib.

Kali pertama, Zaid Ibrahim mencadangkan nama Ku Li kepada Tun Mahathir yang sedang gigih mengasak untuk menyingkirkan Najib kerana berpendapat Ahli Parlimen Gua Musang itu adalah pilihan terbaik sebagai Perdana Menteri bagi menyelamatkan negara dan memulihkan ekonomi berdasarkan pengalaman dan ketokohannya

Kali kedua pula, beliau mencadangkan agar Mahathir membentuk pasukan bersama Ku Li dan Anwar Ibrahim untuk menyingkirkan Najib.

Sementara itu ada juga laporan yang menyebut Tun Mahathir sudah pun mengadakan pertemuan dengan Ku Li sebelum sembahyang Jumaat semalam selama kira-kira sejam. 

Sebelum ini pula, Ku Li juga dikatakan sudah ditemui oleh banyak pihak lain sama ada daripada UMNO, Pas, PKR, DAP dan sebagainya untuk memintanya bersama-sama menyelamatkan negara ini.

Pada asasnya Ku Li difahamkan mendengar dengan baik dan teliti semua cadangan yang diterimanya, termasuk daripada Tun Mahathir dan menyatakan kesediaan memberikan apa saja sumbangan dan tenaga demi kepentingan dan masa depan negara ini.

Setelah "orang lama" terlilih sebagai calon untuk menjamin kemenangan di Rompin, adakah bakal pengganti Najib yang lebih diyakini untuk menyelamatkan Malaysia juga terdiri daripada kategori yang sama?

Dengan pemimpin muda sering digambarkan sebagai gelojoh, rakus, tidak matang dan kurang kemampuan, mungkin ada baiknya tokoh lama tetapi berpengalaman dan berintergriti seperti Ku Li pula dijadikan pilihan.

Dalam konteks ini, Tun Mahathir yang sedang berusaha menyelamatkan negara ketika ini juga sudah berusia hampir 90 tahun tetapi peranannya tetap diterima dengan baik oleh semua lapisan rakyat, tak kira tua ataupun muda.

Mungkinkah akhirnya gandingan "orang lama"  iaitu Tun Mahathir - Ku Li juga yang bakal menjadi kenyataan? (SH 18/04/2015)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...