Saturday, 2 June 2018

UMNO SELEPAS INI TETAP DIBAYANGI WAJAH NAJIB.....


Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang sebelum ini dispekulasikan akan  bertanding jawatan Presiden atau Timbalan Presiden, akhirnya memutuskan hanya bertanding jawatan Naib Presiden UMNO saja.

Bermakna, beliau menyertai beberapa nama lagi yang turut memutuskan mahu mengisi jawatan nombor tiga dalam hireaki parti, antaranya Johari Ghani, Tajuddin Abdul Rahman, Ismail Sabri Yaakob dan beberapa nama yang lain lagi.

Dengan pengesahan KJ untuk hanya bertanding jawatan Naib Presiden itu juga hampir pasti mengesahkan bahawa UMNO bakal diterajui oleh Zahid Hamidi dan Hishammuddin Hussein sebagai Presiden dan Timbalan Presiden UMNO.

Zahid Hamidi sekarang ialah Pemangku Presiden UMNO dan Hishammuddin memangku jawatan Timbalan Presiden.

Siapa lagi pemimpin UMNO yang berani mencabar mereka?
Mustapha Mohamad dan Mohamad Hassan yang dalam media sosial cuba digandingkan sabagai pasangan yang layak untuk mengambil alih kepimpinan UMNO mungkin tiada keberanian serta kesanggupan untuk memikul tanggungjawab berat menjadi peneraju berikutan beban kewangan UMNO amat besar untuk ditanggung.

Selama ini setiap bahagian UMNO diperuntukkan bayaran bulanan RM10 ribu, manakala Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri diberi sebanyak RM5 ribu agar urusan pentadbiran, sewa pejabat atau tanggungan perkeranian parti di peringkat bahagian tidak berdepan masalah dari segi operas harian.

Dengan UMNO mempunyai 191 bahagian dan setiap bahagian diperuntukkan RM25 ribu sebulan, bermakna sesiapa yang menjadi Presiden UMNO harus bersedia menanggung beban sebanyak RM4.7 juta sebulan atau RM57.3 juta setahun.

Sehingga PRU15 diadakan lima tahun lagi, belanja yang harus dikeluarkan sekurang-kurangnya ialah sebanyak RM286 juta.

Adakah Mustapha dan gandingannya Mohamad Hassan mampu atau sedia menanggung beban sebanyak itu?

Tidak lain, hanya gandingan pemimpin kaya seperti Zahid Hamidi dan Hishammuddin saja yang mampu dari segi kewangan untuk mengeluarkan belanja dengan jumlah sebegitu.

Tun Mahathir beberapa bulan sebelum ini ada mengesahkan Zahid Hamidi pernah membuat perakuan kepada beliau sebagai Perdana Menteri pada tahun 1996 mengenai kekayaan berjumlah RM230 juta yang dimilikinya ketika menjadi Ketua Pemuda UMNO.

Hakikatnya tiada masalah dari segi kemampuan untuk Zahid Hamidi membiayai kos operasi UMNO, apatah lagi jika Hishammuddin turut sedia membantu sama.

Meskipun dalam surat yang dihantar kepada UMNO bahagian-bahagian oleh Tengku Adnan Tengku Mansor beberapa hari sebelum ini yang menghentikan peruntukan RM25 ribu kepada setiap bahagian itu, tetapi jika pemimpin baru yang mengambil alih nanti tidak menyambungnya semula, ia akan menjadikan UMNO tidak bergerak dan mungkin mati dari segi aktiviti.

Maka, maka mahu tidak mahu, baik secara secara bersendirian atau berkongsi dengan Hishammuddin, Zahid Hamidi harus mencari sumber dana tersebut bagi memastikan UMNO terus hidup dan bernyawa.

Beban tanggungan UMNO ini juga pasti akan menyebabkan Tengku Razaleigh Hamzah membatalkan hasratnya untuk bertanding jawatan Presiden UMNO, meskipun pelbagai kumpulan sudah menemui beliau untuk melobi bagi tujuan itu.

Adalah suatu pembaziran bagi Ku Li untuk bertanding dan jika menang, beliau akhirnya terpaksa menanggung beban kewangan yang besar untuk membiayai urusan parti di sebalik jumlah RM57.3 juta setahun itu bukanlah masalah besar baginya.

Tetapi, tidak mustahil juga Tengku Adnan menghantar surat itu ialah bertujuan untuk mematikan keghairahan pemimpin-pemimpin lain yang berhasrat untuk mencabar kedudukan Zahid Hamidi dan Hishammuddin.
Namun demikian, dalam konteks yang lain, dengan tiada sesiapa mahu bertanding jawatan Presiden atau Timbalan Presiden dan kepimpinan tertinggi diterajui oleh Zahid Hamidi dan Hishammuddin, UMNO selepas ini tidak dapat lari daripada bayang-bayang Najib Razak yang menjadi sebab utama BN ditolak rakyat sehingga hilang kuasa pada pilihanraya umum  9 Mei lalu.

Zahid Hamidi adalah bekas Setiausaha Politik Najib sebelum menjadi menteri dan kemudian diangkat sebagai Timbalan Perdana Menteri selepas pemecatan Muhyiddin Yassin, sementara Hishammuddin adalah sepupu kepada bekas Perdana Menteri itu.

Dalam keadaan sedemikian, jika ada-apa berlaku kepada Najib berikutan beliau sedang disiasat dan mungkin didakwa serta dipenjarakan selepas ini, dengan adanya Zahid Hamidi dan Hishammuddin menerajui UMNO, ia akan memberi sedikit harapan kepada nasib bekas Perdana Menteri itu andai ditakdirkan BN mampu kembali berkuasa semula selepas PRU15 lima tahun lagi.

Cuma, masih mahukah rakyat memilih dan mengundi calon-calon UMNO dan BN dalam pilihanraya ke-15 akan datang di bawah kepimpinan Zahid Hamidi dan Hishammuddin dan tambah disedari bayang-bayang Najib begitu jelas di sebalik wajah dua pemimpin itu? (ShahbudinHusin 02/06/2018)

Friday, 1 June 2018

HENTIKAN POLITIK DENDAM, MAHFUZ TEGUR PAS KELANTAN


1. Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Nazran Muhamad menafikan beliau berkata arahan untuk menghalang Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Husam Musa dan Pengerusi Amanah Negeri, Wan Abdul Rahim Wan Abdullah daripada memasuki istana dan premis kerajaan negeri datang dari pihak istana. Sebaliknya, beliau menjelaskan arahan itu diterima daripada ‘pihak atasan’.

2. Beliau tidak pula menjelaskan siapa ‘pihak atasan’ terbabit. Sepatutnya beliau berterus terang agar rakyat jelas siapa yang memberikan arahan. Jika ia datang daripada istana, maka istana Kelantan berhak berbuat demikian terhadap mana-mana individu memasuki kawasan Istana. 

Namun kedua-kedua tokoh ini tidak wajar dihalang untuk memasuki mana-mana premis kerajaan atas apa juga urusan kerana premis kerajaan seperti wisma Darulnaim adalah tempat rakyat berurusan dengan kerajaan.

3. YAB Menteri Besar Kelantan sebagai ketua kerajaan boleh menasihati Duli Yang Maha Mulia Pemangku Sultan Kelantan agar bersikap terbuka terhadap kedua-dua tokoh ini kerana mereka bukan ancaman terhadap kerajaan negeri. 

Sebagai sebuah negeri di dalam sebuah negara demokrasi, hak dan kebebasan rakyat mesti dipertahankan selagi tidak melanggar peraturan atau perlembagaan negara.

4. Sebaliknya, jika arahan itu datang dari pentadbiran kerajaan Kelantan, adalah malang jika sikap sebuah kerajaan negeri yang mahu menegakkan syariah Islam tetapi mengambil pendekatan yang sangat berbeza terhadap kedua pemimpin ini. 

Hanya kerana kelantangan mereka, mereka dinafikan hak untuk bersuara dan masuk ke pejabat kerajaan seumpama pesalah besar. Kedua mereka hanya melaksanakan kaedah menasihat kerajaan agar kerajaan Kelantan berjalan di atas landasan yang lurus. 

Bukankah nasihat dan peringatan itu dituntut dalam Islam sebagai hadis Nabi Muhammad SAW bahawa "Agama Itu adalah Nasihat?”

5. Adalah diharapkan, kerajaan negeri Kelantan bersikap telus dan terbuka dalam pentadbirannya. Husam Musa dan Wan Abdul Rahim Wan Abdullah adalah tokoh pembangkang di Kelantan dari parti yang memerentah negara. 

Tindakan menghalang mereka seperti kerajaan Kelantan memulakan permusuhan dengan kerajaan pusat dan menolak sistem demokrasi. Sebagai rakyat yang sayangkan negerinya, mereka bertindak sebagai penyemak dan pengimbang (check and balance) dengan kritikan agar kerajaan negeri berjalan di atas landasannya. 

Kritikan mereka membina agar rakyat terbela dengan kerajaan menjauhi  amalan rasuah, korupsi, salah guna kuasa dan penyelewengan. 

6. Kerajaan Kelantan juga dinasihat agar tidak mengulangi kesilapan dan keangkuhan pentadbiran UMNO-BN di bawah rejim Datuk Seri Najib Tun Razak. Sikap tidak mahu mendengar pandangan dan nasihat, serta mengambil tindakan keras terhadap musuh politik termasuk tekanan, sekatan, halangan daripada bersuara dan lain-lain adalam sinonim dengan gaya UMNO-BN di era pemerintahannya. 

Mana-mana musuh politik yang kuat mengkritik, dan mendedahkan skandal penyelewengan cepat mereka ambil tindakan melalui kuasa yang ada. Akhirnya rakyat sendiri yang menghukum mereka melalui PRU ke 14.  

7. Sudah nampak bunga-bunga pemerintahan ala UMNO-BN di kerajaan Kelantan. Ust Nik Omar Nik Abdul Aziz telah dihalang daripada menyampaikan ceramah dan kuliah di masjid di kampungnya sendiri oleh pemimpin Pas walaupun berlindung atas nama masaalah dalaman keluarga. 

Kini Husam Musa dan Wan Abdul Rahim pula menjadi mangsa. Selepas ini siapa pula yang mengikuti jejak mereka, diharamkan daripada menjejakkan kaki di mana-mana premis tertentu di tanah tumpah mereka sendiri.

8. Pasca PRU ke 14, diharapkan kerajaan Kelantan berhenti daripada berpolitik demi kemakmuran dan kemajuan rakyat negeri Kelantan. Tidak ada gunanya politik dendam dan kebencian disemai dalam diri meskipun mereka berlainan parti politik dan pandangan. 

Sekarang masanya kita bekerja dengan mengajak seluruh lapisan rakyat bersama-sama tidak kira pegangan politik demi kebaikan negeri dan negara tercinta.


DATO’ HJ MAHFUZ OMAR
Naib Presiden AMANAH
Ahli Parlimen Pokok Sena
1 Jun 2018/16 Ramadzan 1439H.

INGATAN YANG SUDAH TERLAMBAT...SIAPA LEBIH BANYAK MENJARAH DANA KEKAYAAN NEGARA?


Berikutan kenaikan harga minyak di pasaran antarabangsa yang menyaksikan rizab tunai Petronas meningkat sebanyak RM36.5 bilion kepada RM164.7 bilion berbanding RM128.2 bilion pada penghujung tahun 2017, Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad diperingatkan agar tidak menjarah hasil minyak negara sekarang ini.

"Saya mohon kerajaan baru ini akan terus memberi ruang dan modal yang cukup besar kepada Petronas untuk terus memenuhi visi mereka dan bukannya menjarah dana Petronas atau bagi misi "bail-outs"  sebagaimana dilakukan ketika pentadbiran 22 tahun Tun Mahathir dahulu.

"Walaupun harga minyak sekarang agak tinggi berbanding sebelumnya, kita perlu menjaga jika harga minyak jatuh lagi seperti kejatuhan sebanyak 80 peratus yang berlaku pada tahun 2014 dan 2015 dahulu".

Siapakah yang memberi ingatan tersebut?
Tidak lain tidak bukan, yang memberi ingatan ini ialah Najib Razak, bekas Perdana Menteri yang baru saja kehilagan kuasa dan kini sedang disiasat oleh polis dan SPRM berkaitan penggubahan wang haram serta menerima rasuah daripada SRC International yang dulunya merupakan anak syarikat 1MDB.

Memang ingatan Najib itu baik, tetapi layakkah beliau memberi peringatan itu kepada Tun Mahathir?

Ketika menjadi Perdana Menteri dahulu, pernahkah Najib mahu mendengar nasihat atau ingatan daripada Tun Mahathir yang sebelumnya pernah menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun?

Maka, layakkah sekarang ini bekas Perdana Menteri selama 9 tahun yang tumbang ditolak rakyat kerana deretan skandal dan kemewahan keluarganya,  mahu pula menasihati bekas Perdana Menteri selama 22 tahun yang kemudian berjaya muncul semula sebagai Perdana Menteri?

Adakah jika Najib mahu mendengar nasihat Tun Mahathir dahulu dan negara tidak berantakan dengan skandal demi skandal, ia akan menyebabkan Tun Mahathir sedia kembali aktif dalam politik untuk menyingkirkan anak Tun Razak itu?

Lagi pun, di sebalik Najib memberi ingatan agar Tun Mahathir tidak menjarah dana Petronas, siapakah sebenarnya yang lebih banyak menjarah wang negara dengan skandal 1MDB yang terbesar di dunia serta menyebabkan hutang negara meningkat kepada melebihi 1 trilion?

Jika ketika pentadbitan Tun Mahathir banyak hasil pembangunan yang dapat disaksikan seperti KLCC, Putrajaya, Cyberjaya, KLIA, lebuhraya dan macam-macam lagi yang bermanfaat besar sehingga hari ini, apakah yang membanggakan di era Najib selama 9 tahun selain kekayaan mendadak Jho Low, hutang negara  melebihi 1 trilion dan koleksi beg tangan mewah, barang kemas dan intan permata yang menimbun-nimbun?

Sorry Najib....sepatutnya anda menasihati diri anda sendiri terlebih dahulu, terutama ketika sedang berkuasa sebelum ini dan bukannya "lupa diri"  ketika kuasa berada dalam genggaman.

Setelah tumbang dan sekarang disiasat polis serta SPRM, malah mungkin akan didakwa tidak lama lagi, cuba berlagak baik dengan memberi peringatan atau nasihat kepada Tun Mahathir, ingatan anda ini bukan saja sudah terlewat, malah tidak bernilai apa-apa di sisi rakyat.

Penjarahan anda sendiri kepada hasil kekayaan negara sehingga bajet untuk Pejabat Perdana Menteri yang sentiasa melambung setiap tahun dengan pelbagai acara kemewahan dan jamuan makan super mewah, selain skandal demi hutang dan kesukaan menambah hutang negara, ia sebenarnya akan lebih menjadi ingatan bagi rakyat, malah oleh generasi demi generasi akan datang. (ShahbudinHusin 01/06/2018)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...