Saturday, 27 January 2018

WAJAH SEBENAR PAS AKHIRNYA TERSERLAH

Makin dekat tarikh pilihanraya, wajah sebenar Pas kian terserlah dengan nyata.

Daripada mahu menubuhkan kerajaan sendiri bersama Gagasan Sejahtera, menjadi kuasa penentu atau "king maker", Pas kini dengan nyata memperlihatkan wajah dirinya yang sebenar.

Tanpa berselindung lagi mereka menyatakan pilihan selepas PRU 14 akan datang hanya ada dua - bekerjasama dengan BN atau kekal sebagai pembangkang.

Tetapi, beberapa hari sebelum ini, Presiden Pas, Hadi Awang sendiri menyatakan Pas tidak mahu lagi menjadi pembangkang yang lemah selepas pilihanraya akan datang.

Maknanya, menjadi sebahagian daripada kerajaan memang  pilihan Pas dan untuk tujuan itu, Najib, UMNO dan BN adalah idaman kalbu parti Islam tersebut.

Sebaliknya, kekal sebagai pembangkang bukan lagi pilihan bagi Pas. Lagi pula, Pas sejak kebelakangan ini semakin merasai nikmat berdekat-dekat dengan kerajaan atau parti pemerintah.

Jika berdekat dengan kerajaan saja pun macam-macam nikmat dan syurga dunia dapat mereka nikmati, tentunya dalam hati pimpinan Pas ketika ini menggelegak perasaan tidak sabar-sabar untuk menjadi sebahagian daripada kerajaan.

Barangkali wajar diucapkan tahniah kepada Pas kerana awal-awal lagi telah menunjukkan kecenderungan kepada BN yang didalamnya ada MCA serta Gerakan yang bukan saja menentang hukum hudud, malah paling lantang menolak pindaan Akta 355 yang bertujuan memperkasa kedudukan mahkamah syariah.

Akhirnya, Pas sendiri menyerlahkan sandiwara mereka berkaitan Akta 355 itu.

Dengan pengakuan Pas mahu bekerjasama dengan BN ini juga memberi maksud mengundi Pas adalah sama seperti mengundi BN.

Meskipun ketika pilihanraya,  Pas dan BN berlainan parti, berbeza logo dan mungkin saling mengata antara satu sama lain, tetapi selepas pilihanraya berakhir, mereka akan saling bersama serta berdakapan untuk tujuan yang satu - mengekalkan lagi kerajaan kleptokrasi menghakis kekayaan dan memiskinkan negara ini. 

Syabas kepada kepada Pas!! (ShahbudinHusin 27/01/2018)

PETUNJUK PAKATAN HARAPAN DIYAKINI ANTARABANGSA UNTUK AMBIL ALIH PUTRAJAYA


Bukan sesuatu yang biasa bagi duta-duta asing mengadakan pertemuan dengan parti-parti pembangkang, lebih-lebih lagi secara berkumpulan dan beramai-ramai, menjelang pilihanraya umum diadakan.

Dalam banyak pilihanraya sebelum ini, tidak pernah duta-duta asing mengambil langkah yang sama.

Tetapi, ia nampaknya berbeza dengan Pakatan Harapan menjelang PRU 14 akan datang. 

Seramai 14 duta dan tiga "Charge de Affairs" daripada Negara-Negara Kesatuan Eropah atau EU telah sepakat mengadakan pertemuan serta perbincangan selama kira-kira dua jam dengan Pakatan Harapan yang diketuai oleh Tun Mahathir Mohamad.

Pertemuan mereka dengan Pakatan Harapan itu tentu saja mendapat restu daripada kerajaan negara masing-masing dan ini tidak lain memberi gambaran keyakinan mereka terhadap peralihan kerajaan bakal berlaku dalam pilihanraya akan datang.

Jika tiada keyakinan, untuk apa duta-duta itu sedia bertemu dengan Pakatan Harapan?

Bukankah lebih baik mereka terus mengukuhkan lagi hubungan kerjasama dengan kerajaan BN pimpinan Najib Razak yang sedang memerintah negara ini?

Kenapa Pakatan Harapan yang diketuai Tun Mahathir jadi pilihan, tidak Gagasan Sejahtera yang dipimpin oleh Hadi Awang?

Sudah tentu ada sesuatu yang istimewa dalam hal ini.

Apakah keyakinan terhadap Pakatan Harapan ini memberi gambaran ketidakyakinan duta-duta EU terhadap cara negara menangani pelbagai isu, khususnya berkaitan 1MDB yang diperkatakan di seluruh dunia?

Dengan pertemuan duta dan wakil daripada EU itu, tidak mustahil selepas ini duta-duta asing daripada blok seperti Asia, Afrika, OIC dan lain-lain negara akan turut mengambil langkah yang sama bertemu dengan Pakatan Harapan sebagai langkah awal menjalin hubungan dengan bakal kerajaan baru bagi Malaysia.

Keyakinan antarabangsa terhadap Pakatan Harapan ini adalah berita baik bagi masa depan Malaysia setelah berlakunya pertukaran kerajaan nanti kerana ianya sudah pasti memudahkan pelbagai urusan berkaitan pelaburan untuk dipertingkatkan demi kebaikan negara.

Rakyat Malaysia yang celik sesungguhnya tidak harus menutup mata begitu saja dengan perkembangan positif ini. (ShahbudinHusin 27/01/2018).

Friday, 26 January 2018

PENYOKONG TPM JUGA BOLEH LAKUKAN UNDI ROSAK JIKA MAHU ZAHID HAMIDI TERBUKA PELUANG JADI PM


Berikutan tulisan berkenaan undi rosak atau protes PRU14 yang disiarkan sebelum ini, seorang pemimpin UMNO yang tidak mahu disebut namanya menyarankan penyokong Timbalan Perdana Menteri agar beramai-ramai melakukan perkara yang sama.


Kata pemimpin berkenaan, berdasarkan keadaan biasa, peluang Zahid Hamidi untuk menjadi Perdana Menteri boleh dikira tipis atau tertutup sama sekali.


Menurut beliau, sekiranya BN menang lagi dalam PRU 14 ini, terutama jika keputusannya lebih baik berbanding PRU 2013, Najib sudah tentu akan berkuasa lebih lama serta mempunyai lebih masa untuk mencaturkan kedudukan sepupunya, Hishammuddin Hussein sebagai penggantinya.


Manakala jika BN kalah pula, tambahnya, Zahid Hamidi akan terlepas terus peluang untuk menduduki Seri Perdana serta terpaksa bersara dalam keadaan terhina bersama-sama dengan Najib yang menjadi punca utama kekalahan itu.


Dalam keadaan tidak menentu ini, kata pemimpin UMNO itu lagi, penyokong Zahid Hamidi harus bijak memikirkan masa depan "boss" mereka berbanding semata-mata akur memastikan kekalnya kedudukan Najib.


Katanya, dengan penyokong Zahid Hamid secara beramai-ramai melakukan undi rosak atau protes dengan cara tidak mengundi BN, ada kemungkinan BN tidak menang dengan cemerlang atau keputusannya lebih buruk berbanding pilihanraya 2013 yang lalu.


Dengan yang demikian, tegas beliau, oleh kerana sudah dua kali UMNO dan BN dibawah pimpinan Najib mencapai keputusan yang buruk iaitu dalam PRU 2013 dan PRU 14 nanti, penyokong Zahid Hamidi boleh menggerakkan kebangkitan mendesak agar Perdana Menteri berundur dan melakukan peralihan kuasa kepada timbalannya dalam pemilihan UMNO pada hujung tahun ini.


Inilah satu-satunya peluang yang ada jika Zahid Hamidi mahu menjadi Perdana Menteri, ujar beliau dengan bersungguh-sungguh.


Jelas beliau lagi, melakukan undi rosak atau undi protes adalah juga lebih baik serta tidak salah bagi ahli UMNO atau penyokong Zahid Hamidi dalam keadaan mereka mungkin tidak tergamak untuk memberi undi kepada calon-calon Pakatan Harapan.


Mereka tidak harus melepaskan peluang terbuka ini, kecuali Zahid Hamidi tiada cita-cita untuk jadi Perdana Menteri, ujar beliau. (ShahbudinHusin 26/01/2018)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...