Monday, 2 November 2015

DRAMA MENJELANG HARI SELASA

Drama muncul lagi. Hampir tiap kali tibanya hari Selasa, selalu saja muncul drama baru berkaitan saman Perdana Menteri, Najib Razak terhadap akhbar perniagaan terkemuka Amerika Syarikat, The Wall Street Journal (WSJ) yang digembar-gemburkan sebelumi ini.

Setelah beberapa drama berjaya dipentaskan sehingga berpuluh-puluh hari Selasa telah berlalu, namun saman tidak juga menjadi kenyataan sebagaimana yang dijanjikan, sebaliknya wang RM2,600 juta yang didedahkan WSJ itu pula yang makin kuat dipertahankan, kini muncul satu lagi drama baru mengenainya.

Peguam Najib hari ini pula berkata, saman terhadap WSJ itu mungkin tidak difailkan di Amerika Syarikat atas alasan Perdana Menteri tidak begitu dikenali di sana.

Faktor tidak dikenali itu menjadi pertimbangan baru kerana kononnya jika menang pun, jumlah pampasan yang diterima Najib nanti hanyalah kecil saja.

Keadilan adalah satu perkara, tetapi ganti rugi juga penting, kata peguam Najib dengan memberi contoh seorang ahli perniagaan United Kingdom yang menang saman di Amerika Syarikat tetapi hanya menerima jumlah pampasan yang kecil jumlahnya.

Peguam Najib turut memberi contoh kononnya Anwar Ibrahim dan Lim Guan Eng juga mengemukakan saman bukan saja untuk mencari keadilan, tetapi juga untuk mendapatkan pampasan.

Hahaha...semalam ketawa kepada Hadi Awang yang mahu menjadi penasihat BN, hari ini terpaksa ketawa untuk Najib dan peguamnya pula.

Satu demi satu drama lucu berjaya mereka pentaskan mereka untuk hiburan rakyat negara ini. Benarkah Najib tidak begitu dikenali sedangkan beliau paling kerap melawat Amerika Syarikat, dapat bermain golf dengan Obama serta mungkin paling banyak menjadi sebutan medianya atas pelbagai sebab?

Dan bila pula Anwar dan Guan Eng mengemukakan saman semata-mata kerana wang pampasan?

Bukankah dulu Najib ada mengatakan saman akan dikemukakan terhadap WSJ adalah bertujan untuk membersihkan namanya yang kononnya telah difitnah oleh akhbar perniagaan itu?

Apa hal nak fikir besar atau kecil gantiruginya pula sekarang ini?

Apakah Najib seorang Perdana Menteri yang tidak berduit sehingga begitu mengharapkan laba pampasan yang besar apabila mengemukakan saman terhadap WSJ?

Bukankah derma besar RM2,600 juta sudah ada?

Sebelum bercakap soal gantirugi pula, apakah peguam Najib benar-benar yakin mereka boleh menang apabila menyaman akhbar tersebut berkaitan pendedahan wang RM2,600 juta yang masuk ke akaun peribadinya?

Dalam masa yang sama, peguam Najib juga memberi alasan mengenai kesukaran untuk mengemukakan saman terhadap WSJ di Malaysia kerana bimbang akhbar itu menggunakan perlindungan Akta Speech yang menjadikan keputusan mahkamah itu tidak boleh dikuatkuasakan di Amerika Syarikat.

Makna mudahnya, semuanya belum pasti lagi sama ada Najib mahu meneruskan saman itu atau sebaliknya.  Sebabnya, kalau nak saman di Amerika Syarikat, takut jumlah pampasannya ciput manakala jika di Malaysia pula, bimbang dengan Akta Speech.

Lalu,  drama dan alasan sentiasa direka untuk melengahkan masa sambil membuatkan rakyat secara perlahan-lahan terhasut dan  percaya dengannya, lalu bersetuju bahawa saman itu tidak perlu diteruskan.

Sebenarnya itulah tujuannya drama menjelang hari Selasa ini dipentaskan.

Maka, bukankah lebih mudah jika Najib dan peguamnya berterus-terang saja bahawa saman itu tidak jadi difailkan sama ada di Amerika Syarikat mahupun di Malaysia? Mahu disaman apa lagi kerana dakwaan berkaitan wang itu bukan saja sudah diakui, bahkan sudah ramai yang bangga dapat turut menerimanya.

Tidak perlu terus menerus mementaskan drama demi drama kerana "makcik Felda "dan "pakcik kedai kopi di kampung" sebenarnya sudah ramai yang menggunakan telefon pintar sekarang ini. Mereka sudah faham segala-galanya.

Cukup-cukuplah. (SH 02/11/2015)

Sunday, 1 November 2015

NASIHAT RAJA2 TAK PUN TAK DIPEDULI DAN ANTARA PAS DENGAN APCO, SIAPA AGAKNYA PILIHAN UMNO?

Berikutan kenyataan Presiden Pas, Hadi Awang yang menyatakan parti itu tidak ingin merebut kuasa, sebaliknya hanya mahu menasihati BN menjadi pemerintah yang lebih baik, khususnya berkaitan 1MDB, cukai GST, perumahan dan kejatuhan nilai ringgit, pelbagai reaksi boleh lantas kedengaran.

Rata-rata bukan saja tidak percaya Pas berkemampuan berbuat demikian, malah lebih tidak percaya UMNO dan BN mahu mendengar nasihat daripada parti itu.

Dalam masa yang sama, belum kedengaran lagi reaksi positif daripada pemimpin utama UMNO dan kerajaan berhubung tawaran Pas untuk memberikan nasihat itu dan ini menandakan seolah-olah ia tidak  penting untuk diberi pertimbangan.

Dalam sekian banyak reaksi dan pandangan itu, apa yang dilontarkan oleh Raja Kamarul Baharin Shah, Ahli Parlimen Kuala Terengganu, paling munasabah untuk difikirkan bersama.

Beliau yang kini sudah menyertai Amanah, sama sekali tidak yakin kerajaan BN akan mendengar nasihat Pas kerana nasihat daripada Majlis Raja-Raja yang mahu masalah 1MDB diselesaikan segera pun tidak diendahkan sehingga sekarang.

"Majlis Raja-Raja mengeluarkan kenyataan rasmi bulan lepas tentang perlunya sesuatu tindakan diambil kerajaan dalam menangani masalah besar ekonomi dan keyakinan rakyat terhadap kerajaan berkaitan 1MDB.

"Sehingga ini tiada apa-apa kenyataan dan tindakan daripada kerajaan. Apakah Pas merasakan pengaruh mereka ada lebih besar berbanding Majlis Raja-Raja terhadap kerajaan?" soal beliau.

Harus diakui, dalam situasi politik semasa, memang UMNO berharap dapat mengikat Pas untuk kepentingannya mengekalkan kuasa. Tetapi UMNO hanya mahu mempergunakan Pas saja, bukan ingin mendengar apa-apa nasihat daripadanya.

Jika Pas berharap dengan berbaik itu dapat menjadikannya berperanan sebagai penasihat kepada UMNO dan kerajaan, lupakan sajalah.

Selain itu, bukan menjadi rahsia lagi bahawa penasihat utama kerajaan ialah Apco yang dilantik dan dibayar lumayan oleh kerajaan sebaik Najib mengambil alih teraju kerajaan pada 2009.

Agak-agak antara Pas dengan Apco, kiranya diberi pilihan, siapa yang menjadi pilihan Najib untuk menasihati kerajaan yang dipimpinnya? (SH 01/11/2015)

KAH, KAH, KAH...KESIANNYA DENGAN PAS SEKARANG INI!!

Tidak dinafikan Pas dibawah kepimpinan Hadi Awang makin melalut dan mengarut sejak kebelakangan ini. Apa perjuangan mereka pun tidak diketahui lagi, tidak lebih macam orang yang memandu kereta tanpa tujuan tetapi sekadar mahu menghabiskan minyak dalam tangki saja.

Setelah sebahagian ahli dan pimpinannya menubuhkan Amanah, sikap beliau semakin sukar difahami. Tidak tahu sama ada beliau mahu menjadikan Pas kekal sebagai parti politik atau sekadar pertubuhan kebajikan dan dakwah saja.

Mari kita baca antara kenyataan terbaru Presiden Pas itu sebagaimana yang disiarkan di media arus perdana hari ini:-

- Pas sedia menasihati BN dalam hal seperti 1MDB, cukai GST, perumahan serta kejatuhan nilai ringgit.

- Kita nak tolong selesaikan masalah, kita bukan nak rebut kuasa. Yang penting kita nak ubah pemerintahan kepada lebih baik berasaskan tuntutan Islam.

- Kesediaan itu tertakluk kepada syarat agar UMNO mengubah pemerintahannya selaras dengan Islam.

- Mengumumkan satu pertemuan dengan Perdana Menteri, Najib Razak akan berlangsung tidak lama lagi.

Kah, kah, kah...mari kita ketawa dulu dengan hasrat Haji Hadi untuk membawa Pas menasihati BN berkaitan 1MDB, GST, perumahan dan kejatuhan nilai ringgit.

Apa pengalaman Pas dan siapa pakar-pakar ekonomi dalam parti itu? Apa rekod mereka sebelum ini dalam hal-hal perniagaan dan ekonomi yang rumit itu?

Bukankah golongan profesional, pakar ekonomi dan aktivis daripada parti itu majoritinya sudah meninggalkan Pas dan menyertai Amanah sekarang ini?

Adakah Hadi Awang sendiri, Tuan Ibrahim, tiga Naib Presidennya, Nasharuddin Tantawi,  Nik Abduh  dan lain-lainnya yang mahu disandarkan harapan menasihati BN berkenaan 1MDB dan kejatuhan ringgit?

Pernahkah kita mendengar Haji Hadi dan lain-lain pimpinan utama Pas memberi pandangan bernas berkaitan perkara yang disebutkan itu sebelum ini, sama ada dalam Parlimen, melalui kenyataan media dan sebagainya?

Hujah Pas dalam memberi nasihat itu sehingga mengatakan tidak ingin merebut kuasa daripada BN dengan syarat UMNO mengubah pemerintahahnya selaras dengan Islam, tidak lebih umpama "burung pungguk rindukan bulan"  semata-mata.

Sebagaimana burung pungguk tidak mungkin dapat menyentuh bulan sampai bila-bila, maka mengharapkan UMNO mengubah dasarnya sebagaimana yang diidam-idamkan oleh Pas juga mustahil kesampaian sehingga hari kiamat sekali pun.

UMNO akan terus kekal dengan dasar kebangsaannya seperti yang ada sekarang. Jika Pas ingin berbaik-baik dan teringin sangat bersamanya, UMNO mustahil mahu mengubah identitinya, tetapi Paslah yang perlu menyesuaikan dirinya.

Hakikatnya, UMNO lebih besar dan kuat daripada Pas...gilalah jika orang besar dan kuat tunduk kepada orang kecil.

Hadi Awang juga berterus-terang bahawa satu pertemuan dengan Najib yang pernah memiliki wang derma sebanyak RM2,600 juta akan diadakan tidak lama lagi.

Sekali lagi....kah, kah, kah...

Yang nyata, dengan kenyataan Hadi Awang ini, ahli dan penyokong Pas di kampung-kampung, bahkan selama ini sangggup menderma wang untuk perjuangan menegakkan Islam, bolehlah beransur-ansur meninggalkan parti itu kerana Pas sebenarnya tidak ingin pun kepada kuasa sedangkan suatu ketika dahulu ghairah mengatakan dengan kuasa dalam tanganlah, maka Islam dapat ditegakkan.

Pas hari ini sebaliknya tidak lagi inginkan kuasa, mereka hanya mahu jadi penasihat kepada BN semata-mata. Maka, ahli dan penyokong Pas, jika ingin berjuang serta terlibat dalam politik, lebih baik sertai parti lain mulai sekarang. Jika tidak, duduk saja di surau serta masjid, lupakanlah untuk mengharapkan pahala dan syurga melalui Pas.

Pas dibawah kepimpinan Hadi Awang nampaknya lebih sanggup "mati dalam angan-angan" kerana yang dikejar mereka bukanlah Islam melalui perjuangan sendiri, tetapi lebih mengharapkan UMNO menukar dasar pejuangannya, walaupun menyedari ia umpama mengharapkan burung pungguk dapat menyentuh bulan yang nun jauh di angkasa. (SH 01/11/2015).
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...